Halaman

Selasa, 3 April 2012

Sungai Ular, Kulim

Satu lagi kayuhan jarak jauh selepas kayuhan ke Sungai Limau, Yan. Kayuhan hari ini juga ke sungai tetapi ke Sungai Ular, Kulim. Selepas kayuhan dua hari lepas aku lebih bersedia mentally dan secara fizikal. Bangun awal dari biasa kerana teruja untuk berkayuh hinggakan isteri bertanya kemana hari ini.
Aku rasa tidak menjadi masalah untuk menghabis jarak hampir 100 km. Boleh dikatakan jalan ke Kulim agak rata kecuali sedikit pendakian di Kulim Hi Tech park sebelum sampai ke Politeknik Kulim.
Pada kedua kayuhan lepas aku benar berharap dapat membuat jarak 100 km, tetapi malang kayuhan ke Sungai Limau kurang 11 km dan  lagi malang kayuhan ke Sungai Ular kurang hanya 1 (Satu) km ke angka 100. Bukan membuat azam atau 'bench mark' untuk mencapai angka tersebut, tetapi aku akan menjadi seronok dan bangga kalau beberapa kayuhan rutin dapat mencapai angka tersebut. Jika lebih seronok!
Agak resah dan bimbang melalui jalan Taman Kempas ke Pinang Tunggal. Jalan agak sempit dan banyak kenderaan yang lalu pada waktu pagi begini. Jalan ini menjadi jalan pintas ke Kulim dan Seberang Perai utara semenjak jambatan merentasi sungai Muda siap dibina beberapa tahun lalu. Terpaksa berkayuh hampir dengan bahu jalan untuk tidak menganggu kenderaan lain. Dalam pada itu banyak juga pemandu yang kurang prihatin kepada basikal dan memotong terlalu hampir walau ruang jalan luas. Tidak pasal pasal kena sumpah seranah walau pemandu tersebut tidak mendengarnya.
Kereta api barang dari utara baru sahaja lalu, tidak perlu berhenti dan aku mencelah diantara deretan kereta yang berhenti di lintasan Pinang Tunggal. Perkara ini akan menjadi sejarah  dalam tempuh setahun lagi apabila landasan berkembar siap pada tahun 2013. Satu jejantas dibina untuk kenderaan melintasi landasan kereta api. Jejantas ini agak tinggi dan akan menjadi satu lokasi kayuhan yang mungkin menyeronokkan.
Walaupun begitu banyak kali melalui jalan ini dengan kereta atau basikal, aku tidak jemu dengan pemandangan yang dihidangkan. Sawah padi di Kampung Lembah Raja, kebun sayuran yang didalam bendang di Ekor Kucing, ladang kelapa sawit, ladang getah dan sawah padi lagi sebelum Pekan Padang Serai. Cuaca pagi ini membantu menambah keseronokkan berkayuh dan aku sampai ke destinasi kurang dari dua jam dengan jarak 50 km.
Lebih kurang seminggu lepas aku berpeluang berjumpa dengan kawan kawan lama (bekas staf) yang berkerja di Loji Sungai Ular. Kami berjumpa di Loji Pelubang sempena sambutan Hari Air Sedunia pada 24 Mac. Mereka menjemput aku ke tempat kerja mereka dan aku berjanji akan mengayuh basikal ke loji tersebut dalam masa terdekat. Kayuhan pagi ini untuk menunaikan janji ini. Kali terakhir aku berkayuh kesana lebih satu tahun lalu.
Menghabiskan lebih satu jam bersembang bersama mereka. Mulanya bersembang di loji dan kemudian kami ke gerai lebih kurang 1 km jauhnya untuk menghilangkan dahaga. Nampak muka muka yang aku kenal semasa aku bertugas disana dahulu dan seorang dari mereka duduk satu meja dengan kami.
Sebelum pulang aku bertanyakan jalan mana yang senang untuk balik ke Sungai Petani. Aku tidak mahu mengikuti jalan yang aku datang tadi. Aku diberitahu untuk melalu Pekan Lunas - Padang Serai. Lebih cepat dan selesa. Bila  sampai ke Pekan Padang Serai aku melihat jam dan rasanya tidak banyak bezanya dari masa melalui jalan Kulim Hi Tech.
Hari ini walaupun mendong tetapi suhu sangat panas.Terpaksa berhenti dibeberapa tempat untuk membeli minuman sebelum sampai ke rumah. Oh ... hari ini tiada berjumpa seorang rider pun dijalan.

Statistik :
   Mula .............. 7.15 pagi
   Tamat ............ 12.30 tengah hari
   Jarak ............. 99 km
   Cuaca ............ Mendong     
   Laluan ........... Pinang Tunggal - Padang Serai - Sungai Seluang - Kulim Hi Tech
                              Park - Sungai Ular
   Odometer 2012 : 01679
         

Tiada ulasan:

Catat Ulasan