Halaman

Ahad, 29 April 2012

Eksiden di Bedong

Berehat agak lama selepas kayuhan Gunung Jerai. Lima hari. Walaupun ada membuat pendakian di Bukit Semarak dua hari lepas. Dalam pada itu aku ada juga berkayuh jarak dekat ke bandar dan taman. Kayuhan ini lebih pada utuk menghabiskan masa pada sebelah petang sambil meninjau dan menikmati suasana kesibukkan bandar Sungai Petani. Kadang kala membeli satu dua barang kecil keperluan dapur.
Sebenarnya otot peha sebelah kiri mengalami sedikit kekejangan. Ia bermula hampir satu minggu lalu dan tidak tahu apa puncanya. Terasa memcocok bila ia menyerang tetapi tidaklah sangat. Malas untuk pergi mendapatkan rawatan tetapi adalah mengambil beberapa biji 'penadol extend'. Lega sekejap dan kemudian kekejangan datang semula terutama apabila aku duduk berlunjur di ruang tamu rumah. 
Kalau sakit otot ini tidak berkurangan aku bercadang untuk pergi urut. Seorang kawan tidak jauh dari rumah aku pandai mengurut otot yang mengalami kekajangan. Dia adalah pesara guru P.E (latihan jasmani) dan banyak membantu apabila murid murid mengalami masalah semasa berlatih dan bersukan.
Tidak tahu samada perasaan aku sahaja atau betul, tetapi aku merasa peha tersebut lega sebaik menghabiskan pendakian di Bukit Semarak dua hari lepas. 
Sebaik sahaja aku menutup semula pintu pagar rumah untuk memulakan kayuhan aku mendengar deringan telipon rumah. Isteri aku memanggil aku mengatakan ada panggilan dari kampung. Aku diberitahu bahawa Khalid suami kepada sepupu yang tinggal di Kampung Serting Ilir meninggal dunia di hospital Kuala Pilah. Dia seorang pegawai polis dan masih ada beberapa tahun lagi sebelllum bersara. Anak saudara yang menelipon aku tidak pasti punca kematian tetapi dia sihat pada sebelah siang hari sebelumnya ketika melansungkan majlis pertunangan anak sulungnya.
Aku mengirim salam kepada semua ahli keluarga termasuk emak saudara dan meminta maaf kerana tidak dapat pulang. Kalau pulang pun akan mengambil masa hampir enam jam. Aku mendoakan semuga rohnya dicucuri rahmat dan menyedekahkan Al Fatihah.
Semasa kayuhan aku mengimbas kenangan Allahyarham. Seorang yang periang dan mudah mesra. Senang berbual. Apa yang menakjubkan aku ialah kerajinannya. Tidak membuang masa, ada sahaja benda yang dilakukan. Dia membina sendiri rumah banglo besar di tengah bendang ditapak rumah lama rumah emak saudara aku. Bukan sahaja boleh melakukan kerja kerja memasang batu bata, lantai, bumbung tetapi pendawaian letrik dan pemasangan paip air juga dilakukan sendiri.
Aku hanya mengagak. Kematian mengejut mungkin serangan sakit jantung. Tidak dinafikan badannya sedikit gempal tetapi apa yang pasti ialah tekanan kerja atau 'stress'. Kali terakhir aku berjumpa dengannya, dia pernah menyatakan kesibukkan dan pressure tugas harian sebagai seorang anggota polis. Tiada masa untuknya melepaskan stress dan tekanan kerja seperti apa yang kita lakukan.
Memikirkan perkara tersebut, aku bersyukur kerana mempunyai dan diberi peluang untuk melakukan aktiviti berbasikal, berjogging dan lain lain. Mudah-mudahan aktiviti ini menghalang serangan mengejut penyakit yang menjadi pembunuh No.1 di negara ini. Bertambah tekad aku untuk meneruskan aktiviti yang aku lakukan.
Sebaik melepasi simpang ke Bukit Selambau di Sungai Lalang, kedengaran siren ambulan datang dari arah Sungai Petani. Mungkin ada orang sakit. Rupanya ada kemalangan tidak jauh di persimpangan ke Pekan Bedong. Seorang warga emas yang menunggang motorsikal melanggar atau dilanggar oleh kereta dari arah selatan. Pakcik tersebut melawan arus dari arah bertentangan tetapi mengikuti jalan sebelah kiri. Aku sering protes kepada penunggang motorsikal yang melakukan aksi sebegini.
Aku ingin pergilebih jauh tetapi aku ingin menghabiskan kerja kerja membersihkan frame roadbike sebelum dihantar untuk dicat.

Statistik :
   Mula .............. 7.35 pagi
   Tamat ............ 9.40 pagi.
   Jarak .............. 45 km
   Laluan ........... Lencongan Timur - Sg Lalang - Bedong - Semeling
   Odometer 2012 : 02014
         

Tiada ulasan:

Catat Ulasan