Halaman

Khamis, 25 Mac 2010

Kayuhan Betong Thailand


Puncanya fork Dart 2 basikal Scott aku rosak, minyak meleleh keluar dari oil seal. Rasanya boleh pakai lagi tetapi tidak berapa seronok. Tidak boleh atau susah jika hendak repair. Nampaknya kena beli lain. Harga pun boleh tahan juga, hampir RM600.00. Itu pun susah hendak dicari sebab Dart 3 sudah keluar. Bila sembang dengan geng mereka menyatakan disebelah sana murah sikit. Ingatkan hendak pergi ke Hatyai cari gantian, bukan apa, tiket keretapi dari Sungai Petani ke Hatyai hanya RM28.00 pergi balik. Jadi kalau harga di sana murah, kira bebaloi juga. Dapat juga berjalan dan menikmati makanan murah dan sedap sambil membeli alat ganti basikal. Sambil menyelam sambil minum air.
Aku buat keputusan pergi ke Betong, check harga dahulu. Memang tiada niat nak beli. Kiranya dari Sungai Petani ke Betong hanya lebih 5km sahaja kalau dibandingkan dengan jarak Sungai Petani ke Alor Setar. Aku tidak bawa banyak wang, hanya sekadar cukup untuk makan minum sahaja, itu pun aku tidak tukar duit siam. Member kata kebanyakan kedai (kalau tidak semua) menerima wang Malaysia.
Mula dari rumah lambat sedikit sebab tidak mahu sampai terlalu awal, maklumlah jam mereka lambat 1 jam. Selepas parking 4x4 Rocsta aku di Pengkalan Hulu, turunkan basikal, assemble dan terus kayuh ke border. Aku terlupa di komplek imegresen Thailand, ada perempuan yang isikan borang dengan bayaran RM2.00 untuk passport (RM1.00 untuk border pass). Oleh kerana hari ini hari Khamis tidak ramai orang yang keluar masuk. Tidak sampai tiga minit aku melepasi check-point. Waktu baru jam 0900 pagi waktu Thailand.
Memang jalan ke Betong ini berbukit, tetapi tidak lah teruk atau tinggi sangat. Daerah Betong di kelilingi oleh bukit bukau dan semua jalan masuk atau keluar berbukit. Di pekan pun jalan berbukit. Sebaik sahaja melepasi  check point, jalan agak lebar, mempunyai dua lorong tetapi banyak selekoh tajam, mendaki dan menurun. Nasib baik pekan Betong hanya lebih kurang 6km sahaja dari border. Aku mengambil masa kurang 20 minit untuk sampai ke pekan Betong, itu pun kayuh pelahan kerana menikmati pemandangan disepanjang jalan.
Aku pernah datang ke Pekan Betong ini dua kali sebelum ini, lebih sepuluh tahun yang lalu. Kini keadaan telah banyak berubah. Lebih teratur dan 'bersih'. Banyak kedai kedai baru, dengan pejabat dan bangunan berkaitan kerajaan mendominasi  landscape bandar ini. Terdapat banyak juga kuil yang besar. Ada tiga buah masjid besar disini. Ada dua hotel bertaraf tiga bintang keatas yang agak baru. Aku berkayuh tanpa tujuan, pergi kemana sahaja jalan yang ada kedai dan patah balik jika telah terlalu jauh dari pekan. Aku memasuki lorong kecil dan lorong belakang. Tidak perlu cerita lah apa yang ada dilorong sebegini.
Pada satu tempat aku melihat banyak kenderaan, bila sampai baru perasan tempat itu adalah pasar pagi. Sempat aku meninjau jualan dipasar tersebut. Nyata harga sayuran dan ikan jauh lebih murah berbanding di Sungai Petani.
Aku sempat masuk ke kawasan Hospital Betong. OK juga. Aku ingin mengambil gambar hospital, baru satu snap, pengawal keselamatan datang memberitahu mengambil gambar tidak dibenarkan. Aku padamkan semula gambar yang diambil didepan pengawal tersebut. Kemudian aku mencari jalan ke komplek sukan dan stadium Betong. Terdapat ramai polis disetiap simpang dan di setiap lampu isyarat jalan di pekan ini. Sesiapa yang pasti melakukan kesalahan terutama tidak mematuhi lampu isyarat ditahan. Tidak tahu lah pula mereka disaman atau tidak.
Aku tercari cari 'post-box' besar setinggi 6 meter. Dahulu aku pernah melihatnya dan kerap melihat dalam rancangan kembara di TV. Ia terletak di jalan utama Betong-Ya La. Ia menjadi mercu tanda pekan ini dan terdapat sebuah pintu gerbang bersebelahannya juga amat menarik. Aku menyusuri jalan ke Ya La ini tetapi berpatah balik selepas 5 km. Semasa berpatah balik aku terpaksa singgah untuk panggilan semula jadi (nak kencing) di satu taman permainan kerana terdapat tandas awam disana. Sama juga seperti ditempat kita, tidak terjaga, pintu terkopak, lubang tandas dipenuhi dengan plastik, botol, tiada air, dan macam macam lagi. Terpaksa guna juga lah dengan menutup hidung.
Kedai yang menjual basikal mountain terletak di sebelah kiri jalan Betong-Ya La, sebelum pejabat pos dan balai bomba. Basikal yang dijual disini berjenama macam tempat kita juga. Harga murah sedikit. Tetapi keseluruhan ada barang yang murah dan ada barang yang mahal jika dibandingkan dengan di Sungai Petani. Pemilik kedai ini budak Melayu Siam, bekerja sebagai ahli bomba, fasih berfahasa Melayu, juga seorang yang serius berbasikal. Sering membuat kayuhan disebelah kita kerana jalan kita lebih 'cycle-friendly' berbanding jalan di Betong. Sering menjadi host untuk cyclist dari Baling dan Sungai Petani. Dia kenal semua geng geng basikal dari Malaysia. Dia akan menganjurkan kayuhan Betong ke Yala sejauh 140km tidak lama lagi. Kebanyakkan peserta dari belah kita.
Barang yang aku cari ada dikedai basikal tersebut tetapi aku tidak membelinya. Mungkin aku akan datang semula dalam masa terdekat selepas membuat perbandingan harga disini.
Aku berpatah balik ke border selepas menikmati nasi goreng special dan sup ekor yang berharga  jauh lebih murah dibandingkan dengan harga di Sungai Petani. Walaupun aku ingin menghabiskan  masa lebih lama disini tetapi keadaan cuaca tidak mengizinkan. Aku sampai dirumah pada jam 3.00 petang kepanasan dan kepenatan.
Kepada rakan yang takut atau berasa was-was tentang keselamatan disini, tidak perlu risau.  Datang sendiri dan alami keadaannya.
Hasrat aku seterusnya ialah untuk membuat kayuhan solo ke Hatyai.

      

Tiada ulasan:

Catat Ulasan