Halaman

Selasa, 30 Ogos 2011

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI ...

Aku mengucapkan 'Selamat Hari Raya Aidil Fitri' kepada semua cyclist yang beragama Islam

OK bulan puasa telah berlalu ... dan sebulan kita berpuasa menunaikan ibadah rukun Islam yang ketiga. Kebanyakkan cyclist yang beragama Islam juga  'berpuasa' dari mengayuh basikal. Kini kita boleh memulakan aktiviti tersebut semula.

Khamis, 25 Ogos 2011

tidur dalam semak ......

Minggu lepas aku membaca satu artikel yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian, Ia mengenai catatan seorang penulis mengenai pengalaman malam Ramadhan. Kalau tengok timeline, penulis tersebut seangkatan dengan aku. Penulis menceritakan bagaimana mereka menghabiskan malam Ramdahan semasa keluarga sedang menunaikan solat tarawih. Beliau menceritakan tentang main sorok sorok dan mengenai seorang kawan yang tertidur diatas pokok.
Membaca rencana tersebut mengingatkan aku kepada pengalaman yang serupa yang berlaku kepada diri aku sendiri. Juga berlaku pada malam bulan Ramadhan ketika keluarga yang lain menunaikan solat sunat tarawikh. Aku pula tertidur didalam semak diatas timbunan lalang kering yang sangat menyeronokkan.
Kalau aku tidak dapat menggunakan basikal kerana lambat atau kerana orang lain perlu menggunakan basikal, aku akan kesurau untuk berjumpa dengan kawan kawan sebaya lain. Kami tidak naik atau masuk ke surau mengerjakan solat, tetapi akan sepakat untuk bermain diluar suaru. Kami telah mencari kata sepakat tentang apa yang akan dimainkan untuk malam tersebut.
Permainan yang paling digemari ialah 'sentry', Ia memerlukan ramai orang dan dibahagikan kepada dua kumpulan. Permainan ini sama seperti filem combat atau 'war game'. Tidak perlu pakaian seragam atau senapang. Satu kumpulan akan menyurok manakala satu kumpulan lagi akan mencari. Kumpulan yang mencari perlu berhati hati kerana mereka juga boleh di 'tembak dan mati' dan dikira kalah. Anggota mana mana kumpulan akan dikira mati apabila dia dilihat atau dijumpai dan namanya disebut oleh anggota kumpulan yang lain. Kumpulan yang kematian semua anggotanya dikira kalah dan permainan set baru akan dimulakan dengan kumpulan yang kalah mencari.
Kebanyakkan pemain mempunyai tempat bersembunyi yang digemari termasuk dalam bilik air, dibawah surau, disebalik tiang atau pokok atau dimana sahaja yang difikirkan sesuai. Juga mereka boleh mengubah tempat untuk mengelakkan dikesan.
Aku lebih suka menyorok dalam semak dikeliling kawasan surau. Menyorok dalam semak atau lalang lebih susah untuk dijumpai. Bila menyorok dalam semak semak aku tidak langsung memikirkan keselamatan.  Tidak terfikir tentang binatang bisa seperti ular, lipan jengking dsb. Agaknya binatang tersebut takut kepada kami dan habis cabut lari ketika kami sedang bermain. Ketika menyuruk dalam semak, semua tidak menggunakan lampu suluh. Lampu suluh menjadi macam gadjet untuk orang dewasa sahaja. Walau murah tetapi jarang anak anak memilikinya.
Kalau tempat menyorok itu sukar di jumpai oleh pihak musuh aku akan terus duduk disitu sehingga anggota kumpulan datang memanggil. Ia berlaku jika permainan tamat. Jika tidak aku tidak akan keluar. Disinilah kadang kala boleh tertidur. Tetapi walau terlena, kami seolah tahu bila hendak bangun. Kalau keadaan menjadi senyap sunyi bermakna jemaah telah selesai sembahyang dan sedang menikmati juadah yang dibawa dari rumah untuk dimakan bersama. Setiap keluarga akan membawa juadah berbuka puasa yang memang dibuat lebih dan diasingkan untuk dibawa ke surau. Ketika itu mana yang terlena akan bangun dan perlahan tumpang semangkuk.
Mungkin kerana kehidupan susah ketika itu maka tidak ada banyak baju atau seluar untuk diganti. Jadi seluar dan baju yang dipakai tadi semasa bermain akan digunakan untuk malam esok. Bayangkan dengan bau peluh dan miang dari pokok dan lalang. Bila balik kerumah kami biasanya akan terus tidur tanpa menyalin pakaian atau mandi. Macam mana nak mandi kalau perigi  terletak 100 meter dari rumah dan keadaan gelap gulita. Masa bermain tidak langsung merasa takut tetapi bila hendak pergi ke perigi, huhh seram tengkok...
Ada juga kawan yang tercedera terkena duri atau tunggul kayu, selalunya tidak akan memberitahu ibu bapa. Mana nak bagi tahu ... alamatnya malam besok tidak boleh keluar rumah la..
Oh ya surau kampung aku diberi nama Surau Tengku Muhriz. Masa itu aku tidak tahu siapa dan apa kaitan dengan nama surau. Tunku Muhriz di tabalkan Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan yang ke sebelas pada Dec 2008, menggantikan Tunku Jaafar Ibni Almahrum Tunaku Abdul Rahman, baru aku faham serba sedikit sebanyak. Tuanku Muhriz adalah anakanda ke sembilan Tengku Munawir dan adalah cucu kepada Yang DiPertuan Agong yang pertama Tuanku Abdul Rahman.
    

Ahad, 21 Ogos 2011

mereka berkayuh .....

Semasa melalui jalan Sungai Petani - Butterworth aku melihat dua tiga orang rider mtb sedang berkayuh laju menuju ke Sungai Petani. Aku sangkakan mereka dalam perjalanan pulang dari membuat kayuhan, Tidak beberapa lama kemudian tiba kumpulan yang melebihin 30 orang cyclist mengikuti dari belakang, dan seterusnya kumpulan kecil yang lain.
Aku tidak pasti dari mana dan hendak ke mana, aku memperlahan kereta untuk melihat jika ada kawan kawan aku yang turut serta. Kesemua rider berbangsa Cina, maklumlah bulan puasa. Seronok melihat mereka berkayuh. Walaupun cuaca agak panas hari ini, sedikit pun tidak menjejaskan kayuhan mereka. Ramai diantara mereka yang nampak keceriaan dan kegembiraan lebih lagi apabila orang ramai memerhatikan mereka. Tidak sempat mengeluarkan kamera untuk mengambil gambar.
Minggu lepas aku ada mendapat pelawaan dalam facebook untuk mengalu-alukan satu kumpulan pengayuh baikal dari negara jiran, Thailand. Mereka berkayuh dari Hatyai ke Pulau Pinang. Minta maaf tidak dapat  turut serta kerana ada beberapa hal yang perlu dilakukan.
Terasa betapa aku miss mengayuh basikal. Tidak sabar untuk mengakhiri bulan Ramadhan dan memulakan kayuhan. Itu pun kena tunggu paling kurang satu minggu selepas raya kerana akan beraya di Seremban dan Bahau Negeri Sembilan. Terifikir juga untuk membawa bersama basikal balik kampung dan bolehlah menziarahi saudara mara dan sahabat handai menaiki basikal. Eh .... apa pula kata orang kampung nanti.

Khamis, 11 Ogos 2011

merewel pagi petang .....

"Tak kerja lain ke.... pagi petang, siang malam asyik ndak merewel je". Masih terdengar leteran arwah ibu masa aku remaja dulu bila aku sering tiada dirumah. Aku tidak pasti sama ada orang ditempat lain tahu apa itu 'merewel'. Adakah perkataan itu wujud dalam kamus atau perbendaharaan Melayu dan apakah maksud sebenar perkataan tersebut.
Di Daerah Jempul Negeri Sembilan dan mungkin juga daerah daerah lain terutama Rembau dan Tampin, rasanya tahu apa yang dimaksudkan dengan merewel. Mengikut apa yang aku faham, merewel bermaksud 'ke hulu ke hilir/kesini sana tanpa sebarang tujuan'. Itulah yang sering dilakukan atau menjadi favourite pastime masa di kampung dahulu kala. Lebih sesuai jika menggunakan basikal keliling kampung dan pekan bersama rakan rakan.


Rewel, bunyi macam sebahagian dari basikal. Aku google dalam internet dan tidak terkejut apabila melihat banyak keputusan. Entry yang paling atas adalah basikal yang diperbuat dari logam Titanium berjenama Rewel. Ia adalah gabungan sengkatan nama tiga orang pengasas dan pembuat basikal tersebut - Renata, Werner dan Leo  dan menamakan basikal keluaran mereka Rewel. Titanium adalah bahan atau logam alternatif selain dari besi (steel), aluminium dan carbon digunakan untuk membuat frame basikal. Setakat ini basikal Rewel dikeluarkan mengikut tempahan sahaja dan bilangan pengeluaran terhad.
Pada malam bulan puasa ini, aku teringat aktiviti yang biasa dilakukan oleh budak budak dan remaja (termasuk aku) kampung pada tahun 1960'an. Masa itu tidak pernah melihat kotak TV sebenar apatah lagi menonton TV, hiburan yang paling dekat hanyalah 'transistor radio' yang baru dipekenalkan menggantikan radio jenis tube/valve. Jadi hanya budak budak baik atau yang mempunyai emak ayah yang garang sahaja yang duduk dirumah pada waktu malam bulan Ramadhan. Yang lain, apa lagi ... merewel lah!
Di kampung pada masa dulu, kami remaja hanya dapat peluang kebebasan keluar malam hanya pada bulan Ramadhan sahaja. Itu pun diatas tiket untuk ke masjid atau surau untuk solat tarawikh.
Bagi kebanyakkan remaja, aktiviti merewel bermula sebaik sahaja selesai berbuka puasa. Kena cepat taku kalau orang lain (abang) gunakan basikal dahulu. Masa itu hanya ada sebuah basikal sahaja dirumah. Rata rata orang kampung mempunyai satu basikal. Mana mana keluarga yang mempunyai lebih dari satu sudah kira senang atau kaya dari average. Kalau basikal orang lain sudah guna dulu, kenalah tumpang basikal kawan. Kadang kala satu basikal naik tiga orang. Satu duduk di belakang diatas carrier dan satu lagi dihadapan, duduk diatas galang. Senario itu sudah tidak kelihatan lagi sekarang. Walau apa cara sekali pun .... merewel tetap tidak boleh tinggal.
Destinasi pertama ialah gerai gerai yang dibuka khas pada malam bulan Ramadhan. Kebanyakkan gerai dibina sementara di persimpangan jalan atau lokasi strategik untuk perniagaan sepanjang bulan puasa sahaja. Tidak banyak pilihan makanan dan minuman yang dijual dan tiada makanan yang heavy. Kebanyakkan menjual kuih kuih biasa, tauhu sumbat, mee rojak dan mee goring. Minuman sejuk berais menjadi kegemaran.
Bukannya tujuan untuk makan minum sangat, lebih kepada lepak dengan kawan kawan. Maklumlah pada siang tadi berpuasa, tidak boleh sembang merapu tidak tentu atau ketawa terbahak bahak, takut terbatal puasa. Anihnya apa sahaja yang dijual terasa lebih enak dari biasa.
'Penyedap' adalah satu daya tarikan yang dapat menarik pelanggan yang disediakan oleh perniaga yang enterprising (berkreativiti, initiatif dan bersedia mengambil cabaran). Alah ... ia hanya satu slang yang digunakan dimana perniaga membawa anak gadis sendiri untuk membantu perniagaan. Kehadiran anak gadis ini akan membuatkan gerai tersebut sentiasa dikunjungi dan dipenuhi. Lebih lagi kalau anak gadis itu cute. Sambil jamu selera sambil jamu mata.
Kalau ada penyedap bukan setakat remaja dari kampung itu yang menjadi pelanggan tetap tetapi juga remaja dari beberapa kampung lain juga akan berkunjung disini. Maka terjadilah babak babak macam dalam wayang gambar dulu dulu. Bergaduh kerana ingin memikat anak gadis tersebut.


Rabu, 10 Ogos 2011

dirompak semasa berbasikal ...

Dua tiga hari kebelakangan ini kebanyakkan media termasuk akhbar dan media elektronik menyiarkan berita tentang seorang pelajar Malaysia tercedera pada rusuhan di Bandaraya London. Rusuhan yang berlaku sejak awal Ogos, bermula di London kemudian merebak ke bandar lain termasuk Birmingham dan Menchester. Rusuhan berpunca ketidakpuasan penduduk kepada kerajaan,  masalah kesempitan hidup akibat kemerosotan ekonomi. Rusuhan adalah yang terburuk sejak 20 tahun.
give me all your money ! ........
Seorang pelajar Malaysia tajaan MARA, Asyraf Hafiz Rosli keluar mengayuh basikal bersama seorang kawan  membeli makanan untuk berbuka puasa. Malang Asyraf dicederakan dan dirompak oleh sekumpulan lebih 20 orang perusuh. Beliau mengalami cedera teruk pada bahagian muka dan darah mengalir dari mulut. Kemudian handphone, dompet duit dan basikalnya  dicuri oleh orang yang berpura menolong. Kawan  yang bersamanya sempat melarikan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Video kejadian di upload dalam Youtube.
Aku bukanlah hendak komen pasal kejadian tersebut kerana pada hakikatnya tragedi sedemikian boleh berlaku dimana mana pun di dunia ini dan kepada sesiapa pun. Aku mengucapkan takziah kepada Asyraf. Semoga kejadian tersebut tidak mematahkan semangat belajar dan mendapatkan ilmu pengetahuan. Diharapkan semoga dia dapat cepat melupakan titik hitam tersebut. Hidup mesti diteruskan.
Ini mungkin satu episode malang dalam hidup Asyraf. Berada di waktu dan tempat yang salah. Tragedi yang akan menjadikan Asyraf lebih memahami erti dan realiti kehidupan terutama lagi ditempat orang. Ia akan menjadikan Asyraf lebih matang dan tentu sekali sebagai satu persediaan untuk menempuhi sebarang ranjau di masa mendatang. Dia telah menyuarakan tekad dan azam semasa dikatil hospital. Dia juga tidak akan putus semangat untuk meneruskan apa yang dikejar selama ini. Dia dengan matang sekali memaafkan pihak pihak yang melakukan dan menyebabkan kecerderaan dan mencuri barang kepunyaannya.
Apa yang diperolehi sebagai belasan walaupun dia tidak memintanya. Menjadi celebrati dalam sekelip mata atau overnight? Apa tidaknya, sejak video kejadian disiarkan dalam You tube, jutaan orang di seluruh dunia menontonnya, tidak kurang yang memberikan kata kata simpati dan kata semangat. Sesuatu yang amat diperlukan ketika mengharungi detik detik sedemikian.
Siapa yang harus disalahkan? Asyraf? Perusuh? masa? tempat? .... Ia berlaku hanyalah kerana mangsa keadaan atau victim of circumtances. Mungkin telah tersurat.
Balik ke tanah air kita, kejadian yang menimpa Asyraf mendapat liputan sensasi oleh akhbar, media elektronik dan internet.  Adakah orang peduli? Adakah kejadian tersebut lebih dasyat dari berbelas atau berpuluh kematian setiap hari akibat kemalangan yang berlaku di jalan raya negara kita. Berapa banyak kejadian bunuh yang berlaku kebelakangan ini hingga begitu ngeri apabila mayat di potong potong bagaikan memotong ayam, disumbat dalam lobang jamban, dicampak kedalam tong sampah, kedalam sungai atau kedalam hutan?
Aku kesal ada pihak pihak tertentu yang menangguh di air keruh, mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi atau kepentingan lain. Ada pihak pihak tertentu mencari publisiti murahan. Segala bantuan dan pertolongan sangatlah dihargai dan semestinya diberikan. Ada pihak yang mengeluarkan belanja sehingga RM20,000 membiayai tiket penerbangan untuk ayah, ibu dan adiknya untuk menziarahi Asyraf. Manakala ada pihak yang sedia menanti mereka di kota raya London untuk urusan selanjutnya. Syabas dan tahniah.
Tetapi adakah perlu memperagakan, mencanangkan dan menghebahkan didada akhbar dan di screen TV siapa yang menbiayai semua itu? Jika ada niat atau nawaitu lain semasa menghulurkan pertolongan, bermakna ia tidak ikhlas. Bantuan yang diberikan mempunyai ulterior motive. Menimbulkan syak wasangka dan pertanyaan.
Sebagai seorang cyclist, aku merayu kepada semua ahli kelab basikal dan individu yang mempunyai basikal supaya bersama sama mengutuk sekeras-kerasnya orang yang mencuri BASIKAL kepunyaan Asyraf Hafiz Rosli. Basikal dirampas dan dicuri semasa menunggangnya! How dare he! Kelakuan bagaikan bapak lanun. Marilah doakan semoga pencuri tersebut akan dilanggar kereta bila menggunakan basikal tersebut.          ha ha ha, he he he ......

p/s .... satu minggu kemudian pencuri ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah.
  

Ahad, 7 Ogos 2011

Bekalan air terputus

Hari ini cuaca begitu cerah. Setiap orang yang akan aku jumpa akan memberikan komen tentang cuaca. "Oh... panasnya hari ini". Itulah yang sering aku dengar. Memang selama ini sejak bermula bulan puasa, langit diselubungi jerubu menjadikan cuaca berbahang tetapi sinaran matahari tidak terik. Awal pagi sebelum waktu bersahur, hujan lebat turun. Ini menyebabkan langit menjadi 'bersih' dan cahaya matahari menjadi panas terik.
Pada sebelah pagi aku bercadang untuk membuat kayuhan petang sekitar bandar Sungai Petani untuk melihat aktiviti petang Ramadhan. Sayang ..... rancangan terpaksa dibatalkan. Apabila aku pulang dari menghantar anak ke stesyen KTM Sungai Petani pada jam 4.00 petqng, didapati bekalan air SADA dirumah aku terputus. Check luar dalam, telipon jiran dan tanya jiran depan rumah semua mengatakan tiada air. SADA sedang membaiki kerosakkan paip di jalan utama Taman Intan.
Berapa lama bekalan air akan terputus tiada siapa pasti. Yang pasti isteri mula membebel bagaimana hendak memasak untuk juadah berbuka puasa. Jam 6.00 petang masih tiada tanda tanda bekalan air akan pulih. Isteri aku sudah merancang untuk membeli juadah berbuka walaupun telah menjerang air minuman menggunakan air mineral. Susah juga menahan diri dari memaki hamun SADA kerana tidak menghebahkan kerja kerja senggaraan yang dijalankan. Lebih lagi pada petang bulan puasa. Sabar aje lah ... mengikut kata anak anak remaja sekarang.
Bekalan air pulih selepas waktu berbuka setelah terputus hampir 4 jam. 
Di stesyen KTM Sungai Petani petang tadi penuh sesak dengan penumpang. Rata rata penumpang terdiri dari pelajar beberapa IPT di Perlis termasuk Unimap, UiTM, MRSM, Politeknik serta beberapa IPTA. Kereta api petang hanya mempunyai dua gerabak tetapi tikeet yang dikeluarkan melebiki dua kali ganda kapasiti coach. Itu belum diambil kira mereka yang telah menaiki tren dari Butterworth dan Bukit Mertajam. Setengah dari penumpang termasuk anak perempuan aku terpaksa berdiri hampir dua jam untuk ke Arau, Perlis.
Tren menjadi alternatif penting kepada pelajar dari Sungai Petani untuk ke Perlis kerana tambang yang murah. Hanya RM6.30 dari Sungai Petani ke Arau dan ada diskaun untuk pelajar. Sudah tambang bas lebih mahal, masa yang diambil lebih lama kerana tiada bus direct dari Sungai Petani ke Arau. Teksi pula jangan cakap le ... paling minima RM70.00.
Banyak rungutan orang ramai ialah kenapa pihak KTM tidak menambah coach tren untuk menampung kapasiti penumpang yang ramai terutama pada penghujung minggu.Perlu diingat bahawa tren ini bukan kepunyaan KTM tetapi tren dari Hatyai ke Butterworth. Tren akan sampai pada setiap tengah hari membawa penumpang dari Thailand, berhenti beberapa jam dan kemudian berpatah balik ke Hatyai. Serupa dengan tren Senandung Langkawi dari Kuala Lumpur ke Hatyai. Hanya dua koc dari Padang Besar ke Hatyai. Koc lain ditinggalkan di Padang Besar.
........  kini sudah tiada
Mungkin suasana akan berubah apabila 'double track' siap pada tahun 2013 nanti. Projek sedang rancak berjalan. Banyak jalan ditutup dan dilencongkan. Stesyen lama Sungai Petani telah dirobohkan dan kini menggunakan cabin sementara. Pembinaan stesyen baru masih belum tidak nampak kerana menumpukan kepada pembinaan landasan.
Ah ... untuk sampai ke stesyen KTM dari rumah pun mengambil masa agak lama. Bandar Sungai Petani kebelakangan ini sering mengalami kesesakkan jalan raya terutama pada hujung minggu. Ia menjadi lebih teruk dengan datangnya bulan puasa dan musim perayaan. Peliknya jalan lencongan luar dan lencongan dalam yang dibina beberapa tahun lalu tidak dapat mengurangkan kesesakkan.
Lebih senang berbasikal sahaja jika tidak membeli banyak barangan.

Sabtu, 6 Ogos 2011

...... tiada kayuhan

Selalunya aku akan membuat entry dalam blog ini bila aku melakukan kayuhan atau excercise lain. Idea untuk kandungan blog selalunya datang semasa tengah melamun. Kalau banyak idea datang, aku akan mencatatkan apa yang penting didalam handphone. Jika ada kesempatan aku akan menulis buku nota kecil yang sentiasa aku bawa bersama kemana sahaja aku pergi.
Cara begini aku tidak akan lupa. Apabila sampai kerumah selesai kayuhan aku selalunya tidak terus mencatatkan kedalam blog. Entry hanya dibuat pada sebelah malam atau kadangkala sebelah petang. Jestru peralatan seperti handphone dimana entry atau catatan ringkas boleh dilakukan.
Aku tidaklah begitu arif dalam penulisan rencana atau penulisan blog. Masih terkial kial semasa menterjemahkan apa yang difikirkan didalam otak kepada word prosessor agar ianya boleh dan seronok dibaca. Aku kagum kepada corak penulisan bersahaja sesetengah bloggers yang terlalu bersahaja tentang hal hal yang berlaku atau yang dialami.
Hari ini aku merasa tidak senang dan merasa sedikit malu dan bersalah apabila membuka laman blog sendiri. Rasa bersalah apabila melihat tarikh entry akhir yang sudah agak lama. Apakah yang difikirkan oleh rakan rakan serta pelayar internet yang mendapati tiada entry yang baru dicatatkan. Aku tidak mahu sesiapa memikirkan bulan puasa menjadi halangan kepada apa apa aktiviti yang dilakukan sebelumnya.
Aku akan cuba mencatatkan perkara berkaitan dengan aktiviti berbasikal walau tidak berkesempatan berkayuh.
     

Khamis, 4 Ogos 2011

hari ke empat

bicycle parts !!
Adakah hanya aku seorang atau semua cyclist (mtb's atau rb's) merasakan perasaan dan keadaan yang aku alami hari ini. Hari ini adalah hari keempat umat Islam menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan tahun ini. Serba tidak kena terutama selepas tengah hari. Setengah pulang kerumah dari menjalani rutin harian pada sebelah pagi aku berehat seperti biasa dan menghabiskan hampir satu jam untuk melelapkan mata. Siesta tanpa makan tengah hari kerana bulan ramadhan (siesta - A rest or nap after the midday meal).
Bayangkan tidur pada awal petang yang tidak berapa tenteram. Aku sering terjaga dengan gangguan atau bunyi yang minimal. Menjadi resah dan tidak keharuan. Ah.... mungkin disebabkan cuaca. Kelmarin hujan agak lebat hingga aku basah kuyup semasa balik dari solat tarawikh. Hari ini langit cerah dan panas terik. Selalunya aku boleh tidur selama lebih satu jam tanpa mudah dikejutkan seperti hari kedua puasa. Jiran aku memanggil hampir lima minit diluar pagar rumah baru aku tersedar. Aku suka tidur di ruang tamu pada waktu siang dengan pintu utama terbuka luas.
Jiran belakang rumah menghantar sesisir pisang rastali untuk berbuka puasa. Dia bukan beragama Islam tetapi amat menghormati jiran dan sahabat yang sedang berpuasa. Dia pun bersedekah pada bulan Ramadhan ini walau tidak berpuasa.
Oleh kerana tidak boleh tidur petang aku keluar ke pekan untuk menjelaskan beberapa bil seperti bil telepon dan elektrik tetapi bila balik kerumah sekali lagi aku merasakan badan aku tidak selesa. Cuba melayari internet dan kemudian cuba membaca Al Quran digital di dalam laptop tetapi masih tidak dapat meredakan keadaan badan. Mungkin ini disebabkan aku mengalami sedikit sakit perut sebelah pagi kerana terlalu banyak minum 'fresh orange' waktu berbuka.
Aku cuba menolong isteri aku didapur hanya kena tegur sahaja kerana tidak membuat apa yang disuruh. Akhirnya sekali lagi isteri menjadi penyelamat keadaan. Dia menyuruh aku keluar dengan basikal aku. Ada kebenaran apabila dia menyatakan sudah lebih empat hari aku tidak membuat excercise, itulah sebabnya badan menjadi lemah dan serba tidak kena. Biarkan tugas menyediakan juadah berbuka puasa kepada orang pompuan.
Aku menunggu sehingga cahaya matahari redup sedikit sebelum keluar. Tidak bercadang untuk pergi jauh kerana tidak pasti samada mempunyai tenaga mencukupi. Mungkin lebih sedikit dari 30 minit dan tidak lebih dari 10 kilometer sahaja. Kalau tidak menghadapi masalah mungkin petang esok aku akan pergi jauh sedikit.
Semasa berpuasa aku berpendapat lebih elok melakukan kayuhan waktu petang berbanding pagi. Jika kehausan atau dahaga pada akhir kayuhan, hanya menunggu masa pendek waktu berbuka untuk menghilangkan dahaga.
Aku berkayuh ke pasar ramadhan di Taman Delima. Pasar tersebut telah wujud ditapak yang sama lebih lima belas tahun lalu. Kebanyakkan peniaga yang sama berniaga setiap tahun. Aku boleh merasakan rasa masakan yang dijual tanpa perlu memakan. Kebelakangan ini, jalan dimana pasar ramadhan diadakan menjadi lebih sesak dengan pengunjung. Terdapat pengunjung yang tidak memikirkan orang lain dengan meletakkan kenderaan merata tempat dan menyebabkan kesesakan jalan.
Keluarga aku sudah lama tidak membeli kueh atau makanan di pasar ramadhan. Lebih enak makanan yang dimasak sendiri walaupun simple. Kadangkala makanan yang dijual nampak enak semasa kita berpuasa tetapi tidak terasa apa apa apabila dimakan waktu berbuka. Makanan dan kueh tersebut kebanyakkan disediakan pada awal pagi dan tidak lagi sesuai untuk dimakan pada waktu berbuka. Aku hanya membeli buah-buahan dan makanan yang aku pasti sesuai.
Sempat berjumpa dan berbual dengan beberapa kenalan. Aku sampai dirumah lebih kurang setengah jam sebelum waktu berbuka.

That was a good ramadhan ride ....
.... dan aku merasakan lebih segar

Ahad, 31 Julai 2011

Selamat Berpuasa

Sebentar tadi pada jam 8.15 malam, Penyimpan Mohor Raja Raja mengistiharkan bahawa 1 Ramadhan akan bermula pada hari Isnin 01 Ogos 2011.
Diucapkan 'Selamat Berpuasa' kepada semua cyclist yang beragama Islam khasnya dan kepada semua umat Islam amnya.


Kepada cyclist yang beragama Islam semua, ibadat puasa didahulukan. Aktiviti berbasikal terpaksa dikurangkan atau dihentikan pada sepanjang bulan ini.
Bulan puasa ini kita 'recharge' semua otot otot badan. Selama ini otot kita menjadi 'overworked' dengan kayuhan berjam jam lamanya. Sekarang kita bagi otot kita rilex. Begitu juga dengan sistem badan yang lain, kalau disepanjang tahun sistem penghadaman berfungsi dengan baik tanpa henti pun perlu juga direhatkan. 
Tiga empat tahun lalu ada juga percubaan untuk membuat kayuhan selepas solat tarawikh. Rasanya tidak ramai ahli qariah yang tahu, tetapi tidak disangka ramai juga yang menegur. Walau kewajiban dilakukan, orang menyuruh merehatkan sahaja badan. Banyak masa lagi untuk meneruskan kayuhan.
Terpaksa hormat juga kepada pandangan masyarakat sekeliling.

Sabtu, 30 Julai 2011

Mantai .....menyambut Ramadhan

Rancangan aku untuk membuat kayuhan pagi ini sebelum bermula bulan Ramadhan dua hari lagi tidak kesampaian lagi. Pagi tadi sebelum waktu subuh hujan turun dengan lebat. Mungkin hujan rahmat sempena meyambut bulan puasa yang tidak beberapa hari lagi. Dijangkakan bulan puasa akan bermula pada hari Isnin 01 Agos 2011.
Hujan tidak lama tetapi menyebabkan air bertakung diatas jalan. Jika membuat kayuhan pakaian akan dibasahi oleh percikan air dari tayar basikal. Oleh itu aku batalkan rancangan kayuhan pagi ini. Fikirkan, aku ingin pulih sepenuhnya dari demam yang aku hidapi sejak dua tiga hari lepas. Pada mula tiada selsema atau bersin, kini ditambah dengan sidikit batuk pula.
Hujan lebat pagi tadi masih tidak dapat memulihkan keadaan langit kepada biasa. Jerubu masih menyelubungi langit. Cahaya matahari masih tidak dapat menembusi jerubu dan tidak secerah biasa. Rasanya keadaan kesihatan yang aku alami ini menjadi teruk juga disebabkan keadaan jerubu ini.
Tinggal hanya hari esok Ahad 31 Julai 2011 untuk membuat kayuhan. Jika esok pun ada halangan bermakna kena tunggu berakhirnya bulan Ramadhan baru boleh melakukan kayuhan semula. 
Mungkin aku boleh juga melakukan kayuhan petang pergi ke pasar Ramadhan berdekatan dengan rumah atau pergi ke bandar untuk menjelaskan bil bulanan. 
Kartun Lat ... Kampung Boy
Seperti masa di kampung pada tahun 1960'an yang mana basikal adalah pengangkutan utama penduduk kampung. Petang bulan puasa, berduyun duyun ke hulu hilir dengan basikal, tidak kira muda ke tua ke, kecil atau besar. Ada yang pergi bersiar siar sementara menunggu waktu berbuka, ada yang ke kedai untuk membeli barangan dan tidak kurang ramai pergi membeli air batu dicampur air sirap sebagai persiapan berbuka. Suasana sebegini sama sahaja di kebanyakkan kampung di negara kita.
Pada waktu itu mana ada peti sejuk... sedangkan elektrik pun masih belum dibekalkan. Jadi untuk menghilangkan haus atau dahaga berpuasa terpaksalah membeli ais.  Peniaga kedai kampung akan membeli ais dari pekan berhampiran dalam bentuk bongkah besar. Kemudian dipotong kecil bersaiz kuboid 6 inci dan dijual dengan harga satu kupang (sepuluh sen). Bongkah ais tersebut ditabur dengan habuk papan sebagai penebat mengelakkan ianya cair dalam perjalanan pulang.
Anak anak aku seronok mendapat cuti tambahan 2 hari hujung minggu. Sekolah akan ditutup pada hari Ahad dan Isnin sempena dengan sambutan 1 Ramadhan. Sepatutnya cuti hanya pada hari Isnin tetapi pihak sekolah mengambil cuti tambahan untuk hari Ahad.
Kalau di Negeri Sembilan petang atau malam ini iaitu dua hari sebelum puasa bermula, penduduk kampung akan mengadakan hari 'mantai'. Dulu dulu, beberapa penduduk kampung akan berkongsi membeli dan menyembelih lembu ataupun kerbau. Daging akan dibahagi bahagi diantara mereka yang masuk share mengikut jumlah sumbangan atau share. Daging selebihnya akan dijual kepada penduduk kampung lain. Inilah dinamakan mantai.
Tidak pasti tradisi sebegini diamalkan ditempat lain, mungkin dikenali dengan nama atau cara lain. Jika tradisi ini diamalkan di Negeri Sembilan besar kemungkinan ianya dibawa masuk dari tanah Minangkabau. Atau sekuruang kurang kesan dari pengaruh adat Minangkabau.
Usaha juga dibuat oleh pihak pihak tertentu di negeri yang mengamalkan adat pepatih ini untuk mengembalikan kegemilangan tradisi mantai. Program hari mantai perdana diadakan dimana daging dijual dengan harga lebih murah dari harga pasaran. Ada anak negeri yang bekerja terutama diluar kawasan sanggup mengambil cuti untuk turut serta dalam trasidisi mantai.
Penduduk yang masuk perkongsian atau masuk share akan menerima bahagian yang terdiri dari daging batang pinang, daging harimau meleleh (bahagian tengkok),  hati. limpa, perut dan tulang. Bermakna dapat merasakan semua bahagian. Masa itu seekor lembu hanya berharga ratusan ringgit sahaja jadi setiap orang yang masu share hanya perlu membayar setakat RM20.00 sahaja.
Bila mantai dilakukan, kebanyakkan keluarga orang masuk share akan berada ditempat sembelihan termasuk isteri, anak anak dan kadang kala ibu bapa sendiri dan mentua. Jika sepuluh orang berkongsi dan setiap orang ada empat atau lima ahli keluarga bersama, bayangkan keadaan ditempat sembelih. Jika dilakukan pada waktu malam kawasan tersebut akan terang benderang dengan nyalaan beberapa biji lampu gasoline. Penduduk penduduk kampung lain yang tidak bersama masuk berkongsi juga datang. Suasana akan menjadi riuh rendah dengan masing masing menjalankan tugas melapah daging dan membuat pembahagian dan agihan. Jika bernasib baik ada rebusan tulang binatang sembelihan untuk habuan orang-orang yang datang.
Aktiviti ini sebenarnya bertujuan untuk mengurangkan perbelanjaan membeli daging. Dengan sedikit sumbangan orang yang masuk share dapat menikmati semua bahagian binatang sembelihan. Penting sekali ia menjadikan sikap kerjasama, persefahaman, perkongsian dan mengiratkan siratul rahim antanra penduduk kampung.
Tradisi ini masih lagi dilakukan sehingga kini tetapi ia telah menjadi lebih terlalu komersial. Kini ramai orang perseorangan menyembelih dan menjual lembu untuk keuntungan sendiri. Bezanya ia tidak dibuat dipasar tetapi merata tempat dikampung. Dekat dengan pembeli. Keseronokkan temasya mantai tiada lagi tetapi keseronokkan menyambut kedatangan puasa atau raya masih meriah.
Mantai juga dilakukan satu atau dua hari sebelum hari raya puasa dan hari raya haji. Selalunya mantai diikuti dengan memasak lemang pada keesokkan harinya dan dimakan bersama daging rendang dan sup tulang yang dibawa balik dari aktiviti mantai hari sebelumnya. Inilah cara orang kampung aku menyambut kedatangan bulan puasa dan kedatangan hari raya.
Aku berharap anak anak sekarang didedahkan tradisi ini untuk memastikan kesinambungannya. Ramai anak anak muda sekarang tidak pernah mengetahui dan merasakan memantai. Sebentar tadi aku melihat clip video pada akhir Berita TV3 menunjukkan cara orang di Jakarta menyambut kedatangan Ramadhan dengan berarak sambil menyanyi dan memukul gendang besar. Lain padang lain belalang.
Oleh kerana aku berada dirumah pagi ini, anak anak meminta aku memasak spaghetti untuk makan tengah hari. Memang selama ini aku sering memasak makanan tersebut untuk keluarga. Mereka sukan resepi sauce spagethi yang aku masak. Lain dari yang dijual.
Aku belajar resipi sauce semasa aku belajar dahulu dan telah mengolah resepi tersebut mengikut selera tempatan. Tapi masih mengekalkan basic ingredient seperti cheese, puree, bawang besar dan daging kisar. Dulu aku menggunakan 'corned beef' yang di import dari luar negara tetapi aku agak sangsi walaupun terdapat tanda halal pada labelnya. Kureng sedap sikit tetapi yakin halal.
Ini sedikit sebanyak cara aku dan keluarga membuat sambutan kedatangan Ramadhan.

  

Jumaat, 29 Julai 2011

demam buah dan hujan ......

Sudah dua hari badan terasa berat dan kadangkala kepala mengalami sakit. Sakit kepala dan sengal badan ini lebih ketara pada waktu malam.
Aku cuba memikirkan punca kepada masalah kesihatan. Apa yang dapat aku rumuskan adalah kerana terkena hujan pada kayuhan petang/senja dua hari lepas. 
Satu lagi punca utama adalah kerana makan terlalu banyak buah buahan. Teringat masa kanak kanak dahulu apabila kena demam pada musim buah buahan, orang tua aku berkata "demam buah". Biarkan sahaja, demam akan sembuh selang beberapa hari.
Memang tidak dapat dinafikan buah buahan tempatan kita enak dan lazat. Anugerah Allah yang maha esa. Ia sedap dimakan dan bila dimakan selalunya dengan kuantiti yang banyak. Rasa tidak mahu berhenti sehingga perut telah betul betul kenyang.
Rezeki aku begitu murah sekali pada musim buah tahun ini. Ramai jiran jiran aku yang menghulurkan buah-buahan termasuk manggis, durian, rambutan, cempedak dan lain lain. Disamping itu pada majlis jamuan, buah buahan tempatan turut dihidangkan sebagai langkah mempromosi dan menggalakkan penduduk memakan buah tempatan.
Apabila usia meningkat seperti usia aku, perlu berhati dan berpada-pada memakan buah buah tempatan. Jangan makan melebihi had.
Buah manggis..... kulit hitam isi manis. Ramai orang kata banyak mana pun dimakan ia tidak medatangkan sebarang masalah kepada kesihatan. Malah kebelakangan ini ada jus extract manggis dipasaran yang dikatakan mampu menyembuhkan pelbagai jenis penyakit dan meningkatkan kesihatan badan. Aku boleh mengabiskan lebih dari 50 biji manggis sekali makan terutama pada waktu panas.
Manggis juga sejuk. Ini mendatangkan masalah pada badan kita.
Rambutan..... banyak dimakan jejaskan kesihatan. Buah yang paling banyak pada setiap musim. Tidak kurang enam kali orang bersedekah buah tersebut kepada aku, sehingga tidak larat untuk menghabiskan. Isteri aku menyedekahkannya kepada keluarga Myanmar yang datang minta sedekah dirumah aku.
Cara yang paling aku sukai memakan rambutan ialah dengan mengupik kulit rambutan, membasuh dengan air garam dan kemudian menyimpan didalam peti sejuk. Aku mengambil beberapa biji bila bila aku mahu. Hinggakan pernah menghabis sejumlah hampir 70 ulas pada satu hari.
Durian..... memang boleh jadi gian. Raja buah atau king of the fruit. Ramai yang menyukai dan tidak kurang juga yang membencinya. Benci kerana bau bukan rasanya.
Keenakkan durian menjadikan nenek moyang kita dahulu mencipta berbagai jenis cara untuk menyimpan durian atau produknya. Paling simple adalah 'tompoyak', yang lain dijadikan atau dimasak bersama makanan lain termasuk dodol, wajik atau kuih muih.
Cempedak..... sukar hendak di tolak. Satu lagi buah kesukaan aku. Boleh bedal satu biji cempedak bersaiz sederhana. Lagi enak jika disejukkan terlebih dahulu.
Boleh juga digoreng dengan tepung tetapi banyak sangat minyak juga tidak memberi apa faedah dari segi kesihatan kita.

Beza utama buah tempatan dibanding dengan buah import ialah cara ia dimakan. Siapa yang boleh menghabiskan lima atau enam biji epal sekali makan. Atau memakan setengah kilo anggur pada sesuatu masa, atau makan empat hiji limau sunkist. Tetapi kita boleh melantak sehingga empat atau lima biji durian pada satu satu masa. Dua atau tiga puluh biji rambutan senang sahaja dihabiskan, dua puluh biji manggis boleh ditelan tidak sampai sepuluh minit. Begitu juga dengan buat tempatan bermusim lain termasuk langsat, dukong, tampoi antaranya.

Rabu, 27 Julai 2011

Kayuhan senja ..

Kesihatan diri sejak beberapa hari kebelakangan ini tidak mengizinkan aku membuat kayuhan. Aku hanya mampu membuat kayuhan pendek di sekitar bandar Sungai Petani tidak melebihi 10 atai 15 km sahaja. 
Petang ini aku sudah tidak dapat menahan gian untuk membuat kayuhan. Apabila memandu melalui sesuatu tempat atau kawasan yang mempuyai pemandangan menarik aku sentiasa membayangkan mengayuh basikal. Selalunya tidak dapat keinginan untuk berkayuh. Walau bagaimana pun petang ini setelah menimbang tara keadaan cuaca, jerubu dan masa, aku keluar dengan roadbikes menuju ke jalan lencongan barat. Niat aku untuk berkayuh satu round jaraknya hampir 32 km. Sempat sampai ke rumah sebelum waktu Maghrib.
Seronok melayani jalan tersebut walaupun agak sibuk kerana orang pulang dari tempat kerja. Nampak setiap orang tidak sabar untuk sampai kerumah berdasarkan cara mereka memandu. Laju dan sering melanggar lampu isyarat.
Beberapa rider dari arah mengangkat tangan kepada aku. Seorang rider mtb berada dihadapan aku bersungguh sungguh berkayuh. Tidak pasti samada dia mahu berada dihadapan dan tidak mahu aku memotongnya atau mahu cepat untuk mengelakkan dari terkena hujan. Jika alasanya kerana tidak mahu dipotong, samalah dengan sikap kebanyakkan orang semasa memandu kereta. Pantang kereta lain memotong, terlebih lagi jika usia kereta tersebut lebih tua dari kenderaannya atau kereta yang mempunyai kapasiti lebih kecil atau jenis kereta yang kurang atau jereta local kalau dia memandu kereta import......
Rasanya aku boleh bila bila masa untuk mengatasinya tetapi aku biarkan sahaja. Kemudian rider tersebut melakukan sesuatu yang aku jangkakan. Dia meneruskan kayuhan walaupun lampu isyarat telah bertukar lama merah dan tiada kereta dari arah bertentangan. Sah dia tidak mahu dipotong.
Baru lima kilometer aku sudah dapat merasakan rintik rintik hujan di kepala. Pada kayuhan kali ini aku sengaja tidak memakai helmet. Apabila sampai dipersimpangan Laguna Merbok, hujan menjadi bertambah kasar dan aku terpaksa berpatah balik. Hujan menjadi semakin lebat dan aku tidak berhenti tetapi terus berkayuh pulang. Basah kepala aku.
Memang aku jangkakan aku akan mendapat fever kerana terkena hujan. Untuk mengelakkan aku terus mandi dan membasuh kepala. Kata orang ia mengelakkan demam selepas berhujan.

Statistik
   Mula ............... 6.15 petang
   Tamat .............. 7.05 petang
   Jarak ............... 16 km
   Cuaca .............. hujan
   Laluan ............. jalan lencongan barat

Jumaat, 22 Julai 2011

Natural Wrongdoers ...... part 1

Ah ... pejam celik pejam celik sudah satu minggu aku tidak buat entry dalam blog ini. Bukanlah bermakna aku tidak membuat kayuhan langsung dalam tempoh tersebut. Dimana terdapat masa lapang aku t idak akan melepaskan peluang. Mungkin jaraknya tidak melebihi 20 km kerana kayuhan hanya dibuat pada sebelah petang bila cuaca mengizinkan.
Sebelah pagi cuaca masih tidak 'mesra basikal', dengan keadaan jerubu masih berlarutan. Risau pula jika mendatang kemudharatan pada kesihatan apabbila menghidu udara yang dipenuhi oleh jerubu. Lain yang dicari lain pula yang dapat. Kes nanya. 
Pada pertengahan minggu yang lalu aku berpeluang untuk bertemu dengan seorang rakan lama. Mohd Alias berjaya menghubungi aku apabila terjumpa dan membaca blog ini. Keajaiban teknologi masakini. Sudah berapa lama tidak berjumpa? Rasanya kali terakhir kami berjumpa adalah pada akhir 1982 di Manjung Perak sebelum dia berpindah ke Mindef, Kuala Lumpur. Aku menamatkan perkhidamatan dalam TLDM pada pertengahan 1984 dan tidak lagi berpeluang bertemu dengannya.
Kami berhubungi melalui e-mail dan dalam tempuh tidak sampai dua minggu aku berpeluang singgah di Kuala Lumpur. Aku menyertai rombongan panel penasihat klinik kesihatan Bakar Arang, Sungai Petani yang membuat lawatan ke Klinik Kesihatan Tampin.
Walau hampir 30 tahun, tidak banyak perubahan fizikal dan aku dapat mengecam apabila dia keluar dari kenderaan dihadapan pasaraya Sogo Jalan Tuanku Abdul Rahman. Beberapa hari sebelum berjumpanya aku  sering membayangkan dan memikirkan bagaimana reaksinya, apa perkara pertama yang dilakukan, apakah ayat pertama yang perlu disebut dan berbagai lagi. Perlukah aku berikan pelukkan (hug) sebagai seorang rakan.
Dari jauh dia melambai dengan ketawa kecil menunjukkan kemesraan. Perangainya dari dahulu. Aku menghulurkan tetapi tidak disambutnya. Sebaliknya dia mendepakan tangan dan memberikan aku pelukkan erat. Rasa terharu dan emosional pula pada saat itu. Kami mencari tempat sesuai di salah sebuah antara puluhan tempat makan dan coffee house di Bangsar.
Kami tidak sabar untuk bertukar cerita berkenaan dengan apa yang berlaku disepanjang tiga puluh tahun, tempat kerja, famili serta rakan rakan lama. Kerana terlalu asyik bertukar tukar cerita tidak perasan kedai 'Coffee Beans' di jalan Talawi 3 sudah hendak ditutup. Kami terpaksa beredar dan meneruskan bersembang diluar kedai. Kami menunggu seorang lagi rakan lama Ahmad Madzlan Zahari yang berjanji akan datang walaupun waktu hampir tengah malam. Kami pergi ke sebuah lagi kedai untuk bersembang.
Aku mengenali Madzlan lebih lama iaitu sejak pertengahan tahun 1974 semasa program suai kenal dan program khas kerajaan untuk pelajar pelajar yang bakal melanjutkan di luar negara (overseas). Program anjuran JPA tersebut diadakan di Universiti Teknologi Malaysia di Jalan Gurney (sekarang Jalan Semarak). Walau berkenalan pada program tersebut yang hanya berjalan selama satu minggu, aku tidak ambil serius tentang perkenalan tersebut. Mungkin selepas program tersebut kami tidak akan berjumpa lagi. Sifat kelakar, suka berjenaka dan senang berkawan ditunjukkan semasa waktu singkat kami bersama.
Tidak sangka pula kami berjumpa pula di Hasting College of Further Education, East Sussex, England. Aku dapati nama college tersebut kini ditukar kepada Sussex Coast College, Hastings. Kami tinggal di rumah yang sama di rumah tumpangan untuk pelajar yang diberi nama 'My Way' di Milward Crescent Hastings. Kemudian kami berpindah ke No.1, Dechem Avenue, St Leonards On Sea, Rumah ini adalah 'Bed and Breakfast' kepunyaan Sydney dan Monica. Pada musim panas kami terpaksa keluar menumpang rumah kawan kawan kerana bilik disewakan kepada 'holiday mekers'. Pada tahun kedua aku berpindah ke 13 Boscobel Road yang terletak betul betul di belakang college.
Di college tersebut kami mengambil kursus Ordinary National Diploma in Tecknology. Kami berlajar besama selama dua tahun sebelum berpisah untuk meneruskan pelajaran ke perigkat universiti selama tiga tahun. Kami tidak pernah berjumpa atau berhubung semasa pengajian di universiti.
Aku dan Madzlan berjumpa semula di Kementah (Mindef) apabila kami bersama dengan lima belas graduate baru yang lain dikerahkan berkhidmat di dalam Tentera Laut Diraja Malaysia. Tanpa disedari kami berada ke KD Malaya Woodlands, Singapore dengan pakaian lengkap seorang 'captain - kemudian ditukar kepada Leftenen mengikut ranking Royal Navy' memulakan tugas tanpa sebarang latihan dan penyesuaian.
Disinilah bermulanya episod kumpulan yang diberi nama 'Natural Wrongdoers'. Ahmad Madzlan adalah yang orang yang bertanggung jawap memberikan nama tersebut. Mengapa, kenapa dan apa maksud nama tersebut, akan cuba aku cerita pada blog-blog atau part-part yang akan datang.......
Kami berpisah lagi pada tahun 1983 apabila dia ditukarkan ke Mindef tetapi berjumpa semula setelah menamatkan perkhidmatan dalam TLDM. Pada akhir tahun 1985 kami berpisah ...... hingga ke pertemuan malam ini. Dia masih lagi Ahmad Madzlan yang sama sejak kami berkenalan pertama kali.
Mohd Alias berjanji untuk cuba menghubungi semua ahli kumpulan natural wrongdoers dan mungkin mengadakan 'reunion'
     

Jumaat, 15 Julai 2011

kayuhan dalam hujan ......

Malam tadi sementara menunggu masuk waktu solat Isyak, aku berdiri diberanda masjid memandang keluar dan menikmati keindahan malam. Seorang sahabat menyatakan sudah lama tidak melihat bintang-bintang di langit. Betul ... ketika aku mendongak ke langit tiada bintang kelihatan. Langit diliputi oleh awan atau debu debu halus atau jerubu yang melindungi penglihatan.
Aku tidak pernah pula terfikir tentang itu. Ingatkan bintang bintang tersebut sentiasa ada di atas sana. Tidak pernah terlintas bahawa ia tidak kelihatan walaupun selalu memandang ke langit.
Aku tidak ambil kisah sama ada bulan kelihatan atau tidak. Sepatutnya malam tadi bulan mengambang penuh. Bila ingatkan semula aku tidak ingat bila kali terakhir aku menikmati kecantikan cahaya bulan menerangi alam semesta waktu malam. Aku nampak bulan berwarna kemerahan dilindungi jerubu bagaikan mata orang yang sedang marah.
Beberapa hari kebelakangan ini keadaan udara dilapurkan tercemar oleh jerubu. Keadaan di selatan tanahair terutama di Lembah Klang amat teruk sekali dengan indek pencemaran udara berada pada tahap bahaya. Disebelah utara ini langit sentiasa diselubungi oleh kabus sejak beberapa minggu lalu, matahari tidak dapat bersinar seperti biasa. Keadaan kelihatan seperti hujan akan turun tetapi suhu sangat panas dan berbahang. Matahari hanya kelihatan selepas tengah hari.
Jerubu sebegini memang berlaku setiap tahun. Kadang kala keadaan menjadi begitu teruk dan kritikal sehingga terpaksa memakai topeng 'mask' apabila keluar dari rumah. Orang ramai dinasihatkan tidak melakukan aktiviti luar terutama senaman kerana jerubu tersebut boleh mengakibatkan masalah kesihatan.
Memang menjadi serba tidak kena samada untuk membuat kayuhan atau tidak. Sudah hampir satu minggu tidak membuat kayuhan walau kadangkala dapat mencuri sedikit masa pada sebelah berkayah santai di kawasan bandar dan taman perumahan. Kayuhan tersebut selalunya tidak melebihi 15 atau 20 kilometer. Juga aku agak sibuk dengan projek baru ahli PPK kampung untuk mengusahakan tanaman cendawan. Sempat juga aku pergi ke Betong Thailang bersama isteri aku pada hari Rabu. Hanya bersiar siar dan menikmati masakan Thai.
Pagi ini aku hampir membatalkan kayuhan tetapi isteri aku kuat menyatakan hujan tidak akan turun. Walaupun agak lewat dari biasa aku kuatkan azam untuk melakukan kayuhan. Kalau dapat 40 km sudah lebih pada memadai.
Apabila sampai di persimpangan Jalan Kuala Ketil kelihatan Bukit Taman Semarak di sebelah barat berwarna kelabu menunjukkan hujan telah turun dengan lebatnya. Aku mengagak tidak akan sempat sampai kerumah. Dari Taman Bandar Perdana aku membelok ke kanan ke Taman Keladi untuk berteduh jika hujan menjadi bertambah lebat. Di kedua dua jalan lencongan timur dan barat tiada tempat berteduh kerana tiada gerai dibenarkan beroperasi oleh MPSPK.
Tiupan angin menjadi semakin kencang hinggakan menjadi masalah untuk mengayuh basikal. Kelajuan menjadi amat perlahan dengan daun-daun turut diterbangkan. Aku risau apabila melalui bawak pokok sena, manalah tahu kalau ada dahan patah semasa aku dibawah pokok nanti. Langit pula menjadi semakin gelap. Sah hujan akan sampai sebentar lagi.
Ada rahmatnya. Hujan tersebut akan membersihkan ruang udara dari pencemara dan jerubu.
Aku sempat berehat di gerai roti canai di Taman Keladi apabila hujan mulai menjadi lebat. Hampir 20 minit aku berehat menunggu hujan reda, aku memulakan kayuhan. Tidak sampai 1 km hujan turun lagi dengan lebatnya dan aku terpaksa bergegas mencari tempat berteduh. Akhirnya aku sampai dirumah dengan keadaan baju dan seluar 'luncun' beserta lumpur. Pakaian aku basah bukan kerana hujan tetapi kerana percikan air yang bertakung di jalan yang terpaksa aku redah.
Walaupun aku cepat mandi untuk membersihkan diri dan mengelakkan demam (petua orang dulu) tetapi badan aku menjadi sejuk dan kepala menjadi berat. Aku terpaksa menelan dua biji penadol sebelum terlelap pada jam 11.30 pagi akibat sakit kepala. Anak bongsu ku mengatakan aku terkena 'hujan asid'. Aku bersetuju seratus peratus dengannya. Tidak menjadi masalah jika aku terkena hujan lebat.

