Halaman

Ahad, 7 November 2010

Kampung Jerong

Sepatutnya aku pergi ke Kangar Perlis pagi ini untuk menemani anak perempuan aku membersihkan rumah sewa yang ditinggalkan sejak hari Selasa lepas kerana banjir. Risau juga kalau ada binatang berbisa memasuki rumahnya, juga untuk memeriksa kalau keretanya dimasuki air. Rumah tersebut ditinggalkan sebaik sahaja air mulai naik, sempat mengemaskan barang barang terutama buku-buku rujukan. Diharapkan air tidak masuk sampai melebihi paras 3 kaki didalam rumah. Jika tidak habislah buku buku tersebut.
Walaupun banjir di Kangar dilaporkan telah surut, tetapi jalan masih tidak boleh dilalui terutama jalan Alor Setar ke Air Itam, Kedah. Jadi terpaksa ditangguhkan sehingga esok.
Jarang sekali aku membuat kayuhan tiga hari berturut turut iaitu pagi Jumaat, Sabtu dan Ahad (hari ini). Kalau dua hari berturut turut biasalah. Bila aku keluar untuk memulakan kayuhan awan hitam memenuhi langit, tetapi pengalaman memberitahu kemungkinan besar hujan tidak akan turun.
Aku merancang untuk mengayuh arah sebelah timur menghala ke Baling. Ketika keluar dari jalan lencongan barat, hati aku berbelah bagi samada untuk meneruskan kayuhan ke timur dengan keadaan langit mendung atau ke selatan menuju ke Butterworth. Disebelah selatan kelihatan lebih cerah. Tetapi aku meneruskan kayuhan mengikut rancangan awal. Mungkin pada trip yang lain aku akan ke selatan pula. Sesekali aku merasakan rintik rintik hujan jatuh ke muka. Walaupun aku berasa tidak selesa kerana takut hujan akan turun, aku teruskan kayuhan.
Di persimpangan jalan memasuki lencongan barat aku melihat dua orang cyclist dan sempat memberikan lambaian persahabatan. Walau tidak kenal tetapi kerana mempunyai hobi dan aktiviti yang sama kira kawan lah juga. Seorang pengayuh solo dari arah bertentangan semasa melalui jalan lencongan timur.
Tiada apa yang penting untuk dicatatkan semasa kayuhan tersebut. Aku tidak perasan yang hari ini adalah cuti am bagi negeri Kedah menggantikan cuti am Deepavali yang jatuh pada hari Jumaat yang lepas. Patutlah kurang kenderaan dijalan raya. Pejabat kerajaan dan pejabat ajensi kerajaan semuanya tutup. Hanya terdapat beberapa penumpang menuggu di stesyen bas dan teksi Kuala Ketil.
Mercu tanda Taman Darulaman Utama Kuala Ketil
Aku berkayuh melepasi pekan Kuala Ketil dan membelok ke kanan kerana tertarik dengan mercu tanda 'Darulaman Utama'. Tidak tahu apa yang ada disana. Aku tidak terkejut kerana mercu tanda itu adalah kawasan perumahan yang kira elite untuk pekan Kuala Ketil. Kawasan perumahan ini agak besar dan jalan yang selesa. Terdapat pusat komersial yang lengkap untuk kemudahan penduduk. Aku kemudian mengikuti jalan dibelakang pekan di mana terdapat kawasan perumahan kos rendah.
Kerana waktu masih awal aku tidak berhenti untuk sarapan di pekan ini. Aku berpatah balik menuju ke Sungai Petani. Ikur rancangan awal aku akan menghala ke Merbau Pulas dan Pekan Karangan untuk pulang. Cuaca yang tidak menunjukkan sebarang perubahan membuatkan rancangan tersebut dibatalkan.
Masjid Kampung Cicar Titi Baru
Apabila melintasi Sungai Muda, aku mengikuti jalan menyusur Sungai Muda melalui Kampung Cicar, Titi Baru. Melalui jalan kampung dicelah celah rumah kampung, pokok buah-buahan dan kebin getah, benar benar aku menjadi nostalgia, teringatkan kampung halaman ku jauh diselatan. Suasana sejuk, lembab dan hening membawa ingatan semasa zaman kanak kanak. Kelihatan kaum ibu sibuk melakukan kerja rumah teramsuk menyapu sampah dihalaman, mengerjakan tanaman kontan kecil kecilan di tepi rumah, mengutip sayur sayuran untuk dijadikan lauk tengah hari nanti dan ada juga ibu-ibu yang berkumpul di dangau tanpa dinding (gazebo - nama sekarang) dengan anak kecil dan bayi dipangkuan berbual mesra dengan gelak manja.
Aku terpaksa berpatah balik mengikut jalan yang aku lalui kerana jalan berakhir di kebun getah. Sekumpulan orang lelaki kampung berkumpul sambil minum kopi disebuah rumah yang bahagian hadapan dijadikan kedai makanan. Mereka menegur aku.  Kanak kanak yang sedang bermain di halaman rumah semuanya menegur aku. Bererapa biji motor melalui jalan tersebut dengan membawa joran untuk mencuba nasib di Sungai Muda. Kesan pelombingan pasir kelihatan dibeberapa tempat ditebing sungai.
Simpang ke Kampng Jerong
Aku kemudian memasuki pula Kampung Jerong melalui jalan yang baru siap dibina. Aku tidak perasan jalan lama masuk kekampung ini kerana jalan baru tersebut sepanjang empat kilometer begitu elok dan luas. Sebaik sahaja aku sampai ke Kampung Jerong, aku disambut dengan bau tahi dan kencing lembu yang bagaikan bom periuk api yang bertaburan diatas jalan yang baru siap dibina. Waktu itu tiada lembu diatas jalan raya, tentunya lembu lembu tersebut menjadikan permukaan jalan yang agak panas pada waktu malam sebagai tempat tidur.
Di sekeliling kampung dipenuhi dengan kebun getah dan ladang kelapa sawit. Mengikut papan tanda di persimpangan jalan masuk, kebun getah dan kelapa sawit tersebut dimajukan oleh Risda (Rubber Industry Smallholders Development Authority). Disamping itu penduduk kampung juga menjalankan kegiatan pertanian dan ternakan lain untuk menambah pendapatan. Seorang remaja menunggang basikal BMX mengiringi aku dan cuba untuk menyaingi basikal aku. Aku terpaksa berpatah balik kerana jalan baru tersebut terhenti dipinggir ladang kelapa sawit. ??????
Aku agak terkejut semasa melalui jalan Taman Beringi dan melihat sekumpulan lelaki sedang bermain sesuatu di padang awam taman tersebut. Aku memberhentikan basikal dan menyedari mereka sedang bermain 'criket'. Jarang atau susah untuk melihat sukan tersebut dimainkan di Malaysia terutama disebelah utara. Rupanya mereka yang bermain itu semuanya warga Bangladesh. Sukan ini amat popular di negara mereka, India dan Pakistan kerana ia diperkenalkan oleh British yang menjajah negara mereka. Bila sampai kerumah, aku yakin matahari tidak nampak langsung pagi ini kerana dilindungi awan hujan.

Statistik :

   Mula .................... 7.20 pagi
   Tamat .................. 10.50 pagi
   Jarak ................... 68 km
   Cuaca .................. Mendong, matahari tidak kelihatan langsung
   Route .................. Lencongan Timur - Kuala Ketil - Kampong Cicar - Kampong Jerong

.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan