Halaman

Khamis, 30 Ogos 2012

Perarakan Merdeka

Tidak berapa bersungguh sungguh untuk membuat kayuhan hari ini tetapi 'missus' beriya iya menyuruh. Dia berkata sudah lama tidak berkayuh. Lagi pun cuaca agak redup dan tidak panas. Aku rasa kelmarin dapat membuat hampir 45 km sudah mencukupi.
Ingin membuat lebih kurang 60 km dengan melalui Tikam Batu ke Kuala Muda dan kemudian pulang melalui Bumbung Lima dan Pinang Tunggal. Apabila menghampiri jambatan Kuala Muda aku melihat SK Juan dari arah bertentangan. Aku terpaksa menyeru namanya dengan nada yang agak kuat untuk menarik perhatiannya. Aku tahu seperti kebiasaan dia tidak nampak aku.
Aku berpatah untuk mendapatkan dia yang berhenti agak jauh dari tempat aku berselisih. Dia minta maaf kerana tidak perasan. Kami berbual sebentar kemudian bersetuju untuk ke Kota Kuala Muda untuk mencari sarapan.
Semasa sarapan kami terkejut apabila sekumpulan kanak kanak melalui hadapan kedai menaiki basikal sambil mengibarkan bendera Malaysia. Mereka berpakaian Baju Melayu. Dibelakang kelihatan sekumpulan kanak kanak lain berjalan kaki. Aku mencapai kamera untuk merakam gambar mereka.
Tidak berapa jauh dibelakang kelihatan kumpulan sebenar hampir tiga empat ratus orang kanak kanak bersama beberapa orang dewasa yang mengawasi lalulintas. Semua kanak kanak membawa bendera kecil dan mengibarkan. Mereka melaungkan 'Merdeka, Merdeka, Merdeka'.





Teringat masa kecil kecil dahulu. Aku juga pernah atau selalu mengambil bahagian dalam perarakan menyambut hari kemerdekaan atau hari kebangsaan. Pihak sekolah akan mengarahkan kami ke pekan untuk berarak dari padang bandaran keliling pekan beramai ramai dengan murid murid dari sekolah lain. Kemudian kami akan berkumpul di padang semula mendengar ucapan ringkas sebelum bersurai. Dua buah panggung wayang di pekan Bahau akan menayangkan wayang gambar percuma. 
Kami terpaksa berebut rebut untuk masuk kepanggung, jika tidak terpaksa berdiri atau menunggu tayangan kedua. Kedua pangung tersebut akan menyarangkan filem yang berlainan (satu panggung Rex dan satu lagi panggung Cathay) dan kalau bernasib baik dapat menonton dua filem percuma pada hari kemerdekaan tersebut.

'SELAMAT MENYAMBUT HARI KEBANGSAAN'


Statistik :
Mula ............... 8.30 pagi
Tamat ............. 10.40 pagi
Jarak ............... 46 km
Cuaca .............. Panas
Laluan ............. Batu Lintang - Tikam Batu - Kota Kuala Muda
Odometer 2012 : 03087
           

Tiada ulasan:

Catat Ulasan