Halaman

Rabu, 21 Ogos 2013

Kayuhan 100 km

Azam terlaksana pada kayuhan kelima selepas berehat satu bulan ramadhan. Dapat mencapai jarak psikoloji bagi aku iaitu sejauh 100 km. Pada awalnya aku tidak merancang untuk mencecah jarak tersebut, hanya untuk pergi jauh sedikit dari jarak yang aku buat dua hari lepas sejauh hampir 80 km. Semasa berkayuh aku berfikir, apa salahnya kalau aku menjangkau melepasi paras 100.
Rasanya boleh pergi jauh sedikit lagi, mungkin 120 km tetapi aku tersilap sedikit kerana memakai baju lengan pendek. Tidak mengapalah pada usia ini kalau kedua dua belah lengan hitam dibakar cahaya mentari tetapi mungkin susah sedikit menahan perit dan pedih. 
Walaupun aku membuat kayuhan jarak sederhana dua hari lalu, kayuhan ini agak sukar sedikit. Laluan yang lepas agak rata kecuali di Tanjung Jaga. Laluan pekan Gurun ke Jeniang agak berombak dan terpaksa berusaha keras mengharungi pendakian yang jauh. Ada ketika aku bertanya kepada diri sendiri bolehkah aku menamatkan kayuhan pulang nanti. Ada kalanya aku hendak berpatah balik sebelum sampai kedestinasi yang aku rancang. 
Lawaknya ada pula ketika aku ingin pergi lebih jauh. Perasaan ini datang apabila menuruni bukit.

Mengikut pengalaman lalu, jarak dari rumah ke pekan Jenianh ialah 45 km, bermakna pergi balik aku akan dapat 90 km. Aku kena menambah kayuhan sejauh 5 km kearah Sik. Bagaikan dirancang, aku berpatah balik tepat jam 10.00 pagi setelah dapat menghabiskan kayuhan sehala 50 km lebih sedikit. Seronok bukan main hinggakan terlupa untuk berhenti sarapan sejak memulakan kayuhan dari rumah.
Singgah di sebuah gerai untuk sebiji roti telur, sebutir kuih dan segelas teh O ais. Semasa melalui pekan Jeniang sebentar tadi aku mengintai kalau ada buah-buahan tempatan dijual. Aku berminat untuk membeli buah manggis. Hanya buah durian, langsat, rambai dan buah 'letup' yang dijual. Agaknya buah manggis sudah habis.
Cuaca mulai panas semasa perjalan pulang. Aku mulai merasakan terik sinaran matahari. Baru teringat yang aku tidak mengenakan helmet sejak memulakan kayuhan. Pada mulanya aku hanya ingin membogelkan kepala untuk disinari matahari pagi. Kata orang elok begitu dimana sinaran matahari ke umbun rambut akan memberikan vitamin tambahan yang diperlukan oleh kesihatan badan. Tidak tahan lagi dengan kepanasan, aku berhenti untuk mengenakan helmet.
Jalan dua lorong Gurun Jeniang memang gondol, macam digurun. Tiada pokok ditanam dibahu jalan untuk memberi perlindungan atau meredupkan jalan sejauh hampir 20 km. Kalau ada pokok rendang ditanam akan memberikan perlindungan dari sinaran matahari. Aku perhatikan pokok pokok yang ditanam di laluan pintas Modenas telah membesar dan dapat memberikan sedikit teduhan kepada penungggang basikal seperti aku. Dijangkakan setahun lagi pokok tersebut akan cukup besar dan memberikan keselesaan apabila berkayuh waktu tengah hari.
Singgah untuk menikmati semangguk cendul di pekan Bedong. Hirupan pertama terasa begitu enak dan ingin rasanya untuk memesan semangkuk lagi. Bila difikirkan ia terlalu manis, aku batalkan sahaja niat itu dan sebaliknya membeli sebotol air mineral untuk mencairkan gula yang diambil dalam cendul tersebut.
Esok tiada kayuhan kerana merehatkan badan, mungkin pada hari Sabtu nanti aku akan berkayuh ke Felda Teloi untuk melihat keadaan sana.

Statistik : 
    Mula ............... 7.40 pagi
    Tamat ............  1.00 petang
    Jarak ............... 100 km
    Cuaca .............. Panas
    Laluan ............. Gurun - Jeniang
   Odometer 2013 : 03070 

        

Tiada ulasan:

Catat Ulasan