Halaman

Ahad, 24 April 2011

Beehun Soup ... Pekan Rabu

Bandar Sungai Petani waktu pagi
Beberapa orang rider sedang duduk bersembang di Dataran Zero Sungai Petani bersebelahan Menara Jam sambil menunggu yang lain sampai. Kayuhan akan bermula pada jam 7.30 pagi dan empat orang rider masih belum sampai. Kayuhan akan dimulakan tepat pada masa yang ditetapkan. Mereka yang lambat terpaksa mengikuti dibelakang. Dua rakan aku iaitu Azbeel dan Juan SK masih belum sampai. Kebanyakkan rider yang ada disitu bertanya kepada aku samada mereka akan turut serta atau tidak. Juan lambat sebab dia kerumah aku untuk berkayuh sama tetapi aku sudah keluar dari rumah.
Semasa bertolak hanya Azbel yang masih belum kelihatan. Mungkin dia tidak dapat menyertai kayuhan pagi ini. Kesemua ada 13 orang rider yang ikut serta. Rancangan awal ialah mengikuti jalan Yan - Kuala Kedah tetapi ditukar mengikuti jalan utama Sungai Petani - Alor Setar.  Semasa menghampiri Hospital Lama yang kini dijadikan Klinik Bandar seorang rider menghampir aku dan meminta aku melindungi dengan berkayuh sebelah dalam. Dia bekerja di klinik tersebut dan hari ini mengambil cuti sakit (MC) kerana ingin ikut serta. Aku nyatakan sekarang baru pukul 7.30 pagi dan mungkin rakan yang mengenalinya masih dalam perjalanan ke pejabat.
Sebelum memulakan kayuhan - Dataran Zero
Azbel menyertai kumpulan kami di traffic light Tol Sungai Petani Utara. Dia lambat sebab kena hantar anaknya kesekolah. Beberapa rider mula mendahalui kumpulan. Apabila melepasi lampu isyarat Sungai Lalang aku mendapati kumpulan dihadapan menjadi lebih besar. Bila pula rider dibelakang memotong? Apabila mendekati aku dapati tidak kurang dari enam orang rider menggunakan mountain bikes berkayuh kearah Bedong.
Seperti biasa aku rider yang terakhir apabila membuat pendakian landai di hadapan Perwaja Gurun. Aku tidak risau kerana jalan ini bukan asing lagi bagi aku. Kerap melaluinya samada berkumpulan atau solo. Group yang besar telah melepasi pekan Gurun ketika aku sampai dan dua tiga orang yang lain memperlahan kayuhan menunggu aku sampai.
Riders (sengaja tidak mahu menyatakan namanya) yang mengambil MC tadi membuat keputusan untuk membelok ke arah Yan di persimpangan pekan Guar Cempedak dan pulang sendirian melalui Pekan Yan. Aku dapat tahu kemudian bahawa dia hilang 'steam' untuk berkayuh bersama kerana petukaran laluan kayuhan. Senang kata dia merajuk kerana terpaksa mengikuti jalan di hadapan tempat ia bekerja, takut ada rakan sepejabat yang nampak dan pecah tembelang MC nya.
Selepas 90 minit berkayuh hanya tinggal Azbeel, Juan dan aku. Yang lain telah jauh dihadapan. Sempat Azbeel memberikan komen bahawa kesoronokkan berkayuh bersama dalam satu kumpulan hilang kerana adanya sikap ingin mendahului, berlumba dan menunjukkan kekuatan antara satu sama lain. Kami bertiga berhenti untuk mengisi perut di medan selera disebelah kiri pekan Kota Sarang Semut.
Semasa makan, Juan mengajak aku untuk berkayuh kesini lagi di masa terdekat, makan dan kemudian pulang semula ke Sungai Petani. Rasa hairan juga mengapa dia berkata demikian. Makanan yang dijual bukanlah sedap sangat pun. Biasa saje. Kemudian baru aku sedar yang dia amat tertarik dan seronok melihat tuan kedai, seorang wanita betudung mempunyai wajah yang amat manis dan perwatakan menyenangkan. Kata Juan lagi mukanya perfect, gebu dan putih melepak. Aku pasti dia telah menjadi isteri orang. Dia seolah tahu yang dia diperhatikan dan apabila datang untuk mengambil wang memberikan senyuman manis yang sukar dilupakan.
William menunggu kami berhampiran lampu isyarat pekan Simpang Kuala. Yang lain telah sampai dan menunggu kami di gerai bahagian bawah pekan Rabu Alor Setar. Ketika sampai mereka semua telah siap makan. Aku masih kenyang dengan roti canai dan teh ais di Kota Sarang Semut sebentar tadi tetapi William berkata aku akan menyesal jika tidak mencuba beehon soup gerai tersebut. Mahu tidak mahu aku memesan semangkuk, boleh laaa ......
Pekan Rabu, Alor Setar
Sementara berbual, aku menalifon Ramlan Bidin di Loji Air Pelubang. Bila di beritahu aku berada di Pekan Rabu,  dia ingin berjumpa. Dia agak terkejut apabila aku katakan aku datang dengan 15 orang lain mengayuh basikal dari Sungai Petani. Dia mempelawa aku datang ke Pelubang dimasa terdekat dan mungkin boleh  membuat kayuhan bersama.
Vice dan sepit udang antik - Kota Sarang Semut
Kami bersiap untuk memulakan kayuhan pulang ke Sungai Petani sebelum jam 11.00 pagi setelah berada di Alor Setar hampir 30 minit. Aku menyuruh Juan memberitahu kepada ahli kumpulan agar tidak menunggu kerana kami akan singgah di beberapa tempat untuk mencari alat ganti basikal.
Aku mulai rasa basikal aku agak perlahan dan berat dan agak jauh ditinggalkan oleh Juan. Semasa berhenti menghilangkan dahaga di Guar Cempedak, aku memeriksa tayar dan dapati tayar depan kekurangan angin. Aku mengambil tiub spare dan peralatan lain untuk menukar tiub tetapi atas nasihat Juan mengepam angin tayar tersebut. Juan mencadangkan untuk menukar tiub apabila sampai di kedai basikal di Gurun. Malangnya kedai basikal tersebut tutup pada hari Ahad. Rasanya boleh sampai ke Sungai Petani tanpa perlu menukar tiub.
Walaupun telah beberapa kali membuat kayuhan jarak jauh dengan Azbeel dan Juan, ini kali pertama aku melihat Azbeel kehabisan tenaga dan hampir tidak berdaya meneruskan kayuhan di Sungai Lalang. Dia terlalu lemah dan perlukan makanan seperti buahan dan roti. Cuaca terlalu panas ketika itu. Sebaliknya aku masih bertenaga dan boleh meneruskan kayuhan. Kami singgah di sebuah gerai di hadapan Sekolah Menengah Teknik Sungai Petani. Kebetulan gerai tersebut menjual beberapa jenis buah buahan yang siap dipotong. Kami berehat hampir setengah jam sebelum menghabiskan baki 5km kayuhan kerumah.
Satu kayuhan yang amat bermakna bagi aku dan rakan yang lain. Walau kami berpecah dengan ahli kumpulan tetapi yang penting dapat nikmat dan keseronokkan dari kayuha tersebut. Kami perlukan kayuhan sebegini sekurang-kurangnya sekali setiap bulan.

Statistik
   Mula .............. 7.30 pagi
   Tamat ............ 2.30 petang
   Jarak ............. 127 km
   Cuaca ............ tersangat la panas
   Laluan ........... Sg Petani - Gurun - Guar Cempedak - Kota Sarang Semut - Simpang Kuala - Alor Setar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan