Halaman

Sabtu, 16 Februari 2013

Bagan Ajam

Aku tahan lapar disepanjang kayuhan pagi ini. Pada mula aku rancang untuk berhenti di Tikam Batu untuk berehat dan menghilangkan penat, tetapi mengubah fikiran kerana teringin makan nasi gulai itik di Taman Sri Pinang di gerai Lemang Pak Teh. Tahan lapar hanya sekejap saja lagi, hanya dua kilometer dari gerai yang selalu aku singgah.
Nasib tidak begitu baik kerana dari jauh apabila gerai tersebut mula kelihatan, nampak macam tutup sahaja. Sebaik sampai melihat notis ditampal di meja lauk dijual. Gerai tutup hari ini, akan dibuka pada Ahad 17 Feb. Ah .... kena tahan lapar lagi hingga ada tempat makan yang sesuai.
Memang hampir kehabisan tenaga. Berkayuh perlahan sambil melayan fikiran. Terkejut bila ditegur oleh seorang rider dari belakang. Seorang kenalan yang tinggal di Bandar Puteri Jaya. Sudah lama tidak berjumpa dengannya. Dia bersama dua rakan lain berkayuh pulang dari Pantai Merdeka. 
Kali terakhir hampir satu tahun lalu di Persimpangan Pekan Sungai Karangan, Kulim. Ketika itu aku sedang berehat disebuah gerai untuk sarapan. Aku berehat sambil menunggu pelumba basikal Jelajah Basikal yang akan melalui jalan dari Kulim. Rakan tersebut dikenali dengan nama singkat Ee juga berhenti untuk menyaksikan pelumba pelumba lalu. 
Itu hampir setahun lalu. Tidak pernah berjumpa dia lagi sehingga pagi ini. Kini perlumbaan basikal peringkat antarabangsa datang kembali dalam masa kurang satu minggu lagi. Perlumbaan LTdL (Le Tour de Langkawi 2013) akan melalui jalan yang sama tetapi dari arah utara iaitu dari Kangar, Perlis. Aku merancang rancang untuk pergi menyaksikan tetapi masih tidak pasti di lokasi mana. Samada di Pekan Guar Cempedak atau Gurun atau terus ke penamat stage 1 di Kulim.
Warga Sungai Petani kurang bernasib baik pada tahun ini kerana LTdL tidak melalui jalan pekan ini. Selalunya route LTdL akan menamatkan stage 1 ini di Butterworth dan aktiviti warga Sungai Petani terutama yang berada di jalan utama N1 akan terberhenti beberapa minit untuk menyaksikan pelumba pelumba berdesup lalu dihadapan mereka. 
Sesuatu yang menarik aku perhatikan, Ee tidak menggunakan 'rb classics' seperti yang aku selalu jumpa. Dia menaiki rb baru yang nampak mantop dan cantik. Aku masih gunakan basikal lama. Aku menyuruhnya untuk berkayuh dahulu kerana keletihan dan kelaparan. Jumpa lagi Ee......

Statistik :
    Mula ............... 8.05 pagi 
    Tamat ............. 10.45 pagi 
    Jarak ............... 62 km
    Cuaca .............. Panas
    Laluan ............. Bagan Ajam, Butterworth
    Odometer 2013 : 00723   
       

Tiada ulasan:

Catat Ulasan