Halaman

Sabtu, 5 November 2011

Kayuh hari mantai ....

Selepas hujan lebat petang semalam aku keluar untuk membeli barangan untuk persiapan hari raya Aidil Adha  yang jatuh pada Ahad 06 Nov 2011 nanti. Rasanya semua yang diperlukan oleh orang rumah semua aku sudah beli kecuali santan dan kelapa untuk buat kerisik. Barangan tersebut elok dibeli lewat supaya masih segar apabila masa untuk memasak.
Persiapan untuk Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban tidaklah seperti persediaan untuk Hari Raya Puasa. Alah kadar sahaja. Sedia yang penting sahaja seperti rendang, ketupat nasi (nasi himpit), kek barang sebiji dan satu dua kueh biasa. Lemang ada orang yang masakkan (maksudnya beli sahaja lah). Itu sahaja. Mungkin sedikit biskut dan gula gula jika ada kanak kanak datang ziarah. Kebiasaan pada Hari Raya Haji jarang kanak kanak datang untuk kutip duit sedekah kecuali seorang dua sahaja.
Pagi kelmarin juga aku mendapat surat dari AJK Masjid Kariah Taman Intan mengenai Perlantikan Sebagai Petugas Program Ibadat Qurban dan Aqiqah 1432H. Masjid Taman Intan seperti tahun tahun sebelumnya akan menyembelih sebanyak lapan (8) ekor lembu pada tahun ini. Program ini akan diadakan pada hari Isnin 07 Nov 2011. Daging korban akan diagihkan manakala seekor lembu akan dimasak dan dibuat kenduri untuk penduduk Taman Intan. 
Memandangkan dua hari iaitu esok (Hari Raya Haji) dan lusa (korban) aku tidak berpeluang untuk membuat kayuhan, aku mengambil peluang untuk melakukan kayuhan pagi ini. Tidak bercadang untuk pergi jauh, mungkin setakat satu jam lebih. Manalah tahu kalau ada benda yang perlu dibantu di bahagian dapur. Aku ingin membuat satu pusingan besar melalui lencongan timur dan pulang melalui lencongan barat.
Lewat memulakan kayuhan kerana aku terpaksa membaiki kebocoran pada tayar hadapan. Balik dari kayuhan Kuala Muda dua hari lepas aku dapati tayar hadapan kempes, habis angin keluar. Mujur tidak kerana paku atau kaca, cuma injap angin yang perlu diketatkan. Selamat satu tayar spare.
Kayuhan berjalan lancar sehinggalah selepas persimpangan Jalan Kuala Ketil. Satu lorong jalan ditutup kerana kerja kerja senggaraan. Jalan dikorek untuk digantikan dengan lapisan baru. Aku terpaksa memerah tenaga mengayuh laju dari biasa kerana tidak mahu menggangu kereta dibelakang. Kereta biasa boleh memotong hanya risau kepada kenderaan besar seperti lori trailer dan bus. Nasib baik hanya untuk 1 km kalau tidak mencungap juga dibuatnya.
Ingatkan kontraktor atau JKR tidak melakukan atau dilarang melakukan kerja kerja membaiki jalan sehari sebelum hari hari perayaan. Penutupan jalan atau lencongan akan mengganggu kelancaran kenderaan yang meningkat pada hari perayaan. 

Statistik
   Mula .............. 8.10 pagi
   Tamat ............ 9.25 pagi
   Jarak ............. 33 km
   Cuaca ............ Redup
   Laluan ........... Lencongan Timur - Lencongan Barat
    

Tiada ulasan:

Catat Ulasan