Halaman

Ahad, 6 Oktober 2013

Kayuhan Hatyai musim hujan

Satu lagi sejarah tercipta hari ini.
Hingga sekarang aku masih tertanya tanya mengapa dan bagaimana SK Juan boleh menukar fikiran dan mangajak aku berkayuh ke Hatyai Thailand. Selalunya dia tidak mahu dikaitkan lansung dan tidak mahu ambil pusing bila diajak berkayuh merentasi sempadan negara. Lebih lagi kalau bermalam. Berbagai alasan akan diberikan. Ada alasan yang tidak masuk akal lansung. Dia mempunyai persepsi kalau ke seberang sana mesti membuat perkara tidak baik....... Kali ini dia bagaikan tidak sabar sabar untuk berkayuh kesana. 
Mengikut rancangan kami akan pergi dengan dua biji kereta kerana kereta kami tidak dilengkapi dengan 'karier' basikal. Terpaksa memuatkan basikal kedalam kereta bahagian tempat duduk belakang. Itu pun kena buka rim tayar hadapan. Ruang boyenet belakang lagi tidak muat melainkan jika kedua dua tayar dileraikan. Jadi terpaksa menggunakan dua kereta, tidak boleh nak berjimat minyak. Tambahan harga minyak petrol baru sahaja dinaikkan oleh kerajaan sebanyak RM0.20 dua minggu lalu.
Juga mengikut rancangan awal kami akan bertolak lebih kurang 7.00 pagi tetapi SK Juan muncul dihadapan rumah aku pada jam 6.30 pagi. Aku masih belum mandi dan belum bersiap. Tiada pilihan melainkan menyuruh dia bertolak dahulu dan berjumpa di tempat letak kereta awam bersebelahan pejabat imegresen Bukit Kayu Hitam.
Selesai memasang basikal mereka mengajak untuk minum pagi dahulu sebelum memasuki sempadan. Biasa le, seperti selalunya mereka belum sarapan pagi. Tiada banyak pilihan kerana hanya satu kedai menjual makanan yang berniaga dan hanya menjual nasi berlauk. Cuma pekena roti krim dan yang dua lagi pekena roti bakar.
Aku tidak lupa untuk mesej Ramlan Bidin di Loji Pembersihan Air Pelubang bila melalui kawasan Tanah Merah Jitra. Aku hanya mengharapkan dia membalas SMS yang aku hantar tetapi tidak sangka bila dia 'call'. Dia menyatakan akan menyertai aku dimasa depan untuk ke Hatyai.
Tiada apa masalah melepasi kedua dua imegresen kerana kami menggunakan border pass. Aku masih tidak berpuas hati kenapa pihak imegresen Thai meminta bayaran RM1.00. Sebaik memasuki negara jiran kami terus berkayuh menuju ke Hatyai. Signboard yang menunjukkan jarak bandar Hatyai dari pekan Dannok tidak lagi kelihatan kerana dilindungi oleh bumbung gerai peniaga.
Aku sudah acap kali berbasikal dilaluan ini tetapi bagi rakan berdua lagi mungkin kali pertama. Mereka agak kagum dengan jalan yang agak lebar dan elok. Tiada lubang, rekahan ketidakrataan. Agak berbukit sehingga ke pekan Sadoa dan laluan selebihnya landai dan rata. Kelajuan mencecah purata 30km/j dan kalau tidak kerana berhenti sarapan dipertengahan jalan kami mungkin akan sampai ke tengah bandar Hatyai dalam 2 jam. Aku sendiri terkejut mampu menyaingi kelajuan ini.
Hatyai pada hari Ahad lengang sahaja, lebih lagi pada waktu pagi. Kebanyakkan kedai tidak menjalankan perniagaan dan tidak banyak kenderaan dijalan raya kecuali dijalan utama. Aku membawa mereka ke kedai basikal utama di Sripoovanat Road dan kemudian di jalan Niphat Uthit 3 Road tetapi kedua dua kedai tutup. Ada satu lagi kedai basikal di tengah pekan tetapi aku give-up untuk pergi kerana besar kemungkinan kedai tersebut juga tutup.
Disatu persimpangan jalan kami berhenti ketika lampu isyarat merah, aku mendengar bunyi angin dari tayar hadapan basikal aku. Agak kuat bunyi angin yang keluar hingga beberapa peniaga tiket loteri (nyonya cina) dan beberapa orang yang lalu lalang memerhati kearah bunyi tersebut. Laaa... tuib depan punctured pula.
Juan membantu menukar tiub basikal aku .....
Ronda di pekan beberapa ketika sebelum singgah untuk makan tengah hari. Aku membawa mereka kekawasan stesyen keretapi kerana disana terdapat kedai makanan Islam dan restoren cina. Aku seorang masuk ke kedai Islam dan mereka berdua masuk kedai makanan cina selang dua pintu. Sebaik selesai makan, hujan turun dengan lebatnya. Ini memberi peluang berehat agak lama sementara menanti hujan reda.
Nasi sup daging untuk tengah hari ..
Kami bertolak pulang pada jam 1.00 tengahari (waktu Malaysia) dan menjangkakan akan sampai ke sempadan paling lewat sebelum 4.00 petang. Ini akan dapat mengelakkan kesesakkan di kedua dua imegresen. Kekecewaan kawan kawan terutama Ah Sian untuk mengunjungi kedai basikal terubat apabila secara tidak sengaja terlihat sebuah kedai basikal menjalankan perniagaan. Kedai tersebut terletak di jalan utama ke Sadao bertentangan dengan stesyen bas Hatyai. Boleh tahan juga barangan yang dijual, agak high end dan mahal berbanding disebelah kita. Tuan punya kedai agak sombong dan tidak mahu malayan sangat.
Aku bertanya tiub 700 x 23c untuk menggantikan yang punctured sebentar tadi. Hanya satu brand yang dijual berharga 170 Baht. Tiada diskaun. Bila aku tanya brand lain, tuan kedai berkata pergi cari di kedai basikal lain......
Kalau masa datang tadi kami hanya kena hujan renyai renyai sahaja.... baju pun tidak lembab tetapi keadaan berbeza waktu balik. Setelah berkayuh hampir 30 km (tinggal lagi 30 km) langit yang tadi agak panas dan matahari menyinar tiba tiba bertukar menjadi gelap diikuti hujan lebat dengan tiupan angin kencang. Huyung hayang basikal dibuatnya dan terpaksa mengeluarkan tenaga lebih melawan angin.
Satu perkara yang tidak pernah aku lakukan. Selama ini aku akan berhenti mencari tempat berteduh bila hujan turun tetapi kali ini meneruskan kayuhan sehinga sampai ke sempadan. Aku betul betul kehabisan tenaga, sudah tidak berupaya berkayuh .. lebih lagi jalan yang akak berombak dari Sadao ke sempadan. Niat untuk berhenti minum memanaskan badan juga tidak kesampaian kerana dua rakan yang lain telah jauh dihadapan. Mahu tidak mahu terpaksa berkayuh juga dan terasakan 6 km terakhir begitu jauh dan memenatkan.
Rasanya hanya kami bertiga yang basah kuyup apabila tiba dipejabat imegresen. Mungkin aku terperasaan tetapi ramai orang memandang kearah kami. Semasa mengeluarkan border pass di imegresen Malaysia, handphone Ah Sian terjatuh kedalam takungan air. Tidak tahulah rosak atau tidak.
Keseluruhan SK Juan dan Ah Sian amat berpuas hati dengan kayuhan mereka pertama kali ke Hatyai. Juan menyatakan hasrat untuk mengulang kayuh dimasa depan. Mungkin kali ini bermalam untuk memberi peluang bersiar siar sebelah malam dengan basikal melihat 'night life Hatyai'.
Tiga perkara yang menjadi sejarah untuk aku. Pertama kelajuan purata kayuhan melebihi 30 kmj semasa pergi, kayuhan dalam hujan lebat dengan angin kencang sejauh 30km selama 1 jam dan kayuhan pulang tanpa henti dari Hatyai ke Dannok sejauh 60 km. Wauuuuuu....

Statistik : 
    Mula ............... 9.00 pagi
    Tamat ............  3.30 petang
    Jarak ............... 124 km
    Cuaca .............. Hujan
    Laluan ............. Bukit Kayu Hitam - Hatyai
   Odometer 2013 : 03805

Tiada ulasan:

Catat Ulasan