Halaman

Selasa, 7 Februari 2012

Kayuhan Cuti Thaipusam

Aku memendekkan kayuhan pagi ini. Rancangan awal untuk berkauh ke Yan melalui Tanjung Jaga tetapi teringat untuk melihat perarakkan Thaipusam di Bandar Sungai Petani. Jadi aku membuat kayuhan ke Tupah dan akan mengikuti Bedong untuk pulang. 
Sampai di hujung jalan Tupah tidak kelihatan sesiapa kecuali dua tiga orang pekerja MPSPK Bahagian Senggaraan. Agaknya mereka akan membuat kerja kerja pembersihan kerana memang banyak sampah sarap yang bertaburan yang ditinggalkan oleh pengunjung yang ramai datang berkelah pada cuti hujung minggu diikuti cuti Maulidul Rasul pada hari Ahad dan cuti Thaipusam pada hari Selasa. 
Seperti biasa aku tidak berhenti rehat tetapi terus berpatah pulang. Tiada apa yang hendak dibuat. Air sungai pun amat sedikit dan mengalir lesu sahaja. Pada pertengahan kayuhan turun, berselisih dengan sekumpulan cyclist seramai hampir 15 orang membuat pendakian menggunakan roadbikes.
Sempat melihat dua kumpulan terakhir yang membawa kavadi dan orang perempuan yang membawa bekas susu. Perarakakan bermula dari sebuah kuil di persimpangan Jalan Sekerat. Masih yang mengiringi kumpulan tersebut. Telinga aku dibingitkan dengan suara gendang yang dipalu oleh pengiring kumpulan yang membawa kavadi, ditambah lagi oleh muzik yang dikeluarkan oleh PA sistem yang dimainkan dari gerai yang dibina disepanjang jalan yang dilalui oleh perarakkan tersebut. Kumpulan yang menyertai perarakkan pula tidak berhenti menyebut 'veil, veil' dan sesetengah anak anak muda menari nari disepanjang jalan.
Sambutan dan perarakkan Thaipusam di Sungai Petani telah bermula hari sebelumnya, mulai dari sebelah pagi sehingga ke larut malam.  Difahamkan di Pulau Pinang perarakkan Thaipusam bermula dua hari sebelumnya.
Aku sering tertanya tanya dari mana datangnya begitu ramai penganut kaum hindu yang datang pada perayaan. Setiap kali perayaan diadakan bandar Sungai Petani dipenuhi oleh penganut Hindu. Rupanya mereka datang dari seluruh pelusuk Negeri Kedah dan Perlis dan berkampung disini untuk dua tiga hari.
Thaipusam disambut pada 15 haribulan bulan 'thai' pada kelender yang digunakan orang penganut hindu. Perayaan ini disambut sempena Dewa Murugan diberi lembing 'vel' untuk menghapuskan dewa jahat bernama 'Soorapadman'. Penganut Hindu membawa kavadi sebagai simbol untuk memohon pertolongan dari Dewa Murugan dan juga untuk membayar nazar.
Sambutan perayaan Thaipusam di Malaysia adalah yang paling besar dan meriah. Thaipusam tidak disambut berskala ini ditempat lain termasuk di India. Di Malaysia juga sambutan yang terbesar diadakan di Batu Caves Selangor. Ratusan ribu manusia menyertai perarakkan sejahuh hampir 15 km dari Kuala Lumpur hingga ke Batu Caves dimana kemuncaknya adalah pendakian masuk ke kuil yang terletak didalam gua batu kapur.
Kali ini Thaipusam disambut serentak dengan sambutan Cap Goh Meh yang disambut oleh kaum Cina.

Statistik
   Mula .............. 7.45 pagi
   Tamat ............ 10.30 pagi
   Jarak .............. 49 km
   Laluan ............ Semeling - Tupah - Semeling - Bedong - Sungai Petani
   Odometer 2012 : 00637
      

Tiada ulasan:

Catat Ulasan