Halaman

Sabtu, 16 Jun 2012

Tanjung Jaga .. Yan

Agak sibuk apabila melepasi Pekan Singkir pada kayuhan pagi ini. Bukan sibuk apa, ramai pula yang berada diatas jalan pagi ini mengayuh basikal. Kena angkat tangan kepada mereka semua. Ada yang menegur sapa bertanyakan kemana dan ada yang mengajak menyertai mereka. Mungkin cuti hujung minggu panjang dengan cuti am sambutan Israk Mikraj ramai yang mengambil kesempatan berkayuh.
Laluan ini menjadi pilihan kerana jumlah kenderaan agak kurang berbanding dengan jalan utama. Juga terdapat bukit yang agak mencabar di Tanjung Jaga dimana cyclist boleh menguji kekuatan fizikal dan mental untuk melepasi. Tertama pada pendakian terakhir jika datang dari arah selatan. Apa tidaknya motorsikal kecil kapcai pun terpaksa menggunakan gear paling rendah untuk mendaki, apatah lagi lori besar  yang sarat dengan muatan.
Yang menjadi kebanggaan dan kepuasan ego ialah apabila dapat memotong lori membawa muatan berat sebelum sampai ke puncak. Itu pun ada harga yang perlu dibayar, bagai hendak putus tali perut dan terpaksa berkayuh berdiri.
Sikap kita (bercakap mengenai diri sendiri) yang tidak berapa elok ialah suka untuk hendak berlumba. Bukan untuk menunjuk nunjuk. Pantang nampak ada cyclist dihadapan, aku akan mengejar dan memotong. Berlaku dua kali pagi ini. Aku dapat melakukan kerana menggunakan roadbikes dan mereka yang aku kejar menggunakan mtb. Salah seorang darinya juga pengayuh wanita.
Banyak gerai gerai kecil beroperasi di sepanjang jalan dari Singkir ke Yan dengan bermulanya musim durian. gerai tersebut menjual durian dari dusun yang terdapat di kaki Gunung Jerai. Mereka kata di sebelah utara ini durian Singkir boleh tahan sedapnya. Aku sendiri tidak berapa arif tentang ini kerana kurang makan durian sekarang.
Sempat melihat telatah tuan punya durian dengan pemborong, agaknya sedang berunding tentang harga jualan. Pastinya pemborong nampak lebih lantang dan rias muka lebih nampak bengis apabila menawarkan harga. Belum ada pembeli kerana masih awal.
Aku terasa bagai diperhatikan oleh sekumpulan cyclist semasa membuat pendakian Tanjung Jaga. Mereka berhenti dikawasan paling atas dan memandang kearah bawah seolah olah memerhatikan aku berhempas pulas mengembeling tenaga untuk sampai kepuncak jalan. Cuma mereka tidak bertepok tangan atau bersorak memberi peransang. Bagi aku, mereka berhenti berkemungkinan tidak berupaya menghabiskan pendakian.
Satu kesulitan melalui jalan pantai ialah angin akan mula bertiup kencang selepas waktu pagi. Sekarang ini angin barat daya bertiup kencang dan memberi rintangan semasa kayuhan. Angin ini juga yang bertanggung jawap membawa jerubu yang melanda kawasan pantai barat Malaysia sekarang ini.

Statistik :
   Mula .............. 7.55 pagi
   Tamat ............. 10.30 pagi.
   Jarak ............... 63 km
   Laluan ............ Semeling - Merbok - Tanjung Dawai - Yan
   Odometer 2012 : 02474
     

Tiada ulasan:

Catat Ulasan