Halaman

Khamis, 25 November 2010

Dimana Pekan Singkir

.
Tidak boleh dikira berapa kali melalui jalan ini, samada berulang alik pergi kerja di Alor Setar, pergi ke Yan, Tanjung Dawai atau membuat kayuhan basikal. Selama ini aku sangka Pekan Singkir hanya beberapa biji kedai/gerai makanan bertaburan dikiri kanan jalan bersebelahan dengan sekolah dan masjid Singkir. Hari ini aku 'terjumpa' Pekan Singkir yang terletak dibahagian belakang jalan.
Pekan Singkir dibahagian belakang jalan utama Sungai Petani - Yan
Terdapat hanya lebih kurang 15 unit rumah kedai cum kediaman yang dibina tiga atau empat puloh tahun lalu yang diperbuat dari papan. Kebanyakkan kedai kepunyaan kaum Cina. Permerhatian aku hanya terdapat sebuah kedai makan Melayu tersepit ditengah tengah bangunan. Pekan Singkir ini mungkin terpindah kebelakang apabila jalan utama Sungai Petani - Yan/Tanjung Dawai diluruskan atau diperbesarkan. Pekan ini tidak mempunyai nilai komersial, mungkin hanya memenuhi keperluan penduduk disekitar.
Aku terjumpa bangunan kedai Pekan Singkir secara tidak sengaja. Semasa kayuhan pulang dari Tanjung Jaga aku membelok kekanan menyusuri Sungai Singkir menghala ke kaki Gunung Jerai. Selepas melalui kampung disepanjang sungai tersebut jalan tersebut membawa aku balik kejalan utama dan sampai ke Pekan Singkir. Pekan tersebut semacam pekan koboi cuma kuda diganti dengan motorsikal dan kereta.
Sungai Singkir
Aku memang berniat untuk menjelajah kampung kampung, melihat keadaan dan suasana kampung, menghayati aktiviti yang dijalankan dikampung tersebut. Sungai Singkir  bersih dan air mengalir agak deras. Pada musim hujan air sungai agak banyak. Terdapat beberapa kunci air untuk menghalang air masin memasuki bendang padi.Jalan tar walaupun kecil terapi elok dan bersih. Aku mengayuh sehingga ke penghujung jalan sehingga bertemu dengan jalan tanah biasayang mungkin menghala kedusun dan kebun. Memang seronok melalui kawasan perkampungan sekali sekala. Banyak lagi lorong lorong yang ingin aku masuki tetapi hari sudah agak tinggi dan aku perlu ke bank untuk membuat transaksi. Mungkin dimasa lain aku akan mencari masa untuk menjelajah dan meneroka lorong lorong kecil kampung.
Roti canai, Milo O dan air suam
Aku singgah di gerai kegemaran aku untuk mengisi perut sambil menghilangkan penat lelah. Seperti biasa aku memesan roti canai kosong 'banjir', milo kosong dan air suam. Harga. Cuma RM1.50 sahaja. Bukan harga yang menjadi kriteria aku menyukai gerai ini tetapi lokasi yang strategik, layanan mesra dan pantas (tidak perlu menunggu lama), enak dan ramai pelanggan tetap yang sering menegur dan berbual.
Aku tidak melalui jalan Batu Hampir/Pengkalan Bujang untuk pulang tetapi berpatah semula melalui jalan Merbok - Tupah kerana  aku ingin mengambil gambar mercu tanda masuk kilang 'chipboard' Dongwha. Dulu kilang ini dipunyai oleh MDF Merbok tetapi telah dijual kepada syarikat dari Korea ini sejak beberapa tahun yang lalu. Satu lagi kilang sama yang terletak di Padang Meha, Kulim juga diambil alih oleh syarikat ini.
Replika Candi Lembah Bujang
Apa yang menarik tentang mercu tanda ini ialah dibina menyerupai candi yang terdapat di Lembah Bujang. Ini adalah satu usaha yang amat prihatin oleh kilang tersebut untuk memperingati kesan sejarah yang terdapat dikawasan tersebut. Tidak perasan pula mercu tanda tersebut dibina oleh pemilik terdahulu atau pemilik kilang sekarang. Yang penting lebih banyak lagi usaha usaha dibuat oleh pihak kerajaan, swasta, NGO atau individu untuk melakukan perkara sedemikian. Satu persoalan. Berapa ramaikah orang yang berulang alik dan melalui jalan ini perasan dan mengambil peduli tentang struktur tersebut.
Aku pulang mengikuti jalan yang sama dilalui semasa pergi.

Statistik :

   Mula ............. 7.25 pagi
   Tamat ........... 10.30 pagi
   Jarak ............. 56 km
   Cuaca ............ nyaman, redup
   Laluan ........... Pekan Semeling - Merbok - Tanjung Jaga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan