Halaman

Sabtu, 30 Jun 2012

Konvoi pulang dari Pantai Merdeka ..

Aku menang .... haha
Cuaca diluar nampak gelap bagai hendak hujan tetapi aku tidak kisah kerana ada misi yang mesti diselesaikan. Aku bersiap dan keluar dari rumah sebaik jam dinding berbunyi menandakan pukul 7.00 pagi. Membuat pemeriksaan tekanan angin tayar depan dan belakang roadbikes dan  menambah sedikit lagi angin dan terus keluar dari rumah untuk memlukakan kayuhan.
Kenapa terlalu awal? Biasanya aku menunggu sehingga nampak tanah sebelum memulakan kayuhan atau sekurang kurang menunggu jalanraya reda dari kenderaan pekerja yang pergi atau balik dari tempat kerja.
Destinasi pagi ini ialah Pantai Merdeka. Kesana untuk berkayuh dengan remaja yang menyertai konvoi dari KRT Bakar Kapor yang aku hantar kelmarin. Konvoi tersebut bermalam di Pantai Merdeka manakala aku pulang ke rumah. Pagi ini aku kesana untuk sekali lagi menjadi 'leader' membawa mereka pulang.
Bermakna aku membuat dua kali kayuhan ke Pantai Merdeka manakala peserta konvoi hanya sekali. Jadi aku berhak untuk mentabalkan diri sendiri sebagai pemenang untuk program ini dan berhak mendapat hadiah jika ada, sic.
Disepanjang kayuhan aku berharapkan dapat sampai sebelum mereka memulakan kayuhan. Tetapi kalau mereka telah memulakan kayuhan, aku akan bertemu dan menyertai mereka tiga atau empat kilometer sebelum Pantai Merdeka dan berpatah balik. Setiap 15 minit aku membuat pengiraan mental ETA Pantai Merdeka.
Pertengahan jalan aku melihat sebuah motorsikal polis trafik memotong aku dan beberapa minit kemudian sebuah kereta salon biasa dengan lampu amaran yang diletakkan dibumbung juga memotong. Mereka juga dalam perjalanan untuk membawa konvoi pulang. kedua dua kenderaan tersebut tidak perasan kerana basikal yang aku naiki berbeza dengan basikal mtb yang aku tunggang kelmarin.
Tiada siapa yang tahu aku akan ke Pantai Merdeka sekali lagi untuk bersama dengan konvoi mengharungi perjalanan pulang. Sengaja aku hendak membuat surprise. Semua terutama sahabat aku En. Rahim Omar menyuruh aku datang ke Dewan Bakar Kapor tempat bermula apabila konvoi sampai.
Apa salahnya aku berkayuh kembali ke Pantai Merdeka dan kemudian 'membawa' pulang konvoi. Kalau tidak dek program ini aku akan berkayuh juga pagi ini, mungkin dilaluan lain. Jadi dirasakan lebih baik aku mengambil keputusan ini. Dapat juga berkhidmat kepada remaja remaja ini dan kepada kawan kawan.
Pengiraan aku tepat kerana apabila sampai kelihatan kumpulan konvoi sedang sarapan pagi. Kesemua kelengkapan dan peralatan berkhemag telah dikemaskan dinaikkan keatas lori. Tiga biji basikal yang rosak juga dinaikkan. Konvoi akan mula bergerak sebaik semua habis sarapan. Aku berlegar legar dikalangan remaja bertanyakan adakah mereka seronok menyertai aktiviti ini.
Aku dihujani oleh soalan soalan mengenai basikal. Soalan yang paling popular ialah pengalaman aku berkayuh, jarak, destinasi, kelab, kekerapan berbasikal, jarak paling jauh atau paling lama, tragedi yang menimpa, pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan jenis jenis basikal ayang aku gunakan. Banyak juga soalan teknikal diajukan termasuk tentang gear, shifter, brakes dan meter.
Kayuhan bermula lebih setengah jam dari masa aku sampai iaitu pada jam 8.45 pagi. Sekali lagi aku membuat pemeriksaan rambang dan memberi nasihat pendek terutama semasa menuruni bukit sebaik keluar dari tapak perkhemahan.
Memang kelam kabut kerana kebanyakkan tidak dapat melepasi pendakian bukit dan terpaksa turun menolak basikal. Kekecohan bermula semasa menuruni bukit. Mereka berebut rebut untuk mendahului. Konvoi tidak lagi dalam barisan mereka. Diburukkan lagi oleh kumpulan marshal yang menonggang motorsikal kapcai. Sepatutnya mengawal dan berada dijarak yang selamat. Konvoi terpaksa diberhentikan untuk 're-grouping' dan pegawai polis pengiring memberi taklimat sekali lagi. Selepas itu keadaan menjadi lebih terkawal.
Dalam keletihan terdengar nyanyian dan sorakan dari remaja tersebut. Ungkapan dan nyanyian yang kerap didengar ialah lagu dari cerita animasi Wonderpets, 'Apa yang penting .... Kerjasama ...'
Sekali sekala terdengar jeritan 'Bakar Kapur BOLEH'. Beberapa gadis sunti yang berada ditepi jalan menjadis sasaran siulan dan teguran. Manakala remaja lelaki yang berbasikal disepanjang jalan diajak berkayuh ke Sungai Petani. Mereka memberi salam kepada golongan tua apabila bertemu.
Aku membuat pertanyaaan kenapa kayuhan pagi ini kurang bermaya dan kurang bertenaga berbanding masa datang hari sebelum. Kebanyakkan mereka tidak tidur semasa perkhemahan di pantai. Selepas bar-b-que mereka berjaga sehingga pagi, ada yang bermain bola sehingga tengah malam, memancing dan aktiviti lain.  Menurut cerita beberapa orang remaja, pada jam 3.00 pagi ada suatu perkara berlaku. Seorang gadis dilarikan dari keluarganya yang berada di pantai oleh beberapa pemuda yang menaiki motorsikal. Kesemua peserta konvoi keluar untuk memberi pertolongan dengan mengejar orang melarikan gadis yang berumur 13 tahun tersebut. Malangnya gagal untuk membantu.
Selepas kejadian tersebut kebanyakkan tidak tidur. Semasa memberi pertolongan tersebut seorang telah kehilangan 'handphone' yang ditinggalkan didalam khemah. Tidak pasti ia diambil oleh rakan peserta atau orang luar. Seorang peserta mendapat berita datuknya kembali ke rahmatullah.
Meneruskan perjalan tanpa sebarang masalah dan berhenti sekali di tempat yang sama semasa datang. Konvoi sampai ke dewan pada jam 10.40 pagi iaitu perjalanan selama 2 jam. Peserta di arahkan kedalam dewan untuk jamuan makan, bacaan doa selamat sampai dan dua orang remaja diberi peluang untuk menyampaikan ucapan mencerritakan pengalaman berkonvoi. Doa dibacakan oleh salah seorang peserta.
Aku mengucapkan tahniah kepada KRT Bakar Kapor kerana berjaya menganjurkan konvoi ini. Aku merasa bersalah kepada semua kenderaan yang terpaksa mengekori konvoi hampir 8 kilometer dari Kota Kuala Muda. Mereka tidak berpeluang untuk memotong konvoi. Sebaliknya merasa seronok sekali sekali boleh menjadi raja di jalan raya.

Statistik :
   Mula .............. 7.00 pagi
   Tamat ............. 10.40 pagi.
   Jarak ............... 67 km
   Cuaca ............. Jerubu
   Laluan ............ Pantai Merdeka - Kota Kuala Muda - Tikam Batu - Sungai Pasir -
                               Bakar Kapur
   Odometer 2012 : 02797

Tiada ulasan:

Catat Ulasan