Halaman

Rabu, 13 Ogos 2014

Kayuhan hantu !.....

Pada mulanya merancang untuk membuat kayuhan pagi ... untuk kayuhan jauh sedikit dari biasa, tetapi diluar sana kelihatan jalan agak lembab dan ada tompokan air membuat aku menukar fikiran. Langit masih diselubungi awan hitam walaupun aku tahu hujan tidak akan turun lagi untuk siang ini. Balik ke masa biasa iaitu sebelah petang untuk melakukan kayuhan.
Sebelah pagi aku menelifon SK Juan untuk bertanya khabar dan pergi minum pagi, tetapi dia keluar membuat kayuhan ke Kepala Batas, PP. Aku kerumahnya sebaik dia menghabiskan kayuhan.
Antara lain yang dibincangkan ialah kayuhan ke Songkhla, Thailand pada bulan September nanti. Aku sudah bersedia dan memang belum pernah keluar untuk tahun ini. SK Juan mencadangkan untuk memulakan kayuhan dari Bukit Kayu Hitam terus ke Songkhla dan bermalam disana. Keesokkan harinya membuat rondaan di kawasan tersebut termasuk mengelilingi tasik sebelum pulang ke Hatyai dan bermalam. Pulang ke sempadan pada hari ketiga.
Dia juga berbual dengan panjang lebar tentang kayuhan 'round island Penang' pada Ahad 17 Ogos nanti. Dia serta beberapa orang lagi dari Sungai Petani pada mulanya amat berminat untuk turut serta kayuhan keliling pulau yang diadakan setiap tahun. Kalau tidak silap aku, sudah tiga atau empat kali dia ikut serta tetapi kali ini dia tidak sempat mendaftar diri. Pendaftaran untuk menyertai kayuhan kali ini dibuat secara on-line berbanding mengisi borang sebagaimana tahun tahun sebelumnya. Pendaftaran ditutup apabila bilangan penyertaan mencapai 3000 peserta.
Dia mengajak aku membuat kayuhan hantu ... menyertai kayuhan tersebut tanpa mendaftar! Tumpang seronok kayuhan beramai ramai dan tumpung semangkuk melalui jalan yang biasanya sibuk tetapi dikawal oleh anggota polis dan pasukan keselamatan ketika program kayuhan. Tidak perlu berhenti disepanjang lampu isyarat, disimpang atau ditempat untuk membelok samada kanan atau kiri.
Pengayuh hantu tidak berhak untuk mendapat air minuman dan makanan yang disediakan oleh penganjur ditempat tempat tertentu disepanjang jalan. Tiada bekalan makan tengahhari, tiada cabutan bertuah atau lain lain yang disediakan untuk peserta yang membuat bayaran.
Aku kata tidak perlu, boleh berkayuh kesana pada bila bila masa walaupun susah sedikit kerana terpaksa mengikuti arahan lalu lintas biasa. Jarak kayuhan sejauh 84 km tidak menjadi masalah.
Tidak sabar untuk menunggu Juan memberi keputusan bila akan membuat kayuhan ke Thailand nanti.


Statistik : 
    Mula ............... 1730
    Tamat ............  1840
    Jarak ............... 27 km
    Cuaca .............. Panas
    Laluan ............. Jalan Lencongan Barat
   Odometer 2014 : 1669 km
      

Tiada ulasan:

Catat Ulasan