Halaman

Jumaat, 15 Jun 2012

Jerubu selepas hujan .... Lubuk Segintah

Langit masih gelap dari sepatutnya bila aku menjengah keluar semasa membuka pintu rumah dan pintu pagar pada jam 07.00 pagi. Walau gelap tiada pula nampak awan hujan. Aku kecewa kerana tidak dapat membuat kayuhan pagi ini dan masuk semula kedalam rumah untuk sarapan pagi.
Selesai sarapan sempat aku membuka tayar basikal hadapan kepunyaan isteri aku yang bocor kerana terkena serpihan paku atau screw. Aku membuka dan menampung kebocoran pada tiub basikal menggunakan gam 3 seconds (yang elok) dan kemudian menambah sekeping tiub pada tempat yang bocor. Menggunakan gam cepat kering ini lebih cepat dan senang dari cara tradisi. Murah dan dapat berjimat sedikit daripada menukar kepada tiub baru!
Sudah beberapa tiub basikal roadbike dan mountain bike aku baiki menggunakan gam jenis  ini dan tiada masalah setakat ini. Tidak perlu ditampal cuma pastikan gam memasuki dicelah celah tempat yang bocor. Setakat ini aku telah menggunakan kaedah ini dan telah menggunakan hampir tiga bulan dan lebih 600 km tanpa masalah. Rasanya boleh dibawa semasa membuat kayuhan sebagai alternatif kepada membawa spare tiub.
Bila selesai membaiki tiub aku dapati langit mulai cerah dan kelihatan matahari mulai memancar. Bergegas aku menukar kepada pakaian berkayuh dan keluar dari rumah. Tidak mahu membuang masa kerana hari Jumaat. Kalau lambat nanti mungkin tidak cukup masa untuk berehat sebelum ke masjid.
Aku bercadang untuk ke Pekan Kuala Ketil dan berpatah balik. Beberapa kilometer sebelum sampai kelihatan sekumpulan pengayuh basikal dari arah bertentangan. Siap dengan escort motorsikal dihadapan dan dibelakang dan sebuah kereta dibelakang. Hebat. Rider yang dihadapan sekali menyatakan sesuatu kepada aku sambil menunjuk ke arah Sungai Petani. Tidak pasti apa yang dikatakan kerana kurang jelas kedengaran. Agaknya mengajak aku menyertai mereka. Aku cuma mengangguk sambil menunjukkan aku hanya ingin ke Kuala Ketil. Hampir semua rider mengangat tangan atau sekurang kurangnya mengangguk kepada aku.
Inilah semangat kesukanan yang sepatutnya diamalkan.
Aku menukar fikiran dan tidak jadi ke Pekan Kuala Ketil. Membelok ke kiri melalui jalan pintas ke Bukit Selambau. Cadangan aku untuk berpatah balik ke Kuala Ketil apabila tiba di simpang tiga lebih kurang 6 km dihadapan. Mungkin aku akan dapat lebih sikit km. Teringin juga aku mengikut jalan ke penempatan pekerja Ladang Lubuk Segintah, tetapi tidak pasti jika ada jalan keluar. Dulu aku pernah kesini melakukan persampelan air sungai untuk mengesan jika ada pencemaran dari ladang dan kilang sawit disini.
Lebih kurang 3 km selepas simpang tiga menghala ke Kuala Ketil aku melihat simpang disebelah kanan untuk ke Ladang Lubuk Segintah. Tanpa berfikir panjang aku memasuki jalan tersebut yang membawa aku ke kuarter pekerja ladang. terdapat banyak rumah pekerja, tempat pengumpulan hasil ladang dan sebuah sekolah rendah. Tiada seorang pun kelihatan dikawasan tersebut dan aku hanya berselisih dengan sebuah lori membawa kelapa sawit disepanjang hampir 4 km jalan ladang tersebut. Dimana semua orang termasuk kanak kanak.
Aku terus pulang kerumah tanpa singgah untuk sarapan pagi. Baru berehat beberapa minit seorang kawan singgah dan menghulur dua biji durian kampung. Dia baru pulang dari kampung di Cemara, Jeniang. Ah...  musim durian datang lagi. Memang kawan aku ini selalu menghantar durian bila tiba musim. Aku hanya menjamah satu 'ulas' sebagai syarat dan yang lain dihabiskan oleh anak dan isteri aku.
Bila menonton berita TV pada sebelah malam baru aku tahu keadaan langit yang gelap pada sebelah pagi disebabkan jerubu yang mula melanda negara kita pada bulan Jun setiap tahun. Aku difahamkan kawasan utara IPU (Indek penceamaran udara) masih lagi rendah iaitu di bawah 100 dan paling teruk di Lembah Kelang.
Jerubu disebabkan pembakaran terbuka dan gambar satelite menunjukkan ia berlaku dinegara jiran. Beberapa pembakaran kawasan gambut dan ladang yang berlaku dinegara kita turut menyumbang kepada peningkatan IPU. Pihak kementerian kesihatan telah mengambil langkah menasihatkan orang ramai untuk berhati ketika jerubu dan mengeluarkan arahan untuk menutup sekolah jika keadaan bertambah buruk. Tidak tahu berapa lama keadaan ini akan berterusan dan adakah keadaan akan bertambah teruk.
Kita selalu mengharapkan langit cerah selepas hujan, tetapi kini jerubu selepas hujan.

Statistik :
   Mula .............. 7.45 pagi
   Tamat ............. 10.15 pagi.
   Jarak ............... 56 km
   Laluan ............ Puteri Jaya - Ladang Lubuk Segintah - Kuala Ketil
   Odometer 2012 : 02417
     

Tiada ulasan:

Catat Ulasan