Halaman

Sabtu, 22 Disember 2012

Hutan Lipur Ulu Bendol, Kuala Pilah

Aku berterima kasih kepada isteri kerana menggalakkan membawa basikal bersama untuk pulang ke kampung. Dia tahu aku akan mati akal duduk dirumah tanpa membuat sesuatu. Kalau ada basikal bolehlah membuat kayuhan untuk menghilangkan rasa bosan duduk sahaja. Lagi pun banyak lagi ruang di belakang Nisssan X-Trail aku. Ini kali ke tiga aku pulang kekampung membawa basikal.
Idea untuk kayuhan ke Ulu Bendol melalui jalan baru Bukit Putus tercetus sebaik sampai dipersimpangan Senawang sebelum memasuki lebuhraya LEKAS untuk kerumah ibu mertua. Aku terkejut kerana ibu mertua selalu menyebut nama aku sejak kebelakangan ini dan dia kelihatan sungguh gembira apabila kami muncul dihadapan rumah. Memang kami sengaja tidak memberi tahu yang kami akan pulang menjenguk.
Cuaca amat baik sekali, seolah meraikan akan rancangan anak perantauan untuk kayuhan ditempat sendiri pada pagi ini. Selepas sarapan pagi sekeping roti canai dan nescafe (terkejut sedikit bila membayar kerana harga lebih dari selalu aku bayar disebelah utara) aku menghala ke arah jalan Kuala Pilah.
Sejak mula kayuhan, hati aku tertanya tanya adakah selamat untuk mengikuti laluan ini. Sering aku terperangkap apabila memandu di jalan ini terutama pada hujung minggu dan musim perayaan.  Terlalu banyak kenderaan. Walaupun jalan baru mengantikan jalan Bukit Putus yang berliku seperti ular dipalu telah siap dan digunakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini tetapi jalan menuju ke Kuala Pilah dari Ulu Bendol masih ditahap lama. Sekarang kerja kerja menaiktaraf sedang dilakukan bagi menampung jumlah kenderaan.
Untuk pengetahuan jalan ini adalah salah satu jalan yang tersibuk keluar dari bandar Seremban selain dari Lebuh raya PLUS. Kini ramai yang menggunakan jalan ini untuk ke pantai timur temasuk ke Kuantan atau Karak. Tidak kurang juga yang menggunakan ia sebagai jalan alternative ke selatan melalui Gemas dan Segamat.
Pendakian dari arah Seremban sejauh hampir tiga kilometer tiada sebarang masalah, aku berhenti beberapa kali untuk mengambil gambar. Sampai di Hutan Lipur sebelum jam 09.00 pagi dan masih lengang. Aku berlegar dikawasan perkelahan dan agak terkejut kerana kemudahan yang disediakan. Memang jauh bezanya waktu aku kerap singgah lebih dari sepuluh tahun lalu. Terdapat kolam mandi yang agak luas. Berbeza dengan kolam mandi awam lain, air sentiasa mengalir kerana mengguna sumber air sungai.
Pada mulanya aku tidak berniat untuk singgah lama kerana aku bukan 'orang atau pencinta alam semula jadi' sangat. Sudah begitu lama aku tidak pergi ketempat perkelahan atau memasuki hutan rimba atau menjadikan taman taman rimba atau taman negara sebagai destinasi percutian. Tetapi bila aku duduk sendirian ditepi sungai yang mengalir ke taman rekreasi ini, keadaan begitu aman dan nyaman sekali. Aku menghabiskan masa lebih satu jam dan barulah aku bergerak melawat ketempat tempat lain.
Teringin juga terjun kedalam sungai untuk mandi tetapi aku tidak membawa pakaian mandi. Teringat masa kecil dan remaja dahulu menjadikan sungai tempat paling seronok beraktiviti. Aku hanya sekadar turun dipergigian sungai untuk membasuh muka dan membasahkan kepala. 'Jangan tidak' kata orang tua tua. Dibahagian hilir aku melihat tiga orang yang sudah berumur manda mandi dan bermain air seolah olah mereka masih lagi kanak kanak!
Aku berkayuh didalam kawasan ini dan mengikuti trek yang disediakan. Pengunjung lain samada berjalan kaki atau membawa kenderaan hampir ketempat perkelahan. Kebanyakkan sungai diempang menggunakan batu batu. Ini berfungsi untuk mengumpulkan air kerana air dari Gunung Angsi ini tidak begitu banyak dan membolehkan pengunjung mandi manda. Tidak tahu samada empangan kecil ini dibuat oleh pengunjung atau pihak yang menjaga kolam.
Aku mengikut trail yang membawa ke punca sumber loji rawatan air untuk bekalan air di kawasan ini. Dengan keadaan mutu fizikal air yang begitu jernih dan bersih kerana tiada sebarang aktiviti di kawasan tadahan, penduduk kawasan ini mendapat bekalan air minuman yang tidak banyak mengandungi bahan kimia. Kos rawatan air juga boleh dikatan jauh berkurangan dari loji konvensyional.
Berpatah balik ke kawasan utama dan aku ke Taman Ular Sawa. Tidak banyak ular yang dipamerkan tetapi tiada sebarang bayaran dikenakan untuk melawat. Ular yang dipamerkan bukan sahaja dari species tempatan tetapi juga dibawa dari luar negara.


Aku bertanya kepada seorang pengawal keselamatan taman ini tentang jalan atau trek ke Gunung Angsi. Aku diberitahu ada dua laluan, satu dari taman ini dan satu lagi dari jalan lama Bukit Putus. Aku berminat untuk membuat pendakian tetapi bukan untuk hari ini. Aku juga difahamkan tidak ramai pendaki kecuali pada hujung minggu atau cuti panjang. Itu pun kalau ada pelajar IPT yang membuat aktiviti. Kebanyakan pendaki awam berbangsa Cina.
Setiap pendaki dikehendaki mendaftar di pejabat perhutanan dan membayar RM5.00 sebelum membuat pendakian. Satu perkara lagi pendakian hendaklah dimulakan sebelum jam 09.00 pagi. Oh .... pelik bunyinya. Tidak pasti apa tujuan.
Mengikut pengawal tersebut, pendakian mengambil masa hampir 2 jam bagi yang kurang atau tidak biasa. Pendaki tidak dibenarkan bermalam diatas gunung dan dikehendaki turun dan keluar dari kawasan hutan lipur ini sebelum jam 07.00 malam. Aku akan membuat pendakian dimasa akan datang.
Aku risau melihat kereta bertali arus tanpa henti dikedua dua arah. Terpaksa berhati hati membuat kayuhan dalam keadaan ini. Nasib baik kerana aku hanya perlu berkayuh kurang dari 2 km sebelum membelok ke jalan lama Bukit Putus. Pendakian hanya satu kilometer dan kemudian menurun. Berehat dipuncak jalan lama sambil memerhatikan kenderaan yang sibuk di jalan baru.


Aku kehabisan minuman air dan bercadang untuk membeli minuman sejuk di kedai pertama aku jumpa. Berjumpa dengan penjual air kelapa di tepi jalan. Ini lebih baik dari air 'isotonik'. Harga sebiji kelapa lebih murah dari Sungai Petani. Hanya RM2.50. Penjual tersebut berbangsa Aceh. Agaknya sumber kelapa disini lebih dekat berbanding dengan sumber kelapa yang dibekalkan kepada peniaga di Sungai Petani.
Masa untuk makan tengah hari. Ada dua restoren mamak dalam laluan pulang, tetapi aku tidak berselera lansung. Disatu persimpangan ternampak sebuah restoren Melayu dan berbaloi menahan lapar. Hampir empat puluh jenis lauk disediakan dan aku memilih gulai ikan sembilang (keli kalau disebelah utara) salai masak lemak cili padi. Sodap....... kalau di Negeri Sembilan tidak lah sah kalau tidak pekena makanan masak lemak.
Satu yang lucu berlaku. Tuan kedai datang mengira dan meletakkan kertas tanda harga diatas meja. Kerana tidak mahu ditiup angin aku mengambil kertas tersebut dan meletakkan dibawah pinggan. Sepuluh minit kemudian dia datang untuk mengira harga makanan pelanggan berhampiran meja aku dan sekali lagi mengira harga makanan kerana dia tidak nampak kertas yang aku letakkan dibawah meja. Lucunya kiraan pertama ialah RM5.50 manakala kiraan kali kedua hanya RM5.00 sahaja. Cuba teka berapa aku bayar.
Aku puas dengan kayuhan pagi ini. Walaupun pendek tetapi amat bermakna sekali. Ianya hampir 600 km dari tempat aku bermastautin dan aku dibesarkan di kawasan ini. Ada beberapa tempat lagi yang aku ingin teroka dengan basikal. Itu episod akan datang .........

Statistik :
    Mula ............... 8.05 pagi 
    Tamat ............. 11.30 pagi
    Jarak ............... 35 km
    Cuaca .............. Nyaman, redup
    Laluan ............. Senawang - Ulu Bendol 
   Odometer 2012 : 04260   
        


Tiada ulasan:

Catat Ulasan