Statistik
   Mula ........... 8.10 pagi
   Tamat ......... 10.00 pagi
   Jarak ........... 33 km
   Cuaca .......... Mendung - hujan
   Laluan ......... Lencongan Barat - Lencongan Timur - Taman Keladi

Sabtu, 9 Julai 2011

jangan tengok belakang maa ...

"Kenapa tidak boleh nyonya ..?" respon aku kepada teguran seorang wanita Cina supaya tidak memandang kebelakang semasa membuat pendakian yang curam.
Aku hanya dua tiga meter sebelum menghabiskan pendakian ketika ditegur oleh seorang nyonya yang berada diatas puncak. Aku faham dan tahu kenapa dia melarang aku menoleh kebelakang dari paras yang tertinggi Bukit Taman Semarak.
Aku ingin melihat seorang pendaki lelaki yang mengekori aku melakukan pendakian jalan yang aku ikuti. Tidak kelihatan. Mungkin dia mengubah fikiran dan mengikuti jalan biasa. Aku belum pernah melihat dia sebelum ini, atau aku mungkin tidak perasaan dia.
"Nanti pening kepala lo tengok bawah.... banyak tinggi" Nyonya yang berusia lebih 60 tahun menambah. Dia bersama suaminya berdiri di paras atas bukit menikmati pemandangan dari puncak bukit dan memerhatikan pendaki yang mengikuti laluan menegak.
"Sudah mahu sampai atas, tak ape kot" aku jawap tanpa memandang nyonya yang menegur aku.
"Selalu naik ikut sini aah .." tanya nyonya itu lagi.
"Sudah banyak kali" jawap ku ringkas.
"Saya satu kali naik, pening dan mahu muntah hoo, tidak mahu ikut lagi woh ..manyak teruk oh" sambung nyonya tersebut. Suaminya hanya diam sahaja dan memandang sekeliling
"Wah ... itu sudah cukup bagus, ada orang hari hari datang sini pun tidak berani ikut jalan ini. Orang muda dari nyonya pun tidak berani ikut lo" Nampak senang bersembang dengan nyonya itu, berbeza dengan suaminya yang hanya tersenyum dan diam.
Aku berlalu untuk berjogging dan turun. Apabila sampai ditempat letak kereta, hujan turun lagi walau tidak lebat.
Memang ramai orang yang mengalami masalah 'gayat' apabila berada ditempat tinggi. Satu perasaan takut dan ngeri apabila memandang kebawah dari tempat tinggi atau melihat kedalam lubang yang dalam. Perasaan ini boleh menyebabkan rasa loya, pening dan muntah.
Dalam bahasa Englis perasaan ini dipanggil 'Acrophobia, Altophobia, Batophobia, Hypsiphobia or Hyposophobia'. Orang yang mengalami perasaan takut pada ketinggian ini mesti mengelakkan diri dari memanjat tangga, memanjat pokok, berada di bumbung bangunan tinggi, memandu di pergunungan atau jambatan tinggi atau menaiki tangga bangunan bertingkat. Perasaan gayat mungkin disebabkan oleh trauma, keturunan atau tragedi yang berlaku semasa kecil. Simptomnya berlainan pada pengidapnya. Ia boleh membuat seseorang mengalami risau keterlaluan, sesak nafas, nafas yang laju, penafasan tidak teratur, berpeluh berlebihan, kekeringan mulut dan mengigil.
Ada ubat yang boleh diambil untuk menghilangkan rasa takut ini tetapi ia mempuyai kesan sampingan. Ia hanya berkesan untuk sementara. Cara paling berkesan adalah dengan counseling, hypnotherapy, psychiterapy dan Neuor_Linguistic program.
Setiap orang ada kelemahan sendiri, ada perasaan takut pada sesuatu perkara atau benda. Perasaan takut juga banyak kebaikan bukan semua buruk. Aku juga sering mengalami perasaan phobia akibat ketinggian ini, tetapi masih boleh dikawal. Tidak berapa teruk seperti setengah orang. Perasaan aku lebih kepada apa yang akan terjadi jika aku terjatuh!
Sebelum aku memulakan pendakian perigkat ke dua tadi, aku ditegur oleh seorang kenalan yang kerap datang kesini. Aku mengenalinya kerana aku bongsu aku satu sekolah dan satu kelas dengan anaknya sejak tahun 1 hingga tahun 6.
"Tidak kayuh basikal ke pagi ini?" tegurnya walaupun jarak kami masih jauh lagi.
"La ... sudah siap untuk berkayuh tetapi hujan turun. Terpaksa batalkan. Bila hujan berhenti, saya datang kesini sahajalah.." aku menjawap sambil menghulurkan tangan kanan untuk bersalam.
"Saya pulak sampai awal dan baru hendak mulakan pendakian bila hujan turun. Saya bercadang untuk pulang kerumah tetapi pertengahan jalan berpatah balik kerana hujan berhenti". Sambungnya tanpa berhenti berjalan. Dia telah berada dibelakang ketika aku mendengar ayatnya yang terakhir. Begitulah kebiasannya, jarang berbual lama jika seorang sedang mendaki manakala seorang lagi sedang turun.
Ada nampak seorang rider mtb cuba membuat pendakian bukit Taman Semarak. Aku berhenti sebentar untuk memerhatikan setakat dan sejauh mana dia boleh sampai dengan basikalnya. Walau dia berusaha keras dan mencuba sedaya upayanya, tetapi akhirnya terpaksa turun menolak basikalnya pada pendakian peringkat 2 dan 3. Apabila jalan tidak begitu curam dia mengayuh basikal semula. Tabik kepada usaha dan kegigihannya. Jarang mtb riders membuat pendakian di bukit ini.
Esok 10 Julai 2011, tidak jauh dari sini, akan berlangsung 'Kayuhan Bendang 2011' anjuran Gabungan Kelab Basikal Seberang Perai Utara serta beberapa agensi lain. Kayuhan akan bermula dari Bandar Bertam Kepala Batas merentai kawasan bendang,  menaki Bukit Birut, Pinang Tunggal, Kedah dan berakhir di Bandar Bertam.
Hadiah cabutan bertuah yang disediakan amatlah lumayan. Selain itu ada juga program untuk anak anak termasuk pertandingan mewarna. Ramai kenalan yang menyertai kayuhan tersebut dan geng Pinang Tunggal menjadi marshall dan penanda arah.
Adakah rider sebentar tadi tidak mengambil bahagian sedang membuat latihan sebagai persediaan untuk kayuhan esok?

Oh.... hari ini Sabtu 09 Julai 2011 adalah hari Perhimpunan Bersih 2.0 di Kuala Lumpur. Kali pertama perhimpunan serupa diadakan adalah pada tahun 2007. Lapuran berita di semua TV Malaysia dan lapuran dalam internet menunjukkan ramai yang mengambil bahagian walaupun berbagai iklan, pemberitahuan, amaran, penangkapan dan sekatan dibuat.
Di laluan memasuki Tol Plus Sungai Petani Utara dan Selatan, pihak polis mengadakan sekatan jalan sejak satu minggu lalu. Aku agak scenario serupa berlaku dimana mana jalan masuk utama ke lebuhraya terutama yang menuju ke Kuala Lumpur.
Aku tidak menyokong perhimpunan tersebut tetapi tidak pula setuju ia diharamkan.
  

Selasa, 5 Julai 2011

Setakat Gurun je

Kantoi .... kalau P.Ramlee masih hidup dan masih bikin filem, mungkin itulah perkataan yang digunakan untuk menggantikan 'bikin rosak lah ana punya programme .....' lirik akhir lagu dari filem Ali Baba Bujang Lapuk.   
Rancangan untuk ke Guar Cempedak melalui Gurun dan pulang melalui Yan - Merbok tidak kesampaian. Terpaksa berhenti di hadapan kilang Perwaja Steel, Gurun. Roadbikes aku mengeluarkan bunyi kasar yang agak kuat. Ceeerot ceereek .... croot ... grrrrr..... kluk klag....  Aku berada lebih 20 km dari rumah dan risau samada boleh meneruskan kayuhan dengan keadaan basikal tersebut.
Betapa penting sedikit pengetahuan tentang basikal apabila dalam keadaan begini. Aku memeriksa dan cuba mencari punca bunyi. Tidak menghairankan apabila gagal menemui punca bunyi kerana tiada pengalaman atau pengetahuan tentang pembaikan basikal. Siap ketuk sana, ketuk sini, goyang itu dan ini, pusing tayar kedepan kebelakang, pusing crank dengan tangan dan berbagai lagi dilakukan. Ngabihkan boreh yo... kata orang Negori Semilan. Maksudnya kerja sia sia dan buang masa.
Apabila gagal menemui punca kerosakkan, tiada pilihan melainkan berkayuh semula. Harapan aku bunyi tersebut akan hilang sama sekali atau berkurangan.  Pernah atau tidak, apabila kenderaan kita mengalami kerosakkan dan kita membawa ke bengkel untuk diperbaiki, kerosakkan tersebut tidak dapat dikesan atau hilang sama sekali atau telah pulih. Begitu juga roadbikes aku, bila dikayuh, kadang kala bunyi tersebut hilang tetapi selang beberapa minit ia muncul semula.
Semasa memeriksa kerosakkan seorang rider dengan roadbikes berkayuh dengan agak laju dari arah bertentangan. Bila aku nampak dia menghampir lokasi aku berhenti, aku cepat mencapai botol air dan meneguk air, cuba menyembunyikan masalah dan kerosakkan. Aku berpura pura berhenti untuk menghilangkan dahaga. Control macho ...... tak mahu rider tersebut berhenti untuk bertanya (itu sahaja yang mampu dilakukan... selain menelipon kawan untuk bantuan).
Aku membuat keputusan untuk membuat U-turn. Pulang ke Sungai Petani. Kalau meneruskan kayuhan akan mendatangkan masalah dan beban jika kerosakkan menjadi bertambah serius. Mungkin kena balik menaiki kereta atau teksi pula. Tempat yang dituju tidak kemana, bila bila boleh datang pula.
Aku tidak dapat menumpukan kepada kayuhan, tidak dapat menumpukan kepada apa yang berlaku disekeliling kerana aku cuba melihat dan mendengar punca bunyi. Sambil berkayuh aku berfikir cara-cara untuk menyelesaikan masalah tersebut. Cara yang paling cepat dan mudah adalah membeli basikal baru. Tetapi ia bukannya penyelesaian yang rasional.
Pasti bunyi tersebut disebabkan oleh bearing, mungkin dari 'sealed bearing' tayar belakang atau bearing tayar hadapan. Mengikut SK Juan, hub tayar belakang kurang elok kerana telah lama. Masalah untuk mendapatkan gantian agak sukar kerana ia tidak lagi dikeluarkan. Mungkin aku kena tukar kepada jenis baru.
Aku bernasib baik kerana dapat berkayuh untuk sampai kerumah tanpa kerosakkan menjadi lebih teruk. 

Statistik
   Mula ........... 7.40 pagi
   Tamat ......... 9.40 pagi
   Jarak ........... 41 km
   Cuaca .......... Redup, mendung
   Laluan ......... Lencongan Barat - Semeling - Bedong - Gurun

Isnin, 4 Julai 2011

Wheel balancing

Apa yang diharapkan dari roadbike yang telah berusia lebih 20 tahun. Kalau ia boleh bertahan sehingga usia itu sudah kira berbaloi, balik modal. Apa lagi kalau basikal tersebut tidak dibeli. Memanglah lifespan (jangkahayat) basikal besi boleh mencapai puluhan tahun, tetapi bahan consumable mesti ditukar ganti, kena servis selalu.
Wheel belakang (orang Kedah kata 'kong', betul ke ejaan tersebut?)  roadbikes aku bergoyang dan tidak seimbang. Semasa kayuhan wheel tersebut bergesel dengan brake pads sehingga kayuhan terasa berat dan lambat seperti menekan brake. Terpaksa membuat adjustment kepada brake pads.
Wheel belakang mengalami keadaan ini sejak sebulan lalu, selepas aku menghantar kekedai untuk menukar sebatang 'spoke' yang patah semasa aku membuat kayuhan pada 24 Mei lalu. Pekerja kedai basikal seperti tidak berminat untuk membaiki masalah tersebut. Dia memberi alasan kerosakkan berpunca pada 'hub' atau 'buyong' dan mencadangkan aku menukarnya.
Hampa, aku biarkan sahaja begitu dan tidak menjadi masalah besar. Cuma brake kurang efektif. Aku minta pandangan dan nasihat SK Juan, kawan karib amat arif tentang basikal. Dia memeriksa wheel tersebut dan menyatakan hub tayar belakang masih dalam keadaan baik. Dia menasihatkan supaya membuat balancing. Mengikut Juan, mungkin aku banyak melanggar atau memasuki lubang menyebabkan wheel menjadi bengkok.
Petang tadi aku mengambil keputusan untuk menyelesaikan masalah basikal tersebut. Pada mulanya aku bercadang untuk membaikinya dikedai Taman Arked, kedai pekerja Kedai Basikal Soon Lee yang telah berhenti dan membuka perniagaan basikal sendiri. Dalam perjalanan aku menukar fikiran dan berkayuh ke kedai basikal di Taman Delima.
Tuanpunya kedai basikal ini yang juga pekerja telah lama menjual dan membaiki basikal. Dia lebih berpengalaman dan pengetahuan dalam kerja membaiki basikal tetapi kurang membuat kerja kerja mountain bikes dan roadbikes. Pelanggannya banyak orang yang mempunyai basikal biasa dan basikal untuk remaja dan murid sekolah. Untuk kerja kerja wheel balancing dan adjustment, aku rasa dia lebih pakar.
Aku duduk disebelah semasa kerja kerja membuat imbangan dilakukan. Memang berpuas hati dengan kerja yang dilakukan, terserlah kepakaran dan pengalamannya bebanding dengan kedai basikal di Taman Intan. 
Setelah siap aku mengayuh basikal ke Taman Sejati, kemudian ke lencongan timur terus ke Taman Keladi. Setakat ini tiada apa masalah dengan wheel tersebut dan kayuhan agak lancar. Apabila sampai ke lampu isyarat Taman Perdana aku nampak empat orang rider di sebelah kanan sedang menunggu lampu bertukar warna. Mereka berusaha bersungguh sungguh untuk memotong, aku 'beri muka' dan membiarkan mereka memotong. Dari keadaan basikal dan kekotoran pada pakaian, mereka baru turun dari Bukit Birut.


Esok aku merancang untuk berkayuh melalui Gurun dan Guar Cempedak dan pulang melalui jalan Yan.

Ahad, 3 Julai 2011

Hujan pagi

Beberapa hari lepas aku menerima dua jemputan kayuhan yang bermula dari Sungai Petani pada hari ini Ahad 03 Julai 2011. Pertama kayuhan ke Kulim dan yang kedua kayuhan ke Butterworth. 
Kayuhan ke Kulim dianjurkan oleh geng dari Lagenda Height. Kebanyakkan rider muda akan menyertai dan mereka menggunakan mountain bikes. Mengikut seorang kawan kayuhan ini 70% off road. Kayuhan Butterworth pula menggunakan roadbikes. Ini geng yang sering aku berkayuh bersama.
...... belum sempat aku menukar pakaian untuk kayuhan dan mengisi air kedalam botol, terdengar deruan bunyi hujan turun. Aku meninjau ke luar rumah dan mendapati hujan turun agak lebat. Tengok dari keadaan langit, hujan pagi ini akan berlarutan hingga ke tengah hari atau petang. Bagi aku aktiviti kayuhan pagi ini batal. Mungkin ramai geng basikal sudah berada ditempat permulaan sebelum hujan turun.
Tasik Beris 
Kelmarin Sabtu 02 Julai 2011, pada sebelah pagi, aku mengikut rombongan penduduk Kampung Seberang Tok Soh Pinang Tunggal melawat ladang anggur di Beris, Sik. Ah... sudah lama tidak menaiki bas beramai ramai. Seronok, dapat berinteraksi dan bermesra dengan penduduk kampung. Aku diterima sebagai salah seorang dari mereka walaupun tinggal di Bandar Sungai Petani. Satu perkara yang sukar dilupa apabila makan bersama mereka di tapak perkelahan tasik. Mereka semua membawa makanan dari rumah. Pelbagai jenis lauk dan gulai disediakan. Semuanya masakan kampung.
Bagi aku lawatan seperti ini memberi peluang mengintai dan menilai jalan atau laluan untuk kayuhan. Jalan dari Sik ke Tasik Beris dan ke Gulau/Nami memang mencabar dengan beberapa pendakian bukit yang agak tinggi dan mencabar. Memang patut disenaraikan sebagai salah satu destinasi berbasikal. Walau jaraknya hanya sekadar 20 km dari pekan Sik, ia cukup untuk menguji kekuatan fizikal dan mental pengayuh seperti aku. Ramai rider lain telah pun menjejaki laluan ini.
Pernah dua kali melalui jalan Gurun/Sik dengan basikal tetapi setakat  pekan Sik sahaja. Kali ini aku bercadang untuk memulakan kayuhan dari Pekan Jeniang atau Pekan Sik ke Tasik Beris. Tambahan sekarang musim buah-buahan, boleh merasa durian Beris yang juga terkenal dengan keenakkan. Yang merisaukan ialah jalan lama yang agak sempit untuk beberapa kilometer.
Aku ke rumah SK Juan di Taman Baiduri Bakar Arang pada sebelah petang. Sudah lebih seminggu aku tidak berjumpa dengan dia. Dia mestinya sihat kerana walaupun sudah berusia 76 tahun, masih gigih berbasikal. Kali terakhir aku melihat dia berkayuh pulang dari Kepala Batas satu minggu lepas. Dia tidak perasan aku kerana memberi tumpuan pada kayuhan.
Sejak dua minggu kebelakangan ini dia membuat kayuhan setiap hari kecuali Ahad kerana pergi ke gereja. Ini sebagai persediaan untuk kayuhan 'Penang Round Island Ride ' sejauh 80 km selepas Hari Raya Puasa nanti iaitu pada 11 September 2011. Ini adalah program anjuran CIMB Foundation "Campaign For A Lane" Edisi ke 3. Juan menyertai setiap program ini.
Mengikutnya ini mungkin kali terakhir baginya. Dia sudah tidak mahu lagi membuat kayuhan seperti ini sebaliknya akan menumpukan kepada kayuhan untuk menjaga kesihatan sahaja. Bukan tidak larat atau tidak mampu tetapi menghadapi masalah dengan 'sense of judgement'. Dia tidak lagi dapat memberi tindakbalas sepantas dahulu dan mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan rider lain.
Pada program edisi ke dua tahun lalu, dia terkejut apabila dipanggil oleh penganjur melalui PA System sebelum kuyuhan bermula. Ingatnya ada masalah dengan butir yang diberikan semasa pendaftaran.  Semakkan penganjur mendapati dia adalah peserta paling senior. Beberapa wartawan akhbar yang membuat liputan program tersebut mahu meneramahnya. Keesokkan harinya, rencana mengenai dirinya disiarkan didalam akhbar The Star dan beberapa akhbar Cina. Dia sememang patut berbangga dengan pencapaian ini. Pendapat aku dia adalah pemenang utama sebelum program kayuhan bermula.
Dia sering mengulang cerita peristiwa tersebut dan sering berkata setakat ini tiada orang disebelah utara ini yang memecahkan rekodnya.
    

