Halaman

Jumaat, 29 Jun 2012

Konvoi Remaja ke Pantai Merdeka

Bagaimana yang dirancang oleh KRT Kampung Bakar Kapur, hari ini merupakan hari yang bersejarah bagi sesetengah remaja taman dan kampung Bakar Kapur. Bagi hampir kesemua peserta yang berdaftar untuk menyertai konvoi berbasikal sejauh lebih 30 kilometer ke Pantai Merdeka Kuala Muda, Kedah ini adalah pengalaman yang mungkin akan tersemat di ingatan mereka di sepanjang hayat.
Malam tadi aku menyemak kembali iternari rancangan konvoi dan perkhemahan tersebut. Kayuhan akan dimulakan pada jam 08.00 pagi. Walau jauh dibenak hati aku yakin masa mula akan tertangguh. Namun begitu, aku berkayuh awal dari rumah ke tempat berkumpul di Dewan Orang Ramai Bakar Kapur dan sampai 15 minit sebelum jam 08.00 pagi. Kebanyakkan peserta telah mula berkumpul. Nampak keceriaan dan semangat pada muka setiap remaja. Sesetengah dari mereka nampak macam tidak sabar untuk memulakan kayuhan.
Sebaik menyandarkan basikal pada dinding dewan, dua tiga orang datang mendekati. Aku disuruh 'menyorok' dahulu sambil menghulurkan sebungkus nasi lemak dan sebotol air mineral. Aku masih kenyang kerana telah sarapan dirumah, tetapi untuk tidak bersikap kurang ajar atau tidak menghormati tuan rumah, aku menjamah nasi lemak tersebut dengan bersila diatas simen kaki lima dewan.
Kemudian aku memeriksa basikal basikal yang akan ditunggang oleh peserta konvoi. Tekejut beruk. Apa tidaknya, sukar untuk mempercayai keadaan basikal yang diletakkan. Dari tiga puluh basikal yang diletakkan hanya enam fixie, empat mountain bike 'biasa', tiga basikal chopper biasa! dan selebihnya basikal BMX. Pun bagitu, aku memeriksa tayar depan belakang kalau perlu ditambah angin, mengoncang kalau ada screw yang longgar, memeriksa rantai dan sebagainya.
Difahamkan penganjur konvoi iaitu Pengerusi KRT Bakar Kapur En. Rahim Omar, ada 20 orang lagi memohon menyertai konvoi ini. Permohonan dibuat sehari sebelum dan masalah untuk menyediakan makanan dan tempat tinggal menyebabkan permohonan mereka terpaksa ditolak.
Dua anggota polis trafik dari PDRM Sungai Petani menggunakan motorsikal berkuasa tinggi tiba. Diikuti oleh van  Jabatan Pertahanan Awam dengan empat orang anggota. Marshal yang terdiri dari Skuad 1 Malaysia berbaju T-shirt berwarna merah mendengar taklimat dari ketua mereka. Doa dibacakan oleh Ustaz untuk keselamatan peserta konvoi. Di ikuti taklimat oleh pegawai polis trafik dan akhirnya taklimat oleh ketua marshal.
Kesemua peserta mengambil tempat dengan basikal masing masing membuat dua barisan dengan aku dihadapan sekali sebagai leader. Pertama kali diberi penghormatan seperti ini dalam aktiviti berbasikal. Selalunya aku jadi pengikut sahaja. Aku akan menetapkan tempo atau kelajuaan konvoi semasa kayuhan.
Cuaca cerah tetapi tidak berapa panas. Tiada jerubu pagi ini kerana hujan hari sebelumnya telah membersihkan udara. Tayar 32 basikal mula berputar pada jam 08.30 pagi, setengah jam lewat dari jadual. Deruman enjin motorsikal polis dan siren membuatkan semangat peserta begitu teruja. Konvoi melalui jalan Kampung Teluk dan memasuki jalan lencongan barat dan membelok ke  Sungai Pasir untuk ke Tikam Batu.
Baru 10 minit bermula aku dihampiri oleh salah seorang marshal menyuruh memperlahankan kelajuan. Aku terlupa dan terbawa-bawa! Aku bergerak mengikut kelajuan biasa iaitu 25 km/j. Melepasi tiga lampu isyarat tanpa perlu berhenti kerana polis memberi laluan kepada konvoi. Semua kenderaan lain kena berhenti. Hah ... ambik kau.
Masalah pertama yang dihadapi konvoi ialah untuk melepasi pekan Tikam Batu kerana ada pasar minggu. Terdapat ramai orang mengunjungi pasar tersebut dan kenderaan yang diletakkan dikedua dua hala jalan menyebabkan kesesakkan. Terdengar seseorang memberi semangat dengan menyebut nama aku. Sempat aku melihat dan kenal kepada orang tersebut. Dia dari Taman Sri Pinang juga seorang pengerusi KRT taman tersebut.
Marshal yang mengiringi konvoi agak berpengalaman dan tahu bila peserta keletihan dan memerlukan rehat. Perhentian pertama di Rantau Panjang Kuala Muda, kira kira 15 km dari starting point. Apabila semua sampai baru aku perasan enam biji basikal telah dinaikkan keatas lori. Ada yang mengalami kerosakkan dan ada yang tidak larat untuk menghabiskan kayuhan.
Sekumpulan remaja (lapan orang semuanya) berkayuh laju melepasi tempat konvoi berhenti rehat. Mereka menggunakan fixie dan tidak pasti dari mana. Mereka juga menuju ke Pantai Merdeka. Konvoi bergerak semula selepas berehat selama 15 minit dan tiada lagi tempat berhenti selepas ini. Kami nampak remaja yang menggunakan fixie tadi berhenti rehat.
Masalah kedua, seperti yang aku jangkakan dan nyatakan semasa memberi taklimat dua malam lalu iaitu pendakian bukit. Hanya beberapa orang sahaja yang dapat melepasi bukit tersebut dan yang lain terpaksa menolak basikal. Keadaan menjadi kelam kabut, peserta tidak lagi dalam formasi dan keadaan diburukkan lagi apabila ada marshal yang menggunakan motorsikal didapati menolak pengayuh basikal dari belakang untuk pendakian bukit. Ini agak merbahaya dan ada kemungkinan mendatangkan kemalangan.
Konvoi sampai ke destinasi pada jam 10.15 pagi setelah berkayuh selama 1 jam 45 minit termasuk waktu rehat. Sebaik sampai semua peserta keletihan dan kehausan. Tindakan pantas penganjur untuk mengadakan senaman pendek untuk menyelamatkan keadaan. Semua peserta selamat sampai tanpa sebarang perkara yang tidak diingini.
Ramai anggota marshal dan pengiring terkejut apabila aku mengucapkan selamat tinggal untuk berkayuh pulang ke Sungai Petani. Aku sempat berehat hampir 15 minit dan menjangkakan sampai sebelum tengah hari untuk persediaan solat Jumaat. Aku mengambil masa 1 jam 10 minit untuk sampai kerumah.

Statistik :
   Mula .............. 8.30 pagi
   Tamat ............. 11.40 pagi
   Jarak ............... 68 km
   Cuaca ............. Panas
   Laluan ............ Kampung Bakar Kapur - Sungai Pasira - Tikam Batu - Kota Kuala
                               Muda - Pantai     Merdeka
    Odometer 2012 : 02730
     

Tiada ulasan:

Catat Ulasan