Halaman

Ahad, 20 Januari 2013

tidak suka kayuhan pagi Ahad ....

Memasuki jalan lencongan barat tepat jam 8.30 pagi. Rasa syahdu dan nyaman kerana tidak banyak kenderaan di jalan raya pagi ini. Angin timur bertiup kearah muka dan sejuk sekali.
Hari ini cuti umum di Kedah. Semua sekolah dan pejabat di tutup kerana sambutan Hari Keputeraan Sultan Kedah yang jatuh pada 20 Jan. 2013.
Beberapa tahun kebelakangan, hari keputeraan disambut pada hari Sabtu tetapi mulai tahun ini hari keputeraan ditukar kepada hari Ahad pula. Sambutan pada hari sabtu tidak memberi apa apa makna kepada rakyaat kerana sememangnya hari tersebut adalah cuti hujung minggu. Tiada terasa ada hari yang special yang disambut. Berbeza dengan sambutan pada hari Ahad. Adalah perasaan perayaan dan sambutan. Cuti tambahan kepada kanak kanak sekolah dan orang bekerja amat bermakna terutama jika kesempatan hari cuti tersebut digunakan sepenuhnya dengan membawa keluarga ketempat tempat perkelahan dan lokasi menarik diserata pelusuk negeri.
Masa aku kecil dan bersekolah dahulu, cuti seperti ini digunakan untuk mengadakan rombongan. Rombongan tersebut samada dianjurkan oleh pihak sekolah atau orang kampung. Biasanya kami akan pergi untuk mandi manda di pantai Port Dickson. Punya lah seronok. Biasanya kami tidak sabar lagi untuk terjun ke laut walau masih lagi antara 15 atau 20 kilometer jauh dari Teluk Kemang kerana bau masin air laut mulai dihidu di dalam bas rombongan.
Bila waktu pulang bas rombongan akan singgah di Pekan Diraja Seri Menanti, Kuala Pilah untuk bersuka suka di padang istana dimana diadakan pesta menyambut hari keputeraan. Pesta seperti itu sudah tiada lagi sekarang. Berbagai acara diadakan pada pesta tersebut termasuk funfair, persembahan kugiran live, joget, wayang gambar, persembahan keseniaan, expo barangan untuk dijual, judi .... (yang main lempar bola, gelung besi, senapang angin, dart dan lain lain dan mendapat hadiah anak patung dsb). Pesta ini kadang kala berlansung antara tiga hingga tujuh malam. 
Ramai cyclist di jalan raya pagi ini. Maklumlah cuti umum. Orang pertama aku jumpa memotong aku sebaik sahaja aku memasuki lencongan Semeling. Dia menggunakan roadbikes, masih muda dan berbadan agak  gempal. Berpeluh sakan semasa dia memotong aku. Tidak jauh mana sanat pun dia meninggalkan aku yang menggunakan mtb pagi ini. Dia memberi salam dan oleh kerana terkejut sedikit aku hanya menjawap 'ya' sahaja. Kemudian aku menjawap salamnya didalam hati.
Seorang rider perempuan berseorangan menuju kearah aku datang. Mungkin dalam perjalan pulang ke Sungai Petani? Kemudian ramai berkumpulan samada berkayuh sehaluan dengan aku atau kearah bertentangan. Kebanyakkan rider jauh lebih muda dari aku. Rasanya aku ternampak John dan rakannya sedang breakfast di gerai yang sering aku singgah untuk sarapan  sebelum persimpangan pekan Merbuk. Aku buat buat tidak nampak kerana tidak mahu singgah, mengganggu kayuhan pula nanti.
Berjumpa beberapa kumpulan cyclist lagi sebelum sampai ke Pekan Yan. Ada kumpulan yang sedang berehat ditepi bendang dan ada juga kumpulan yang sedang sarapan di gerai di simpang jalan ke Pantai Murni. Sememangnya aku berasa tidak seronok sangat berjumpa dengan rider rider tersebut. Macam ada perasaan 'inferiority complex' pula kerana usia dan basikal yang agak outdated. Pula .. aku berkayuh berseorangan berbanding dengan mereka yang berkumpulan. Macamlah aku ini anti-social sangat. Rasa tidak seronok berkayuh pada hari Ahad pula.
Aku meneruskan kayuhan ke Peranginan Titi Hayun. Sebaik memasuki jalan, terdapat berderet kenderaan memasuki dan menuju kearah kawasan peranginan tersebut. Wah ... awal lagi pengunjung sudah tiba untuk berkelah.
Ibu bapa sibuk membuat persiapan di tempat atau lokasi yang sesuai untuk mengadakan perkelahan. Ada yang sedang menghidupkan api menggunakan batu dan kayu yang terdapat dikeliling mereka. Agaknya untuk membakar atau memanggang ikan atau ayam yang dibawa bersama. Anak anak pula sedang bermain didalam air. 
Tempat parking mulai dipenuhi dengan kereta dan motor. Tempat parking motor dipenuhi oleh anak muda dari IPT berhampiran. Mungkin ini masa mereka menenangkan fikiran dan relax dari belajar.
Tidak lama di sini kerana masih belum sarapan. Perut pun sudah kempes dan tempat paling hampir untuk sarapan ialah di Pekan Yan. Bukan tiada gerai di kawasan tersebut tetapi makanan yang dijual tidak sesuai dengan selera orang lama seperti aku.
Tertarik dengan salah satu kawasan kediaman (?) berhampiran kawasan peranginan. Tidak tahu samada kawasan persendirian atau untuk umum. Binaan berasaskan rumah papan kampung melayu tradisi. Kawasan dijaga rapi dan kemas. Ada beberapa lagi bangunan/rumah yang baru didirikan disepanjang jalan dan dijadikan 'homestay'.

Matahari sedang memancar terik dan angin bertiup kencang, tetapi aku sudah hampir sampai ke rumah. Daun daun mati berterbangan ditiup angin. Aku tidak dapat mengagak kelajuan angin yang sedang bertiup tetapi yang dapat dirasakan ialah semakin berat kayuhan.
Esok kayuh lagi ye ....

Statistik :
    Mula ................ 8.20 pagi 
    Tamat .............. 12.05 pagi
    Jarak ............... 75 km
    Cuaca .............. Panas, berangin
    Laluan ............. Semeling - Merbuk - Yan - Titi Hayun
    Odometer 2013 : 00366   
   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan