Halaman

Sabtu, 9 Jun 2012

Kayuhan serampang dua mata ....Pantai Merdeka

Akan ke ibukota malam ini untuk tiga malam dan akan kembali pada Selasa malam. Tidak mahu melepaskan peluang untuk membuat kayuhan pagi ini memandangkan akan hanya boleh membuat kayuhan paling awal hari rabu depan.
Tidak memandu kereta ke Kuala Lumpur kerana aku pergi seorang diri. Esok Ahad 10 Jun sessi persekolahan akan bermula di Kedah selepas cuti selama dua minggu. Aku akan menaiki bas. Lebih ekonomik dari memandu seorangan.Tiket bas pergi balik lebih murah dari duit tol lebuhraya, belum kira duit petrol lagi.
Setakat ini, aku tidak boleh tidur bila menaiki kenderaan walau bagaimana cara apapun aku mencuba. Tidak kira siang atau malam. Kadang kala kerana terlalu mengantuk hanya tidur tidur ayam sahaja dan dapat melelapkan mata untuk beberapa ketika sahaja. Masalah ini bermula semenjak kecil dahulu hingga sekarang.
Aku sering cemburu kepada orang lain yang begitu senang melelapkan masa sebaik duduk didalam kereta atau bas. Siap dengan dengkuran dan air liur meleleh keluar. Tidak peduli apa yang berlaku diluar sana atau kemana kenderaan membawanya. Betapa aku berharap dapat berbuat demikian.
Aku bukan sahaja tidak boleh melelapkan mata bila menaiki kereta atau bas tetapi kenderaan lain. Pernah aku menempah tempat tidur dalam kereta api yang akhirnya merugikan sahaja kerana tidak dapat berada diatas katil tersebut lebih dari setengah jam. Akhirnya aku terpaksa turun dari katil tren dan duduk ditepi pintu memandang keluar walau dalam keadaan gelap gulita. Lebih teruk bila menaiki kapal terbang jarak jauh seperti ke Eropah hingga bebelas jam. Kelebihan menaiki kapal terbang kerana adanya inflight movie dan entertainment lain selain dari makanan dan minuman.
Dua hari lepas aku kestesyen keretapi untuk menempah tiket walaupun aku tahu tiket ke Kuala Lumpur mesti sudah habis. Tambahan pula cuti sekolah akan berakhir. Sekadar mencuba nasib. Kemudian ke stesyen bas dan agak terkejut kerana masih banyak tiket.
Kayuhan pagi ini adalah kayuhan serampang dua mata. Selain dari sebagai aktiviti senaman aku ingin meletihkan badan. Moga moga bila badan dalam keletihan dapat aku tidur didalam bas perjalanan malam nanti.
Pendakian bukit sebelum sampai ke Pantai Merdeka dapat membuatkan badan leetih. Aku tidak berhenti apabila sampai, hanya setakat memperlahan kelajuan untuk melihat sekitar tempat rekreasi tersebut. Kebetulan ada karnival jualan yang diadakan sempena dengan cuti sekolah dan akan berakhir esok.
Masih belum ada peniaga atau pengunjung di karnival tersebut. Gerai gerai masih belum dibuka, hanya beberapa orang pekerja MPSPK yang membersihkan kawasan. Tiada seorang pun cyclist berada disana walaupun aku nampak beberapa orang dijalan sebentar tadi.
Dari jauh kedengaran bunyi enjin dari udara dan kelihatan dua biji glider berenjin sedang membuat penerbangan. Seronok agaknya melakukan sukan sedemikian. Terbang diudara dengan payung terjun berenjin. 

Statistik :
   Mula .............. 7.45 pagi
   Tamat ............. 10.55 pagi.
   Jarak ............... 62 km
   Laluan ............ Tikam Batu - Kota Kuala Muda - Pantai Merdeka
   Odometer 2012 : 02361
     

Tiada ulasan:

Catat Ulasan