Jumaat, 1 Julai 2011

... mtb dicuri

Jangan letakkan basikal mtb atau roadie yang berharga di luar rumah. Sorokkan dari pandangan dan jangan memberi opporturnity (peluang) dan kesempatan kepada orang mengambilnya tanpa izin.  Sebaliknya bawa basikal masuk ke dalam rumah untuk mengelakkan dari dicuri. Banyak aku terbaca didalam 'facebook' dan 'blog' kejadian basikal dicuri di dalam kawasan rumah kebelakangan ini. Kini fenomina ini merebak di merata tempat.
Sebelah pagi hari ini aku menerima panggilan telefon dari seorang sahabat, Shokri Hashim memberitahu tidak boleh membuat kayuhan seperti yang dirancang pada pagi ini. Bila aku tanya mengapa membatalkan rancangan, dia berkata bagaiman hendak berkayuh kerana tidak mempunyai basikal. Aku menjadi heran. Baru sahaja beberapa bulan lepas dia membeli basikal berjenama 'rockmachine' sebagai tambahan kepada mtb Releigh Oakland yang dibeli tahun lalu. Dengan pembelian basikal baru tersebut dia memberikan roadbike nya kepada aku tiga bulan lalu.
Mengikut cerita Shokri kedua dua basikal mountain yang diletakkan di anjung rumah telah dicuri. Dia menyedarinya apabila bangun untuk solat subuh dan merasakan sesuatu tidak kena. Apabila membuka pintu depan rumah, dia melihat gate pagar terbuka luas dan dua biji basikal tersebut telah tiada.
basikal yang hilang ... serupa ini
Kedua dua basikal yang hilang dikunci menggunakan rantai. Kebiasaan basikal tersebut dikunci bersama motorsikal, tetapi selepas kayuhan petang sebelumnya basikal tersebut diletakkan berasingan. Anehnya ada beberapa biji lagi basikal biasa kepunyaan anak-anaknya juga diletakkan ditempat sama, tetapi tidak diambil oleh pencuri tersebut. Begitu juga barangan lain yang diletakkan disitu semuanya masih ada ditempat asal.
Kini pencuri pun memilih basikal yang elok dan berharga sahaja. Agaknya permintaan kepada basikal mtb begitu tinggi sehingga pencuri menjadi selective. Pencuri tahu nilai basikal tersebut. Pencuri menjual sebuah basikal, bukan untuk dileraikan  dan bukan dijual sebagai besi buruk. Lebih menguntungkan dan pendapatan lebih lumayan.
Ada mangsa menyiarkan kehilangan basikal di dalam internet, facebook atau blog berserta dengan gambar. Mereka memohon sesiapa terutama rakan rakan yang berjumpa atau jika ada orang yang ingin menjual basikal dengan harga murah supaya menyiasat terlebih dahulu jika basikal tersebut kepunyaan mereka (mangsa). Ada juga yang menyebarkan gambar basikal yang hilang, bagi yang ada simpan gambar, kepada rakan rakan dan kedai basikal dikawasan berdekatan. Gambar juga ditampal di dinding kedai atau pokok atau lain lain tempat. Tujuan mengedarkan di kedai basikal ialah jika basikal tersebut dihantar untuk diubahsuai, di cat warna lain atau diperbaiki.
Ada juga yang membuat lapuran polis. Mungkin untuk menambah statistik kecurian sahaja kerana pihak polis tidak mungkin dapat menyiasat dan menyelesaikan kes kes sedemikian memandangkan banyak lagi kes berat yang perlu diberi perhatian.
Halaman portal 'bicycle buy and sell' Malaysia juga membantu. Jika ada tawaran menjual basikal dengan harga yang jauh lebih murah dari harga pasaran, halaman tersebut akan memberi amaran dan peringatan kepada bakal pembeli supaya berhati dan berwaspada. Ini mengelakkan basikal dan alatganti curi di jual melalui halaman tersebut.
Adakah ini langkah menyiarkan dalam internet, menyebarkan gambar dan membuat lapuran polis membantu mendapatkan kembali basikal yang hilang. Pendapat aku, bila hilang dicuri ianya terus hilang, tiada peluang akan dijumpai semula atau dikembalikan kepada pemilik. Harapan untuk mendapatkan semula amatlah tipis.
Jadi sebelum ia berlaku kepada kita ambil langkah untuk mengelakkan ianya terjadi kepada basikal kesayangan kita.
Aku ada seorang rakan yang memiliki high-end roadbikes, berharga hampir RM10K. Dia tanpa rasa bersalah sanggup membawa basikalnya bersama masuk ke dalam bilik mesin ATM semasa mengeluarkan wang. Dia tidak mahu mengambil risiko meletakkan basikal diluar sementara ia berada di dalam, bimbangkan akan dilarikan.
Seorang jiran aku, seorang wanita warga emas, pula hanya dapat melihat sahaja basikal anaknya yang dikunci dilarikan pencuri pada siang hari. Pencuri tersebut mengangkat dan memikul basikal dibahu sambil berlari. Tiada orang ketika itu yang dapat memberi pertolongan. Jeritan dan laungan tidak berjaya menggagalkan basikal dilarikan oleh pencuri. Mungkin berdekatan, ada kawannya yang sedang menunggu dengan motorsikal. Walaupun basikal mountain murahan, tetapi ralat juga apabila dilarikan orang didepan mata.
Sepatutnya pagi ini Shokri mengikuti kumpulan dari Laguna Merbok membuat kayuhan ke Yan bertujuan untuk meninjau laluan atau survey track. Kumpulan basikal ini merancang untuk menganjurkan 'Jerai Explore Ride' di masa terdekat.
Sekarang Shokri tidak mempunyai basikal. Dia tidak berniat untuk membeli gantian dalam masa terdekat.
   

Khamis, 30 Jun 2011

Peranginan Batu Hampar, Yan

Akhirnya hajat untuk berkayuh ke Peranginan Batu Hampar Yan tercapai juga. Bagi yang belum pernah kesana  ambil jalan ke Peranginan Titi Hayun dan membelok ke kanan setengah kilometer sebelum sampai ke Titi Hayun. Boleh juga mengambil jalan melalui kampung dengan membelok kekanan di tepi Pejabat Pos Yan Besar. Jalan ini kecil dan berliku liku.
Peranginan Batu Hampar lebih jauh ke dalam iaitu hampir 5 km dari Pekan Yan Besar berbanding dengan Peranginan Titi Hayun. Boleh tahan juga pendakian sebelum sampai ketempat perkelahan. Dikiri kanan jalan kecil tersebut adalah dusun buah buahan yang kebanyakkan ditanam dengan pokok durian dan sedikit pokok lain termasuk manggis dan cempedak.
Betapa hasil buah buahan menjadi begitu komersial. Memangnya buah buahan begitu berharga dan mendapat permintaan yang tinggi. Harga jualan menjadi begitu tinggi terutama bagi dusun yang mengeluarkan hasil lebih awal dari dusun dusun lain. Hasil yang dikutip oleh tuan punya dusun begitu lumayan. Ini boleh dilihat dari keadaan dusun dan kebun buah buahan. Kawasan dusun yang mana mengandungi banyak pokok buah buahan kini dipagar menggunakan pagar yang 'standard' iaitu jenis chain-link 5 kaki tinggi. Pintu masuk pula dibuat dengan besi sliding dan ada tembok konkrit pula.
Agaknya kebun yang sedemikian adalah kepunyaan orang kaya. Besar kemungkinan mereka tidak tinggal dikawasan itu. Kebun dan dusun dijaga oleh orang yang digaji. Orang kampung biasa tidak akan membazir seperti itu kerana rumah orang kampung ada didalam kebun atau dusun tersebut atau mungkin tidak jauh dari situ. Orang kaya yang mempunyai dusun memasang pagar jenis mahal kerana mereka tidak mahu hasil dusun mereka dicuri atau diambil oleh orang lain. 
Aku teringat cerita seorang kawan mengenai seorang yang 'berada' yang mempunyai dusun di Kubang Pasu Kedah. Hamba Allah tersebut singgah untuk sarapan pagi disebuah gerai dikampung kawan aku. Dia menceritakan membeli sebidang tanah yang ditanam dengan pokok buah buahan. Walaupun berasal dari kawasan tersebut tetapi kini menetap di Kuala Lumpur. Dia datang seorang diri kerana ahli keluarga yang lain tidak mahu ikut serta.
Dusun yang dibelinya 15 tahun lalu agak luas hampir 10 relong (saiz orang Kedah, tiga relong hampir bersamaan 1 hektar) tersebut ditanam dengan segala jenis pokok buahan. Sememangnya pada musim buah, makan tak habis ...... ikut kata budak budak sekarang. Boleh menjana banyak duit menjual hasil dusun tersebut. Memang seronok. Dia membina sebuah rumah kayu yang cantik didalam dusun tersebut untuk dijadikan tempat penginapan yang selesa apabila datang dari Kuala Lumpur.
Dia merasa kesal kerana sejak dia membeli dusun tersebut, anak anak tidak langsung berminat untuk datang walau sekali. Tujuan asal membeli harta tersebut adalah untuk menikmati 'quality time' bersama isteri, anak anak dan bersama saudara mara yang lain. Sedih apabila mereka tidak langsung menghargai usaha dan niatnya. Setiap kali musim buah hanya dia seorang diri yang ke dusun tersebut dan membawa balik hasil ke Kuala Lumpur.
Di Kuala Lumpur menjadi tumpuan longgokan buah buahan apabila tiba musim. Buah buah dari merata tempat di Malaysia akan dibawa dan dijual disini. Kadang kala ia lebih enak dan lebih bagus. Sebabnya jelas. Kuasa membeli orang KL adalah tinggi.
Untuk hendak makan buah buah tidak perlu menghabiskan masa, tenaga dan wang ringgit  membeli dusun nun jauhnya hampir satu hari perjalanan. Dengan wang kurang dari RM50.00, boleh menikmati semuanya berbanding dengan berbelanja lebih RM400.00 duit minyak kereta, tol dan makan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Jitra.
Akhirnya Hamba Allah tersebut menasihatkan dan berpesan kepada kawan aku, jika ada wang lebih, pergilah melancong keluar negeri, melihat tempat orang selepas menunaikan perkara wajib. Tidak perlu membeli dusun atau tanah untuk anak anak atau keluarga.
Aku bersetuju sungguh pesanan tersebut.
Tidak ada yang istimewa terdapat di Peranginan Batu Hampar ini. Hanya terdapat beberapa bangunan wakaf yang disediakan untuk pengunjung yang datang berkelah. Oleh kerana sungai jauh dibahagian bawah, tangga dan laluan disediakan. Sungai dimana kawasan peranginan tidak banyak air. Mungkin pada petang kawasan ini dikunjungi oleh remaja untuk belepak.
Aku memberikan 'no-star rating' pada tempat ini. Aku turun kekawasan pekelahan untuk tidak lebih 10 minit untuk melihat lihat kawasan tersebut. Kecewa. Aku terus menghala ke pekan Yan kerana perut pun sudah memberi isyarat.

   
Statistik
   Mula ........... 7.30 pagi
   Tamat ......... 12.00 tengah hari
   Jarak ........... 77 km
   Cuaca .......... Redup, mendung
   Laluan ......... Lencongan Barat - Merbuk - Singkir - Yan - Batu Hampar