Halaman

Rabu, 27 Januari 2010

Bercuti ke Medan Indonesia

Sejak kelmarin badan aku tak selesa dan kepala rasa berat. Mula mula aku ingatkan badan letih kerana percutian di Medan Indonesia mulai hari Khamis 21 Jan hingga 24 Jan 2010. Semasa disana saya banyak merayau (berjalan kaki) merata pekan. Nyata badan rasa letih dan lemah kerana sudah lebih lima hari tidak membuat kayuhan. Ingin buat kayuhan sebelah petang tetapi sejak dua petang yang lalu hujan turun. Terbantut hasrat kayuhan.
Aku sentiasa membawa kamera digital kemana saja aku pergi di Kota Medan, manalah tau kalau ada gambar gambar yang menarik boleh di abadikan, terutama berkaitan dengan basikal dan khasnya basikal mountain atau road bike. Pelik juga kerana sepanjang empat hari di Medan,  tak nampak lansung kumpulan atau orang perseorangan mengayuh mountain atau road bikes. Pada mula aku ingatkan mungkin tidak rider di sebabkan pekan Medan yang memang sibuk dan sesak dengan kereta dan kenderaan lain. Kalau mengayuh basikal keliling bandar memang akan mendatangkan masalah dan sukar.
Pada hari Sabtu 23 Jan dan Ahad 24 Jan 2010, aku dan famili ke kawasan luar pekan Medan. Sepanjang perjalanan  aku sentiasa memerhatikan kalau ada orang mengayuh basikal. Selama empat atau lima jam perjalanan, tidak juga kelihatan sesiapa mengayuh basikal macam yang kita lihat di Malaysia, walaupun kedua dua hari tersebut adalah hari lipur (cuti). Teringat semasa aku datang dua tahun yang lepas pada tahun 2008, aku menyewa kereta untuk ke Parapat, Danau Toba. Sepanjang perjalan dari Medan ke Danau Toba melalui Pematang Siantar dan perjalanan pulang ke Medan melalui Kabanjahe dan Brastagi selama hampir 6 jam juga tidak kelihatan orang menaiki basikal. Aku bayangkan betapa seronoknya kerana keadaan jalan yang berliku-liku,  berbukit, pemandangan yang indah dan mengasyikan, dipenuhi pokok disepanjang jalan dan keadaan cuaca yang jauh lebih sejuk dan nyaman dari cuaca di Malaysia.
Sebaliknya terdapat ratusan (mungkin ribuan) basikal di Bandaraya Medan tetapi dalam bentuk lain. Kebanyakkan basikal dalam bentuk beca roda tiga digunakan sebagai punca pendapatan untuk menyara hidup keluarga. Bayangkan kalau pengayuh beca yang mencari rezeki dengan mengayuh beca dari mula matahari terbit hingga tengah malam diberi mountain atau road-bikes dan berkayuh bersama kita. Agaknya kita mungkin tidak berupaya untuk menandingi mereka dari segi kekuatan dan ketahanan.
Basikal yang diubahsuai juga menjadi satu sistem pengangkutan untuk membawa barangan perniagaan sebagai alternatif kepada lori atau pickup truk. Barangan akan dimuatkan dan dihantar menggunakan tenaga kayuhan. Aku agak terharu atas kegigihan mereka mencari rezeki halal.
Ada juga basikal yang digunakan sebagai kenderaan untuk pergi dari satu tempat kesatu tempat lain. Tetapi tidak banyak kelihatan. Lagi satu aku kagum ialah semasa aku berjalan terdapat satu jalan dimana sepanjang jalan tersebut terdapat semua kedai menjual barangan yang sama. Jalan tersebut menempatkan tidak kurang dari 20 unit kedai basikal besebelahan satu sama lain. Hakikatnya keadaan sebegini terdapat di merata bandar Medan. Kedai yang menjual barangan atau produk yang sama ditempatkan disatu kawasan.
Alangkah seronoknya kalau aku boleh bawa basikal aku kesini. Boleh aku jelajah seluruh kawasan Medan yang luas ini lebih jauh dan dapat melihat, menikmati dan mempelajari kehidupan rakyat disini. Mungkin satu hari nanti niat aku akan tercapai kerana basikal boleh dibawa melalui feri dari Pulau Pinang ke Belawan dan kemudian mengayuh ke Medan.
Aku tidak sabar untuk membuat kayuhan apabila kembali ke Malaysia nanti.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan