Halaman

Khamis, 5 Mei 2011

1 plus 2

Lama juga aku memikirkan apakah topik yang sesuai aku tulis untuk kayuhan pagi ini. Kalau tiada apa cerita yang sesuai mungkin hanya catatan statistik kayuhan memadai dimasukkan kedalam blog. 
Cuaca pagi ini tidak perlu lagi diragui. Jam 7.30 pagi matahari kelihatan walaupun tidak secerah sepatutnya. Aku tidak perlu meminta 'second opinion' dari orang rumah. Tentunya hujan tidak akan turun seperti hari sebelumnya. Kelmarin aku beriya-iya betul untuk keluar membuat kayuhan, sebaik sahaja selesai sarapan pagi, hujan mulai turun dan menjadi lebat. Hujan turun hampir tiga jam dan berhenti jam 11.00 pagi.
Untuk mengantikan kayuhan yang terlepas kelmarin aku merancang untuk melalui jalan lencongan timur kemudian kearah Pekan Bedong dan pulang melalui Pekan Semeling. Dapat menambah sebanyak 20km. Aku fikirkan tiada rider yang akan berada di jalan pagi ini.
Aku melayan jalan lencongan timur dengan hasrat untuk memperbaiki rekod masa kayuhan sendiri. Aku tetapkan untuk sampai ke persimpangan jalan Kuala Ketil dua tiga minit kurang dari masa yang biasa aku buat. Bahayanya kayuhan sebegini adalah aku sering melakukan kesalahan dengan melanggarkan lampu isyarat. Aku sepatutnya berhenti seperti kenderaan lain pada lampu merah tetapi jika aku perhatikan tiada kenderaan yang sepatutnya mempunyai hak laluan, aku akan teruskan. Ianya adalah 'calculated risk' iaitu bergantung kepada keadaan dan masa dimana lampu akan bertukar warna. Aku tahu ianya amatlah berbahaya.... dan aku berjaya untuk sampai lebih awal.
Target seterusnya adalah untuk sampai kepersimpangan penghabisan jalan lencongan timur, juga dibawah masa yang biasa. Apabila berhenti dipersimpangan Mahkamah Sungai Petani aku dapati ada seorang riders sampai dibelakang.
Aku memperkenalkan diri dan bertanyakan kemanakah arah kayuhannya. Hampir 10 minit berkayuh dan bersembang baru aku perasaan yang aku pernah berjumpa dia semasa kayuhan ke Muzium Arkeologi Lembah Bujang. Dia dari Taman Puteri Jaya tetapi hari ini menggunakan basikal roadbikes classics. Dia menceritakan bagaimana kelmarin dia berkayuh dan terperangkap didalam hujan selama hampir tiga jam. Aku mengajak dia untuk mengikuti jalan Bedong - Semeling dan terus bersetuju.
Dihadapan pusat komersial Lot 88 Sungai Petani aku melihat seorang rider mtb dan menghampiri. Dia tidak ada rancangan laluan khusus dan merasakan seronok apabila dipelawa menyertai kami. Kami berdua terpaksa memperlahankan kayuhan  bagi membolehkan dia bersama. Dia memperkenalkan diri sebagai Din. Walaupun berasal dari Sungai Petani tetapi menetap di Kuala Lumpur. Hanya pulang sesekali  kerana urusan perniagaan. Walau bagitu dia membawa basikalnya sekali setiap kali datang kerana menurutnya disini banyak tempat boleh berkayuh berbanding dengan di Kuala Lumpur.
Sekali pandang tidak menyangka dia menjadikan basikal sebagai aktiviti utamanya. Dia boleh dikatogorikan sebagai overweight, melebihi 80 kg, ketinggian 160cm dan berumur lingkungan 50 tahun. Dia juga meminati roadbikes dan mempunyai Fuji roadbikes berharga hampir RM10,000 dan selalu berkayuh bersama anak anak. Petang ini dia akan ke Terengganu dan membawa basikalnya untuk kayuhan esok disana.
Di pekan Bedong kami bercadang untuk mencari gerai yang sesuai untuk berteduh kerana langit diselubungi awan hujan gelap. Kami jangkakan hujan akan turun bila bila masa. Di kawasan Gunung Jerai kelihatan kelam kerana hujan lebat. Digerai kami dapat berkenalan dengan lebih rapat lagi.
Ee yang aku jumpa dipersimpangan mahkamah adalah seorang peniaga Koteow di Bandar Puteri Jaya. Nama sebenar ialah Zaini berasal dari Kampung Ruat Yan. Baru berjinak dengan basikal dan mengunakan roadbikes apabila melihat aku membuat kayuhan di muzium arkoelogi Merbok dua bulan lepas. Dengar khabar perniagaan koteow amat berjaya dan sedap.
Din pula adalah salah seorang pengasas rangkaian kedai barangan terpakai Osama yang ada di Sungai Layar. Osama adalah singkatan nama tiga beradik dan mereka memiliki 14 cawangan. Kini dia telah keluar dan memulakan perniagaan sendiri. Sallehuddin Shuib kini berulang alik dari Kuala Lumpur ke Sungai Petani untuk tujuan perniagaannya.
Hah .... kami bersembang hampir 20 minit dan hujan tidak jadi turun. Din membayar minuman kami walaupun dia tidak memesan apa apa. Mungkin disebabkan kebiasaan orang orang di KL, minuman kami berdua berjumlah RM1.60 sahaja dan dia menyuruh peniaga kedai supaya tidak memulangkan baki wang dua keping note satu ringgit. Tuan kedai tetap memulangkan wang lebihan tersebut.
Kami berpisah di persimpangan Sungai Layar. Aku dan Ee membelok ke kanan untuk ke penghujung lencongan barat.

Statistik
   Mula ........... 7.50 pagi
   Tamat ......... 10.00 pagi
   Jarak ........... 44 km
   Cuaca ......... mendung
   Laluan ......... Lencongan Timur - Bedong - Semeling - Lencongan Barat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan