Halaman

Ahad, 9 Disember 2012

Ketum Power

Ooops .... sabar. Jangan salah sangka. Baca sampai habis dulu. Bukan aku hendak mempromosi atau menggalakkan pengambilan air ketum ini tetapi untuk renungan dan kebaikan rider yang lain. 
Kayuhan pagi ini melalui Bandar Puteri Jaya untuk ke jalan Kuala Ketil. Rancangan aku ialah untuk mengambil jalan ke Sidam dan pulang ke SP melalui Pantai Prai. Ingin berkayuh jauh sedikit dari kelmarin untuk menguatkan semula otot otot dan menyegarkan badan selepas berehat lama. Semasa melalui Bandar Puteri aku teringatkan beberapa orang rakan sepengayuhan tetapi sekarang agak jarang berjumpa dan berkayuh bersama.
Semasa aku dan isteri singgah di sebuah kedai makan Cina Muslim di Taman Kempas beberapa hari lalu aku berjumpa seorang rakan dari Bandar Puteri. Terus terang, jarang aku keluar makan direstoren sejak beberapa tahun kebelakang ini tetapi selepas dimasukkan ke hospital minggu lalu, selera makan agak memilih. 
Aku hampir tidak mengenali kawan tersebut kerana berat badannya bertambah, dulu kurus sedikit. Agaknya sekarang senang hati kerana anak anak sudah membesar dan setelah berpindah dari Taman Bersatu ke Taman Bandar Puteri. Aku menegurnya dan dia kelihatan agak terkejut kerana tidak perasan yang aku sedang duduk sambil memerhatikan dia membuat pesanan.
Belum sempat dia duduk dimeja aku, pelbagai soalan yang aku tanyakan kepadanya. Tidak bagi peluang lansung. Tidak perlu tanya apakah soalan paling banyak aku ditanyakan. Dia pun begitu. Mestilah mengenai aktiviti berbasikal
Bagai tidak cukup masa untuk aku bercerita tentang pengalaman kayuhan, tempat tempat yang aku pergi dan termasuk pembedahan yang baru aku lalui.
Aku bertanyakan samada dia selalu berkayuh dengan geng gerek yang ramai di Bandar Puteri. Dia terus menyatakan tidak mencampuri mereka. Kenapa? ... kerana mereka mengambil air ketum. Mereka minum air ketum sebelum memulakan kayuhan dan membawa air tersebut semasa kayuhan. Aku terkejut kerana tidak mengetahui tentang ini. Patut la ada yang kelihatan begitu bertenaga dan mampu membuat kayuhan jauh sehingga 150 km sehari.
Tidak tahu dikawasan lain, tetapi kalau disebelah Kedah dan Perlis penggunaan air ketum ini sebagai 'booster drink' berada pada tahap yang agak membimbangkan. Penagihan air ketum dikalangan masyarakat tanpa mengira usia di kawasan utara ini amatlah teruk sekali dan memberi kesan buruk kepada kehidupan harian.
Ketum juga dipanggil pokok biak disebelah Kedah agak mudah hidup. Aku bersama rombongan pernah singgah di sebuah ladang ketum beberapa tahun lalu dan mengikut pengusaha ladang terdapat beberapa jenis pokok ketum yang boleh dibezakan dengan warna urat tengah daun ketum.
Petani dan nelayan sejak dulu menggunakan daun ketum ini untuk memberikan tenaga sebelum melakukan kerja di ladang atau sebelum turun ke laut. Daun ketum direbus dan diminum airnya atau dimakan terus. Pernah aku mencuba memakan daun muda satu ketika dahulu dan kesannya ialah kepala menjadi pening. Orang kata kena buang urat tengah daun sebelum memakan.
Kalau tidak silap aku pernah diberi minum air ketum pada tahun 60'an dahulu ketika berusia tidak lebih dari 10 tahun. Emak aku menyuruh minum air tersebut ketika hendak tidur bertujuan membunuh cacing dalam perut. memang keesokkan harinya cacing keluar dari dhubur.
Aku berterima kasih kepada Johari kerana membayarkan makanan kami dan berharap akan dapat berjumpa selalu. Juga mungkin dapat berkayuh bersama dimasa akan datang.
Disebuah gerai dihadapan Loji Pembersihan Air Hi Tech, Pinang Tunggal aku melihat beberapa orang cyclist sedang berehat dan menjamu selera. Aku berhenti kerana kenal beberapa orang dari mereka. Sempat bertukar tukar cerita sebelum meneruskan kayuhan pulang.

Statistik :
    Mula ................ 8.15 pagi 
    Tamat .............. 11.00 pagi
    Jarak ............... 48 km
    Cuaca .............. Panas
    Laluan ............. Bandar Puteri Jaya - Sidam - Pinang Tunggal
   Odometer 2012 : 04102   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan