Halaman

Rabu, 8 Ogos 2012

Jeti Semeling

Terasa syahdu dengan ketenangan yang menusuk jiwa apabila berkayuh melalui kawasan perkampungan di Kampung Sungai Jagung. Melalui jalan kampung tersebut apabila pulang dari kayuhan ke titi Semeling. Kenapa merasai perasaan tersebut? Teringat kampung halaman beratus batu ke selatan tanah air dan suasana yang hampir sama pada petang ramadhan menghabiskan masa ke hulu hilir manaiki basikal menunggu waktu berbuka. Peristiwa tersebut lebih 40 tahun lalu.
Masa itu masih remaja dan kebanyakkan penduduk kampung masih ramai. Masih tiada penghijrahan ke bandar bandar besar ketika pada pertengahan atau lewat 60'an. Tiada penghijrahan anak anak muda yang baru mendirikan rumah tangga ke LKTP (Felda) kerana hutan masih lagi belum dibuka pada pemerintahan perdana menteri pertama.
Suasana kampung pada waktu petang pada bulan ramdhan riuh rendah dengan semua peringkat usia keluar rumah. Tujuan? tiada cuma bertemu rakan rakan sekampung di kawasan kedai runcit, berbual bual kosong atau membeli ais dan selasih untuk air sirap waktu berbuka nanti. Hanya yang perempuan tinggal dirumah menyediakan juadah dan makanan berbuka puasa.
Tiada suasana kesibukkan, tiada berebut rebut, tiada yang berlumba lumba. Keadaan hening tanpa pencemaran bunyi kenderaan, asap dan tidak pernah perkataan jerubu ketika itu. Langit sentiasa cerah kebiruaan dan pada waktu malam dapat menikmati pemandangan ribuan bintang dilangit. Keadaan seolah olah gambar 'slow motion'.
Kayuhan petang ramadhan amat berbeza berbanding kayuhan biasa. Bukan untuk mengeluarkan peluh atau untuk memenatkan badan tetapi menjaga kesihatan. Aku perasaan ada cyclist mengekori dibelakang tetapi kemudian dia menghilangkan diri setelah 2 km.... mungkin dia memasuki kawasan kampung dan aku terus ke tepi Sungai Merbok di muzium hutan bakau. Ramai pengunjung berehat di luar restoren kawasan tersebut dan muzium telah ditutup pada jam 5.00 petang tadi.

Statistik :
Mula ............... 6.10 petang
Tamat ............. 6.55 petang
Jarak ............... 15 km
Cuaca .............. redup
Laluan ............. Lencongan Barat - Titi Semeling - Sungai Jagung
Odometer 2012 : 02941
      

Tiada ulasan:

Catat Ulasan