Halaman

Isnin, 19 Ogos 2013

Guar - Yan

Rasanya tiga kali kayuhan sebelum ini sudah memberikan sedikit keyakinan untuk kayuhan yang lebih jauh pagi ini. Memang berniat untuk kayuhan melebihi biasa dan telah merancang untuk mengambil route Gurun - Guar - Yan. 
Ketika memulakan kayuhan kenderaan sudah agak kurang. Sekolah di Kedah telah bermula kelmarin selepas cuti raya selama dua minggu dan kebanyakkan masyarakat telah bekerja semula. Selepas perayaan hari raya, satu lagi perayaan akan diadakan pada penghujung bulan ini iaitu sambutan hari kebangsaan. 
Kelmarin aku menghadiri program kempen mengibarkan jalur gemilang anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Kuala Muda. Kansel kayuhan pagi Ahad. Sudah lah kayuhan pada hari Sabtu kena batal kerana mengunjungi sedara di Pokok Sena, kayuhan hari Ahad pun kena batal kerana kena hadir pada program kempen kibarkan jalur gemilang sempena hari kebangsaan tidak lama lagi.
Tidak ada apa yang menarik pada kayuhan pagi ini. Sebelum sampai ke pekan Gurun agak terkejut sedikit apabila ditegur dari belakang ketika tengah leka melayan kayuhan. Satu satunya rider yang aku jumpa pada kayuhan ini. Bergerak agak laju. Mungkin kerana usia yang masih agak muda. Ah.. biarkan lah.
Ketika menghampiri pekan Guar Cempedak, terlintas juga dihati untuk meneruskan kayuhan kearah Alor Setar yang jaraknya hanya tinggal 30 km. Mungkin mengambil masa lebih sedikit dari satu jam. Memang aku berhajat benar untuk berkayuh ke sana kerana kali terakhir hampir dua tahun lalu bersama kawan kawan dari Sungai Petani. 
Aku 'pass' kali ini. Ada juga perasaan 'superstitious' kerana aku telah merancang untuk mengikut rancangan laluan asal. Takut kalau menukar rancangan mungkin ada yang perkara yang tidak diingini berlaku.
Sudah lebih dua jam berkayuh tetapi masih belum berhenti untuk berehat dan sarapan. Masih ada tenaga dan bercadang untuk singgah di gerai dihadapan klinik kesihatan di Ruat. Entah mengapa aku tidak mahu singgah di tempat selalu di pekan Yan. Hampa .... kerana gerai yang aku rancang untuk singgah ditutup untuk pengubahsuaian. Aku tahu tidak ada lagi gerai sehingga pekan Singkir Darat. Larat ke melalui jalan berbukit Tanjung Jaga sebelum berjumpa kedai makanan untuk mengisi perut dan memulihkan tenaga.
Memang harga makanan di gerai atau restoren luar bandar jauh lebih murah dari di pekan. Aku minta nescafe panas, air suam dan makan satu bungku pulut inti dan sebiji roti ban kelapa. Bila aku suruh kira tuan kedai meminta RM2.20. Betul ke, aku tanya untuk kepastian. Di kedai mamak Sungai Petani pun secawan nescafe sudah RM1.60 walau ada restoren yang tidak mengcaj segelas air suam.
Puas juga kayuhan hari ini. Akan menyusul kayuhan lain jarak sederhana sebelum aku pergi tempat yang agak jauh dan perlukan overnight.


Statistik : 
    Mula ............... 8.00 pagi
    Tamat ............  11.50 pagi
    Jarak ............... 79 km
    Cuaca .............. Nyaman
    Laluan ............. Gurun - Guar - Yan - Merbuk - Semeling
   Odometer 2013 : 02970 

        

Tiada ulasan:

Catat Ulasan