Halaman

Rabu, 16 Januari 2013

Skot ....

Pagi ini cuaca lebih sejuk dari yang aku alami dua hari lepas. Rasanya lebih teruk aku berhingus. Tersilap kerana aku keluar lebih awal, cahaya matahari pun masih belum lagi kelihatan. 
Aku menuju ke Merbuk dan bercadang untuk menghabiskan kayuhan di Tanjung Jaga. Pada mula aku merancang untuk sampai ke Pekan Yan tetapi aku memikirkan perjalanan balik nanti terpaksa menghadapi tiupan angin kencang, cukup setakat puncak tertinggi jalan Tanjung Jaga.
Sebelum pendakian kecil Tanjung Jaga (seorang kawan dari Kepala Batas, Pulau Pinang iaitu Rozy Ismail memanggil bukit Tanjung Jaga tersebut sebagai 'three little sisters', jangan tanya aku kenapa.) aku memotong seseorang yang menaiki mountain bikes. Dia bersahaja berkayuh. Ingatkan aku telah meninggalkan dia begitu jauh tetapi tanpa aku sedari dia berada dibelakang aku sebaik sahaja aku menghabiskan pendakian dua bukit pertama. Wah boleh tahan juga orang ini. Sekilas pandang dia kelihatan lebih tua dari aku. Bagaimana pula dia berada dibelakang aku. Mesti regular atau pengayuh tegar.
Aku mengalami sedikit masalah kerana rantai basikal tergelincir antara jejari tayar belakang. Terpaksa membaiki dahulu. Cyclist tadi pergi dahulu, kelihatan dari jauh dia tidak menghadapi masalah pada pendakian yang sukar dan memenatkan. Aku sangkakan dia akan terus berlalu tetapi menunggu aku di puncak bukit. Rasa kesal kerana aku tidak menegurnya samasa memotong dia sebentar tadi.
Apa lagi aku mengunakan kesempatan untuk berehat, untuk menghilangkan rasa penat membuat pendakian. Sembang punya sembang, dia adalah bekas anggota TLDM yang bersara kira kira 15 tahun lalu. Bila aku beritahu yang aku juga bekas, dia terus memanggil aku 'warikh'. Satu lagi perkataan ialah penggunaan 'skot' sebagai ganti nama atau bila merujuk kepada seseorang anggota lain.
Ini adalah term biasa yang digunakan antara anggota tentera. Dia juga mengenali seorang rakan sekampung bernama Yaakub Rashid di Bahau Negeri Sembilan. Mungkin mereka satu department. Aku dapat mengagak kami lebih kurang sebaya umur tetapi maaf kerana berpendapat yang dia kelihatan jauh lebih berumur dari aku.
Aku tidak mahu memanjangkan cerita kerana dia tidak begitu berminat untuk bersembang lebih lanjut tentang pengalaman semasa di TLDM dahulu. Mungkin kerana dia dari LLP (lain lain pangkat) dan aku pegawai. Hanya sempat merujuk kepada beberapa orang pegawai yang dia dan aku kenal.
Basri, itulah nama yang diberitahu aku sebelum kami berpisah. Dia meneruskan kayuhan menuju ke Yan untuk pulang ke rumahnya Guar Cempedak. Menurutnya dia kerap membuat kayuhan ke Gunung Jerai kerana jarak gunung tersebut tidak berapa jauh dari rumahnya. walau tidak sampai ke puncak.
Aku rasa terharu apabila diberitahu dia kini menduda. Ingatkan kematian isteri, tetapi rupanya dalam proses bercerai dengan isteri setelah bersama hampir 30 tahun hidup bersma. Bila aku bertanya mengapa, dia berkata pendapatan sebagai pesara anggota tentera tidak sampai RM1,500 sebulan berbanding dengan pendapatan isteri yang masih menjadi penjawat awam yang hampir RM6,000 sebulan. Si isteri menjadi ego dan sering menganggap lebih superior dari si suami. Lumrah hidup.
Semoga kami akan berjumpa semasa berkayuh lagi......

Dalam perjalanan pulang, singgah untuk sarapan pagi digerai favourite dipersimpangan jalan Bendang Dalam / Batu Hampar. Kebanyakkan kuih kuih dan nasi lemak sudah habis terjual, begitu juga dengan roti canai. Dapur roti canai telah pun dipadam dan dikemaskan. Perut terasa amat kosong dan aku tiada pilihan melainkan kena pulut dengan inti kelapa dan seekor ikan tamban masin. Ini adalah makanan tradisional orang dulu dulu ketika mereka hendak turun ke bendang atau ke kebun sebelum roti canai dan nasi lemak mula menjadi pilihan.
Memang dah lama dok perati menu ini tetapi tidak kesempatan untuk mencuba. Terus terang aku lebih suka pulut santan berintikan durian atau mangga pelam.
Sampai dirumah perut meragam, tidak mungkin pulut kelapa yang aku makan sebentar tadi. Besar kemungkinan char koay teow yang akan makan malam tadi.

Statistik :
    Mula ................ 7.50 pagi 
    Tamat .............. 10.55 pagi
    Jarak ............... 53 km
    Cuaca .............. Panas, berangin
    Laluan ............. Merbuk - Tanjung Dawai
    Odometer 2013 : 00223   
   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan