Halaman

Rabu, 10 Mac 2010

Tanjung Dawai

Tempat ini mempunyai potensi sebagai salah satu tempat pelancongan jika ianya dipakejkan dengan aktiviti lain termasuk melawat kampung nelayan, kilang memproses ikan bilis, proses belacan, keropok, ikan masin, tempat menjual hasil laut dan yang telah bertapak adalah restoren masakan laut dan ikan bakar.
Sepatutnya aku membuat kayuhan ke Gunung Jerai bersama seorang rakan cina bernama John. Tetapi terpaksa dibatalkan saat akhir. Jadi aku mengambil keputusan untuk membuat kayuhan ke Tanjung Dawai seorang diri.  Sudah lebih lima bulan  aku tidak berkayuh kesini.   Aku memilih jalan lama kerana jalan yang berbukit melalui Pekan Semeling ke Merbok.
Apabila sampai ke kawasan Sungai Badong 2km sebelum Singkir, jalan sedang dibaiki. Permukaan jalan dicakar agak dalam dan  menyukarkan kayuhan, bagaikan laluan jalan dipenuhi batu kelikir. Nasib baik keadaan itu hanya sepanjang 1km sahaja.
Satu km sebelum sampai ke Tanjung Dawai aku membelok ke kiri ke Kampung Nelayan dan Kampung Keda Tanjung Dawai, untuk meninjau keadaan kampung dan kehidupan masyarakat disini. Dipenghujung jalan terdapat kilang/pusat Lembaga Kemajuan Ikan LKIM, beberapa kilang ikan bilis. Aku sempat berbual dengan nelayan yang sedang membaiki/ menampal bot dan melihat pekan Tanjung Dawai dari sebelah timur.
Pekan Tanjung Dawai adalah salah sebuah dari banyak 'one street town' di Kedah. Walau begitu ia mempunyai kemudahan asas yang lengkap. Kedai kedai menjual barangan keperluan harian penduduk khasnya nelayan. Terdapat satu arked penjaja melayu yang menjual produk hasil laut seperti ikan bilis, ikan masin, sotong kering, belacan, keropok dan lain lain.
Terdapat sebuah jeti untuk penumpang menaiki bot menyeberangi kuala Sungai Merbok ke Pantai Merdeka. Jeti ini selesa dan bersih, semasa aku disana hanya terdapat sebuah bot di jeti dan tiada penumpang menunggu. Beberapa orang sedang duduk berbual sambil menikmati bayu laut. Mungkin jeti ini akan sibuk bila tiba hujung minggu atau pada cuti umum.
Disepanjang jalan keluar teredapat deretan kedai makan makanan laut yang mempunyai lanskap yang menarik. Selepas itu terdapat tiga kedai besar yang menjual hasil laut terutama keropok dan ikan masin.
Aku balik melalui jalan bendang Sungai Pial ke Pengkalan Bujang. Aku tahu aku tersilap membuat keputusan kerana dengan bendang yang luas dikiri dan kanan jalan, aku tidak dapat mengayuh kerana tiupan anging yang begitu deras. Apa nak dibuat terpaksa kayuh juga lah.
Aku singgah di kawasan Arkealogi Sungai Batu, Semeling. Kawasan Arkeologi ini baru ditemui dan masih dalam proses excavation oleh pelajar pelajar dari universiti tempatan. Ianya sebahagian dari arkealogi Lembah Bujang. Dari gambar yang dipamerkan, excavasi ini mendapat kunjungan oleh pelbagai pihak dari merata dunia.
Dalam berita jam 1.30 tengah hari tadi, terdapat liputan lawatan oleh YB Datuk Rais Yatim,  Menteri  Penerangan, Kumunikasi dan Kebudayaan.   Berita itu turut menyebut excavasi akan mengambil masa selama 10 tahun untuk disiapkan. Kawasan ini akan dijadikan salah satu mercu pelancungan negara.

Statistik :
  Mula : ..............7.30 pagi
  Tamat : ............10.50 pagi
  Jarak : ..............58 km
  Cuaca : ............panas
  Angin : .............Kencang
  Laluan : ...........Sungai Petani - Semeling - Merbok - Singkir - Tanjung Dawai

.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan