Halaman

Sabtu, 27 November 2010

Kayuhan akhir bulan November

Dari dahulu aku memang kurang berminat untuk membuat kayuhan secara berkumpulan. Kelmarin seorang rakan membuat rancangan untuk membuat kayuhan dari Pinang Tunggal ke Rekreasi Tupah. Ada beberapa orang yang akan mengikuti kayuhan tersebut termasuk seorang dua yang baru menceburikan diri dalam aktiviti berbasikal. Mengikut rancangan mereka akan 'kelui' bila sampai dipersimpangan Giant Hypermarket dan aku akan joint mereka di lencongan barat. Juga mengikut rancangan mereka akan memulakan kayuhan pada jam 7.30 pagi dan aku jangkakan mereka akan sampai berhampiran rumah aku pada jam 8.00 pagi.
Tabiat semulajadi aku kalau tiada apa hal menghalang aku akan keluar rumah sebelum jam 7.30 pagi, jadi aku mengayuh perlahan-lahan kearah Pinang Tunggal. Harapan aku jika berjumpa mereka dipertengahan jalan aku akan berpatah dan bersama mereka untuk meneruskan kayuhan ke Tupah. Perasaan lega bila membuat pendakian jalan Taman Kempas kerana aku melihat beberapa rider dari arah bertentangan. Aku memperlahankan basikal untuk membuat pusingan. Agak kecewa kerana itu group lain yang aku tidak kenal. 
Bila sampai ditempat permulaan kayuhan aku dapati hanya tiga orang berada disitu. Tiga orang lain masih belum kelihatan walaupun waktu telah melepasi 8.00 pagi. Beberapa panggilan telefon dibuat dan setelah menunggu dua orang lain 'showed up' dan seorang lagi memberitahu tidak dapat membuat kayuhan. Akhirnya kayuhan dimulakan pada jam 8.30 pagi, satu jam lewat dari masa yang dijanjikan dan hanya enam orang cyclist.
Semasa bermula aku sudah berkayuh sejauh 9km dari rumah ke Pinang Tunggal.

Telok Bayu.                                                                       Gunung Jerai di bahagian belakang

Geng yang ikut serta kayuhan pagi ini.                                  Berehat sebelum pendakian Bukit Batu Lintang
Baki dua hari untuk bulanNovember ini aku tidak dapat membuat kayuhan kerana akan pergi mengikuti lawatan anjuran Jabatan Pertanian Kuala Muda  ke Johor untuk melawat ladang tanaman nanas. Semasa pulang rombongan akan singgah di Serdang, Selangor untuk  menghadiri Expo Pertanian MAHA yang sedang berlangsung mulai 26 Nov hingga 05 Disember 2010.

Statistik :

   Mula ............. 8.30 pagi
   Tamat ........... 10.45 pagi
   Jarak ............ 38 km
   Cuaca ........... redup
   Laluan .......... Pinang Tunggal - Matang Kedondong - Taman Rhu - Tikam Batu - Batu Lintang - Teluk Bayu



Khamis, 25 November 2010

Dimana Pekan Singkir

.
Tidak boleh dikira berapa kali melalui jalan ini, samada berulang alik pergi kerja di Alor Setar, pergi ke Yan, Tanjung Dawai atau membuat kayuhan basikal. Selama ini aku sangka Pekan Singkir hanya beberapa biji kedai/gerai makanan bertaburan dikiri kanan jalan bersebelahan dengan sekolah dan masjid Singkir. Hari ini aku 'terjumpa' Pekan Singkir yang terletak dibahagian belakang jalan.
Pekan Singkir dibahagian belakang jalan utama Sungai Petani - Yan
Terdapat hanya lebih kurang 15 unit rumah kedai cum kediaman yang dibina tiga atau empat puloh tahun lalu yang diperbuat dari papan. Kebanyakkan kedai kepunyaan kaum Cina. Permerhatian aku hanya terdapat sebuah kedai makan Melayu tersepit ditengah tengah bangunan. Pekan Singkir ini mungkin terpindah kebelakang apabila jalan utama Sungai Petani - Yan/Tanjung Dawai diluruskan atau diperbesarkan. Pekan ini tidak mempunyai nilai komersial, mungkin hanya memenuhi keperluan penduduk disekitar.
Aku terjumpa bangunan kedai Pekan Singkir secara tidak sengaja. Semasa kayuhan pulang dari Tanjung Jaga aku membelok kekanan menyusuri Sungai Singkir menghala ke kaki Gunung Jerai. Selepas melalui kampung disepanjang sungai tersebut jalan tersebut membawa aku balik kejalan utama dan sampai ke Pekan Singkir. Pekan tersebut semacam pekan koboi cuma kuda diganti dengan motorsikal dan kereta.
Sungai Singkir
Aku memang berniat untuk menjelajah kampung kampung, melihat keadaan dan suasana kampung, menghayati aktiviti yang dijalankan dikampung tersebut. Sungai Singkir  bersih dan air mengalir agak deras. Pada musim hujan air sungai agak banyak. Terdapat beberapa kunci air untuk menghalang air masin memasuki bendang padi.Jalan tar walaupun kecil terapi elok dan bersih. Aku mengayuh sehingga ke penghujung jalan sehingga bertemu dengan jalan tanah biasayang mungkin menghala kedusun dan kebun. Memang seronok melalui kawasan perkampungan sekali sekala. Banyak lagi lorong lorong yang ingin aku masuki tetapi hari sudah agak tinggi dan aku perlu ke bank untuk membuat transaksi. Mungkin dimasa lain aku akan mencari masa untuk menjelajah dan meneroka lorong lorong kecil kampung.
Roti canai, Milo O dan air suam
Aku singgah di gerai kegemaran aku untuk mengisi perut sambil menghilangkan penat lelah. Seperti biasa aku memesan roti canai kosong 'banjir', milo kosong dan air suam. Harga. Cuma RM1.50 sahaja. Bukan harga yang menjadi kriteria aku menyukai gerai ini tetapi lokasi yang strategik, layanan mesra dan pantas (tidak perlu menunggu lama), enak dan ramai pelanggan tetap yang sering menegur dan berbual.
Aku tidak melalui jalan Batu Hampir/Pengkalan Bujang untuk pulang tetapi berpatah semula melalui jalan Merbok - Tupah kerana  aku ingin mengambil gambar mercu tanda masuk kilang 'chipboard' Dongwha. Dulu kilang ini dipunyai oleh MDF Merbok tetapi telah dijual kepada syarikat dari Korea ini sejak beberapa tahun yang lalu. Satu lagi kilang sama yang terletak di Padang Meha, Kulim juga diambil alih oleh syarikat ini.
Replika Candi Lembah Bujang
Apa yang menarik tentang mercu tanda ini ialah dibina menyerupai candi yang terdapat di Lembah Bujang. Ini adalah satu usaha yang amat prihatin oleh kilang tersebut untuk memperingati kesan sejarah yang terdapat dikawasan tersebut. Tidak perasan pula mercu tanda tersebut dibina oleh pemilik terdahulu atau pemilik kilang sekarang. Yang penting lebih banyak lagi usaha usaha dibuat oleh pihak kerajaan, swasta, NGO atau individu untuk melakukan perkara sedemikian. Satu persoalan. Berapa ramaikah orang yang berulang alik dan melalui jalan ini perasan dan mengambil peduli tentang struktur tersebut.
Aku pulang mengikuti jalan yang sama dilalui semasa pergi.

Statistik :

   Mula ............. 7.25 pagi
   Tamat ........... 10.30 pagi
   Jarak ............. 56 km
   Cuaca ............ nyaman, redup
   Laluan ........... Pekan Semeling - Merbok - Tanjung Jaga.

Isnin, 22 November 2010

Kolam Pengimbang T8

Semasa menghampiri traffic light Sungai Pasir, sebuah motor menghampiri dari belakang dan menegur aku. Walaupun tidak berapa jelas aku tahu orang yang menegur itu adalah Shukri, rakan sekerja dahulu dan kawan baik. Dia terus berlalu tetapi menunggu aku selepas lampu isyarat. Sempat bersembang sebentar kerana dia dalam perjalanan ketempat kerja.
Masih belum ada kesempatan untuk membuat kayuhan dengannya. Dua minggu lepas pada 13 Nov 2010 dia menelipon aku awal pagi mengajak aku membuat kayuhan ke Tupah. Aku terpaksa menolak kerana terlibat pada program IWK bersama penduduk yang diadakan di Taman Nilam, Sungai Petani.
Shukri adalah orang yangbertanggungjawap membuat aku terjerumus dalam aktiviti berbasikal. Pada awal tahun 2000 dia membeli sebuah basikal mountain berjenama Montana Dakar dan kemudian meracun aku untuk membeli juga. Kononnya untuk mencari rakan kayuhan. Pada waktu itu aktiviti sukan berbasikal masih lagi diperingkat awal dan tidak ramai yang menceburinya (di Sungai Petani). Mungkin hanya sekali dua kami  membuat kayuhan bersama, itu pun dalam kawasan taman sahaja. Dia juga mempunyai aktiviti termasuk motorsikal berkuasa tinggi. Pernah bermotorsikal ke Cheng Mai, Golden Triangle, Laos, Kamboja dan lebih kerap bermotosikal dalam negeri.
Hampir sepuloh tahun dia tidak mengambil serius tentang aktiviti berbasikal hinggalah beberapa bulan yang lalu bila ia membeli basikal mountain yang lebih elok dari basikal pertamanya. Sedangkan aku menjadi semakin aktif berbasikal.
Walau bagitu dia masih tidak mahu membuat kayuhan bersama aku kerana masih dalam latihan dan belum sampai keperingkat yang  membolehkan dia membuat kayuhan lasak dan jarak jauh. Dia cuma berkayuh dalam jarak 20km sekali atau dua kali seminggu. Welcome to the club....................

Gunung Jerai di belakang. Pemandangan dari Bukit Taman Kempas
Statistik :

   Mula ............... 7.45 pagi
   Tamat ............. 9.30 pagi
   Jarak .............. 25 km
   Cuaca ............. cerah
   Route .............. Lencongan Barat - Bukit Taman Kempas


Sabtu, 20 November 2010

Bertentangan Arah

Sudah lama aku tidak membuat kayuhan dengan Juan. Aku ternampak dia dari arah bertentangan semasa membuat pendakian jambatan keretapi di Laguna Merbok. Dia tidak nampak aku kerana mempunyai masalah mata, aku tegur dengan panggilan kuat. 
Kebelakangan ini Juan tidak lagi berminat menggunakan mountain bike dan kini dia mempunyai tiga biji roadbikes. Ini adalah sebab kenapa kami tidak lagi membuat kayuhan bersama kerana aku masih menggunakan mountain bikes. Roadbikes yang digunakan pagi ini adalah single speed.
Minggu lepas dia membuat kayuhan roadbikes hampir 150 km dari Sungai Petani ke Alor Setar melalui Jenun dan Pendang. Kayuhan pagi ini mengikuti lencongan timur dan kemudian lencongan barat adalah sebagai persediaan untuk kayuhan jauh esok Sabtu 21 Nov dari Sungai Petani ke Changlon dan Universiti Utara Malaysia melalui jalan persekutuan. Beberapa orang kawannya mengambil bahagian dalam Kayuhan UUM - Shimano pada pagi 21 Nov. Menurut Juan dia akan menumpang kenderaan untuk balik ke Sungai Petani.
Aku mulakan kayuhan agak lewat kerana hujan pada awal pagi. Walaupun hujan telah berhenti pada sebelum jam 7.00 pagi tetapi keadaan agak lembab dan jalan dipenuhi dengan air. Kebiasaan dalam keadaan sebegini jalan agak sibuk kerana kenderaan memperlahan kelajuan. Difikirkan lebih selamat jika aku menunggu sehingga keadaan agak reda. Juga aku ingin memastikan hujan tidak akan turun semula.
Kayuhan dalam Gua Kelam, Perlis - 2008
Selama ini aku selalu beranggapan bahawa mesti memulakan kayuhan sebelum jam 8.00 pagi. Jika melebihi waktu tersebut aku akan batalkan kayuhan. Tidak tahu kenapa. Mungkin kerana takutkan cuaca panas. Tetapi apakah beza jika membuat kayuhan jauh yang mengambil masa sehingga lima enam jam. Pastinya perjalanan pulang pada waktu matahari terik. Jestru sekarang aku tidak kesah sangat waktu untuk membuat kayuhan kecuali jika ada kerja yang perlu dilakukan pada pagi tersebut.
Pada kayuhan petang kelmarin aku melihat satu kemalangan melibat motorsikal dan pickup truck di Jalan Sungai Petani - Butterworth. Pagi ini pula kemalangan melibatkan dua kereta di lencongan timur berhampiran dengan Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.
Kebelakangan ini statistik kemalangan jalan raya di Malaysia amatlah membimbangkan. Terutama pada musim perayaan, cuti umum dan cuti sekolah. Mengapa jadi begini. 
Aku kadangkala merasa takut dan ngeri dengan keadaan ini, sering berfikir banyak kali untuk melalui jalan jalan utama yang sibuk dengan kenderaan. Bukan aku tiada angan-angan atau tidak teringin untuk memiliki 'roadbikes' dan membuat kayuhan jarak jauh. Aku merasa lebih selamat membuat kayuhan menggunakan mountain bikes meredah hutan, bukit bukau, tepi bendang dan sungai, dalam ladang getah atau kelapa sawit dan membuat pendakian gunung.

Statistik :

   Mula ........... 8.25 pagi
   Tamat ......... 9.40 pagi
   Jarak .......... 32 km
   Cuaca ......... redup
   Route .......... Lencongan barat - lencongan timur

Jumaat, 19 November 2010

Halangan halangan berbasikal

Teringat kata kata seorang yang aku hormati ditempat kelahiran. Pak Long Ahmad, anak seorang guru agama yang mengajar aku mengaji Kor'an, fardu ain dan lain lain bersangkutan dengan agama, baru sahaja meninggal pada tahun 2009. Menurutnya salah sebab utama kenapa orang kita kurang berjaya dalam perniagaan ialah kerana tuntutan keagamaan dan kemasyarakatan.
Apa kena mengena dengan blog basikal? Dua hari yang lepas aku tidak dapat membuat kayuhan kerana Hari Raya Aidil Adha pada hari Rabu manakala keesokkan harinya bersama ahli kariah menyembelih lembu qurban di masjid taman perumahan aku. Dimasa cuti sekolah ini banyak hari hari dimana kayuhan terpaksa dibatalkan kerana undangan walimatul urus kenduri kahwin sahabat handai dan taulan.
Berbalik kepada kata kata Pak Long Ahmad, kita tidak boleh mengelakkan kewajipan menunaikan hajat jemputan untuk meraikan perkahwinan, tidak boleh meninggalkan kewajipan menziarahi orang sakit dan penting sekali orang meninggal dan hal agama lain. Semua kegiatan perniagaan mesti dihentikan atas alasan dan sebab sebab tersebut. Aku pula meluaskan lagi bukan sekadar perniagaan tetapi aktiviti lain juga terpaksa ditinggalkan.
Petang ini cuaca agak baik dan aku tidak melepaskan peluang untuk membuat kayuhan yang sudah tiga hari aku tinggalkan. Pagi tadi Juan (rakan berkayuh yang kini berusia 76 tahun) datang kerumah selepas kayuhan paginya. Dia menceritakan pengalaman kayuhan 140 km yang dibuat pada hari Ahad lepas. Ini menaikan lagi semangat aku.
Jerat cina Sungai Petani bersebelahan lebuhraya
Aku berkayuh ke jerat cina yang terbesar di Sungai Petani, terletak bersebelahan dengan Bukit Taman Kempas yang selalu aku kunjungi. Jerat cina ini merangkumi keluasan melebihi 50 ekar (anggaran aku)  dan kountour yang berbukit. Aku memilih kawasan ini kerana ianya tidak berhutan, mempunyai banyak laluan mendaki dan menurun dan mempunyai pemandangan yang menarik sama seperti pemandangan dari atas Bukit Kolam Air Taman Kempas. 
Kenapa bila kita (orang Islam) tidak merasa takut bila pergi ketempat tersebut berbanding kalau pergi ke perkuburan Islam. Perbezaan ketara ialah dari segi kebersihan kawasan jerat yang dijaga rapi. Hinggakan jalan jalan dibubuh tanda petunjuk. Aku sempat bersembang dengan seorang kontraktor yang sedang membina tapak perkuburan orang yang baru mati. Kos kubur kini mencapai harga RM40 ribu tidak termasuk lot tapak yang mencecah harga RM15 ribu.
Keseluruhan aku membuat empat pendakian di kawasan berbeza. Terpaksa berhenti pada dua pendakian kerana kehabisan kederat (tenaga). Tetapi dapat dihabiskan. Rantai basikal mengalami masalah terkeluar dari cog tetapi hati aku puas  dengan peluh yang mengalir keluar dari badan seolah mengeluarkan toksik dan lemak yang dikumpulkan semasa Hari Raya Aidil Adha.

Statistik :

  Mula .................. 5.30 petang
  Tamat ................ 6.45 petang
  Jarak ................. 25 km
  Cuaca ................ Redup
  Route ................ Jerat Cina Taman Kempas

Rabu, 17 November 2010

Selamat Hari Raya Aidil Adha

Bila aku terjaga dari tidur pagi ini, aku berfikir kemana hendak membuat kayuhan pagi ini. Dalam seminggu dua ini aku telah mengayuh kemerata tempat. Kini bagaikan tercari cari tempat yang sudah lama aku tidak pagi.
Dalam merancang rancang baru teringat bahawa hari ini adalah hari raya Aidil Adha.  Astagarafirrullah  ................... Macam mana aku boleh terlupa, mungkin kerana banyak sangat makan malam tadi ketika menolong isteri dan anak menyediakan makanan untuk menyambut hari raya atau mungkin dah menjadi kebiasaan. Walaubagaimanapun, aku mengucapkan ....

SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA 
kepada semua musliman dan muslimat.


Ahad, 14 November 2010

Bagan Ajam

Sukan Asian 12 ~ 27 Nov 2010
Cuaca pagi ini cerah berbanding dengan cuaca berberapa hari yang lalu. Seawal jam 7.15 pagi matahari sudah mula kelihatan. Aku tidak melepaskan peluang untuk membuat kayuhan pagi ini. Sebelum tidor malam tadi aku telah bercadang untuk mengayuh kearah selatan jika cuaca mengizinkan.
Betapa beruntungnya di Malaysia ini kerana tiada cuaca yang extreme. Jika di negara sebelah utara (maksud aku di utara khatulistiwa) mereka sedang mengalami musim luruh diikuti musim sejuk dalam masa sebulan lagi. Ketika ini kebanyakkan aktiviti luar dihentikan kerana cuaca sejuk serta keadaan jalan dan tanah yang lembab. Keadaan adalah lebih teruk jika kawasan yang mengalami salji.
Aku bercakap tentang aku sendiri. Bila cuaca sejuk dan hujan berkehendakkan panas dan apabila cuaca panas, alangkah seronoknya kalau cuaca sejuk dan nyaman sedikit.
Pada awalnya aku bercadang untuk terus ke Butterworth melalaui lencongan luar di tepi pantai, tetapi aku kena pulang awal kerana ada beberapa hal yang perlu diselasaikan. Aku merasa agak keletihan kerana kelmarin ada program dengan IWK dan Rukun Tetangga yang diadakan di Taman Nilam Sungai Petani.
Sebuah kapalterbang lama yang sudak berpuloh tahun dikeluarkan dari servis yang dipamerkan diluar pintu masuk RMAF Butterworth menarik perhatian aku. Selama ini aku tidak ambil peduli pon. Aku ingin mengambil gambar tetapi terasa malu. Mungkin dilain masa aku akan memberanikan diri.
Ramai juga cyclist yang aku jumpa, ramai yang  berkumpulan. Aku tersentak apabila ditegur dari belakang oleh seorang cyclist yang menggunakan roadbikes. Aku join kayuh dibelakang tanpa meminta izin dan dapat menyaingnya hampir 5 kilometer. Kemudian aku tercungap keletihan dan cyclist tersebut terus membelok kearah pekan Penaga. Mungkin kerana aku telah berkayuh hampir 35 km tanpa henti, jika tidak aku pasti dapat 'sparring' dengan hanya menggunakan mountain bikes.
Aku mengambil kesempatan selamat berjuang kepada atlit Malaysia yang mengambil bahagian dalam sukan Asia yang diadakan di Guonzho China mulai 12 November hingga 27 November 2010, terutama atlit yang mengambil bahagian dalam sukan berbasikal. Semoga mereka beroleh kemenangan dan mengharum nama negara.



Statistik :

Mula ...................... 7.45 pagi
Tamat .................... 10.30 pagi
Jarak ...................... 64 km
Cuaca ..................... panas
Route ..................... Tikam Batu - Kepala Batas - Bagan Ajam

Rabu, 10 November 2010

Gulai Ikan Sembilang - Tanjung Dawai

Mungkin aku salah dengar atau aku salah faham, setelah dua puloh minit menunggu dan Milo kosong aku hampir sejuk, barulah pesanan nasi lauk ikan semilang dihantar kemeja aku. Aku tergaman kerana ianya bukan yang dipesan. Aku sekadar mahukan sepinggan nasi (setengah) dengan seketul gulai ikan sembilang dengan kuih 'banjir' kerana masih awal untuk makan, sebagai minum pagi. Tetapi yang dihantar sepinggan nasi penuh dan satu claypot yang berisi dua ketul ikan (seekor) dengan belahan tomato dan sayur kacang buncis. Aku panggil pelayan dan bertanyakan hal tersebut dan makanan yang dihidangakan adalah kuantiti standard untuk satu orang berharga RM8.00. Boleh ke aku ambil seketul ikan dan berapakah harga. Kurang dua ringgit. Jenuh juga aku menghabiskan sepinggan nasi tersebut.
Itulah pengalaman semasa aku singgah untuk mengalas perut semasa kayuhan pulang dari Tanjung Dawai. Aku kena lebih berhati hati dimasa akan datang. Jarang atau tidak pernah aku makan nasi seawal jam 9.00 pagi, aku cuma teringin untuk mencuba gulai ikan sembilang kedai tersebut atas recommendation kawan yang sering singgah dikedai tersebut bila membuat kayuhan ke Tanjung Dawai. OK... aku setuju keenakkan masakan yang disediakan tetapi perlu ada notis atau menu termasuk harga yang jelas supaya pelanggan tidak keliru.
Pada awalnya  aku tiada  rancangan untuk ke Tanjung Dawai. Aku hanya ingin ke Muzium Arkeologi Merbok untuk menghabiskan kayuhan yang tergendala beberapa hari lepas akibat kerosakkan pada derailer depan. Tidak tahu kenapa tetapi aku melencong ke jalan Batu Hampar. Mungkin kerana cuaca yang agak redup dan nyaman.
Semasa melalui jalan tersebut aku ternampak penunjuk arah ke Masjid Lama Batu Hampar lebih kurang 3km dari jalan utama. Aku teringin sangat melihat masjid tersebbut tetapi mungkin akan singgah semasa perjalanan pulang nanti. Satu lagi tempat yang ingin aku lawati ialah kunci air Sungai Derhaka.

Ibrahin Din, A.R. Tompel dan P. Ramlee
Ini gambar pelakon/seniman agung yang pernah dilahirkan dinegara kita, P. Ramlee, A.R Tompel dan Ibrahim Din yang aku jumpa dalam sebuah akhbar hari ini.  Dengan bergayanya berbasikal menggunakan pakaian dan kasut yang sesuai untuk ke pejabat koperat. Ini adagen dalam lakonan filem 'Do Re Mi' yang agak top pada zaman 1960'an. Agaknya ada  ke orang yang sanggup berbuat begini pada masa ini.

Statistik :

    Mula ................. 7.25 pagi
    Tarikh .............. 10.35 pagi
    Jarak ................ 59 km
    Cuaca ............... Redup
    Route ................ Semeling - Merbok - Batu Hampar - Sg Pial - Tanjung Dawai - back


Selasa, 9 November 2010

Bukit Taman Semarak

Untuk mengelakkan rasa jemu dan bosan, seeloknya kena lakukan aktiviti senaman lain. Kalau kita hadkan kepada hanya satu aktiviti sahaja, kemungkinan kita akan 'cemuih' dan akhirnya tidak meneruskan aktiviti tersebut. Lapuran ramalan kaji cuaca untuk Sungai Petani yang disiarkan dilaman utama 'Yahoo' menyatakan cuaca akan panas pada pagi ini dan hujan akan turun disebelah petang. Walau begitu aku tidak bercadang untuk membuat kayuhan hari ini sebaliknya bercadang untuk mendaki bukit. Agaknya lebih lima bulan aku tidak melakukan aktiviti ini.
Sebelum aku bergiat dalam aktiviti basikal, aku melakukan berjalan kaki mendaki bukit. Kami di Sungai Petani baik kerana terdapat sebuah bukit tidak  sampai lima kilometer dari bandar. Terdapat laluan yang luas dan selesa untuk penduduk tempatan melakukan aktiviti berjogging (mendaki).
Setiap pagi dan petang terdapat puluhan orang yang melakukan aktiviti ini tanpa mengira usia atau jantina.  Jika diikutkan statistik lebih dari 50% adalah warga tua yang melebihi umur 60 tahun. Kelebihan melakukan aktiviti ini adalah ianya boleh dilakukan berseorangan dan pada bila bila waktu sahaja. Tidak perlu bimbang tentang keselamatan kerana disana selalu ada orang.
Jalan naik dari Taman Semarak
Bukit tersebut dianggarkan mempunyai ketinggian hampir 200 meter dari paras laut. Untuk sampai kepuncak, laluan tidak menegak tetapi mengikut menyusur  dengan kecuraman yang tidak  terlalu curam.  Dari puncak bukit tersebut kita dapat melihat Sungai Petani disebelah utara dan Pulau Pinang disebelah selatan. Terdapat berbagai jenis tumbuhan dan dusun buah-buahan.   Kebiasaan, tempat permulaan dan tamat pendakian adalah di Taman Semarak.
Secara kasarnya tempoh yang diambil untuk membuat satu pusingan pendakian ialah satu jam jika mengikuti trek biasa. Bagi pendaki yang telah 'season' mereka akan turun mengiku laluan ke Pekan Tikam Batu dan kemudian membuat pendakian semula untuk turun disebelah Taman Semarak. Pada hujung minggu atau cuti umum, bilangan bertambah menjadi tiga atau empat kali ganda dari bilangan pada hari biasa. Terdapat juga kumpulan remaja yang membuat perkelahan dipuncak bukit.
Dahulu terdapat sebuah air terjun kecil dipertengahan pendakian, tetapi kini airnya amat berkurang kerana aktiviti pertanian diatas. Pada musim buah-buahan pendaki boleh membeli buah seperti cempedak, durian, petai dan asam gelugor dengan harga yang agak murah.
Bagi orang biasa yang belum pernah membuat pendakian bukit ini akan berasa sukar untuk sampai keatas. Aku sendiri semasa mula mula mendaki berhenti tidak kurang dari 20 kali dan mengambil masa lebih dua jam untuk sampai kepuncak. Kini aku boleh menghabiskan keseluruhan pendakian dan turun dalam tempoh kurang satu jam. Pendaki bermual seawal jam 6.00 pagi dan pada sebelah petang ada yang memulakan pendakian selewat jam 7.00 petang.
Kepuasan pendakian bukit memang tidak dapat dibandingkan dengan kayuhan basikal kerana ia agak berbeza. Bagi mereka yang aktif, peluh yang keluar akan membasahi keseluruhan baju dan seluar. Denyutan jantung lebih laju dan kuat. Otot otot kaki adalah lebih tegang.
Kalau bernasib baik kita akan melihat binatang kecil seperti ulat gonggok, lipan, ular kecil, rama-rama dan yang seronok melihat semut yang bersaiz besar. Kadang kala kita dapat melihat ribuan semut beratur bergerak perlahan lahan untuk berpindah sarang. Awas .... pada musim hujan akan pacat yang bersedia untuk hinggap dikaki dan menghisap darah melainkan jika kita memang berniat untuk mendermakan darah kita kepada pacat pacat tersebut. Juga berhati pada babi hutan yang mencari makanan ditepi jalan laluan kita. Biasanya babi tersebut akan lari apabila dihampiri manusia.
Perlu diingatkan bahawa ada beberapa laluan yang agak curam semasa membuat penurunan. Lebih bijak jika membawa tongkat agar dapat menahan kita dari terjatuh semasa turun. Aku sendiri telah jatuh beberapa kali semasa menurun. Jika pada musim hujan jalan menjadi licin dan pendaki sering tergelongsor dan jatuh. Gunakan kasut yang sesuai yang mempunyai stud getah.

Pandangan ke arah selatan - Tikam Batu
Pemandangan ke arah utara - Sungai Petani

Satu lagi aktiviti aku ialah berkayak.  Tetapi ini akan aku tulis pada lain masa.


Ahad, 7 November 2010

Kampung Jerong

Sepatutnya aku pergi ke Kangar Perlis pagi ini untuk menemani anak perempuan aku membersihkan rumah sewa yang ditinggalkan sejak hari Selasa lepas kerana banjir. Risau juga kalau ada binatang berbisa memasuki rumahnya, juga untuk memeriksa kalau keretanya dimasuki air. Rumah tersebut ditinggalkan sebaik sahaja air mulai naik, sempat mengemaskan barang barang terutama buku-buku rujukan. Diharapkan air tidak masuk sampai melebihi paras 3 kaki didalam rumah. Jika tidak habislah buku buku tersebut.
Walaupun banjir di Kangar dilaporkan telah surut, tetapi jalan masih tidak boleh dilalui terutama jalan Alor Setar ke Air Itam, Kedah. Jadi terpaksa ditangguhkan sehingga esok.
Jarang sekali aku membuat kayuhan tiga hari berturut turut iaitu pagi Jumaat, Sabtu dan Ahad (hari ini). Kalau dua hari berturut turut biasalah. Bila aku keluar untuk memulakan kayuhan awan hitam memenuhi langit, tetapi pengalaman memberitahu kemungkinan besar hujan tidak akan turun.
Aku merancang untuk mengayuh arah sebelah timur menghala ke Baling. Ketika keluar dari jalan lencongan barat, hati aku berbelah bagi samada untuk meneruskan kayuhan ke timur dengan keadaan langit mendung atau ke selatan menuju ke Butterworth. Disebelah selatan kelihatan lebih cerah. Tetapi aku meneruskan kayuhan mengikut rancangan awal. Mungkin pada trip yang lain aku akan ke selatan pula. Sesekali aku merasakan rintik rintik hujan jatuh ke muka. Walaupun aku berasa tidak selesa kerana takut hujan akan turun, aku teruskan kayuhan.
Di persimpangan jalan memasuki lencongan barat aku melihat dua orang cyclist dan sempat memberikan lambaian persahabatan. Walau tidak kenal tetapi kerana mempunyai hobi dan aktiviti yang sama kira kawan lah juga. Seorang pengayuh solo dari arah bertentangan semasa melalui jalan lencongan timur.
Tiada apa yang penting untuk dicatatkan semasa kayuhan tersebut. Aku tidak perasan yang hari ini adalah cuti am bagi negeri Kedah menggantikan cuti am Deepavali yang jatuh pada hari Jumaat yang lepas. Patutlah kurang kenderaan dijalan raya. Pejabat kerajaan dan pejabat ajensi kerajaan semuanya tutup. Hanya terdapat beberapa penumpang menuggu di stesyen bas dan teksi Kuala Ketil.
Mercu tanda Taman Darulaman Utama Kuala Ketil
Aku berkayuh melepasi pekan Kuala Ketil dan membelok ke kanan kerana tertarik dengan mercu tanda 'Darulaman Utama'. Tidak tahu apa yang ada disana. Aku tidak terkejut kerana mercu tanda itu adalah kawasan perumahan yang kira elite untuk pekan Kuala Ketil. Kawasan perumahan ini agak besar dan jalan yang selesa. Terdapat pusat komersial yang lengkap untuk kemudahan penduduk. Aku kemudian mengikuti jalan dibelakang pekan di mana terdapat kawasan perumahan kos rendah.
Kerana waktu masih awal aku tidak berhenti untuk sarapan di pekan ini. Aku berpatah balik menuju ke Sungai Petani. Ikur rancangan awal aku akan menghala ke Merbau Pulas dan Pekan Karangan untuk pulang. Cuaca yang tidak menunjukkan sebarang perubahan membuatkan rancangan tersebut dibatalkan.
Masjid Kampung Cicar Titi Baru
Apabila melintasi Sungai Muda, aku mengikuti jalan menyusur Sungai Muda melalui Kampung Cicar, Titi Baru. Melalui jalan kampung dicelah celah rumah kampung, pokok buah-buahan dan kebin getah, benar benar aku menjadi nostalgia, teringatkan kampung halaman ku jauh diselatan. Suasana sejuk, lembab dan hening membawa ingatan semasa zaman kanak kanak. Kelihatan kaum ibu sibuk melakukan kerja rumah teramsuk menyapu sampah dihalaman, mengerjakan tanaman kontan kecil kecilan di tepi rumah, mengutip sayur sayuran untuk dijadikan lauk tengah hari nanti dan ada juga ibu-ibu yang berkumpul di dangau tanpa dinding (gazebo - nama sekarang) dengan anak kecil dan bayi dipangkuan berbual mesra dengan gelak manja.
Aku terpaksa berpatah balik mengikut jalan yang aku lalui kerana jalan berakhir di kebun getah. Sekumpulan orang lelaki kampung berkumpul sambil minum kopi disebuah rumah yang bahagian hadapan dijadikan kedai makanan. Mereka menegur aku.  Kanak kanak yang sedang bermain di halaman rumah semuanya menegur aku. Bererapa biji motor melalui jalan tersebut dengan membawa joran untuk mencuba nasib di Sungai Muda. Kesan pelombingan pasir kelihatan dibeberapa tempat ditebing sungai.
Simpang ke Kampng Jerong
Aku kemudian memasuki pula Kampung Jerong melalui jalan yang baru siap dibina. Aku tidak perasan jalan lama masuk kekampung ini kerana jalan baru tersebut sepanjang empat kilometer begitu elok dan luas. Sebaik sahaja aku sampai ke Kampung Jerong, aku disambut dengan bau tahi dan kencing lembu yang bagaikan bom periuk api yang bertaburan diatas jalan yang baru siap dibina. Waktu itu tiada lembu diatas jalan raya, tentunya lembu lembu tersebut menjadikan permukaan jalan yang agak panas pada waktu malam sebagai tempat tidur.
Di sekeliling kampung dipenuhi dengan kebun getah dan ladang kelapa sawit. Mengikut papan tanda di persimpangan jalan masuk, kebun getah dan kelapa sawit tersebut dimajukan oleh Risda (Rubber Industry Smallholders Development Authority). Disamping itu penduduk kampung juga menjalankan kegiatan pertanian dan ternakan lain untuk menambah pendapatan. Seorang remaja menunggang basikal BMX mengiringi aku dan cuba untuk menyaingi basikal aku. Aku terpaksa berpatah balik kerana jalan baru tersebut terhenti dipinggir ladang kelapa sawit. ??????
Aku agak terkejut semasa melalui jalan Taman Beringi dan melihat sekumpulan lelaki sedang bermain sesuatu di padang awam taman tersebut. Aku memberhentikan basikal dan menyedari mereka sedang bermain 'criket'. Jarang atau susah untuk melihat sukan tersebut dimainkan di Malaysia terutama disebelah utara. Rupanya mereka yang bermain itu semuanya warga Bangladesh. Sukan ini amat popular di negara mereka, India dan Pakistan kerana ia diperkenalkan oleh British yang menjajah negara mereka. Bila sampai kerumah, aku yakin matahari tidak nampak langsung pagi ini kerana dilindungi awan hujan.

Statistik :

   Mula .................... 7.20 pagi
   Tamat .................. 10.50 pagi
   Jarak ................... 68 km
   Cuaca .................. Mendong, matahari tidak kelihatan langsung
   Route .................. Lencongan Timur - Kuala Ketil - Kampong Cicar - Kampong Jerong

.

Sabtu, 6 November 2010

Rekreasi Tupah

Ah... sambungan kayuhan kelmarin. Hati dan semangat berkobar kobar untuk membuat kayuhan ini. Cuaca juga amat sesuai untuk melakukan kayuhan.
Semasa memulakan kayuhan hati kecil berkata, aku disini seronok kerana dapat membuat apa yang diingini, sedangkan ramai orang tidak dapat berbuat apa apa sejak beberapa hari yang lepas kerana terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan banjir yang sedang melanda negeri disebelah utara. Penduduk di Sungai Petani amat bernasib baik berbanding dengan penduduk yang hanya 60 km jauhnya diutara yang sedang bergelut dengan banjir yang paling buruk dalam tempoh 100 tahun. Kalau rumah tidak terkena banjir pun, banyak kesulitan yang dialami. Mereka tidak boleh bergerak kelaur rumah samada untuk bekerja, menziarah, ke kebun dan yang paling parah tidak boleh keluar untuk membeli barangan dan makanan keperluan kerana kebanyakkan jalan tidak boleh dilalui kerana ditenggelami air banjir. Juga pasar, kedai dan pasaraya semuanya ditutup.
Pekan Jitra 04 Oct 2010
Lebih sedih untuk membayangkan penduduk kerana ketiadaan air. Ironinya, kawasan keliling dipenuhi dan ditenggelami air tetapi dirumah tiada air untuk diminum, memasak, membasuh, mandi, kegunaan tandas dan lebih menyedihkan bagi umat Islam untuk berwuduk.
Loji utama yang merawat dan membekalkan air ditutup kerana rumah pam dan kelengkapan mengepam ditenggelami air dan bekalan elektrik diputuskan atas sebab keselamatan. Pekerja loji air terpaksa mengangkat dan menyimpan pam elektrik ditempat tinggi untuk mengelakkan kerosakkan dan hanya akan memasang semula apabila air surut kelak. Jika loji mampu beroperasi pun, keupayaan merawat air yang terlalu keruh, kotor dan mungkin tercemar amatlah terhad.
Mengambil air mineral - percuma
Bercakap pasar air minuman, semasa berkayuh di rekreasi Tupah, didapati banyak kereta sedang menuju ke tapak perkelahan. Wah... baru jam 8.00 pagi tetapi orang ramai sudah mula datang. Rupanya sangkaan aku meleset kerana kereta yang melalui jalan ini bukannya datang untuk berkelah, tetapi mereka datang untuk mengambil air mineral percuma yang disediakan untuk orang ramai berhampiran dengan pintu masuk loji rawatan air Tupah. Terdapat tidak kurang dari enam tujuh biji kereta sedang beratur menunggu geleran untuk mengisi air ke dalam tong tong plastik. Sumber air meneral dikorek sedalam 300 meter. Pada awalnya pihak JBA Kedah bercadang untuk membotolkan air tersebut tetapi dibatalkan kerana kuantiti air yang boleh dipam tidak ekonomikal, lebih lagi musim panas dimana kuantiti air amatlah terhad.
Aku sanjungi usaha kerajaan tempatan kerana sebaik sahaja memasuki jalan menuju ke taman rekreasi Tupah terdapat papan amaran mengingatkan pengunjung tentang bahaya penyakit 'kencing tikus' atau Leptospirosis atau jangkitan yang dibawa haiwan, terutama tikus yang kini menjadi ancaman kepada pengunjung pusat perkelahan. Beberapa kawasan perkelahan di Kedah termasuk Bukit Wang, Puncak Janing, Lata Bukit Hijau, Lata Bayu dan  Lata Mengkuang ditutup oleh Jabatan Kesihatan kerana terdapat pengunjung yang dijangkiti penyakit ini. Leptospirois berpunca daripada pendedahan terhadap bakterium ‘leptospira interrogans', biasanya meningkat apabila musim hujan atau banjir.
Suka atau pun tidak, punca utama peneluran penyakit ini adalah disebabkan pembiakan haiwan seperti tikus di tempat perkelahan kerana sikap pengunjung sendiri. Pengunjung mengabaikan kebersihan dan selalu tidak mengemaskan dan membuang dengan sempurna dan betul sisa-sisa makanan, minuman dan lain lain sampah. Sampah dibiarkan sahaja berselerak merata tempat mereka berkelah. Haiwan akan keluar mencari makanan, membiak dan akhir pengunjung menerima padah kerana dijangkiti penyakit merbahaya.
Hati aku mulai berang melihat sampah sarap yang ditinggalkan  oleh pengunjung bertaburan ditepi tong tong sampah yang disediakan. Kenapa sampah sampah tersebut tidak dimasukkan kedalam tong-tong yang disediakan? Sikap mereka tidak langsung mempedulikan notis amaran yang dipasang dimerata tempat supaya menjaga kebersihan kawasan. Seronok mahu, kerja lebih sedikit malas.
Aku minta maaf atas komen diatas. Terlepas pandang. Apabila sampai di rumah baru aku perasan bahawa sampah yang bertaburan bukan kerana pengunjung yang tidak tahu tatatertib dan kebersihan. Pengunjung taman Rekreasi Tupah tahu tanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran, ini terbukti kerana kawasan ini masih belum mencatatkan pengunjung dijangkiti penyakit 'kencing tikus'. Sampah yang bertaburan tersebut adalah angkara kera yang mencari sisa makanan yang ditinggalkan oelh pengunjung. Kera-kera tersebut pandai membuka tong sampah yang bertutup  tetapi tidak pandai mengemaskan sampah. Mereka berebut rebut untuk mendapatkan lebihan makanan dan menyebabkan sampah sarap dicampakkan merata tempat.
Sampah bertaburan diluar tong - Kera / Manusia ?
Seeloknya pengunjung mengisi sampah mereka kedalam plastik dan membawa pulang untuk dibuang.
Bila sampai ke jalan utama Merbok aku meneruskan kayuhan untuk pendakian ke Muzium Arkeologi Merbuk. Malangnya sampai pertengahan pendakian, aku dapati 'derailer' depan tidak berfungsi dan aku tidak boleh menukar gear basikal. Aku terpaksa turun untuk pulang. Aku singgah dikedai basikal berhampiran rumah aku untuk membaiki kerosakkan tersebut. Malu aku apabila pekerja kedai basikal tersebut memberi tahu bahawa derailer tersebut dalam  keadaan baik cuma perlu dicuci dan dibubuh minyak kerana terdapat kesan karat dan melekat.

Statistik :

   Mula .................. 7.20 pagi
   Tamat ................ 10.20 pagi
   Jarak .................. 46.8 km
   Cuaca ................. Redup dan sejuk
   Route ................. Pekan Semeling - Rekreasi Tupah - Merbuk - Sungai Petani


Jumaat, 5 November 2010

Kayuhan Deepavali

" Selamat Hari Deepavali kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Hindu "

Awal pagi hujan turun walaupun tidak lebat tetapi tidak begitu sesuai untuk melakukan kayuhan kerana jalan juga agak basah dan agak merbahaya melalui jalan raya yang sibuk. Hujan ini adalah sambungan hujan yang turun beberapa hari yang lepas yang menyebabkan banjir di kawasan utara Negeri Kedah dan Perlis. Banjir kali ini adalah yang terburuk dalam tempoh 100 tahun dan setakat hari ini 40000 orang dipindahkan.Walaupun sudah tiga hari, sesetngah kawasan masih dinaiki air.
Jalan naik Bukit Tmn Kempas
Aku menunggu hingga hujun berhenti dan memulakan kayuhan pada jam 8.45 pagi. Kenapa berkayuh juga?... 'Sixty Four Thousand dollars question'. Aku tidak merancang untuk pergi jauh tetapi hanya setakat 1 jam sahaja. Aku bercadang untuk mendaki Bukit Taman Kempas yang berketinggian 100 meter dari paras laut iaitu hanya 8% ketinggian Gunung Jerai. Walaupun agak rendah tetapi untuk sampai keatas memerlukan kederat, kesabaran dan keinginan. Kalau ikut hati aku berputus asa ketika sampai sekerat jalan tetapi aku kuatkan tekad dan meneruskan kayuhan hingga keatas.
Rakan rakan selalu memberi ingatan ketika membuat kayuhan mendaki, jangan pandang keatas !! tetapi hanya pandang kebawah dihadapan tayar depan basikal. Ia mengubah pemikiran pada ketinggian pendakian dan jarak kayuhan. Insyaallah akan berjaya sampai keatas.
Keputusan Pemeriksaan Kesihatan 04 Nov 2010
Oh ya .. kenapa membuat kayuhan walaupun hari hujan. Kelmarin 04 Nov 2010 aku membuat ujian atau pemeriksaan kesihatan di Klinik Kesihatan Bakaar Arang, Sungai Petani sempena dengan satu program kesihatan yang dibuat di klinik tersebut. BMI (Body Mass Index) OK, Blood Pressure OK yang lain sila lihat carta. Aku terkejut besar kerana bacaan RBS (paras gula) begitu tinggi. Sebelum bulan puasa tiga bulan lepas aku membuat pemeriksaan dan paras gula biasa sahaja, tidak tahu kenapa ia meningkat mendadak begitu sekali. Aku terlupa untuk berpuasa malam tadi sebelum melakukan ujian gula seperti yang diperlukan dan satu jam sebelum aku minum satu mug nescafe susu kegemaran dan satu mangkuk instant oat yang ditambah dengan dua sudu besar susu pekat manis. Malam sebelumnya kena satu cawan besar teh tarik.
Doktor mencadangkan aku melakukan semua pemeriksaan paras gula dan menasihatkan supaya aku menilai semula pemakanan. Senaman dengan aktiviti berbasikal pula agak berkurangan beberapa minggu kebelakangan ini iaitu semenjak bulan Ramadhan yang baru berlalu. Aku berjanji pada diri aku akan mengurangkan pengambilan makanan manis dan akan melakukan senaman lebih kerap.

Tennis Court di atas kolam air minuman
Pendakian kali ini aku rasa yang paling lama berbanding dengan sebelumnya. Ini ada kaitan dengan  kesan 'psikologikal' iaitu bila tahu ada kelemahan badan akan bertindak seandainya. Aku berehat agak lama apabila sampai keatas bukit dan mengmbil beberapa keping gambar untuk simpanan. Satu perkara yang menjadi kemyuskilan ialah tennis court yang dibina diatas kolam air yang berbumbung rata. Seingat aku sejak pembinaannya enam tahun lalu ia jarang sekali digunakan kerana ianya terletak jauh dari pejabat pihak bertanggungjawap, apatah lagi kesukaran untuk sampai. Tambahan pula ketiadaan kemudahan asas seperti tempat salin pakaian, tandas, tempat berteduh dan berehat dan tidak disediakan tempat minuman dan makanan. Satu pembaziran yang amat merugikan rakyat dan pembayar cukai.
Pemandangan dari atas bukit ini tidak menjemukan. Aku tidak pernah berpuas hati melihat  pemandangan persekitaran disekeliling bukit. Disebelah utara kelihatan sebahagian bandar Sungai Petani serta Gunung Jerai manakala sebelah selatan kelihatan Pekan Tikam Batu dan Pulau Pinang. Sebelah timur kelihatan kenderaan yang melalui lebuhraya Utara Selatan dan sebelah barat sawah bendang.


Kali terakhir aku disini jalan belakang bukit tidak boleh dilalui kerana timbunan sampah yang dibuang oleh pihak pihak yang mencari jalan mudah menghapuskan lebihan sampah termasuk lebihan bahan binaan rumah dan kedai. Ianya telah dibersihkan dan sampah telah dialihkan. Syabas kepada pihak bertanggung jawap.
Aku pulang dengan perasaan puas hati dan esok akan membuat kayuhan ke tempat lain jika cuaca mengizinkan.

.