Halaman

Isnin, 9 Mei 2011

Gunung Jerai 03/2011

Kali terakhir aku membuat kayuhan pendakian Gunung Jerai adalah pada 13 Feb 2011, hampir tiga bulan lalu. Rancangan untuk kesini telah beberapa hari bermain di kepala tetapi tidak dapat di realisasikan kerana pelawaan untuk kayuhan menggunakan roadbikes. Tidak mahu lama sangat meninggalkan 'mtb scott'.
Aku tidak menjangkakan ada rider yang membuat kayuhan pada Ianin seperti hari ini dan sesampai di kaki gunung kawasan parking kosong sahaja. Aku letakkan 4x4 tidak pada tempat yang betul tetapi tidak menghalang laluan. Tidak sangka pula bila turun dari gunung dapati semua tempat parking penuh dan kereta aku dihalang.
Oh memang susah untuk memulakan sesuatau semula jika telah meninggalkan dengan lama. Jika pada kayuhan terakhir dahulu aku boleh sampai ke puncak tanpa henti tetapi kali ini aku bagaikan kehabisan tenaga dan terpaksa melepaskan penat dipondok KM 6.
Sangkaan jalan akan senyap sunyi dan kosong ternyata meleset. Pada pendakian 3 km pertama sememangnya agak sunyi, hanya kedengaran bunyi unggas bersahut sahutan sehingga terasa seperti dalam hutan tebal. Dikiri kana jalan terdapat banyak kera dan monyet mencari makan yang kadang kala bertempiaran lari apabila aku menghampiri mereka. Selepas jam 8.30 pagi aku mendengar deruman enjin kereta yang kedengaran dengan jelas sedang membuat pendakian.
Beberapa kenderaan pacuan 4 roda kepunyai pelbagai ajensi kerajaan sedang menuju ke puncak gunung, diikuti oleh beberapa lori membawa bahan binaan. Dari pengalaman lalu aku pasti ada function atau aktiviti samada di tapak rekreasi atau di resort. Di hentian muzium perhutanan, ada khemah didirikan dan ramai anggota jabatan hutan berada disana. Salah seorang anggota menghampiri aku dan memberitahu mereka sedang membuat persiapan untuk lawatan Raja Permaisuri Agong pada 14hb Mei 2011 nanti.
Patut lah semasa memandu kesini tadi aku dapati banyak jalan jalan telah diturap semula. Bendera Malaysia, bendera Negeri Kedah dan banner dipasang di tiang tiang lampu jalan di sepanjang jambatan Sungai Merbuk dan tiang lampu berhampiran persimpangan jalan. Perkerja yang menjalankan senggaraan jalan berada awal untuk menyambung kerja yang ditinggalkan semalam. Suasana sebegini hanya terdapat apabila ada PRK (pilihan raya kecil), tetapi suasana ini lebih dari PRK.
Kebanyakkan ajensi kerajaan termasuk JKR, Perhutanan, Pertahanan awam, Majlis Daerah. pasukan sukarela sekolah dan pelbagai lagi berkumpul dikawasan gunung dengan tugas dan persediaan masing masing. Sehinggakan surau yang terdapat di jalan masuk sibuk dengan persiapannya sendiri. Kumpulan wanita sedang berlatih menyanyikan nasyid.
Aku pendekkan kayuhan aku dan tidak menghabiskan masa lama digunung kerana tidak mahu mengganggu persiapan menyambut Raja Permaisuri Agong. Aku difahamkan Yang Di Pertuan Agong tidak akan turut serta kerana ada urusan dan program tersendiri.
Aku akan membuat kayuhan ulangan tidak lama lagi.

Statistik
   Mula .......... 7.40 pagi
   Tamat ........ 10.05 pagi
   Cuaca ......... panas
    

Tiada ulasan:

Catat Ulasan