Halaman

Sabtu, 30 Julai 2011

Mantai .....menyambut Ramadhan

Rancangan aku untuk membuat kayuhan pagi ini sebelum bermula bulan Ramadhan dua hari lagi tidak kesampaian lagi. Pagi tadi sebelum waktu subuh hujan turun dengan lebat. Mungkin hujan rahmat sempena meyambut bulan puasa yang tidak beberapa hari lagi. Dijangkakan bulan puasa akan bermula pada hari Isnin 01 Agos 2011.
Hujan tidak lama tetapi menyebabkan air bertakung diatas jalan. Jika membuat kayuhan pakaian akan dibasahi oleh percikan air dari tayar basikal. Oleh itu aku batalkan rancangan kayuhan pagi ini. Fikirkan, aku ingin pulih sepenuhnya dari demam yang aku hidapi sejak dua tiga hari lepas. Pada mula tiada selsema atau bersin, kini ditambah dengan sidikit batuk pula.
Hujan lebat pagi tadi masih tidak dapat memulihkan keadaan langit kepada biasa. Jerubu masih menyelubungi langit. Cahaya matahari masih tidak dapat menembusi jerubu dan tidak secerah biasa. Rasanya keadaan kesihatan yang aku alami ini menjadi teruk juga disebabkan keadaan jerubu ini.
Tinggal hanya hari esok Ahad 31 Julai 2011 untuk membuat kayuhan. Jika esok pun ada halangan bermakna kena tunggu berakhirnya bulan Ramadhan baru boleh melakukan kayuhan semula. 
Mungkin aku boleh juga melakukan kayuhan petang pergi ke pasar Ramadhan berdekatan dengan rumah atau pergi ke bandar untuk menjelaskan bil bulanan. 
Kartun Lat ... Kampung Boy
Seperti masa di kampung pada tahun 1960'an yang mana basikal adalah pengangkutan utama penduduk kampung. Petang bulan puasa, berduyun duyun ke hulu hilir dengan basikal, tidak kira muda ke tua ke, kecil atau besar. Ada yang pergi bersiar siar sementara menunggu waktu berbuka, ada yang ke kedai untuk membeli barangan dan tidak kurang ramai pergi membeli air batu dicampur air sirap sebagai persiapan berbuka. Suasana sebegini sama sahaja di kebanyakkan kampung di negara kita.
Pada waktu itu mana ada peti sejuk... sedangkan elektrik pun masih belum dibekalkan. Jadi untuk menghilangkan haus atau dahaga berpuasa terpaksalah membeli ais.  Peniaga kedai kampung akan membeli ais dari pekan berhampiran dalam bentuk bongkah besar. Kemudian dipotong kecil bersaiz kuboid 6 inci dan dijual dengan harga satu kupang (sepuluh sen). Bongkah ais tersebut ditabur dengan habuk papan sebagai penebat mengelakkan ianya cair dalam perjalanan pulang.
Anak anak aku seronok mendapat cuti tambahan 2 hari hujung minggu. Sekolah akan ditutup pada hari Ahad dan Isnin sempena dengan sambutan 1 Ramadhan. Sepatutnya cuti hanya pada hari Isnin tetapi pihak sekolah mengambil cuti tambahan untuk hari Ahad.
Kalau di Negeri Sembilan petang atau malam ini iaitu dua hari sebelum puasa bermula, penduduk kampung akan mengadakan hari 'mantai'. Dulu dulu, beberapa penduduk kampung akan berkongsi membeli dan menyembelih lembu ataupun kerbau. Daging akan dibahagi bahagi diantara mereka yang masuk share mengikut jumlah sumbangan atau share. Daging selebihnya akan dijual kepada penduduk kampung lain. Inilah dinamakan mantai.
Tidak pasti tradisi sebegini diamalkan ditempat lain, mungkin dikenali dengan nama atau cara lain. Jika tradisi ini diamalkan di Negeri Sembilan besar kemungkinan ianya dibawa masuk dari tanah Minangkabau. Atau sekuruang kurang kesan dari pengaruh adat Minangkabau.
Usaha juga dibuat oleh pihak pihak tertentu di negeri yang mengamalkan adat pepatih ini untuk mengembalikan kegemilangan tradisi mantai. Program hari mantai perdana diadakan dimana daging dijual dengan harga lebih murah dari harga pasaran. Ada anak negeri yang bekerja terutama diluar kawasan sanggup mengambil cuti untuk turut serta dalam trasidisi mantai.
Penduduk yang masuk perkongsian atau masuk share akan menerima bahagian yang terdiri dari daging batang pinang, daging harimau meleleh (bahagian tengkok),  hati. limpa, perut dan tulang. Bermakna dapat merasakan semua bahagian. Masa itu seekor lembu hanya berharga ratusan ringgit sahaja jadi setiap orang yang masu share hanya perlu membayar setakat RM20.00 sahaja.
Bila mantai dilakukan, kebanyakkan keluarga orang masuk share akan berada ditempat sembelihan termasuk isteri, anak anak dan kadang kala ibu bapa sendiri dan mentua. Jika sepuluh orang berkongsi dan setiap orang ada empat atau lima ahli keluarga bersama, bayangkan keadaan ditempat sembelih. Jika dilakukan pada waktu malam kawasan tersebut akan terang benderang dengan nyalaan beberapa biji lampu gasoline. Penduduk penduduk kampung lain yang tidak bersama masuk berkongsi juga datang. Suasana akan menjadi riuh rendah dengan masing masing menjalankan tugas melapah daging dan membuat pembahagian dan agihan. Jika bernasib baik ada rebusan tulang binatang sembelihan untuk habuan orang-orang yang datang.
Aktiviti ini sebenarnya bertujuan untuk mengurangkan perbelanjaan membeli daging. Dengan sedikit sumbangan orang yang masuk share dapat menikmati semua bahagian binatang sembelihan. Penting sekali ia menjadikan sikap kerjasama, persefahaman, perkongsian dan mengiratkan siratul rahim antanra penduduk kampung.
Tradisi ini masih lagi dilakukan sehingga kini tetapi ia telah menjadi lebih terlalu komersial. Kini ramai orang perseorangan menyembelih dan menjual lembu untuk keuntungan sendiri. Bezanya ia tidak dibuat dipasar tetapi merata tempat dikampung. Dekat dengan pembeli. Keseronokkan temasya mantai tiada lagi tetapi keseronokkan menyambut kedatangan puasa atau raya masih meriah.
Mantai juga dilakukan satu atau dua hari sebelum hari raya puasa dan hari raya haji. Selalunya mantai diikuti dengan memasak lemang pada keesokkan harinya dan dimakan bersama daging rendang dan sup tulang yang dibawa balik dari aktiviti mantai hari sebelumnya. Inilah cara orang kampung aku menyambut kedatangan bulan puasa dan kedatangan hari raya.
Aku berharap anak anak sekarang didedahkan tradisi ini untuk memastikan kesinambungannya. Ramai anak anak muda sekarang tidak pernah mengetahui dan merasakan memantai. Sebentar tadi aku melihat clip video pada akhir Berita TV3 menunjukkan cara orang di Jakarta menyambut kedatangan Ramadhan dengan berarak sambil menyanyi dan memukul gendang besar. Lain padang lain belalang.
Oleh kerana aku berada dirumah pagi ini, anak anak meminta aku memasak spaghetti untuk makan tengah hari. Memang selama ini aku sering memasak makanan tersebut untuk keluarga. Mereka sukan resepi sauce spagethi yang aku masak. Lain dari yang dijual.
Aku belajar resipi sauce semasa aku belajar dahulu dan telah mengolah resepi tersebut mengikut selera tempatan. Tapi masih mengekalkan basic ingredient seperti cheese, puree, bawang besar dan daging kisar. Dulu aku menggunakan 'corned beef' yang di import dari luar negara tetapi aku agak sangsi walaupun terdapat tanda halal pada labelnya. Kureng sedap sikit tetapi yakin halal.
Ini sedikit sebanyak cara aku dan keluarga membuat sambutan kedatangan Ramadhan.

  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan