Halaman

Jumaat, 15 Julai 2011

kayuhan dalam hujan ......

Malam tadi sementara menunggu masuk waktu solat Isyak, aku berdiri diberanda masjid memandang keluar dan menikmati keindahan malam. Seorang sahabat menyatakan sudah lama tidak melihat bintang-bintang di langit. Betul ... ketika aku mendongak ke langit tiada bintang kelihatan. Langit diliputi oleh awan atau debu debu halus atau jerubu yang melindungi penglihatan.
Aku tidak pernah pula terfikir tentang itu. Ingatkan bintang bintang tersebut sentiasa ada di atas sana. Tidak pernah terlintas bahawa ia tidak kelihatan walaupun selalu memandang ke langit.
Aku tidak ambil kisah sama ada bulan kelihatan atau tidak. Sepatutnya malam tadi bulan mengambang penuh. Bila ingatkan semula aku tidak ingat bila kali terakhir aku menikmati kecantikan cahaya bulan menerangi alam semesta waktu malam. Aku nampak bulan berwarna kemerahan dilindungi jerubu bagaikan mata orang yang sedang marah.
Beberapa hari kebelakangan ini keadaan udara dilapurkan tercemar oleh jerubu. Keadaan di selatan tanahair terutama di Lembah Klang amat teruk sekali dengan indek pencemaran udara berada pada tahap bahaya. Disebelah utara ini langit sentiasa diselubungi oleh kabus sejak beberapa minggu lalu, matahari tidak dapat bersinar seperti biasa. Keadaan kelihatan seperti hujan akan turun tetapi suhu sangat panas dan berbahang. Matahari hanya kelihatan selepas tengah hari.
Jerubu sebegini memang berlaku setiap tahun. Kadang kala keadaan menjadi begitu teruk dan kritikal sehingga terpaksa memakai topeng 'mask' apabila keluar dari rumah. Orang ramai dinasihatkan tidak melakukan aktiviti luar terutama senaman kerana jerubu tersebut boleh mengakibatkan masalah kesihatan.
Memang menjadi serba tidak kena samada untuk membuat kayuhan atau tidak. Sudah hampir satu minggu tidak membuat kayuhan walau kadangkala dapat mencuri sedikit masa pada sebelah berkayah santai di kawasan bandar dan taman perumahan. Kayuhan tersebut selalunya tidak melebihi 15 atau 20 kilometer. Juga aku agak sibuk dengan projek baru ahli PPK kampung untuk mengusahakan tanaman cendawan. Sempat juga aku pergi ke Betong Thailang bersama isteri aku pada hari Rabu. Hanya bersiar siar dan menikmati masakan Thai.
Pagi ini aku hampir membatalkan kayuhan tetapi isteri aku kuat menyatakan hujan tidak akan turun. Walaupun agak lewat dari biasa aku kuatkan azam untuk melakukan kayuhan. Kalau dapat 40 km sudah lebih pada memadai.
Apabila sampai di persimpangan Jalan Kuala Ketil kelihatan Bukit Taman Semarak di sebelah barat berwarna kelabu menunjukkan hujan telah turun dengan lebatnya. Aku mengagak tidak akan sempat sampai kerumah. Dari Taman Bandar Perdana aku membelok ke kanan ke Taman Keladi untuk berteduh jika hujan menjadi bertambah lebat. Di kedua dua jalan lencongan timur dan barat tiada tempat berteduh kerana tiada gerai dibenarkan beroperasi oleh MPSPK.
Tiupan angin menjadi semakin kencang hinggakan menjadi masalah untuk mengayuh basikal. Kelajuan menjadi amat perlahan dengan daun-daun turut diterbangkan. Aku risau apabila melalui bawak pokok sena, manalah tahu kalau ada dahan patah semasa aku dibawah pokok nanti. Langit pula menjadi semakin gelap. Sah hujan akan sampai sebentar lagi.
Ada rahmatnya. Hujan tersebut akan membersihkan ruang udara dari pencemara dan jerubu.
Aku sempat berehat di gerai roti canai di Taman Keladi apabila hujan mulai menjadi lebat. Hampir 20 minit aku berehat menunggu hujan reda, aku memulakan kayuhan. Tidak sampai 1 km hujan turun lagi dengan lebatnya dan aku terpaksa bergegas mencari tempat berteduh. Akhirnya aku sampai dirumah dengan keadaan baju dan seluar 'luncun' beserta lumpur. Pakaian aku basah bukan kerana hujan tetapi kerana percikan air yang bertakung di jalan yang terpaksa aku redah.
Walaupun aku cepat mandi untuk membersihkan diri dan mengelakkan demam (petua orang dulu) tetapi badan aku menjadi sejuk dan kepala menjadi berat. Aku terpaksa menelan dua biji penadol sebelum terlelap pada jam 11.30 pagi akibat sakit kepala. Anak bongsu ku mengatakan aku terkena 'hujan asid'. Aku bersetuju seratus peratus dengannya. Tidak menjadi masalah jika aku terkena hujan lebat.

Statistik
   Mula ........... 8.10 pagi
   Tamat ......... 10.00 pagi
   Jarak ........... 33 km
   Cuaca .......... Mendung - hujan
   Laluan ......... Lencongan Barat - Lencongan Timur - Taman Keladi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan