Halaman

Sabtu, 2 Jun 2012

Kayuhan pra kenduri

Biasanya kalau badan letih selera makan akan berkurangan. Bukan fakta tetapi hanya satu kebetulan kerana terlalu banyak mengambil air untuk menghilangkan haus dan dahaga. Terlalu banyak cecair dalam badan keluar sebagai peluh. Perut akan terasa kenyang dan kurang mengambil makanan seperti nasi. Berdasarkan teori ini aku keluar membuat kayuhan walaupun ada beberapa jemputan makan kenduri kahwin hari ini.
Seperti kebiasaan banyak kenduri kahwin sempena cuti sekolah yang sedang berlansung sekarang ini. Bila bersembang dengan kawan kawan selalu keluar topik jemputan kenduri yang diterima. Ada yang mendapat sehingga 10 jemputan. Pula ada rumah kenduri yang lebih 100 km jauhnya. Bayangkan bagaimana untuk memenuhi jemputan tersebut.
Bilangan jemputan yang diterima seolah olah menjadi bagai 'kayu pengukur' kepada betapa ramainya saudara mara, sahabat handai dan kenalan kita. Mereka berbangga jika lagi banyak kad jemputan yang diterima. Mereka terasa bagaikan orang penting atau VIP jika mendapat jemputan dan ada yang memandang rendah kepada orang lain yang kurang mendapat kad jemputan.
Kalau difikirkan dari segi ekonomik, kita lebih banyak berbelanja menghadiri jamuan makan kenduri dari nilai makanan yang kita makan. Maaf bukanlah untuk merendahkan tujuan 'walimatul urus' dan hajat tuan kenduri yang memohon kehadiran kita untuk merestui majlis dan pernikahan ahli keluraga mereka. Jika rumah kenduri berdekatan dengan rumah kita, mungkin tiada perbelanjaan kenderaan terlibat, hanyalah wang sampul yang tidak sampai RM10.00 untuk suami isteri. Tetapi jika ada jemputan kenduri yang jarak mencapai 50km, bermakna 100 km pergi balik. Lagi jika ada dua tiga jemputan seperti itu bermakna kita terpaksa membelanjakan hampir RM100.00!
Menyebut tentang wang sampul atau sumbangan yang dihulurkan kepada tuan rumah yang membuat kenduri. Berapa banyakkah yang kita masukkan. Rasanya bergantung kepada tempat. Kalau disebelah utara ini, selalunya atau purata RM5.00. Ada juga yang lebih dan ada juga yang kurang dari jumlah tersebut. Bergantung kepada 'status' seseorang. Ada juga yang menghulurkan sampul kosong!
Apalah tujuan sebenar sumbangan dihulurkan. Adakah majlis kenduri kahwin menjadi terlalu komersial yang boleh mendatangkan keuntungan. Adakah para jemputan mesti menghulurkan sumbangan apabila menghadirkan diri pada majlis tersebut. Adakah tuan punya kenduri mengharapkan sangat sumbangan tersebut. Pernah aku diberitahu air muka tuan rumah berubah atau bermasam muka bila menyambut tetamu yang datang tanpa menghulurkan sumbangan.
Pendapat aku sendiri ialah kita tidak seharusnya mengharapkan apatah lagi menerima sumbangan bila kita mengadakan majlis kenduri kahwin untuk ahli keluarga kita. Betul, sumbangan yang diterima dapat mengurangkan beban belanja untuk mengadakan kenduri. Inilah punca kenduri sekarang dibuat secara besar besaran sehingga menjangkau keupayaan.
Kayuhan pagi ini tidak jauh sekadar cukup untuk meneruskan kesenambungan aktiviti. Sudah agak lama tidak melakukan aktiviti ini kerana hal hal yang tidak dapat dielakkan dan cuaca yang tidak menentu. Sekarang ini hujan kerap turun disebelah pagi.


Statistik :
   Mula .............. 7.20 pagi
   Tamat ............. 8.35 pagi.
   Jarak ............... 41 km
   Laluan ............ Muzium Arkeologi

   Odometer 2012 : 02266
       

Tiada ulasan:

Catat Ulasan