Halaman

Sabtu, 1 Disember 2012

Rindunya ....

Sudah hampir satu bulan aku tidak membuat kayuhan. Mungkin ramai pembaca blog ini tertanya tanya mengapa sudah lama blog ini tidak dikemaskini.
Masalah kesihatan menjadi penghalang. Pada awal bulan November aku sering mengalami sakit kepala apabila bangun dari tidur. Bukan pening kepala tetapi kepala terasa berdenyut bagaikan ada beban berat sedang dijunjung diatas kepala. Pada mulanya aku ingatkan sakit kepala biasa. Mungkin ada tersalah makan atau kesan berjemur terlalu lama. Atau mungkin kerana terlampau aktif kerana minggu sebelumnya aku membuat kayuhan ke Satun Thailand. Selain dari sakit kepala badan terasa lemah dan selera makan menurun.
Bila aku ke klinik (bukan hendak riak, tetapi aku tidak ingat bila kali terakhir aku mendapatkan khidmat rawatan diklinik, mungkin 10 atau lebih tahun lalu), doktor panel menyatakan aku dijangkiti kuman. Doktor menasihatkan aku untuk mendapatkan rawatan lanjut dari hospital pakar samada Hospital Metro atau Hospital Pantai di Bandar Amanjaya. Untuk rawatan sementara doktor memberi suntikan dan antibiotik.
Terdapat satu tumbuhan dibelakang badan aku. Ia bermula belasan tahun dahulu mungkin 15  atau 16 tahun lalu. Pada mulanya ia kecil sahaja tetapi ia semakin membesar sehingga melebihi saiz ibu jari lelaki. Ia tidak memudharatkan kepada kesihatan atau menjadi ketidak-selesaan. Cuma kekadang kelihatan agak janggal terutama ketika berada ditempat awam seperti di kolam renang.
Orang disebelah utara memanggil 'risa'. Ditempat lain aku tidak tahu. Itu pun puas aku bertanya, ramai yang tidak tahu. Ramai orang yang menghidapinya. Ada yang ditepi atau belakang telinga, di dahi, dibahagian mata, leher dan dibahagian belakang atau dipeha. Yang membezakan hanyalah saiznya. Dan ada orang yang menghidapnya, dan kemudian hilang sendiri. Ramai juga yang membuat pembedahan kecil yang mengambil tidak lebih dari 10 minit untuk membuangnya.
Dalam istilah perubatan ia dipanggil 'Sebaceous Cyst'. Ia juga dipanggil epidermal atau keratin cyst.
Dalam keadaan umur yang menjangkau usia emas, pertahanan semula jadi badan sudah semakin lemah dan berkurangan, ketumbuhan ini telah di serang dan dijangkiti kuman dan bekteria. Ini menjadi penyebab kepada sakit kepala yang dialami. Keadaan diburukkan lagi kerana sejak akhir akhir ini kandugan gula dalam darah (RBS) agak melampaui paras berjaga jaga. Jangkitan bakteria ini mungkin akan menjadi lebih buruk dan boleh mengakibatkan bahagian dalam badan akan dijangkiti dan akhirnya mendatangkan mudharat.
Membuat pembedahan di Hospital Pantai pada pagi 19 November 2012. Niat awal ke hospital tersebut hanya untuk mendapatkan khidmat nasihat dan tidak sama sekali menyangka akan terus dibedah dua jam selepas mendaftar. Boleh tahan juga harganya, hampir 5K.
Perlu banyak masa untuk luka pulih sepenuhnya tetapi menurut doktor aku boleh membuat aktiviti atau kayuhan ringan. Terpaksa membatalkan rancangan untuk ke PatBara Thailang pada pertengahan December ini. Mungkin akan dapat memulakan kayuhan semuala tahun depan ....
       

Tiada ulasan:

Catat Ulasan