Halaman

Sabtu, 6 November 2010

Rekreasi Tupah

Ah... sambungan kayuhan kelmarin. Hati dan semangat berkobar kobar untuk membuat kayuhan ini. Cuaca juga amat sesuai untuk melakukan kayuhan.
Semasa memulakan kayuhan hati kecil berkata, aku disini seronok kerana dapat membuat apa yang diingini, sedangkan ramai orang tidak dapat berbuat apa apa sejak beberapa hari yang lepas kerana terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan banjir yang sedang melanda negeri disebelah utara. Penduduk di Sungai Petani amat bernasib baik berbanding dengan penduduk yang hanya 60 km jauhnya diutara yang sedang bergelut dengan banjir yang paling buruk dalam tempoh 100 tahun. Kalau rumah tidak terkena banjir pun, banyak kesulitan yang dialami. Mereka tidak boleh bergerak kelaur rumah samada untuk bekerja, menziarah, ke kebun dan yang paling parah tidak boleh keluar untuk membeli barangan dan makanan keperluan kerana kebanyakkan jalan tidak boleh dilalui kerana ditenggelami air banjir. Juga pasar, kedai dan pasaraya semuanya ditutup.
Pekan Jitra 04 Oct 2010
Lebih sedih untuk membayangkan penduduk kerana ketiadaan air. Ironinya, kawasan keliling dipenuhi dan ditenggelami air tetapi dirumah tiada air untuk diminum, memasak, membasuh, mandi, kegunaan tandas dan lebih menyedihkan bagi umat Islam untuk berwuduk.
Loji utama yang merawat dan membekalkan air ditutup kerana rumah pam dan kelengkapan mengepam ditenggelami air dan bekalan elektrik diputuskan atas sebab keselamatan. Pekerja loji air terpaksa mengangkat dan menyimpan pam elektrik ditempat tinggi untuk mengelakkan kerosakkan dan hanya akan memasang semula apabila air surut kelak. Jika loji mampu beroperasi pun, keupayaan merawat air yang terlalu keruh, kotor dan mungkin tercemar amatlah terhad.
Mengambil air mineral - percuma
Bercakap pasar air minuman, semasa berkayuh di rekreasi Tupah, didapati banyak kereta sedang menuju ke tapak perkelahan. Wah... baru jam 8.00 pagi tetapi orang ramai sudah mula datang. Rupanya sangkaan aku meleset kerana kereta yang melalui jalan ini bukannya datang untuk berkelah, tetapi mereka datang untuk mengambil air mineral percuma yang disediakan untuk orang ramai berhampiran dengan pintu masuk loji rawatan air Tupah. Terdapat tidak kurang dari enam tujuh biji kereta sedang beratur menunggu geleran untuk mengisi air ke dalam tong tong plastik. Sumber air meneral dikorek sedalam 300 meter. Pada awalnya pihak JBA Kedah bercadang untuk membotolkan air tersebut tetapi dibatalkan kerana kuantiti air yang boleh dipam tidak ekonomikal, lebih lagi musim panas dimana kuantiti air amatlah terhad.
Aku sanjungi usaha kerajaan tempatan kerana sebaik sahaja memasuki jalan menuju ke taman rekreasi Tupah terdapat papan amaran mengingatkan pengunjung tentang bahaya penyakit 'kencing tikus' atau Leptospirosis atau jangkitan yang dibawa haiwan, terutama tikus yang kini menjadi ancaman kepada pengunjung pusat perkelahan. Beberapa kawasan perkelahan di Kedah termasuk Bukit Wang, Puncak Janing, Lata Bukit Hijau, Lata Bayu dan  Lata Mengkuang ditutup oleh Jabatan Kesihatan kerana terdapat pengunjung yang dijangkiti penyakit ini. Leptospirois berpunca daripada pendedahan terhadap bakterium ‘leptospira interrogans', biasanya meningkat apabila musim hujan atau banjir.
Suka atau pun tidak, punca utama peneluran penyakit ini adalah disebabkan pembiakan haiwan seperti tikus di tempat perkelahan kerana sikap pengunjung sendiri. Pengunjung mengabaikan kebersihan dan selalu tidak mengemaskan dan membuang dengan sempurna dan betul sisa-sisa makanan, minuman dan lain lain sampah. Sampah dibiarkan sahaja berselerak merata tempat mereka berkelah. Haiwan akan keluar mencari makanan, membiak dan akhir pengunjung menerima padah kerana dijangkiti penyakit merbahaya.
Hati aku mulai berang melihat sampah sarap yang ditinggalkan  oleh pengunjung bertaburan ditepi tong tong sampah yang disediakan. Kenapa sampah sampah tersebut tidak dimasukkan kedalam tong-tong yang disediakan? Sikap mereka tidak langsung mempedulikan notis amaran yang dipasang dimerata tempat supaya menjaga kebersihan kawasan. Seronok mahu, kerja lebih sedikit malas.
Aku minta maaf atas komen diatas. Terlepas pandang. Apabila sampai di rumah baru aku perasan bahawa sampah yang bertaburan bukan kerana pengunjung yang tidak tahu tatatertib dan kebersihan. Pengunjung taman Rekreasi Tupah tahu tanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran, ini terbukti kerana kawasan ini masih belum mencatatkan pengunjung dijangkiti penyakit 'kencing tikus'. Sampah yang bertaburan tersebut adalah angkara kera yang mencari sisa makanan yang ditinggalkan oelh pengunjung. Kera-kera tersebut pandai membuka tong sampah yang bertutup  tetapi tidak pandai mengemaskan sampah. Mereka berebut rebut untuk mendapatkan lebihan makanan dan menyebabkan sampah sarap dicampakkan merata tempat.
Sampah bertaburan diluar tong - Kera / Manusia ?
Seeloknya pengunjung mengisi sampah mereka kedalam plastik dan membawa pulang untuk dibuang.
Bila sampai ke jalan utama Merbok aku meneruskan kayuhan untuk pendakian ke Muzium Arkeologi Merbuk. Malangnya sampai pertengahan pendakian, aku dapati 'derailer' depan tidak berfungsi dan aku tidak boleh menukar gear basikal. Aku terpaksa turun untuk pulang. Aku singgah dikedai basikal berhampiran rumah aku untuk membaiki kerosakkan tersebut. Malu aku apabila pekerja kedai basikal tersebut memberi tahu bahawa derailer tersebut dalam  keadaan baik cuma perlu dicuci dan dibubuh minyak kerana terdapat kesan karat dan melekat.

Statistik :

   Mula .................. 7.20 pagi
   Tamat ................ 10.20 pagi
   Jarak .................. 46.8 km
   Cuaca ................. Redup dan sejuk
   Route ................. Pekan Semeling - Rekreasi Tupah - Merbuk - Sungai Petani


Tiada ulasan:

Catat Ulasan