Halaman

Khamis, 12 April 2012

Hujan turun lagi

Hampir lima hari tidak membuat kayuhan. Selepas 'excitement' semalam iaitu kejadian gempa bumi di pantai barat Sumatera pada jam 4.40 petang dan cuti umum sempena pertabalan Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah, Sultan Kedah sebagai Yang Di Pertuan Agung yang ke 14, aku membuat rancangan untuk kayuhan hari ini.
Pelan A ialah kayuhan ke Pantai Merdeka. Singggah di Kuala Muda untuk melihat kesan kesan gempa bumi dan tsunami jika ada. Kalau tiada akan singgah untuk menjamu selera 'gulai ikan sembilang' digerai di tepi kuala sungai sebelum meneruskan perjalanan ke Pantai Merdeka. Segala amaran tsunami ditarik balik sebelum jam 9.00 malam.
Pelan B. Memandang ada beberapa urusan di sebelah petang, dua pusingan di jalan lencongan timur dan barat sejauh 65km amatlah memadai. Tidak berapa jauh rumah dan tidak berapa letih untuk membereskan urusan tersebut.
Sebaik sedar dari tidur jam 6.00 pagi, kedengaran hujan sedang turun dengan agak lebat. Ah .... tidak dapat lagi membuat kayuhan pagi ini. Dalam hati tertanya apakah hujan sejak dari tengah malam akibat dari gempa bumi yang berlaku.
Nampak gaya hujan akan turun sepanjang hari. Tidak mengapa, masih banyak masa lain untuk berkayuh.
   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan