Halaman

Selasa, 5 Julai 2011

Setakat Gurun je

Kantoi .... kalau P.Ramlee masih hidup dan masih bikin filem, mungkin itulah perkataan yang digunakan untuk menggantikan 'bikin rosak lah ana punya programme .....' lirik akhir lagu dari filem Ali Baba Bujang Lapuk.   
Rancangan untuk ke Guar Cempedak melalui Gurun dan pulang melalui Yan - Merbok tidak kesampaian. Terpaksa berhenti di hadapan kilang Perwaja Steel, Gurun. Roadbikes aku mengeluarkan bunyi kasar yang agak kuat. Ceeerot ceereek .... croot ... grrrrr..... kluk klag....  Aku berada lebih 20 km dari rumah dan risau samada boleh meneruskan kayuhan dengan keadaan basikal tersebut.
Betapa penting sedikit pengetahuan tentang basikal apabila dalam keadaan begini. Aku memeriksa dan cuba mencari punca bunyi. Tidak menghairankan apabila gagal menemui punca bunyi kerana tiada pengalaman atau pengetahuan tentang pembaikan basikal. Siap ketuk sana, ketuk sini, goyang itu dan ini, pusing tayar kedepan kebelakang, pusing crank dengan tangan dan berbagai lagi dilakukan. Ngabihkan boreh yo... kata orang Negori Semilan. Maksudnya kerja sia sia dan buang masa.
Apabila gagal menemui punca kerosakkan, tiada pilihan melainkan berkayuh semula. Harapan aku bunyi tersebut akan hilang sama sekali atau berkurangan.  Pernah atau tidak, apabila kenderaan kita mengalami kerosakkan dan kita membawa ke bengkel untuk diperbaiki, kerosakkan tersebut tidak dapat dikesan atau hilang sama sekali atau telah pulih. Begitu juga roadbikes aku, bila dikayuh, kadang kala bunyi tersebut hilang tetapi selang beberapa minit ia muncul semula.
Semasa memeriksa kerosakkan seorang rider dengan roadbikes berkayuh dengan agak laju dari arah bertentangan. Bila aku nampak dia menghampir lokasi aku berhenti, aku cepat mencapai botol air dan meneguk air, cuba menyembunyikan masalah dan kerosakkan. Aku berpura pura berhenti untuk menghilangkan dahaga. Control macho ...... tak mahu rider tersebut berhenti untuk bertanya (itu sahaja yang mampu dilakukan... selain menelipon kawan untuk bantuan).
Aku membuat keputusan untuk membuat U-turn. Pulang ke Sungai Petani. Kalau meneruskan kayuhan akan mendatangkan masalah dan beban jika kerosakkan menjadi bertambah serius. Mungkin kena balik menaiki kereta atau teksi pula. Tempat yang dituju tidak kemana, bila bila boleh datang pula.
Aku tidak dapat menumpukan kepada kayuhan, tidak dapat menumpukan kepada apa yang berlaku disekeliling kerana aku cuba melihat dan mendengar punca bunyi. Sambil berkayuh aku berfikir cara-cara untuk menyelesaikan masalah tersebut. Cara yang paling cepat dan mudah adalah membeli basikal baru. Tetapi ia bukannya penyelesaian yang rasional.
Pasti bunyi tersebut disebabkan oleh bearing, mungkin dari 'sealed bearing' tayar belakang atau bearing tayar hadapan. Mengikut SK Juan, hub tayar belakang kurang elok kerana telah lama. Masalah untuk mendapatkan gantian agak sukar kerana ia tidak lagi dikeluarkan. Mungkin aku kena tukar kepada jenis baru.
Aku bernasib baik kerana dapat berkayuh untuk sampai kerumah tanpa kerosakkan menjadi lebih teruk. 

Statistik
   Mula ........... 7.40 pagi
   Tamat ......... 9.40 pagi
   Jarak ........... 41 km
   Cuaca .......... Redup, mendung
   Laluan ......... Lencongan Barat - Semeling - Bedong - Gurun

Tiada ulasan:

Catat Ulasan