Halaman

Selasa, 10 April 2012

MPSPK Fun Ride

Mendapat jemputan melalui facebook dari beberapa rakan untuk menyertai Fun Ride for Health anjuran Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah MPSPK. Kayuhan tersebut akan diadakan di Tanjung Dawai pada Sabtu 28 April 2012 mulai jam 8.30 pagi.
Kayuhan ini terbuka kepada semua peringkat umur lelaki dan perempuan dan tanpa mengira jenis basikal yang digunakan. Aku berfikir, bagus juga sekali sekala menyertai kayuhan berkumpulan ini. Bukan untuk berseronok sangat tetapi untuk melihat telatah peserta peserta.
Aku sempat berjumpa dengan SK Juan yang baru pulang dari membuat kayuhan ke Merbok dan mengajak dia menyertai kayuhan tersebut. Dia bersetuju dan aku akan mengambil dan memberikan borang penyertaan kepadanya.
Lewat pagi aku singgah di kedai Basikal 'Dnia Bikes' di Taman Seraya Pinang Tunggal, salah seorang yang menjemput aku menyertai program tersebut bertujuan mengambil borang penyertaan. Aku diberitahu dia adalah seorang AJK program tersebut, dijemput kerana dia adalah penganjur 'Jamboree Bukit Birut' yang baru berlalu. Menurut Dahlan, ini kali pertama MPSPK menganjur program kayuhan seperti ini. Banyak perkara yang mereka tidak tahu dan memerlukan individu yang berpengalaman untuk membantu menjayakan.
Aktiviti kayuhan berkumpulan menjadi begitu popular akhir akhir ini. Sering kita baca dalam akhbar tentang program dan aktiviti yang dilakukan diseluruh negara. Tidak kiralah apa tujuan termasuk program kesihatan, social dan politik.
Laluan untuk kayuhan 'fun ride for health Tanjung Dawai 2012' masih belum diputuskan lagi. Ramai yang berminat menyertai beranggapan bahawa kayuhan akan bermula dari Bandar Sungai Petani ke Tanjung Dawai dan kemudian berpatah balik. Betapa mereka silap. Semua peserta akan berkumpul di tapak expo Tanjung Dawai. Kayuhan akan dimulakan dan ditamatkan ditempat sama. Jamuan makan dan acara cabutan bertuah akan dilakukan selepas kayuhan.
Apabila mendapat tahu maklumat tersebut, tawar hati untuk menyertai. Semua peserta terpaksa dihantar ke Tanjung Dawai dengan kenderaan dan dijemput pulang! Satu pembaziran sumber. Jika kayuhan bermula di Tanjung Dawai, peserta akan berpatah balik ke Lembah Bujang untuk mendapat jarak 45 km.
Kalau aku jadi menyertai program tersebut, rasanya aku akan berkayuh ke Tanjung Dawai, sertai program dan berkayuh pulang. Mungkin akan dapat membuat 100 km. Walau apa pun masih ada satu minggu lagi untuk membuat keputusan sebelum tarikh tutup penyertaan pada 19 April.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan