Halaman

Isnin, 16 Mei 2011

Kayuhan Hari Guru .....

"SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU"

Hari ini 16hb Mei 2011 adalah Hari Guru di Malaysia. Di lain lain negara sambutan Hari Guru disambut pada tarikh yang berbeza. Diucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua golongan pendidik termasuk guru dan pensyarah  di atas sumbangan dan dedikasi mendidik anak anak. Jasa dan khidmat guru tidak akan dilupakan dan akan dikenang selamanya.
Malam tadi isteri aku membebel dan berleter kerana anak kami yang belajar di tahun enam tiada membeli hadiah atau cenderahati untuk dihadiahkan kepada gurunya sempena Hari Guru. Berbeza dengan tiga anak-anak kami yang terdahulu, sehari sebelum hari guru mereka sibuk membuat persiapan dan mengajak ibu bapa untuk pergi ke supermarket memilih hadiah sesuai untuk guru mereka. Sebagai ibu bapa, kita seharusnya memberikan sokongan dan galakkan kepada anak anak menghormati serta menghargai jasa guru mereka. Masa aku bersekolah dahulu tiada kesempatan berbuat demikian, maklumlah sekolah kampung. Hanya ucapan dan bersalaman dapat diberi dan dihulurkan.            
Sempena hari guru murid-murid tidak belajar tetapi datang ke sekolah untuk aktiviti bersama dengan guru. Kebanyakkan sekolah tidak mewajibkan murid datang berpakaian sekolah sebaliknya berpakaian sukan sahaja. Mengikut apa yang diberitahu, guru mengatur aktiviti yang bermanafaat kepada murid seperti kuiz, sketsa, spelling dan lain lain.
Semasa berhenti di lampu isyarat Taman Pengkalan Bujang, Merbok aku dapati semua murid MRSM Merbok berada di padang sekolah dengan berpakaian sukan untuk aktiviti yang diatur. Pada mulanya aku sangkakan sekolah mengadakan hari sukan tetapi ianya hanyalah aktiviti Hari Guru.
Ada juga guru yang membawa anak murid melawat tempat bersejarah dan penting seperti kumpulan yang aku jumpa di Muzium Lembah Bujang. Cuba teka dari sekolah jenis apa. Pastinya bukan murid-murid sekolah Melayu.
Pada bulan Mei ini banyak sambutan, pertama Hari Buruh, diikuti dengan Hari Ibu, Hari Jururawat dan Hari Guru, Hari Belia. Esok pula Hari Wesak. Ntah berapa banyak lagi sambutan hari aku pun loss track.    
Tanpa disedari dan secara tidak sengaja aku keluar memakai baju T-Shirt lengan panjang SMK Ibrahim kepunyaan anak aku. Dua tiga hari lepas orang rumah mengemas almari dan mengumpulkan pakaian yang tidak digunakan lagi. Dia berjumpa beberapa helai baju kokurikulam sekolah anak-anak dan mengesyorkan aku gunakan baju baju tersebut untuk mengayuh basikal.
Bukannya aku ada bantahan apa apa atau tidak setuju untuk memakai pakaian 'recycle', lebih lagi pakaian tersebut kepunyaan ahli keluarga sendiri. Tetapi baju yang aku gunakan semasa kayuhan memaparkan badge atau lambang sekolah dibahagian depan dan dibahagian belakang di tulis nama sekolah. Tiada problem dengan itu juga. 
Masalahnya orang anggap aku pesara guru sekolah tersebut. Aku singgah di gerai roti canai biasa apabila turun dari muzium Arkeologi Lembah Bujang, Merbok. Belum sempat aku memesan makanan dan minuman seorang pelanggan menegur dengan begitu selamba seolah olah mengenali aku. Oleh kerana dia duduk berseorangan aku pun mengambil tempat disebelahnya. Pelbagai soalan yang ditanya, aku layan sahaja le. Kemudian perbualan berkitar kepada cikgu yang terlibat dengan aktiviti berbasikal dan baru lah aku perasan yang dia ingatkan aku juga seorang guru berdasarkan baju yang aku pakai.


Tidak tahu mana silapnya tetapi semasa berhenti minum aku rasa belakang aku sakit. Mungkin tulang belakang mengalami kekejangan. Adakah ia disebabkan aku bekerja keras semasa membuat kayuhan ke Rekreasi Tupah dan Muzium sebentar tadi. Walau begitu aku sempat berkayuh pulang sebelum ia menjadi lebih teruk.
Bila sampai dirumah segera menyuruh isteri menyapu minyak gosok dan menelan dua biji 'penadol extend'. Jika tidak reda terpaksa pergi ke klinik pagi esok. Maknanya cuti hari wesak esok tidak boleh buat kayuhan.

Statistik
   Mula ................. 7.55 pagi
   Tamat ............... 10.30 pagi
   Jarak ................ 48 km
   Cuaca ............... nyaman
   Laluan .............. Rekreasi Tupah - Muzium Arkeologi Lembah Bujang
      

Tiada ulasan:

Catat Ulasan