Halaman

Sabtu, 17 Mac 2012

Persediaan kayuhan Hat Yai.

Kayuhan pagi ini adalah sebagai exercise atau latihan untuk kayuhan yang akan aku buat dalam masa terdekat. Tidak pergi jauh hanya untuk melonggarkan otot otot kaki. Lagi pun kali terakhir aku berkayuh adalah lima hari lepas.
Sebaik sahaja memasuki lencongan barat, dihadapan aku melihat sekumpulan mtb rider berlalu. Arah yang sama yang akan aku ambil. Sementara aku menyeberangi jalan, mereka sudah agak jauh dihadapan. Aku berusaha untuk mengejar mereka dan aku yakin mereka akan perlahan apabila membuat pendakian jambatan sungai Sungai Petani. Aku dapat menyaingi mereka 500 meter selepas jambatan ketika melintasi lampu isyarat Kampung Telok.
Pada awalnya aku ingin berkayuh bersama tetapi apabila salam tidak dijawab, aku terus memotong dan meninggalkan mereka. Tidak seorang pun dari tujuh orang memberi tindakbalas yang aku harapkan. Dari gaya, pakaian dan kelajuan kayuhan mungkin meraka baru menceburkan diri dalam aktiviti ini.
Bangunan Jabatan Hasil yang baru siap di jalan Lencongan Timur berhampiran Hospital SAH
Sebaik sampai di persimpangan Taman Sejati aku membelok ke jalan Pinang Tunggal untuk kesalah satu gerai di Taman Kempas. Aku sering mengunjungi gerai tersebut untuk pekena roti canai dan kopi O. Aku melanggani tuan punya gerai sejak 22 tahun lalu. Dia telah beberapa kali berpindah pindah dan lokasi ini agak serasi kerana telah hampir 10 tahun disini. Aku melihat anak anak nya membesar dan tiga dari empat anak telah pun berumahtangga. Hanya satu yang ralat kerana dia bercerai dengan isterinya lima tahun lalu dan menikah lain.
Roti bukanlah sedap sangat kerana banyak tempat lain yang lebih enak dan sedap tetapi kerana telah biasa, sedap dan enak untuk mengenyangkan perut sementara menunggu masa makan tengah hari.
Kalau tidak ada apa halangan dan aral, aku akan berkayuh ke Hat Yai pada Isnin 19 Mac 2012. Bukan dari Sungai Petani tetapi akan bermula dari Bukit Kayu Hitam. Parking kereta disebelah sebelum CIQ dan menyeberang ke Thailand.
Sudah sekian lama aku merancang. Dahulu bercadang untuk berkayuh dengan beberapa orang rakan. Rancangan tertangguh kerana rakan rakan yang ingin ikut serta tidak mempunyai masa sesuai. Ada sahaja yang menghalang. Kalau ada yang boleh yang lain pula tidak dapat menyertai.
Kali ini aku tekad untuk berkayuh ke Hat Yai walaupun seorang diri. Bila difikirkan lebih mudah begini. Mungkin aku akan bermalam di Hat Yai untuk memberi aku lebih masa melihat bandar dengan basikal. Agak risau mana hendak letakkan basikal bila menyewa hotel.... adakah dibawa kedalam bilik atau diletakkan ditempat parking sahaja. Bagaimana kalau hilang?

Statistik :
   Mula .............. 7.50 pagi
   Tamat ............ 9.40 pagi
   Jarak ............. 36 km
   Cuaca ............ panas     
   Laluan ........... Lencongan Timur - Lencongan Barat
   Odometer 2012 : 01237
   

Rabu, 14 Mac 2012

Membawa remaja melawat ke Taiping

Pagi ini tiada aktiviti kayuhan atau memanjat bukit. Aku membawa remaja Taman Intan melawati ke Taiping sempena cuti sekolah. Lawatan ini adalah salah satu aktiviti tahunan yang dilakukan oleh KRT Taman Intan.

   

Selasa, 13 Mac 2012

Panjat Bukit Semarak

Nampak bangunan Komtar ...
Seorang gadis remaja menyambut dengan kata kata perangsang sebaik sahaja tiba kepuncak bukit. Dia memerhatikan agak lama sebelum aku sampai kawasan lapang dibawah tiang kabel TNB. Dua orang rakan sedang merawat kaki kerana dihinggapi pacat.
"Kalau boleh ikut jalan ini pak cik kira 'terror' lah ... kami tidak sanggup panjat ikut jalan ini." Kata gadis tersebut sebaik sahaja bila menghampir tempat mereka berdiri. 
"Sudah berapa lama pak cik mula naik dibukit ini?" katanya lagi.
"Hampir enam tahun, tapi tidak lah kerap sangat. Kadangkala sekali seminggu atau kadang kala dua minggu sekali" aku menjawap tanpa berhenti atau memandang tepat kepada gadis tersebut. Terasa malu pula dipuji dan diberi perhatian begitu. Pelik dan janggal perasaan bila ditegur oleh gadis muda. Aku terus berlalu mengikuti jalan turun bukit.
'Panjat' bukit adalah perkataan yang betul dan sesuai untuk aktiviti ini. Aku betul betul memanjat bukit ketika mengikuti jalan yang menegak dibawah laluan kabel high tension TNB. Terpaksa menggunakan kedua dua tangan seolah merangkak pada beberapa tempat yang terlalu curam. Bila melihat kebawah dari pertengahan jalan, curam kelihatan lebih dari 60 dartjah. Walau ramai orang yang membuat pendakian tetapi hanya aku seorang yang mengikuti jalan ini. Mungkin sebentar tadi atau selepas ini, ramai yang membuat panjatan.
Sejak aku membuat panjatan pertama beberapa bulan dahulu, aku tidak lagi mengikut jalan biasa.
Semasa menurun bukit kelihatan beberapa orang anak muda berkumpul di tempat letak motorsikal di kaki bukit. Kemudian mereka beredar dengan deruman enjin motor yang membingitkan. Seorang wanita dihadapan aku kelihatan gelisah. Bila aku menghampirinya, dia mengatakan sebab dia gelisah. Dia risau remaja yang ramai sebentar tadi mencuri motor kepunyaannya.
Aku cuba menenangkan wanita tersebut dengan mengatakan budak budak remaja tersebut tidak mengambil motorsikalnya terutama waktu siang. Orang pun ramai lalu lalang disitu. Dia masih tidak berpuas hati dan mengatakan telah banyak kali motor yang diletakkan disitu dicuri. Dia tidak boleh turun lebih cepat atau lebih pantas kerana jalan agak licin. Aku kata berdoa sahaja lah dan minta agar tiada perkara buruk berlaku.


Ahad, 11 Mac 2012

Rekreasi Tupah & Merbok

Ramai plak rider dijalan hari ini. Sebaik aku memasuki lencongan Barat untuk ke Tupah kelihatan tidak kurang dari sepuluh orang rider dari arah bertentangan menghala ke arah selatan. Kesemuanya rider Cina. Macam mana aku yakin. Perbezaan ketara adalah dari segi pakaian. Kebanyakkan rider Melayu akan memakai seluar panjang atau sekurang kurangnya seluar dibawah paras lutut manakala rider lain akan memakai seluar pendek yang betul pendek.
Sebelum memasuki simpan ke Semeling aku dipintas dua rider dari belakang. Ketika itu aku berkayuh secara santai tidak lebih dari 23km/j. Wah... laju juga mereka kerana bila aku menyaingi kelajuan mereka berdua, kelajuan pada Cateye hampir 27 km/j. Oh baguslah. Orang muda. Aku tidak mahu menyaingi kelajuan mereka. Aku melihat mereka membelok ke arah titi Semeling dan tidak lagi  kelihatan. 
Semasa membuat persediaan mendaki jambatan Semeling, aku terpandang dua orang rider tadi sedang berehat dan meneguk air. Baru jam 8.00 pagi. Itulah kata SK Juan, orang muda tidak mempunyai perancangan bila berkayuh. Mereka pulun selaju boleh dan kemudian berhenti kerana kehabisan tenaga berbanding dengan orang lama yang membuat kayuhan secara konsisten dan boleh bertahan. Aku sendiri boleh berkayuh hampir dua jam tanpa berhenti.
Membuat pendakian pertama di Jalan Segantang Garam menuju ke UiTM. Tidak tinggi tetapi dapat meregangkan otot kaki. Kemudian pendakian ke Loji Pembersihan Air Tupah. Berselisih dengan satu lagi kumpulan biker yang sedang turun. Apabila sampai dikawasan pintu masuk loji kelihatan tidak kurang dari 20 orang anak muda Cina sedang berehat. Mereka semua mengayuh 'fixie'. Biasa lah riuh rendah kawasan tersebut.
Oh kome ... durian dah bebunga !
Banyak juga kereta parking dikawasan pada awal pagi. Kelihatan sekumpulan keluarga Cina sedang menikmati makan pagi dibanguan tempat rehat. Aku puji aktiviti kekeluargaan seperti ini. Membawa makanan dan bersama sama 'berkelah' dengan ahli keluarga.
Pokok buah mula mengeluarkan bunga dan yang paling ketara pokok durian. Dipangkal pokok bertaburan bunga durian yang jatuh. Tidak pasti kalau buah menjadi atau tidak kerana musim hujan sekarang. Orang kata bunga tidak lekat jika musim berbunga hujan turun.
Aku meneruskan kayuhan untuk pendakian bukit ketiga iaitu muzium arkeologi. Tiada rider yang aku jumpa semasa pendakian atau menuruni bukit ini. Lapang fikiran melihat kawasan sekitar pintu masuk dan tempat parking muzium bersih. Tiada sebarang sampah kelihatan dan semua daun daun yang gugur telah 'dihembus' (mengunakan portable air blower), tidak lagi mengunakan penyapu atau pencakar.
Pertama kali aku melihat dua gerai diluar pintu masuk muzium dibuka untuk perniagaan. Selama ini tidak kelihatan ada orang berniaga. Mungkin gerai dibuka pada musim cuti sekolah sahaja. Bagai yang aku katakan tadi aku tidak singgah untuk berehat atau sarapan kerana masih awal. Hanya berhenti minum digerai Taman Intan sebelum balik kerumah.

Statistik :
   Mula .............. 7.50 pagi
   Tamat ............ 10.10 pagi
   Jarak ............. 50 km
   Cuaca ............ panas     
   Laluan ........... Rekreasi Tupah - Muzium Arkeologi
   Odometer 2012 : 01201

Rabu, 7 Mac 2012

By pass

Aranyaphatheit....
Kalau ikut rasa badan memang tidak larat untuk membuat kayuhan pagi ini. Rasa letih kayuhan hampir 100 km dua hari lepas masih terasa, tetapi aku tidak mahu hilang rentak. Rancangan awal adalah untuk membuat dua pusingan di jalan by-pass Sungai Petani. Paksa diri untuk keluar, paling kurang untuk satu jam. Memadai. 
Sebaik melepasi kilometer pertama rasa letih badan hilang. Terasa seronok dan gembira kerana membuat keputusan untuk berkayuh. Matahari yang baru terbit setengah jam lalu betul betul menyuluh kearah muka dan mata. Sukar untuk melihat hadapan. Terpaksa tunduk habis untuk mengelakkan silau matahari.
Nampak seorang rider menggunakan mtb di arah bertentangan, nampaknya begitu serius. Tidak memandang kekiri atau kanan. Tidak membalas lambaian. Aku selisih semula dengan rider tersebut berhampiran persimpangan masuk lencongan timur dari arah utara. Kiraan aku dia telah berkayuh hampir 11 km manakala aku telah menghabiskan hampir 20 km dari lokasi pertama aku melihatnya sebentar tadi. Mungkin dia berhenti atau singgah dimana mana. 

Statistik :
   Mula .............. 7.50 pagi
   Tamat ............ 9.10 pagi
   Jarak ............. 33 km
   Cuaca ............ panas     
   Laluan ........... Lencongan Timur - Lencongan Barat
   Odometer 2012 : 01151 

Isnin, 5 Mac 2012

Kota Sarang Semut


Kenapa aku letakkan gambar sepasang mat salleh mengayuh basikal untuk blog aku pagi ini. Gambar ini aku 'snap' di jalan Alor Setar - Sungai Petani semasa kayuhan pagi ini. Kagum. Satu perkataan yang  dapat menerangkan segalanya. Kayuhan pagi ini membawa aku ke arah utara. Memang tiada niat untuk sampai ke Bandar Alor Star. Aku hanya meletakkan target untuk berkayuh selama dua jam dan berpatah balik. Kalau tiada apa halangan aku akan sampai semula kerumah sebelum makan tengah hari.
Semasa aku menghampiri Pekan Kota Sarang Semut, aku melihat sepasang Mat Salleh dari arah bertentangan. Mereka mengayuh kearah selatan mungkin untuk ke Pulau Pinang, seterusnya ke Kuala Lumpur dan Singapura. Mereka dahulu menegur aku dengan hanya anggukkan kepala dan aku pula membalas dengan mengangkat tangan. Aku tidak dapat mengagak kelajuan mereka tetapi berfikir akan dapat menyaingi atau memotong mereka dalam perjalanan balik nanti. Aku ada hampir 10 minit lagi untuk mencukupkan target atau kuota kayuhan dua jam pagi ini.
Aku singgah di sebuah gerai di Kota Sarang Semut untuk sarapan pagi. Aku buat kesilapan kerana tidak mengambil makanan yang memberi atau memulihkan tenaga. Selalunya makan nasi lemak atau roti canai tetapi sarapan hari ini hanya sebiji pau kacang dan milo O sahaja.  Ini memberi kesan semasa kayuhan pulang nanti. Aku ditegur oleh seorang pelanggan digerai tersebut, bertanya soalan biasa yang sering aku dengar ketika singgah dimana mana. Kebetulan dia baru sahaja datang datang ke kawasan taman rumah aku pada bulan Januari lalu kerana menghadiri kenduri anak sepupu perempuannya yang tinggal di lorong 2.
Aku bercadang untuk mengejar dua orang mat salleh yang aku nampak tadi dan ingin mengambil gambar mereka. Tahu, jarak mereka sekarang mungkin 30 minit dari dimana aku berada. Jika mereka berkayuh tanpa henti kemungkinan aku menjumpai mereka semula agak tipis.  Tetapi aku berharap akan dapat berjumpa atau sekurang kurangnya melihat dan mengambil gambar mereka.
Aku berminat kerana satu roda tambahan di belakang yang membolehkan lebih banyak barangan dibawa. Ketika melalui pekan Guar Cempedak aku melihat mereka berehat dan membeli air minuman. Ramai juga orang di kedai tersebut dan aku meneruskan kayuhan ke Pekan Gurun. Aku berhenti untuk menghilang haus dan merehatkan badan. Belum sempat aku menghabiskan satu tin air isotonik 100 plus, mereka lalu dengan agak laju dihadapan kedai dimana aku berehat.
Jalan dari Pekan Gurun hingga ke Perwaja Steel mendaki sedikit hampir jarak 2 km. Aku penuh yakin kelajuan mereka akan perlahan dan akan berpeluang untuk memotong mereka. Aku merasa kecewa kerana kelibat mereka tidak kelihatan walau aku melajukan kayuhan. Aku berputus asa setelah melepasi Pekan Bedong dan Pekan Sungai Lalang. Sungguh bertenaga mereka berdua membuat kayuhan.
Dua mangkuk cendol pulut aku habiskan di hadapan kawasan perindustrian Sungai Petani sebelum simpang ke Tol Plus Sungai Petani Utara. Semasa membayar aku melihat mereka untuk kali ke empat dan dengan segera mencapai kamera kompak dan menghala kepada mereka. Mereka tidak perasan aku mengambil gambar mereka.
Kebelakangan ini ramai mat salleh berkayuh di negera kita. Boleh dikatakan setiap hari ada seorang dua yang nampak melalui jalan dari sempadan menuju ke selatan. Entah negara mana mereka dan sudah berapa lama berada dijalanan.
Aku membuat tekad dan azam untuk mengayuh ke negara jiran dalam masa terdekat. Mungkin dua tiga hari pada peringkat permulaan dan akan melanjutkan kepada lebih lama jika berjalan lancar.

Statistik :
   Mula .............. 7.50 pagi
   Tamat ............ 12.30 pagi
   Jarak .............. 99 km
   Cuaca ............. panas     
   Laluan ........... Bedong - Gurun - Guar Cempedak - Kota Sarang Semut
   Odometer 2012 : 01118

Jumaat, 2 Mac 2012

Lumut

Cuaca kira ok gak pagi ini tetapi tidak membuat kayuhan. Aku menemani kawan untuk ke TLDM Lumut Perak atas urusan business. Janji bertolak sebelum jam 7.30 pagi tetapi aku memang jangkakan akan lambat kerana kebiasaan kawan aku ini. Dia hanya sampai kerumah aku 45 minit dari masa yang dijanjikan.
Harimau 3 ...
Dia mengajak aku kesana kerana dahulu aku berkhidmat di TLDM lumut. Itu pun hampir 30 tahun lalu. Teringin betul aku ingin memasuki kawasan tersebut kerana walau kerap kekawasan tersebut tiada peluang untuk meninjau tempat tersebut setelah menamatkan perkhidmantan. Tentu banyak perubahan yang berlaku disepanjang tempuh tersebut. Aku sedar walau boleh memasuki kawasan tersebut tetapi tidak akan boleh memasuki kawasan pejabat dan operasi dimana aku bekerja dahulu.
Apabila selesai urusan kami mengambil kesempatan untuk mengelilingi kawasan base tersebut yang boleh dilawati. Termasuk ke tempat latihan kawasan perumahan, hospital, KD Pelandok, mess pegawai, stadium dan kawasan ditepi pantai. Memang banyak perubahan hinggakan aku tidak dapat mengecam mana bangunan dan jalan yang aku tinggalkan dahulu. Tidak banyak kenangan yang boleh diingatkan kerana suasana masa itu amat berbeza dan berlainan sekali.
Seronok juga sesekali berpeluang untuk ketempat yang pernah bekerja dan tinggal dahulu.
    

Khamis, 1 Mac 2012

Butterworth

Pada awal aku jangkakan hujan akan turun sebelah pagi, tetapi jiran depan rumah sudah membawa basikal keluar amat yakin akan panas sebentar lagi. Bila aku bertanya hendak berkayuh kemana, dia berkata hanya untuk membeli makanan pagi di pasar pagi Taman Intan. Secara berseloroh aku mengajaknya untuk ke Butterworth. Dia gelak besar dan berharap dapat melakukan.
Memang tidak merancang untuk berkayuh kesana, tetapi kerana aku sudah buka mulut bagus juga rancangan tersebut. Kayuhan minggu lepas ke arah Butterworth hanya setakat Penaga sahaja. Telah agak lama tidak melalui 'Butterworth Outer Ring Road'.
Kayuhan lebih bertenaga dan lebih laju dari biasa. Mungkinkah ini kerana selepas kayuhan ke Jeniang tiga hari lepas. Jalan Sungai Petani - Butterworth lebih landai atau mendatar berbanding jalan Jeniang. Berjaya sampai dalam tempuh 75 minit. Terus terang aku nyatakan, aku mengelat (tipu) sedikit kerana aku tidak berhenti dikebanyakkan persimpangan lampu isyarat. Bahaya. Tetapi calculated risk.
Dari BORR aku memintas ke terminal feri. Tidak teringat bila kali terakhir aku kesini. Semua keadaan sudah berubah. Terdapat terminal pengangkutan sementara didirikan untuk menempat stesyen bas, laluan ke feri dan ke stesyen KTM. Dahulunya ada bangunan yang menempatkan sebuah supermarket dan gerai makanan. Sudah begitu lama bangunan tersebut diruntuhkan akibat terbakar tetapi mengambil begitu lama untuk didirikan semula.
Singgah untuk mengisi perut disebuah kedai makanan mamak. Perut agak lapar kerana malam tadi tidak makan nasi. Enak juga nasi lemak daun pisang yang dijual. Tambah telur rebus sebiji.
Berhajat juga untuk singgah di pasar 'rope walk Taman Selat' tetapi memikirkan basikal tidak membawa kunci, aku kansel sahaja. Tidak ada apa yang hendak dicari atau dibeli. Barangan yang dijual disini lebih kurang sama sahaja sejak dari dahulu. Barangan antik yang dijual amat mahal harganya. Barangan lain boleh didapati dimana mana sahaja.
Memang aku tidak tahu bahawa pasar menjual barangan lama dan barangan antik ini dipanggil 'rope-walk'. Selama ini aku dengar rakan rakan sebut pasar ini adalah 'road-walk'. Dahulunya ia tempat menjual barangan terpakai, barangan antik dan barangan sudah tidak diperluka lagi. Ingat aku banyak dijual barangan seperti basikal, gramaphone, rekod pring hitam lama, periuk belanga lama dan berbagai lagi. Apa sahaja barangan yang tidak diperlukan lagi ada dijual. Sekarang barangan baru paling banyak dijual menjadikan ia sebagai pasar minggu.
Dalam perjalanan balik aku singgah di gerai lemang Taman Rhu untuk berjumpa kawan kawan. Kebanyakkan mereka tidak percaya aku pulang berkayuh dari Butterworth walau mereka tahu selama ini aku memang kaki kayuh basikal. Agaknya selama ini aku hanya berkayuh dekat kawasan Sungai Petani sahaja.
Tidak lama aku singgah kerana cuaca semakin panas. Walau tinggal hanya 6 km dari rumah, Sebelum membelok ke simpang rumah aku ternampak kereta rakan disebelah restoren nasi kandar. Singgah pula. Cuba untuk mengucapkan salam tetapi akhir bersembang hampir satu jam. Rakan tersebut mengajak aku menemaninya untuk ke Lumut, Perak esok untuk urusan perniagaan. Aku setuju kerana tiada apa apa program.

Statistik :
   Mula .............. 7.50 pagi
   Tamat ............ 11.30 pagi
   Jarak .............. 75 km
   Cuaca ............. panas     
   Laluan ........... Tikam Batu - Bagan Ajam - BORR - Butterworth
   Odometer 2012 : 01019
   

Rabu, 29 Februari 2012

Bukit Semarak

Ayuthiyya ... Dec 2011
Terasa begitu puas dan seronok apabila baju dibasahi peluh. Dari atas hingga kebawah bagaikan ditimpa hujan. Makin banyak peluh keluar makin ringan rasa badan.
Yang paling gembira apabila titisan peluh begitu banyak turun  dari kepala iaitu dari celah celah rambut yang sudah memutih. Inilah satu nikmat yang diperolehi dari aktiviti ini. Lelihan peluh dari badan ini memberikan petanda badan masih berfungsi dengan dengan baik dan sempurna. Alhamdullilah. Syukur pada Allah.
Berbasikal kurang mengeluarkan peluh seperti ini, mungkin kerana badan tidak begitu panas walaupun membakar banyak tenaga. Kelajuan basikal juga menyejukkan badan.
Hujan lebat sejak beberapa hari kebelakangan ini tidak mematah semangat untuk datang mendaki bukit pagi ini. Kena berhati hati kerana jalan licin terutama jalan yang menegak. Selamat sampai keatas tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini. Aku cuma berhati hati apabila melalui kawasan rumput tebal takut takut kalau ada yang berhajat menumpang di kaki dan menghisap darah. Maklumlah keadaan lembat dan basah menjadi kegemaran pacat pacat ini.
Juga terpaksa berhati hati semasa menuruni bukit. Silap langkah boleh tergelincir dan terseliuh.
Rasanya tidak begitu ramai pendaki pada pagi ini. Ditempat parking tidak sampai satu dozen kereta dan di kawasan parking motor pula hanya kelihata lima enam biji motor sahaja. Kalau hendak dikata mereka sudah pulang, waktu masih awal dan aku sendiri datang awal dari biasa. Mungkin hujan lebat dan jalan licin menyebabkan oran kurang datang pagi ini.
Satu perbezaaan yang diperhatikan ialah, kian ramai orang kita (Melayu) yang datang kesini setiap hari berbanding dengan beberapa tahun lalu. Ramai kaum wanita terutama suri rumah yang datang berkumpulan setiap pagi. Rasanya mereka datang awal sebaik habis solat subuh. Tidak kiralah kalau mereka bersembang apa semasa mendaki dan menurun, asalkan badan sihat.
     

Isnin, 27 Februari 2012

Jeniang

Jambatan Pekan Jeniang
Tiga hari tidak membuat kayuhan. Ada projek lain. Petang kelmarin SK Juan datang kerumah untuk sembang sembang. Dia menceritakan kayuhan ke Sik pada Sabtu lepas. Banyak juga kerenah geng basikal ini. Selain datang lambat pada waktu yang dijanjikan, kebanyakkan datang tanpa sarapan pagi. Masalahnya, geng Cina agak memilih makanan terutaman waktu makan pagi, tidak seperti kita, cukup dengan nasi lemak atau roti canai sahaja. Kebanyakkan mereka memang tidak bersarapan dirumah.
Orang orang Cina lebih suka makanan panas yang disediakan apabila dipesan. Kebioasaan sarapan pagi mereka lebih heavy dari kita, mereka suka makan mee atau kuoe tiow yang dimasak soup atau goreng. Kebanyakkan kedai makan Cina hanya terdapat dipekan pekan sahaja tidak seperti kedai makan Melayu yang banyak disepanjang jalan. Kalau dalam perjalanan memang sukar untuk mencari restoren Cina. Sering jika aku berkayuh dengan mereka, aku tidak mempunyai masalah untuk mencari kedai atau gerai Melayu dan boleh singgah bila bila masa.
Makanan Cina hanya apabila ada pesanan dan ini mengambil sedikit masa. Lebih lama jika restoren ramai pelanggan. Jadi kalau berkayuh dengan geng ini, kena tunggu lama.
Pagi ini aku bercadang untuk membuat kayuhan jauh sedikit. Akan pergi ke Jeniang melalui Gurun. Bercadang untuk pulang melalui jalan Bukit Selambau - Kuala Ketil. Suka dan seronok dengan keadaan jalan yang berombak ombak sebaik melalui 'under-pass' lebuhraya. Kalau keadaan mengizinkan mungkin aku akan berkayuh ke Sik.
Sebaik sahaja melepasi lampu isyarat Taman Intan, aku perasan motorsikal dihadapan dipandu pelahan. Sedikit sebanyak mengganggu kayuhan. Dalam hati mula nak marah tetapi reda apabila melihat apek itu adalah seorang rakan kayuhan basikal aku juga. Namanya William, bukan orang putih tetapi orang Cina. Fasih berbahasa Melayu dan bolih mengeja sedikit jawi. Telah berusia lebih 60 tahun tetapi aktif dalam aktiviti berbasikal.
William ....
Dia baru keluar dari kedai membaiki 'air cond' kereta miliknya untuk ke bandar. Dia menegur bertanya kemana arah kayuhan dan seorang sahaja ke? Bila aku mengesahkan berseorangan dia menambah elok juga kerana tidak banyak masalah. Boleh pergi kemana yang mahu, berapa jauh dan berhenti bila bila. Sedikit sebanyak seperti yang aku ceritakan diatas.
Sangkakan tidak ada rider lain pada pagi Isnin. Sebaik memasuki persimpangan Modenas aku melayan kayuhan perlahan kerana pendakian landai yang agak jauh. Hendak hilangkan mencungap nafas. Tanpa disedari seorang rider berada dibelakang. Tidak perasan. Rupanya dia datang dari arah bertentangan iaitu dari arah Gurun. Dia juga seperti aku suka berkayuh sendirian. Mudah. Tiada kerenah seperti lambat sampai, ada yang tidak siap, hendak ketandas, hendak repair basikal atau tukar tayar dan berbagai lagi masalah.
Dia cuma membuat kayuhan pendek kerana kena kerja waktu petang. Dari Guar Cempedak dia ke Gurun sehingga Perwaja dan berpatah balik melalui Modenas. Gayanya seorang guru. Dari nama nama pengayuh basikal yang disebutkan, sudah lama juga berbasikal. 
Bila aku memberitahu route yang akan aku ikut dia menyatakan sesuatu yang aku setuju. Jalan Jeniang ke Bukit Selambau agak berbahaya kerana banyak lori besar melalui jalan tersebut. Jalan pula sempit dan mempunyai banyak selekoh. Berbanding dengan jalan Sungai Petani - Jeniang - Sik yang baru siap dibina mempunyai lorong motorsikal. Apabila kami berpecah, aku menukar fikiran untuk pulang melalui jalan sama.
Berehat agak lama di Pekan Jeniang kerana aku melihat lihat pasar minggu dibahagian belakang pekan. Tidak berapa besar dan orang pun masih belum ramai. Ketika berehat diluar kedai runcit dimana aku membeli minuman 100 plus, aku didatang seseorang yang sudah berusia nampak berminat dengan basikal aku. Dia berpakaian kemas dengan kemeja biru lengan panjang dan berkasut, walaupun pakaian sudah agak lusuh.
Dia menceritakan seorang rider berkayuh lebih 35 km/j kearah Gurun beberapa ketika dahulu. Mana dia tahu? Dia mengikuti rider tersebut dengan motorsikalnya dan kagum dengan tenaga dan kelajuan rider tersebut. Banyak juga dia bertanya kepada aku tentang basikal rb aku, berapa harga beli, berapa lalu, adakah berat atau ringan, spare-part mana nak beli. Letih ke kayuh jauh dan berbagai lagi.
Dia kemudian bersembang tentang keperluan menjaga otot otot kaki dan tangan sambil menyeluk poket kemejanya dan mengeluarkan satu kotak name card. Dia menyuruh aku mengambil sekeping kad. Bila aku  membaca kad tersebut terlihat dia seorang bomoh urut. Siap ada cawangan di Kuala Lumpur.
Dari masa itu dia mula bercerita tentang orang orang yang dipulihkan dengan urutan termasuk orang kenamaan. Macam pernah dengar sahaja cerita seperti ini. Bila aku tidak menunjukkan minat untuk dia mengambil satu bungkusan kecil dari poket kemeja sebelah kanan dan menunjukkan minyak gosok berwarna keputihan. Menurutnya minyak tersebut dibuat dari buaya. Mampu meningkatkan tenaga batin dengan mengurut 'anu' kita. Satu botol tidak lebih dari 15 cc dijual dengan harga RM20.00 sahaja. Dia mendapat bekalan 'buaya' dari Sungai Pial dekat Tanjung Dawai. Biar betul orang tua ni.
Aku tidak mahu lama mendengar celoteh tok bomoh ini dan meminta diri untuk meneruskan kayuhan. Aku beritahu masih jauh perjalanan untuk pulang ke Sungai Petani. Sebagai penyedap mulut dan budi bahasa, aku menyatakan akan menghubungi jika memerlukan perkhidmatannya. Bila difikirkan ramai orang sebegini yang boleh ditemui berlegar legar di tempat yang jadi tumpuan orang ramai seperti di pasar minggu atau pasar malam, tidak kira pekan kecil atau bandar. Terpulanglah kepada kita.
Agak kerap juga aku berhenti untuk minum kerana cuaca agak panas. Disimpang Kampung Bongkok, Gurun aku berhenti untuk minum segelas air tebu. Pelanggan pertama. Penjual air tebu baru saja siap memerah/memesen tebu. Sempat berbual untuk menghilangkan penat. Peniaga baru beberapa minggu memulakan perniagaan. Nampak lebih tua dari umurnya, agaknya serik bekerja sebagai penoreh getah sebelum  ini. Anak anak membelikan mesin tebu kerana kesihankan ayahnya. Oleh kerana baru berniaga disitu, jualan hanya setakat RM50.00 sehari.
Sebelum sampai kerumah kena semangkuk cendul mamak di bandar Sungai Petani.

Statistik
   Mula ............... 7.50 pagi
   Tamat ............. 12.30 tengahari
   Jarak .............. 90 km
   Cuaca ............. panas     
   Laluan ........... Sungai Petani - Bedong - Gurun - Jeniang
   Odometer 2012 : 00944

 

Khamis, 23 Februari 2012

LTdL 2012 ... mai dah

Dua tiga bulan sebelum berlangsung aku membaca banyak sungutan yang mengatakan LTdL hanya tinggal pada nama kerana Pulau Langkawi tidak lagi dijadikan salah satu venue kayuhan yang berprestig di Asia.
Kenapa Terengganu menjadi hos kepada sekurang kurangnya tiga peringkat perlumbaan. Mentang mentang lah ramai anak negeri tersebut mencapai dan mencatat kejayaan dalam sukan berbasikal tetapi ia tidak boleh menjadikan perlumbaan hak mutlak menjadi tuan rumah.
Kita kena berfikir secara one nation.

Selasa, 21 Februari 2012

berbasikal meningkatkan daya ingatan ?

Sambil berehat dengan satu teko besar teh 'O' panas selepas pulang dari kayuhan pagi ini, aku melihat artikel yang disiarkan dalam akhbar hari ini. Rasanya tidak perlu untuk memberi komen tentang kandungan kajian yang dilakukan oleh para saintis London mengenai kelebihan senamam.
Apa yang menarik kajian tersebut secara khas menyatakan berbasikal meningkatkan keupayaan ingatan tidak kira kanak kanak atau orang dewasa. Ia akan dapat membantu pembelajaran kanak kanak. Sejauh manakah kajian yang dijalankan benar benar berkesan? Adakah keputusan tersebut boleh digunapakai disemua keadaan, tempat, ethnik masa, iklim, pemakanan dan lain lain?
Sesuatu yang menarik kerana selama ini kebanyakkan kita tahu  bahawa aktiviti berbasikal meningkatkan kesihatan tubuh badan. Sering juga kita dengar, berbasikal berupaya memulihkan tahap kesihatan orang yang menghidap penyakit tidak berjangkit termasuk kencing manis (diabetik), darah tinggi dan cardiavascular. Berbasikal dapat membesarkan bahagian penting otak .....?
Kenyataan ini membuatkan aku lebih berazam untuk meneruskan aktiviti ini sehingga bila bila. Diharapkan lebih ramai penduduk negara ini akan melakukan aktiviti ini. Bukan setakat itu, kita juga perlu mengalakkan anak anak kita samada yang bersekolah atau yang telah bekerja untuk menggunakan basikal. Jika boleh bukan sahaja menggunakan basikal pada waktu petang sebagai aktiviti riyadah tetapi jika keadaan membolehkan menyuruh mereka mengayuh basikal kesekolah seperti zaman kita bersekolah dahulu.
Aku bernasib baik kerana sekolah rendah dan menengah dimana aku belajar hanya lebih kurang 1 km dari rumah. Hanya mengambil masa kurang dari 10 minit untuk sampai kesekolah menggunakan basikal besar serbaguna kepunyaan ayah. Tidak ada peluang untuk memiliki basikal sendiri ketika itu. Ramai rakan yang berkayuh lebih dari 5 km sehala setiap hari untuk kesekolah. Pada masa tersebut hanya basikal biasa sahaja yang ada. Tiada rb, mtb, fixie atau chopper. Bayangkan pada musim hujan atau musim tengkujuh.
Kenapa diantara ribuan pelajar diseluruh negara yang mengayuh basikal kesekolah pada setiap hari, hanya beberapa peratus sahaja yang dapat melanjutkan pelajaran ke menara gading? Apa jadi dengan selebihnya.
Walau apa pun teruskan aktiviti ini.

Statistik
   Mula .............. 8.0 pagi
   Tamat ............ 10.20 pagi
   Jarak .............. 42 km
   Cuaca ............. Panas (tiada awan dilangit)
   Laluan ............ Muzium Arkeologi
   Odometer 2012 : 00854
    

Sabtu, 18 Februari 2012

Penaga

Tiga hari tidak dapat melakukan kayuhan kerana ada beberapa komitmen yang perlu dilakukan. Walau begitu sempat aku meronda ronda dengan basikal pada sebelah petang disekitar bandar Sungai Petani pada hari Khamis sekadar untuk menghilangkan rasa senggal dan letih badan. Disamping itu aku juga ingin melihat aktiviti dan kesibukkan di bandar. Selalunya tidak berpeluang membuat aktiviti sedemikian kerana menjadi kebiasaan ke bandar menaiki kereta. Tidak disedari betapa banyak perkara yang kita tidak berpeluang melihat seara dekat.
Pagi Jumaat aku ke Kangar untuk mengambil barangan dirumah sewa anak sulung aku. Latihan amali di Hospital Tuanku Fauziah tamat hari ini. Dia akan bercuti sebelum memulakan housemnaship, dimana pun masih belum diketahui.
Walaupun sudah lama bersara, tetapi aku sering menantikan kedatangan hujung minggu terutama hari Sabtu. Masih terbawa bawa dan teringat tentang seronoknya hari tersebut. Hari yang mana aku boleh lepak dan berehat dirumah bersama anak anak kerana mereka cuti hujung minggu persekolahan dan sering keluar untuk sarapan pagi bersama.
Kini semenjak tidak bekerja empat tahun lalu, hari Sabtu dan Ahad adalah hari yang juga dinantikan dengan penuh semangat. Hari Sabtu biasanya ramai rakan rakan akan mengajak membuat kayuhan bersama, sering kayuhan yang memakan masa lama dan jarak yang agak jauh. Minggu lepas destinasi kayuhan adalah Sik melalui Jeniang dan pulang melalui Kuala Ketil. Minggu ini mereka akan ke Baling melalui Sik sejauh hampir 120 km. Betapa ingin aku menyertai kedua dua kayuhan tersebut, tetapi tidak upaya kerana komitmen. Jika setakat dua jam boleh juga tetapi kayuhan tersebut akan memakan masa tidak kurang dari lima jam.
Pekan Penaga agak sibuk pada waktu pagi dengan orang ramai pergi berbelanja dipasar untuk  makanan tengah hari. Terdapat pasar sehari kecil yang kebanyakkan menjual ikan dan hasil laut lain.
Dari jauh aku melihat banyak kenderaan diletakkan berhampiran dengan Sekolah Kebangsaan Penaga dan ramai orang berkumpul di bawah khemah yang dipasang di tempat letak kereta. Aku tertanya tanya apakah program yang sedang dijalankan. Teringin untuk aku masuk menjengok tetapi aku berhenti dipintu masuk. Aku bertanya kepada salah seorang lelaki yang sedang keluar dari tempat tersebut apa yang sedang berlaku. Secara ringkas dia menjawap "wang 500.00".
Sepatutnya aku mengagaknya. Orang ramai datang untuk mendapatkan wang BR1M sebanyak RM 500.00. Bantuan 'one off' ini adalah untuk keluaga yang berpendapatan dibawah RM3,000.00 sebulan. Hairan juga aku kerana ramai penerima yang datang menaiki kereta. Ia boleh dilihat dari jumlah kereta yang di parking  hinggakan penuh dikiri dan kanan jalan sejauh hampir 200 meter.
Aku juga menghantar borang tersebut dengan anggapan layak menerima bantuan tersebut dengan alasan aku tidak lagi bekerja dan tiada sebarang pendapatan bulanan. Semua anak anak masih belajar. Semasa menghantar borang tersebut aku ditanya bagaimana aku menyara hidup harian.
Aku memang tidak mengharapkan mendapat bantuan tersebut kerana sejak dua menjak ini membaca berbagai lapuran dan sungutan orang ramai yang gagal menerima. Tetapi dalam masa yang sama tidak pula mahu dianggap sombong dan angguh kerana tidak memohon. Kalau dapat 'Alhamdulillah' dan jika gagal tidak mengapa.
Sehingga hari ini aku masih belum mendapat jawapan samada layak atau tidak. Difahamkan setiap permohonan akan diberitahu secara bertulis samada layak atau tidak.
Selain dari menyemak dengan Jabatan Hasil, butiran peribadi lain juga disemak dengan JPJ untuk menentukan apakah jenis kenderaan yang digunakan dan berapakah bilangan kenderaan yang dipunyai. Akaun simpanan termasuk akuan saham amanah, tabung haji dan lain lain juga diperiksa.
Kenapa butiran tersebut tidak dijadikan syarat syarat yang perlu dinyatakan didalam borang BR1M. Pemohon yang mempunyai mempunyai kereta dan rumah melebihi harga tertentu atau yang mempunyai saham amanah melebihi nilai tertentu tidak layak memohon walaupun pendapatan bulanan kurang dari RM3,000.00.  Tidaklah pemohon perlu membuang masa dan mengharap.

Statistik
   Mula .............. 8.10 pagi
   Tamat ............. 10.20 pagi
   Jarak ............... 48 km 
   Cuaca ............. cerah
   Laluan ............ Kepala Batas - Penaga
   Odometer 2012 : 00812
     

Selasa, 14 Februari 2012

Laluan 'by-pass' aje .....

Kartoon Lat
Hari velentine ..... apa dia? Tidak membawa sebarang erti dalam kehidupan harian kebanyakkan masyarakat kini terutama yang telah berusia lebih 30 tahun dan yang telah berkahwin.
Terlalu banyak diperkata didalam akhbar dan media elektronik termasuk oleh alim ulama, ustaz, cendiakawan, orang persendirian dan ramai lagi tentang orang Islam terutama golongan muda yang terikut ikut menyambut hari valentine. Perkara ini juga disebut pada ceramah ceramah agama dan taskirah yang diadakan di masjid dan surau. Kesimpulannya ialah adalah haram untuk orang Islam meraikan hari valentine. 
Selalunya hanya anak muda yang meraikan hari tersebut. Tanpa disedari anak anak muda Islam menyambut hari Saint Valentine yang dihukum bunuh kerana mengingkari perintah raja dengan mengahwinkan pasangan yang bercinta. Seolah olah anak anak muda kita menyertai penganut kristian mengingati seorang pederi mereka.
Rasanya bukan niat anak anak muda bukan berniat begitu, kalau ditanya apakah sejarah sambutan hari valentine, kebanyakkan mereka tidak akan dapat menerangkan dengan baik. Apa yang mereka tahu hari tersebut adalah hari dimana pasangan kekasih memberi hadiah dan bertukar ungakapan cinta dan kasih sayang. Oh... ramai yang keterlaluan dan terbawa-bawa menyambutnya sehinggakan menyebabkan berlakunya perkara perkara yang diluar batas dan menyebabkan gejala tidak sosial.
Tidak guna pihak pihak yang ingin menghalang perkara ini dari berlaku hanya membuat kenyataan bila hampir atau tiba hari tersebut. Ianya perlu ditangani pada peringkat awal remaja. Pastikan remaja kita terutama pada peringkat mula memasuki alam remaja diberitahu apakah itu sambutan hari valentine.
Media massa tidak perlu mensesasikan dengan membawa cerita cerita mengenainya. TV pula tidak perlu mengiklankan atau membuat sebarang rencana. Tidak perlu menayangkan sebarang filem atau drama khas sempena sambutan valentine. Tidak perlu menyiarkan apa apa clip video lansung mengenai sambutan tersebut.
Aku membuat kayuhan hari ini walau kelmarin telah pergi lebih 60 km. Ini kerana aku akan agak sibuk pada dua tiga hari kedepan ini.

Statistik
   Mula ............. 8.05 pagi
   Tamat ............ 9.25 pagi
   Jarak .............. 32 km
   Cuaca ............. panas  
   Laluan ............ lencongan Timur - Lencongan Barat
   Odometer 2012 : 00764

Isnin, 13 Februari 2012

Tg Dawai

Tidak pasti samada rakan rakan jadi berkayuh ke Sik pada kelmarin. SK Juan datang kerumah untuk mengajak aku ikut serta tetapi aku menolak kerana ada beberapa urusan yang kena dibuat. Kalau itdak ada apa yang penting aku juga tidak mahu menyertai kayuhan hampir 110 km pergi balik. 
Rata rata orang ramai mengeluh tentang cuaca panas yang melanda negeri sebelah utara sekarang ini. Musim ini musim panas datang lewat kerana musim hujan yang baru tamat pada penghujung Januari lepas. Sebaik sahaja matahari terbit kelihatan langit kebiruan dan tompok awan amat kurang kelihatan dilangit.
Suhu panas akan meningkat pada tengah hari dan masa yang paling hangat mulai jam 1.00 hingga 5.00 petang. Memikirkan keadaan ini aku tidak bercadang untuk berkayuh jauh. Mungkin sekadar dua tiga jam sahaja. Seperkara lagi angin 'bayu laut' juga bertiup agak kencang dan boleh memperlahankan kayuhan.
Pada awalnya aku ingin berkayuh setakat Singkir Darat tetapi merasakan tidak sempurna kalau tidak sampai ke hujung iaitu ke Tanjung Dawai. Lagipun hanya 10 km sahaja lagi.
Perkara pertama yang aku nampak ialah papan tanda 'Jeti Tanjung Dawai' yang rosak telah diganti dengan baru. Tetapi bumbung jeti dan penghadang masih dibiarkan dalam keadaan rosak. Tiada usaha untuk diperbaiki buat masa ini. Keadaan pekan Tanjung Dawai lengang, mungkin masih awal. Banyak kedai yang masih ditutup. Tiada pelanggan di kedai yang dibuka.
Dahulu aku selalu singgah untuk makan roti canai di satu satunya kedai makan Mamak di pekan ini. Restoren ini telah bertukar tuan dan makanan tidak seenak yang lalu, jadi aku hanya lalu sahaja tanpa rasa teringin untuk singgah.



Statistik
   Mula .............. 8.05 pagi
   Tamat ............ 10.50 pagi
   Jarak .............. 59 km
   Cuaca .............. panas
   Laluan ............ Semeling - Merbok - Tanjung Dawai
   Odometer 2012 : 00732

       

Jumaat, 10 Februari 2012

masih belum terlambat ....

Hari ini aku ke Bukit Semarak. Rancangan awal untuk pergi awal tidak kesampaian kerana asyik melayari internet dan tidak perasan hari sudah cerah. Aku hendak mengelakkan kesesakkan kenderaan yang banyak kerana ada dua sekolah iaitu Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah Sungai Pasir di laluan ke kaki Bukit Semarak. Elok biarkan kenderaan membawa kanak kanak sekolah selesai, tenang sikit untuk melalui jalan tersebut.
Aku rasa kurang upaya sedikit mendaki bukit pagi. Keletihan berkayuh semalam masih belum reda, tetapi aku masih mampu membuat pendakian melalui jalan favourite aku iaitu jalan menegak ke puncak. Sebelum pendakian menegak tersebut aku memotong beberapa orang dan sekumpulan remaja. 
Semasa perjalanan turun aku berselisih dengan satu pasangan yang aku potong dan mereka agak terkejut kerana mereka masih belum habis membuat pendakian dan masih jauh untuk sampai kepuncak.
"Wah, cepatnya sampai" itu yang mereka ucapkan. Aku hanya tersenyum.
Terlupa untuk membawa cermin mata yang selalu aku gunakan untuk bersukan. Ia kecil dan ringan dan ada pengikat supaya tidak mudah terjatuh. Jadi aku terpaksa menanggalkan cermin mata yang aku pakai untuk menyenangkan aktiviti. Bukan apa. Ia jadi tidak selesa apabila peluh mulai meleleh dari atas kepala dan rambut. Sepanjang jalan aku tidak menggunakan cermin mata.
Tanpa cermin mata aku boleh melihat jalan walau tidak berapa jelas. Aku mulai memakai cermin mata sejak berada ditingkatan tiga sekolah menengah. Power agak tinggi iaitu lebih 500. Perlu ditukar selalu. Cuma sejak umur mencecah lima pulohan hingga sekarang tahap penglihatan tidak lagi menjadi teruk dan tidak perlu menukar cermin mata selalu.
Semasa aku setengah perjalanan turun aku melihat seseorang yang macam aku kenal. Aku perasaan lenggok jalannya tidak menyangka sehingga berada hampir dua meter darinya. Dia yang menegur aku dahulu. Seorang rakan yang aku baru dua tahun kenali kerana juga terlibat dalam panel penasihat klinik kesihatan.
Ini kali ketiga dia datang kesini. Selama ini dia melakukan aktiviti senaman berjogging di Taman Jubeli Perak. Sudah lama aku mengajaknya berjogging disini dan hari ini aku gembira kerana dia telah memulakan....... harapkan dia akan dapat mengekalkan aktiviti ini. Banyak kelebihan membuat senaman mendaki bukit ini dari berjogging di tempat lain.
Kawan aku ada sedikit penyakit seperti tekanan darah tinggi hampir 150 dan bacaan gula dalam darah melebihi 10. Kalau dia mengamalkan aktiviti ini besar kemungkinan akan dapat menurun tekanan darah dan kandungan gula.
     

Khamis, 9 Februari 2012

I follow ......

Tajuk blog hari ini tiada kena mengena dengan istilah yang digunakan oleh anak anak muda sekarang. Aku bermaksud kayuhan pagi ini mengikut kemana sahaja basikal membawa aku. Apabila sampai dipersimpangan Batu Lintang dari arah Sungai Pasir aku sepatutnya mengambil jalan ke Pekan Tikam Batu, tetapi aku tertarik dengan pemandangan sawah padi di Batu Lintang. 
Lantas aku memasuki laluan kecil tetapi bertar menyusuri kawasan bendang. Aku tidak tahu kemana jalan ini akan membawa aku. Terfikir juga jika aku terpaksa berpatah balik jika tiada jalan keluar. Aku melalui dicelah celah rumah petani yang terletak ditengah tengah bendang. Kawasan perkampungan ini sunyi sepi kerana anak anak telah pergi kesekolah manakala orang lelaki telah ke bendang atau urusan lain.
Petani sekarang beruntung kerana jalan dan lorong lorong ke rumah mereka disediakan oleh kerajaan sehingga ke mata tangga rumah. Rumah mereka juga lebih selesa, besar dan cantik. 
Jalan yang di ikut membawa aku jalan Tikam Batu - Kota Kuala Muda. Memang aku sudah agak dan aku berpatah balik ke Sungai Petani. Kemudian aku memasuki ke perkampungan di belakang kawasan perindustrian Tikam Batu. Sekali lagi aku mengayuh mengikut jalan yang belum pernah aku ikut sebelum ini.
Aku melalui beberapa buah kampung dan akhirnya aku terpaksa bertanya arah jalan kepada seorang mak cik yang sedang menyapu sampah diperkarangan rumah. Lega bila diberitahu arah untuk keluar. Tidak sangkan pula jalan yang ditunjukkan melalui ladang kelapa sawit. Aku terpaksa berkayuh hampir dua kilometer ditengah ladang sebelum sampai ke jalan Taman Rhu.
Walau tidak dapat berkayuh jauh tetapi merasa seronok dapat melihat kawasan perkampungan.

Statistik
   Mula .............. 7.50 pagi
   Tamat ............ 9.40 pagi
   Jarak .............. 36 km
   Cuaca ............ panas
   Laluan ............ Sungai Pasir - Batu Lintang - Tikam Batu - Pokok Asam
   Odometer 2012 : 00673
 

Selasa, 7 Februari 2012

Kayuhan Cuti Thaipusam

Aku memendekkan kayuhan pagi ini. Rancangan awal untuk berkauh ke Yan melalui Tanjung Jaga tetapi teringat untuk melihat perarakkan Thaipusam di Bandar Sungai Petani. Jadi aku membuat kayuhan ke Tupah dan akan mengikuti Bedong untuk pulang. 
Sampai di hujung jalan Tupah tidak kelihatan sesiapa kecuali dua tiga orang pekerja MPSPK Bahagian Senggaraan. Agaknya mereka akan membuat kerja kerja pembersihan kerana memang banyak sampah sarap yang bertaburan yang ditinggalkan oleh pengunjung yang ramai datang berkelah pada cuti hujung minggu diikuti cuti Maulidul Rasul pada hari Ahad dan cuti Thaipusam pada hari Selasa. 
Seperti biasa aku tidak berhenti rehat tetapi terus berpatah pulang. Tiada apa yang hendak dibuat. Air sungai pun amat sedikit dan mengalir lesu sahaja. Pada pertengahan kayuhan turun, berselisih dengan sekumpulan cyclist seramai hampir 15 orang membuat pendakian menggunakan roadbikes.
Sempat melihat dua kumpulan terakhir yang membawa kavadi dan orang perempuan yang membawa bekas susu. Perarakakan bermula dari sebuah kuil di persimpangan Jalan Sekerat. Masih yang mengiringi kumpulan tersebut. Telinga aku dibingitkan dengan suara gendang yang dipalu oleh pengiring kumpulan yang membawa kavadi, ditambah lagi oleh muzik yang dikeluarkan oleh PA sistem yang dimainkan dari gerai yang dibina disepanjang jalan yang dilalui oleh perarakkan tersebut. Kumpulan yang menyertai perarakkan pula tidak berhenti menyebut 'veil, veil' dan sesetengah anak anak muda menari nari disepanjang jalan.
Sambutan dan perarakkan Thaipusam di Sungai Petani telah bermula hari sebelumnya, mulai dari sebelah pagi sehingga ke larut malam.  Difahamkan di Pulau Pinang perarakkan Thaipusam bermula dua hari sebelumnya.
Aku sering tertanya tanya dari mana datangnya begitu ramai penganut kaum hindu yang datang pada perayaan. Setiap kali perayaan diadakan bandar Sungai Petani dipenuhi oleh penganut Hindu. Rupanya mereka datang dari seluruh pelusuk Negeri Kedah dan Perlis dan berkampung disini untuk dua tiga hari.
Thaipusam disambut pada 15 haribulan bulan 'thai' pada kelender yang digunakan orang penganut hindu. Perayaan ini disambut sempena Dewa Murugan diberi lembing 'vel' untuk menghapuskan dewa jahat bernama 'Soorapadman'. Penganut Hindu membawa kavadi sebagai simbol untuk memohon pertolongan dari Dewa Murugan dan juga untuk membayar nazar.
Sambutan perayaan Thaipusam di Malaysia adalah yang paling besar dan meriah. Thaipusam tidak disambut berskala ini ditempat lain termasuk di India. Di Malaysia juga sambutan yang terbesar diadakan di Batu Caves Selangor. Ratusan ribu manusia menyertai perarakkan sejahuh hampir 15 km dari Kuala Lumpur hingga ke Batu Caves dimana kemuncaknya adalah pendakian masuk ke kuil yang terletak didalam gua batu kapur.
Kali ini Thaipusam disambut serentak dengan sambutan Cap Goh Meh yang disambut oleh kaum Cina.

Statistik
   Mula .............. 7.45 pagi
   Tamat ............ 10.30 pagi
   Jarak .............. 49 km
   Laluan ............ Semeling - Tupah - Semeling - Bedong - Sungai Petani
   Odometer 2012 : 00637
      

Jumaat, 3 Februari 2012

Kayuhan di Langkawi

Langkawi - April 2008
Aku teringat pada kayuhan di Pulau Langkawi pada April 2008. Ketika itu bersama empat orang yang lain datang kesini membawa basikal menaiki feri bertujuan untuk mengelilingi pulau Langkawi menaiki basikal. Kami membayar tambang tambahan sebanyak RM10.00 untuk setiap basikal.
Kini aku membawa keluarga ke Pulau Langkawi sempena cuti hujung minggu yang panjang. Ahad 05hb Feb adalah cuti am sempena sambutan Maulidul Rasul. Kami bertolak pada hari Jumaat untuk mengelakkan 'crowd' atau kesesakkan di jeti Kuala Perlis. Tentu ramai pengunjung dari negeri negeri yang mengambil cuti sempena Thaipusam akan bercuti panjang selama empat hari. Aku jangkakan semua harga di Langkawi akan meningkat sempena dengan cuti panjang.
Walaupun sampai di Jeti Kuala Perlis agak awal tetapi semua tiket feri habis dijual. Kami hanya dapat tiket untuk perjalanan tiga jam kemudian. Sementara menunggu waktu bertolak kami ke Kangar untuk makan tengah hari.
Malam pertama dipulau legenda ini, aku keluar untuk makan malam dengan isteri. Anak tinggal di apartment kerana tidak mahu ketinggalan menonton program TV kegemaran. Setelah makan kami pergi bersiar siar menaiki kereta yang di sewa dari Perdana Beach resort berhampiran Kuala Triang ke Pantai Kob. Sepanjang jalan kelihatan ramai cyclist mengayuh pada waktu malam. Disini timbul niat aku untuk membuat kayuhan mengelilingi pulau ini sekali lagi. Hasrat ini aku nyatakan kepada isteri dan besar kemungkinan aku akan datang pada pertengahan bulan Mei nanti diluar waktu puncak atau hujung minggu.
Pada pagi hari yang kedua aku bersiap untuk pergi berjogging di 'breakwater' yang terletak hanya beberapa meter dari apartment tempat aku menginap. Isteri aku sangat teruja dan seronok ikut serta berjogging.
Apabila kami sampai terdapat banyak motorsikal yang diletakkan di permulaan tembok penghadang ombak. Tiada sebarang kenderaan dibenarkan berada diatas tembok ini walaupun basikal. Dahulu aku pernah cuba membawa masuk basikal tetapi tidak dibenarkan oleh pengawal keselamatan.
Aku berselisih dengan beberapa orang dalam perjalanan pulang. Mereka datang awal pagi. Berjogging di sini sememang menyediakan scenario yang mengasyikkan dan udara pagi yang nyaman. Dapat merasakan berjogging ditengah laut dan daratan. Apabila sampai dipenghujung tembok, dapat menikmati pemandangan sekitar pulau dan pantai. Ketika itu matahari baru mencelah disebalik banjaran gunung pulau ini.
Terdapat beberapa bot nelayan sedang mencari rezeki di kawasan ini. Apa yang diperhatikan rezeki pagi ini amat berkurangan. Setelah menarik pukat yang dilabuhkan hanya beberapa ekor ikan yang berjaya dinaikkan.
Dipenghujung tembok penghadang ombak terdapat beberapa orang sedang memancing. Mereka datang kesini sejak jam 3.00 pagi. Melihat kedalam kantong, tidak banyak ikan yang dapat ditangkap. Cukup untuk makan. Kebanyakkan ikan yang ditangkap bersaiz kecil.
Pagi hari kedua sekali lagi aku dan isteri keluar berjogging setelah selesai mengerjakan solat subuh. Kali ini aku merancang untuk menyusuri Sungai Kuala Melaka. Ada laluan khas dibina dikedua dua belah sungai ini. Selain  dari laluan ditebing sungai ada juga laluan konkrit yang dibina dikawasan hutan bakau. 
Kami mengambil masa hampir dua jam mengikuti laluan yang disediakan. Disepanjang perjalanan kami melihat suasana kampung yang begitu shahdu, matahari memancarkan cahaya celah pokok kelapa. embun dirumput masih belum kering. Terdapat beberapa ekor kerbau sedang berkubang didalam sawah yang baru dituai. Banyak burung mengelilingi kerbau tersebut. Beberapa ekor lembu sedang meragut rumput berhampiran.
Ratusan burung bangau putih berkeliaran didalam bendang dan di tebing sungai mencari makanan. Riuh rendah bunyi burung tersebut disertai dengan pelbagai bunyi unggas dan haiwan dari hutan bakau. Sesekali nampak helang yang menjadi trademark pulau ini berlegar legar diudara. Susah untuk dapat suasana begini di tempat lain. 
Semasa memulakan perjalanan kami ditegur oleh seorang pak cik tua yang sedang duduk di pangkin diluar rumahnya. Dia mengajak aku singgah tetapi aku menolak kerana ingin berjogging, jika ada masa akan singgah semasa perjalanan balik nanti. Kami tidak berjumpa dengan orang lain disepanjang masa berjogging disini. Mungkin mereka datang pada masa lain, tetapi jika difikirkan hari ini Sabtu mesti ada sebab mengapa tiada pengujung lain disini. Adakah ianya terlalu jauh (lebih kurang 20 km dari pekan Kuah dan 8 km dari Pantai Cenang).
Pak cik tadi masih duduk ditempat sama semasa kami melalui jalan untuk pulang ke apartmen. Sekali lagi dia mengajak kami singgah dan kali ini aku terpaksa mengalah untuk tidak mengecewakan. Dia tinggal dirumah tersebut bersama isterinya dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan tetap. Dia memelihara itik dan memelihara ikan didalam tali air yang dikorek. Mengikutnya pendapatan dari jualan itik dan ikan cukup untuk menampung kos saraan hidup harian untuk mereka berdua. Dia tidak perlu membawa ikan dan itiknya untuk dijual kerana ada orang yang datang membelinya dirumah.
Dua orang anaknya tinggal tidak jauh dari rumahnya.
Dengan keadaan kehidupan mereka begitu, sempat mak cik menyediakan kopi 'O kaow' dan biskut kering untuk kami. Sambil berbual mak cik tersebut membuat kerja memproses rokok daun dari pucuk daun nipah. Aku belum pernah melihat secara dekat. Rupanya rumit juga tidak seperti yang aku sangkakan. Mengikut Pak cik Husin, permintaan rokok daun yang diusahakan mendapat sambutan sehingga tidak mencukupi permintaan. Hitung panjang jualan sehari ialah RM30.00. Diantara pelanggan tetap ialah pemandu teksi yang berulang alik dari hotel dan resort disini ke Pekan Kuah.
Aku rasa kagum dan terharu dengan kegigihan pasangan ini yang mengharungi sisa hidup, tinggal jauh dari kawasan kampung. Walaupun mendapat kemudahan asas seperti bekalan air bersih dan tenaga elektrik tetapi keadaan rumah yang diduduki sepatutnya mendapat bantuan dan pertolongan dari pihak pihak berwajib.
Oh... satu perkara lagi, rumah pasangan ini sering dikunjungi oleh pelancong pelancong asing yang menginap dihotel hotel mewah bersebelahan jalan. Pelancong asing ini ingin melihat proses penyediaan rokok daun. Ramai juga antara mereka yang belajar cara membalut dan menghisap rokok daun ini. Penghormatan yang diperolehi dari kunjungan tersebut mengubatkan rasa susah payah mengharungi kehidupan harian mereka. Tentunya gambar pasangan ini banyak berada didalam komputer dan alat storage gambar di serata dunia.
Jika aku datang kesini lagi pasti akan singgah menziarahi pasangan ini lagi, jika dipanjangkan usia dan diberika kesempatan.
    

Khamis, 2 Februari 2012

Hilang keupayaan tertawa ....

Jauh disebalik jalan jalan yang berliku di Bukit Semarak aku terdengar hilaian tawaan beberapa remaja lelaki dan perempuan. Beberapa persoalan timbul dalam kepala aku. Mereka sepatutnya berada didalam bilik darjah kerana hari ini adalah hari persekolahan. Apa sahaja yang kelakar sehingga mereka terbahak bahak ketawa.
Betapa cemburu aku mendengar hilaian gelak ketawa mereka. Jangan salah faham. Tertawa adalah satu aktiviti senaman juga. Ia mampu menguatkan otot otot muka dan paling penting ia dapat mengurangkan stress pada diri kita.
Cemburu kerana aku sebenarnya tidak ingat bilakah kali terakhir aku tertawa seperti itu. Agaknya semakin usia menjangkau, semakin kurang kita tertawa terbahak bahak atau mengilai ngilai. Entah apa yang membuatkan aku boleh tertawa semahu mahunya. Dahulu semasa muda kita semua akan tertawa terbahak bahak walau sedikit sahaja yang membuat hati tercuit. Hinggakan tergolek golek diatas lantai atau tanah.
Agaknya inilah sebabnya sekarang ini terdapat kumpulan kumpulan yang khas berkumpul setiap pagi pada hujung minggu dan tertawa beramai ramai.




(belum habis lagi ...)