Halaman

Rabu, 11 April 2012

Gempa bumi ....

Mengapa aku masukkan kejadian gempa bumi yang berlaku petang tadi didalam blog. Tiada kaitan langsung dengan kayuhan basikal.
Tetapi ini adalah satu pengalaman yang belum pernah aku alami sepanjang hayat. Aku mahu berkongsi sedikit pengalaman dan ingin merekodkan supaya tidak lupa. Itu kalau blog ini dapat dikekalkan sehingga tempuh masa yang lama. Atau mungkin jika ada kesempatan semua catatan ini dibukukan secara digital atau lain lain.
Aku masih ingat lagi gempa bumi yang berlaku pada Dec 2004, hampir lapan tahun lalu. Ketika itu ada saudara mara datang berkunjung ke rumah kerana menghadiri majlis perkahwinan di Sungai Petani. Tidak langsung tahu perasan berlaku gempa dan tsunami melanda di pantai Kuala Muda sehingga mendengar dan melihat ambulan berulang alik. Ramai orang kata mereka merasakan gegaran gempa tersebut. Hanya selepas menonton berita perdana baru mengetahui tentang kejadian tersebut.
Petang tadi aku masih berbaring di lantai ruang tamu, tempat favourite untuk tidur petang. Aku tidak suka tidur sofa kerana lebih suka tapak keras diatas karpet. Walau tidak lagi tidur tetapi tidak pula jaga sepenuhnya. Seperti di awang awangan, antara tidur dengan jaga. Tiba tiba aku merasakan lantai rumah beralun alun dan berombak ombak. Pada mulanya perlahan dan semakin kuat dan laju. Ia berlarutan hampir dua minit. Aku melihat jam dan waktu itu 4.40 petang.
Teruknya pening kepala aku ... itulah yang difikirkan ketika itu. Tidak langsung memikirkan atau membayangkan perkara lain. Aku memerhatikan jam dinding, lampu, almari, kipas dan segala benda lain yang nampak dari tempat aku berbaring untuk melihat kalau benda benda tersebut bergoyang. Tidak pula begegar.
Semasa mengalami pergerakan dibawah, entah apa yang aku fikirkan, perasaan yang tidak dapat aku bayangkan. Walau tidak kuat tetapi aku seolah olah dibuai oleh pergerakkan lantai rumah. Untuk mengatakan seperti dialun ombak agak keterlaluan kerana aku pernah dilanda ombak besar sehingga 15 meter semasa pelayaran pulang dari Korea dan Jepun pada tahun 1982 dahulu.
Anak lelaki aku yang sedang melayari internet di bilik bersebelahan tergegas keluar untuk memberitahu ahli keluarga lain tentang gegaran yang dialami. Dia menyatakan air minuman didalam jug berombak ombak dan dia juga turut merasakan gegaran.
Tidak pasti apa yang berlaku aku memasang TV untuk melihat jika ada berita mengenai gegaran tersebut. Masa itu aku sudah membuat kesimpulan bahawa pasti ada gempa bumi berlaku. Tiada apa berita mengenai disiarkan.
Anak bongsu aku membuka facebook dan menyatakan banyak lapuran didalam facebook mengenai gegaran tersebut. Seorang rakannya yang sedang berada di Central Square Sungai Petani menceritakan bahawa orang ramai berlari keluar dari shopping mall tersebut. Ada yang mengirim gambar menunjukkan jalan yang mendap dan merekah berhampiran Central Square.
Jam lima petang barulah berita mengenai kejadian gempa berlaku di pantai barat Sumatera disiarkan. kekautan gempa melebihi 8.5 Skala Ritcher jauh lebih rendah dari gegaran yang berlaku pada tahun 2004 yang menyebabkan tsunami dan mengambil lebih 250 ribu nyawa. Walau tidak sekuat tetapi gegaran terasa di merata tempat. Mereka yang bekerja di bangunan tinggi dan yang tinggal dirumah pangsa (flat) merasakan gegaran tersebut. Menurut berita dan internet, gegaran dapat dirasakan sehingga Terengganu dan lain lain tempat di Pantai Timur, Malaysia.
Ini adalah kali pertama aku merasa gegaran gempa bumi.
    

Tiada ulasan:

Catat Ulasan