Halaman

Isnin, 17 Disember 2012

Nak potong lengan pun tak pe .........

Langit disebelah utara diliputi awan mendung tetapi keadaan ini tidak dapat memendung niat untuk membuat kayuhan. Tawakal sajalah. Kalau hujan turun kena berhenti berteduh dan mungkin akan lambat pulang ke rumah. Tiada apa program hari ini jadi tidak mengapa kalau balik lambat.
Tiga hari lepas agak sibuk sikit. Anak saudara sekeluarga 6 orang termasuk anak anak datang ke rumah dari Kuala Lumpur. Mereka tinggal dirumah selama tiga hari dua malam. 
Aku pula ada program pada hari Sabtu 15 Dec menjaga urusan makanan untuk hari keluarga yang dibuat di Teluk Nipah, Kuala Muda. Pada hari Ahad 16 Dec, beberapa orang remaja mengambil bahagian dalam Kem Memperkasa Kendiri Jiran Muda anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional, Kuala Muda. Sebagai pengerusi KRT Taman Intan aku kena hadir pada upucara pembukaan dan penutupan pada 18 Dec nanti.
Kayuhan pagi berjalan lancar dan aku rasa begitu teruja. Aku mengikuti haluan ke utara dan kemudian ke Tanjung Dawai. Memang sudah agak lama aku tidak kesini. 
Aku masih berhati hati, takut kalau luka bekas pembedahan mengalamai kesakitan. Luka tersebut hampir pulih. Tiada masalah atau rasa pedih ketika aku melakukan kayuhan jauh seperti yang aku lakukan kelmarin. Cuma tenaga dan otot masih belum pulih sepenuhnya.
Semasa memikirkan luka tersebut aku teringat pertama kali aku membuat pembedahan 'appendix' pada tahun 1977 dahulu. Serangan bermula sebaik aku selesai menduduki kertas pertama untuk peperiksaan akhir tahun 1 di University of Southampton, England. Aku berehat dan tidur, bila sedar aku sudah tidak tentu hala. Duduk sakit, baring sakit, menonggeng, meniarap dilantai. Sekejap nak muntah, nak kencing, lepas itu nak berak. Berada dalam bilik air dalam masa yang lama. 
Sebahagian gambar yang berukuran lebih satu meter lebar
Aku tidak tahu bagaimana aku boleh berada di 'sick bay' untiversity. Bila dan siapa yang membawa aku kesana. Bila sedar aku bagai berada di tempat asing. Kesakitan sudah berkurangan kerana diberi suntikan 'pain killer'. Tidak ingat siapa yang menjaga, bila aku makan atau minum, bila aku tidur semula. Aku tidak tahu waktu, siang atau malam dan pagi atau petang, berapa lama aku telah berada disana dan penting sekali bagaimana aku akan menduduki peperiksaan akhir tahun yang akan menentukan samada aku akan dapat meneruskan ke tahun 2.
Sekali lagi aku tidak ingat bagaimana aku berada ditempat yang amat berlainan dari sick bay untuversiti. Aku yakin dan terus mengagak yang aku berada di hospital apabila melihat keadaan sekeliling dan melihat beberapa orang jururawat minah salleh berada di sekeliling katil. Seseorang cuba menerangkan sesuatu tidak pasti doktor atau pembantu atau jururawat. Tidak jelas apa yang dikatakan.
Dalam keadaan sedar dan tidak aku mendengar bahawa aku menghadapi masalah appendix dan ia telah bengkak dan bewarna biru. Mungkin akan pecah dalam masa terdekat. Jika pecah akan mendatangkan bahaya kerana ia mungkin akan memasuki saluran dan meracuni darah. Kawasan tersebut akan dijangkiti virus dan bekteria. Aku perlu dibedah segera untuk membuang appendix tersebut.
Baru perasan aku telah dipakaikan apron atau pakaian untuk pembedahan. Bila masa pula aku menanggalkan pakaian dan menyalin memakai apron nih .... Malu .. peduli apa. Aku tidak sedar pun.
Aku masih ingat dengan jelas bahawa perkataan akhir yang aku ungkapan ialah " .. I dont care if you chopped off my arm...!" (aku tidak peduli kalau anda hendak potong lengan saya) bila jururawat memberitahu bahawa mereka akan melakukan pembedahan sebentar lagi. Jururawat tersebut kemudian menyatakan bahawa aku akan disuntik anesthetic dan menyuruh aku mengira dari sepuluh hingga angka satu. Pada angka kelapan aku sudah tidak sedarkan diri.
Bila sedar sekali lagi aku terkejut apabila mendapati pakaian aku sudah disalin ke pakaian pesakit hospital. Bila masa pula jubah atau apron pembedahan ditanggalkan. Soalan pertama aku ucapkan ialah ... dimana pakaian dan selipar aku. Aku pakai selipar ke?. Aku berada dalam wad... dikiri kanan, dan dihadapan dipenuhi dengan katil katil yang dihuni oleh Mat Salleh. Aku seorang sahaja orang asing.
Bermulalah pengalaman sebagai pesakit yang jauh diperantauan. Jangan haraplah ada ahli keluarga yang akan datang menghuni kerusi dikedua dua belah katil dimana aku sedang berbaring. Tiada siapa yang akan duduk menunggu sebagaimana lazimnya pesakit yang dirawat dihospital. Tiada ahli keluarga yang tahu aku sedang terlantar dihospital sekarang. Siapa yang akan memberitahu perkara ini dan jika mereka tahu sekali pun tidak siapa yang mampu datang menziarah.
Tidak tahu berapa hari aku hari berada dikatil hospital tersebut. Tidak tahu bagaimana dengan peperiksaan yang sedang berjalan. Adakah aku terpaksa menduduki semua kertas berasingan dan seorang diri atau aku kena ulangi semula tahun 1. Tetapi yang paling merisaukan mampukan aku pulih untuk penerbangan balik ke Malaysia pada cuti musim panas dua minggu dari sekarang. Tiket sudah beli. Aku kena keluar dari asrama universiti sebelum berangkat pulang bercuti dikampung. Bagaimana dengan pakaian, buku, kelengkapan belajar lain serta stereo hi-fi.
Masa berlalu agak pantas dan tidak terasa bosan atau jemu kerana layanan dan kemudahan yang diberikan oleh pihak hospital. Aku tidak perasan tetapi sehari sebelum dibenarkan keluar dari hospital aku diberitahu, aku adalah pesakit yang paling ramai mendapat kunjungan dan pelawat. Beberapa pensyarah serta head of department datang melawat menyatakan supaya jangan risau kerana tidak dapat menduduki peperiksaan. Kawan kawan senegara dan juga kawan dari kuliah juga melawat selepas mereka menduduki kertas peperiksaan.
Kebanyakkan pesakit yang ada dalam wad tersebut amat mesra. Mereka melayan aku berbual, berjenaka dan memberi aku keutamaan ketika makan atau menggunakan kemudahan yang disediakan seperti surat khabar, radio tv dan sebagainya. Seolah olah mereka ingin menebus semula kesalahan mereka menjajah negara kita dahulu dan merompak dan mencuri kekayaan begara kita.
Kemesraan kakitangan dan pekerja hospital amat berbeza sekali berbanding tempat kita. Mereka begitu bersopan santun, bersikap professional dan berdedikasi. Layanan mesra, sama rata tanpa memilih warna kulit. Bangga dapat belaian dan sentuhan yang patut dicontohi.
Masa sebelum makan sentiasa aku nantikan. Dua tiga jam sebelum waktu makan, seorang kakitangan akan datang mengambil pesanan. "What would you like for lunch/dinner, love...?". Makanan yang dihantar sama seperti yang kita pesan. Macam dalam hotel pula.
Satu kemudahan dan diberikan ialah setiap katil disediakan dengan earphone untuk siaran radio dan TV. Tidak menganggu pesakit lain jika ingin mendengar radio atau menonton TV. Paling seronok apabila pekerja stesyen radio datang ke katil pesakit bertanya apakah pilihan lagu yang ingin disiarkan di radio.  Aku ingat lagi lagu yang aku minta iaitu 'Lucile' oleh Kenny Roger. Apabila lagu dimainkan di radio hampir semua pesakit didalam wad berkata " the radio is playing your song ...".
Peristiwa tersebut berlaku hampir 35 tahun lalu tetapi masih jelas dalam ingatan. Aku catatkan kedalam blog ini untuk berkongsi dengan pembaca dan sebagai rekod untuk aku. Aku dinaikkan ke tahun 2 bedasarkan keputusan peperiksaan satu kertas/subjek yang sempat aku duduki.
Singgah untuk breakfast digerai kesukaan aku di pinggir pekan Merbok. Hilang rasa letih dan dahaga .....

Statistik :
    Mula ............... 7.50 pagi 
    Tamat ............. 10.55 pagi
    Jarak ............... 61 km
    Cuaca .............. Nyaman, redup
    Laluan ............. Tanjung Dawai
   Odometer 2012 : 04227   
        

Tiada ulasan:

Catat Ulasan