Halaman

Ahad, 30 Disember 2012

Ramai berbasikal ....

Keluar awal sedikit dari biasa kerana cuaca kelihatan tidak begitu cerah. Takut pula hujan turun. Tidak berhajat untuk pergi jauh kerana ada kerja yang kena disiapkan sebelum tengah hari nanti. Aku merancang untuk sampai semula kerumah pada jam 10.00 pagi. Jadi aku mengambil jalan menuju ke Butterworth dan akan berpatah balik tepat jam 09.00 pagi selepas satu jam berkayuh tidak kira dimana aku sampai dan berapa jauh berkayuh. Diharapkan akan sampai tepat pada masa yang dirancang.
Pagi Ahad jalan Sungai Petani - Butterworth tidak begitu sibuk kerana disebelah sana adalah cuti hujung minggu. Sedikit risau kerana satu kilometer selepas Tikam Batu ada kerja kerja pembinaan untuk melebarkan jambatan dilakukan. Jambatan ini adalah yang akhir dilebarkan dilaluan ini. Heran kenapa tidak dilakukan sekali semasa penaikkan taraf jalan ini beberapa tahun lalu. Lencongan yang disediakan agak kecil dan takut berkongsi jalan dengan kenderaan berat seperti lori atau bas.
Ada sekatan atau pemeriksaan polis di kedua dua hala sebaik melepasi jambatan Merdeka yang menjadi sempadan antara Kedah dan Pulau Pinang. Kenderaan yang lalu tidak diperiksa rapi hanya sekadar perlahan agar dapat diperhatian oleh anggota polis bertugas. Beberapa biji motorsikal membuat U-turn, besar kemungkinan tiada lesen memandu atau cukai jalan. Kesian terpaksa mengikuti jalan alternatif lain yang mungkin lebih jauh. 
Anggota polis wanita yang sedang memeriksa kenderaan bergerak kebelakang kerana memberi aku laluan. Bukan setakat itu, sempat senyum dan mengucapkan salam pula. Baik budi bahasa. Begitulah sepatutnya penjawat awam.
Seronok berkayuh dilaluan ini. Ramai yang sedang berkayuh dikedua dua hala. Bukan cyclist seperti aku tetapi penduduk kawasan tersebut. Mereka tidak menggunakan mtb atau roadbikes tetapi basikal biasa yang satu masa dahulu menjadi pengangkutan utama untuk penduduk negara kita. Kalau diingatkan pada tahun 1960'an dulu, setiap rumah kampung atau dibandar mempunyai sekurang kurangnya satu biji basikal. Walaupun harganya tersangat lah murah berbanding sekarang, tidak semua rumah mampu memiliki.
Basikal yang aku jumpa pagi tadi tidak berbeza fungsinya dibanding dengan dahulu. Ada yang digunakan untuk membawa barangan kecil dan ringan, ada yang kepasar untuk membeli sayur sayuran, digunakan oleh remaja untuk berulang alik kesekolah dan tidak kurang yang dikayuh oleh warga emas  ke kedai untuk sarapan dan berbual dengan kawan kawan.
Rasa kesal kerana tidak mengambil gambar sebuah basikal yang menarik perhatian di Pekan Kepala Batas. Basikal diubahsuai dengan gaya kayuhan sebagai motor 'easy rider', dipasang dengan panel depan motorsikal. Pengayuh agak jauh kebelakang dan tangan yang memegang handle tegak lurus kehadapan kerana jarak daripada tempat duduk. Tidak boleh digunakan untuk kayuhan jauh lebih dari 5 km kerana agak memenatkan.
Minta maaf pakcik, mak cik, apek dan nyonya ... Terasa aku berlagak sombong pula kerana memotong basikal basikal tersebut mungkin dua atau tiga kali ganda kelajuan mereka. Sekurang kurangnya aku menegur mereka dengan senyuman sebelum memotong. Ada yang membalas teguran atau salam aku, ada yang hanya mendiamkan diri dan memberikan senyuman sahaja.
Berjaya sampai pulang kerumah pada jangkas masa yang aku rancang. Singgah untuk sarapan di sebuah restoren mamak di Taman Nilam Sari lebih kurang setengah kilometer dari rumah. Sebaik duduk terus didatangi pelayan untuk mengambil pesanan. Aku hanya meminta 'tose' tanpa minuman kerana air yang aku bawa masih belum diminum. Sementara menunggu 'tose' siap dua tiga orang pelayan lain datang bertanyakan samada aku sudah membuat pesanan. Bila aku kesini itulah makanan yang dipesan.
Hari krismas lalu aku singgah disini untuk sarapan. Ketika itu restoren dipenuhi pelanggan. Aku menunggu lebih sepuluh minit dan tiada siapa yang datang untuk mengambil pesanan makanan atau minuman. Ada pelayan dua tiga kali lalu ditepi meja tetapi macam tidak nampak aku duduk disitu.  Rasa macam invisible man pula. Kalau sibuk pun sekurang kurangnya memberitahu supaya bersabar. Selepas lebih sepuluh  minit aku blah, selera makan putus habis. 

Statistik :
    Mula ................ 7.55 pagi 
    Tamat .............. 10.00 pagi
    Jarak ............... 51 km
    Cuaca .............. Redup
    Laluan ............. Kepala Batas - Tawar 
    Odometer 2012 : 04344   
        

Tiada ulasan:

Catat Ulasan