Halaman

Khamis, 22 Julai 2010

Pantai Merdeka


Pintu Gerbang Ke Pantai Merdeka
Kali terakhir aku membuat kayuhan ke Pantai Merdeka hampir enam bulan yang lalu iaitu ada 16 Januari 2010 bersama geng Pinang Tunggal. Selepas itu ada juga beberapa kali melalui jalan ini tetapi hanya sampai di Pulau Sayak, Kota Kuala Muda atau ke Kuala Muda dan Penaga.
Semasa aku membuat pendakian bukit sebelum sampai ke Pantai Mereka, aku nampak beberapa orang cyclist sedang membuat kayuhan balik. Semua nampak muda muda dan mengayuh agak laju. Adakah mereka tidak bekerja hari ini atau cuti atau bekerja syif malam. Hanya sempat mengangkat tangan dan aku membunyikan loceng basikal.
Kubu diPantai Merdeka
Banyak sekali perubahan yang dibuat disatu satunya kawasan peranginan pantai disebelah utara sebelah tanah besar. Merdeka Beach Resort tersergam indah dengan hiasan luar yang menarik. Kawasan pantai bersih, laluan perjalan kaki luas dan kenderaan tidak dibenarkan masuk kekawasan tepi pantai kecuali disebelah hujung berhampiran dengan 'Kubu Pantai Merdeka'.
Tempat makan  baru telah dibuka dan kebanyakkan peniaga telah berpindah ke tempat yang lebih selesa dan tersusun. Tapak perniagaan lama telah dikosongkan dan agaknya akan dirobohkan untuk memberi laluan kepada bangunan dan projek lain. Yang aku tidak faham ialah penggunaan bahasa untuk nama gerai makanan  - 'Sea View Food Paradise'?. Siapakah pengunjung dan pelanggan, Mat Salleh, mungkin seorang dua yang datang kerana ingin tahu sahaja. Orang Jepun, Korea, Singapore, Arab ? entahlah. Kalau hendak  atau perlu guna pun, mungkin dalam tulisan kecil dibawah tulisan bahasa kebangsaan. Begitu juga dengan nama resort.... janggal ke kalau guna 'Pantai (beach) Merdeka Resort'.


Kesimpulan: Pantai Merdeka mampu menarik pelancong dan pengunjung dan mampu dijual sebagai salah satu destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa. Mungkin banyak lagi yang perlu dilakukan seperti pakej perlancongan, kemudahan dan penginapan.

Selepas relax di Pantai Merdeka hampir 15 minit, aku menyusuri jalan simpang sebelah kiri sebaik saja meninggalkan Pantai Merdeka. Aku tidak tahu apa sebenarnya yang ada disana, mungkin rumah nelayan atau penduduk dikampung itu dan berapa jauh dari jalan utama. Kawasan yang aku tuju sebenarnya adalah disebelah belakang Pantai Merdeka yang dipisahkan oleh sebuah bukit. Aku terkejut apabila melihat kawasan ternakan udang yang begitu luas. Tidak pasti siapa yang punya, tetapi signboard dipersimpangan jalan menyatakan syarikat swasta. Pintu masuk ditutup dan orang luar tidak dibenarkan masuk, aku cuba mengintai pandang dari jalan sambil mengayuh basikal.
Di penghujung jalan terdapat beberapa unit rumah nelayan dan sekali lagi aku terkejut kerana terdapat tempat membersihkan kerang disalah satu pelantar atau jeti. Kuantiti kerang yang dibersihkan melebihi 1 ton dan aku melihat mesin yang digunakan untuk membuang sampah dan kulit kerang yang tidak berisi agak moden. Terdapat juga sistem conveyer untuk menaikkan beg beg kerang keatas lori. Mengikut seorang pekerja disitu, kerang yang diproses disini mempunyai mutu yang lebih baik dan bersaiz besar dari kerang yang dikeluarkan di Juru Penang. Kawasan ternakan kerang disebelah hulu tempat pemprosessan mempunyai kualiti slut dan kawasan bakau yang lebih baik.
Pemandangan dari sini juga agak menarik. Gunung Jerai kelihatan begitu menarik dan gagah dibelakang Sungai Merbok. Aku menghabiskan masa lebihkurang 15 minit bersiar siar dipersisiran tebing sungai dicelah celah rumah nelayan disitu. Aku berpendapat mutu kehidupan nelayan disini agak baik kerana kelihatan rumah yang lengkap dengan pekakasan asas termasuk kenderaan motorsikal dan kereta. Terdapat beberapa papan tanda usahawan dan pengeluar produk makanan yang dibantu oleh kerajaan.


Selepas aku keluar dari situ aku memasuki pula simpang ke Teluk Nipah. Terdapat kem Latihan PLKN beberapa meter dari simpang masuk. Di Teluk Nipah terdapat tidak kurang dari 20 unit rumah nelayan. Walau terdapat beberapa gerai makan di tepi pantai tetapi aku kecewa kerana tiada satu pun yang menjalankan perniagaan. Sememangnya aku sudah berasa lapar dan dahaga setelah hampir dua jam berkayuh.
Aku melepaskan rasa dahaga dan lapas disebuah gerai tidak jauh dari pantai. Gerai tersebut dilanggani oleh orang tua tua yang menghabiskan masa bersembang sambil menghisap rokok daun. Aku tersentak bila kerana berasakan harga makanan dan minuman yang melebihi jangkaan, kerana ditempat lain aku mungkin hanya perlu bayar 75%. Tidak mengapalah, tetapi mungkin aku kan mencari tempat lain bila aku berada dikawasan ini nanti.
Perjalanan balik tidak seperti selalu kerana cuaca tidak panas dan tiada angin kencang bertiup. Teringat pengajian geografi semasa di sekolah menengah dulu, bayu (angin) laut akan bertiup kencang bila suhu daratan tinggi.

Statsitik

Mula : ................ 7.55 pagi
Tamat : .............. 12.00 pagi
Jarak : ................ 68 km
Cuaca : .............. Cerah, tidak berapa panas
Route : ............... Lencongan Barat - Tikam Batu - Kota Kuala Muda - Pantai Merdeka.
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan