Halaman

Sabtu, 9 Ogos 2014

Jem ... tanpa roti

Dua tiga petang tidak dapat melakukan kayuhan kerana cuaca tidak mengizinkan. Pada hari rabu lepas hujan turun dengan lebat sejak pagi. Walau berhenti menjelang tengah hari tetapi langit gelap hingga ke petang membuatkan hilang mood untuk beriyadah.
Petang kelmarin pula ada mesyuarat AJK KRT Taman Intan untuk membincangkan tentang jamuan hari raya yang akan diadakan dua minggu dari sekarang. Petang esok pula ada mesyuarat panel penasihat klinik kesihatan Bakar Arang juga akan membincangkan jamuan hari raya yang akan diadakan pada 14 Ogos nanti. Terpaksa mencari masa yang terluang untuk meneruskan aktiviti kayuhan.
Cuaca petang ini juga tidak berapa baik dan aku harapkan dapat menamatkan kayuhan sebelum hujan bermula. Buat masa sekarang aku tidak lagi memilih laluan laluan berbeza setiap kali keluar berkayuh. Aku lebih senang membuat pusingan pergi balik jalan lencongan barat yang memberi aku jarak lebih 30 km. Tiada masalah jika berulang alik jalan yang sama. Kalau difikirkan, ramai orang yang berjogging keliling padang atau kawasan taman hingga lebih sepuluh kali pusingan. Tiada sebarang masalah. Pentingnya bersenam.
Satu perkara lagi jalan lencongan barat mempunyai kelebihan berbanding dengan lencongan timur. Sepanjang lebih 15 km, jalan dilengkapi lorong laluan motorsikal yang juga boleh digunakan basikal. Terasa lebih selamat dengan adanya lorong tersebut. Maklumlah masa keluar itu waktu puncak penggunaan jalan tersebut. Pengguna balik dari tempat kerja. Di persimpangan lampu isyarat berhampiran tol Sg Petani utara, kenderaan terpaksa berbaris lebih setengah kilometer. Dengar cerita masa perayaan hari raya yang baru lalu jem hingga ke persimpangan lampu isyarat Laguna Merbok. Siapa kata bandar Sungai Petanuki tidak sibuk?
Tiada berjumpa rider petang ini, mungkin kebanyakkan membuat kayuhan pagi kerana hari Ahad.
Esok pagi bercadang untuk membuat pendakian bukit Semarak. Memang sudah begitu lama aku tidak kesana. Bagaimanakah keadaan sekarang. Masih ramaikah pengunjung setiap pagi dan petang. Dan bagaimana pula dengan trek laluan.


Statistik : 
    Mula ............... 1735
    Tamat ............  1900
    Jarak ............... 32 km
    Cuaca .............. Redup
    Laluan ............. Jalan Lencongan Barat
   Odometer 2014 : 1615 km
      

Tiada ulasan:

Catat Ulasan