Halaman

Jumaat, 29 Julai 2011

demam buah dan hujan ......

Sudah dua hari badan terasa berat dan kadangkala kepala mengalami sakit. Sakit kepala dan sengal badan ini lebih ketara pada waktu malam.
Aku cuba memikirkan punca kepada masalah kesihatan. Apa yang dapat aku rumuskan adalah kerana terkena hujan pada kayuhan petang/senja dua hari lepas. 
Satu lagi punca utama adalah kerana makan terlalu banyak buah buahan. Teringat masa kanak kanak dahulu apabila kena demam pada musim buah buahan, orang tua aku berkata "demam buah". Biarkan sahaja, demam akan sembuh selang beberapa hari.
Memang tidak dapat dinafikan buah buahan tempatan kita enak dan lazat. Anugerah Allah yang maha esa. Ia sedap dimakan dan bila dimakan selalunya dengan kuantiti yang banyak. Rasa tidak mahu berhenti sehingga perut telah betul betul kenyang.
Rezeki aku begitu murah sekali pada musim buah tahun ini. Ramai jiran jiran aku yang menghulurkan buah-buahan termasuk manggis, durian, rambutan, cempedak dan lain lain. Disamping itu pada majlis jamuan, buah buahan tempatan turut dihidangkan sebagai langkah mempromosi dan menggalakkan penduduk memakan buah tempatan.
Apabila usia meningkat seperti usia aku, perlu berhati dan berpada-pada memakan buah buah tempatan. Jangan makan melebihi had.
Buah manggis..... kulit hitam isi manis. Ramai orang kata banyak mana pun dimakan ia tidak medatangkan sebarang masalah kepada kesihatan. Malah kebelakangan ini ada jus extract manggis dipasaran yang dikatakan mampu menyembuhkan pelbagai jenis penyakit dan meningkatkan kesihatan badan. Aku boleh mengabiskan lebih dari 50 biji manggis sekali makan terutama pada waktu panas.
Manggis juga sejuk. Ini mendatangkan masalah pada badan kita.
Rambutan..... banyak dimakan jejaskan kesihatan. Buah yang paling banyak pada setiap musim. Tidak kurang enam kali orang bersedekah buah tersebut kepada aku, sehingga tidak larat untuk menghabiskan. Isteri aku menyedekahkannya kepada keluarga Myanmar yang datang minta sedekah dirumah aku.
Cara yang paling aku sukai memakan rambutan ialah dengan mengupik kulit rambutan, membasuh dengan air garam dan kemudian menyimpan didalam peti sejuk. Aku mengambil beberapa biji bila bila aku mahu. Hinggakan pernah menghabis sejumlah hampir 70 ulas pada satu hari.
Durian..... memang boleh jadi gian. Raja buah atau king of the fruit. Ramai yang menyukai dan tidak kurang juga yang membencinya. Benci kerana bau bukan rasanya.
Keenakkan durian menjadikan nenek moyang kita dahulu mencipta berbagai jenis cara untuk menyimpan durian atau produknya. Paling simple adalah 'tompoyak', yang lain dijadikan atau dimasak bersama makanan lain termasuk dodol, wajik atau kuih muih.
Cempedak..... sukar hendak di tolak. Satu lagi buah kesukaan aku. Boleh bedal satu biji cempedak bersaiz sederhana. Lagi enak jika disejukkan terlebih dahulu.
Boleh juga digoreng dengan tepung tetapi banyak sangat minyak juga tidak memberi apa faedah dari segi kesihatan kita.

Beza utama buah tempatan dibanding dengan buah import ialah cara ia dimakan. Siapa yang boleh menghabiskan lima atau enam biji epal sekali makan. Atau memakan setengah kilo anggur pada sesuatu masa, atau makan empat hiji limau sunkist. Tetapi kita boleh melantak sehingga empat atau lima biji durian pada satu satu masa. Dua atau tiga puluh biji rambutan senang sahaja dihabiskan, dua puluh biji manggis boleh ditelan tidak sampai sepuluh minit. Begitu juga dengan buat tempatan bermusim lain termasuk langsat, dukong, tampoi antaranya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan