Halaman

Jumaat, 29 Januari 2010

Pekan Semeling

Hari ini aku buat sesuatu diluar kebiasaan, jarang aku buat kayuhan pada hari Jumaat tetapi hari ini aku buat pengecualian. Mungkin kerana aku sudah beberapa hari tidak buat kayuhan kerana kesibukan dan juga kerana cuaca yang tidak menentu disebelah petang
Mulakan kayuhan pada jam 07.15 pagi walaupun masih gelap dan cuaca agak sejuk menuju ke Pekan Semeling melalui Lencongan Barat. Cadangan aku ialah untuk ke Rekreasi Tupah melalui Pekan Semeling. Semasa menuruni jambatan Sungai Merbok, terlintas dihati untuk menulis sedikit mengenai Pekan Semeling. Mungkin aku akan buat sedikit penyelidikan dalam internet, walaupun cara terbaik ialah dengan menemu ramah penduduk tempatan. Aku tak kenal siapa. Tentu banyak cerita yang menarik dan banyak rahsia tentang pekan kecil ini.
Tiga tahun semasa aku bekerja di Alor Setar, aku melalui pekan Semeling ini setiap pagi dan petang sehingga jalan baru Bedong-Merbok siap pada awal 2007.
Sebelum jambatan yang merintasi Sungai Merbok dibina pada pertengahan tahun 1990 an, jalan ke Pekan Semeling dari Sungai Petani ialah melalui pekan Bedong. Perjalanan ketika itu mengambil masa lebih dari 45 minit dengan kereta bebanding kurang dari 10 minit sekarang. Pekan Semeling terletak  lebih kurang setengah kilometer kedalam dari jalan utama (jalan lama) Bedong ke Merbok. Boleh dibayangkan ketika itu Pekan Semeling tidak dikunjungi oleh orang yang melalui jal;an tersebut.
Keadaan berubah bila jambatan Sungai Merbok siap. Kenderaan menuju ke Merbok, Singkir dan seterusnya ke Tanjung Dawai atau Ke Yan dan Alor Setar akan melalui pekan ini.  Jarak  perjalanan dipendekkan lebih dari 20 km. Oleh kerana satu satunya jalan ialah melalui tengah pekan ini dan jalan ini agak sempit, lebih lagi dengan kenderaan yang diletakkan di kiri dan kanan jalan, keadaan akan menjadi sesak pada waktu pagi dan petang semasa orang pergi dan balik kerja.
Terdapat kurang dari 50 unit kedai di pekan ini, separuh dari bilangan ini adalah kedai pre-war yang dibina sebelum tahun 1960an dan yang selebihnya kedai yang baru dibina. Kebanyakkan adalah yang dipunyai oleh Masyarakat Cina, hanya terdapat satu atau dua kedai kepunyaan orang Melayu yang menjual makanan. Seperti pekan kecil yang lain, kedai kedai disini menjual barangan keperluan harian untuk penduduk tempatan. Kini terdapat satu klinik persendirian yang baru dibuka.
Di tengah pekan terdapat satu tokong orang cina. Tokong tersebut agak besar dan agak menarik. Disebelah pagi didapati ramai pengunjung. Sebuah Masjid terletak di hujung pekan ini. Sekolah kebangsaan Cina yang kecil cukup untuk menampung bilangan penduduk cina di pekan ini terletak selepas masjid, manakala sekolah Kebangsaan Semeling selepas simpang dan berhadapan dengan jalan utama Bedong-Merbok.
Kawasan Semeling mempunyai beberapa Taman Perumahan yang terletak di belakang pekan. Sekitar pekan ini terdapat banyak perkampongan orang Melayu.
Kemajuan yang paling ketara ialah terdapat dua institusi Pengajian Tinggi dan satu kolej berhampiran dengan pekan Semeling ini. Universiti Instutute Teknologi Mara (UiTM)  terletak hanya dua kilometer dari pekan di jalan menghala ke Merbok. Manakala Asian Institute of Medical Science and Technology, AIMST terletak lebih kurnag tiga kilometer di jalan menghala ke Bedong. Maktab Rendah Sain Mara pula terletak lebih 5 kilometer di belakang UiTM di jalan menghala ke Segantang Garam.
Namun kehadiran pusat-pusat pengajian ini tidak membangunkan pekan kecil ini. Jalan baru yang lebih besar dari Bedong ke Merbok memburukkan keadaan. Tiada lagi kenderaan yang melalui pekan ini, tiada lagi kesesakkan sebelah pagi atau petang yang dialami, tiada hiruk pikuk bunyi enjin dan hon yang dibunyikan dan peniaga tidak lagi sesibuk dahulu. Tiada pembinaan kedai baru, tidak lagi taman perumahan baru atau apa pembangunan dapat dirasai oleh penduduk tempatan.


Statistk kayuhan :
Mula :     0715 pagi
Tamat :    1945 pagi
Jarak :      42 km
Cuaca :    Nyaman
Jumlah peserta :  solo


Tiada ulasan:

Catat Ulasan