Halaman

Selasa, 19 April 2011

Tanjung Dawai

Lega rasa badan apabila selamat pulang dari kayuhan pagi ini. Cuaca yang tidak menentu  dua tiga hari yang lepas membuatkan badan rasa lemah dan sakit kepala menyerang pada sebelah malamnya. Jadi, pagi ini walaupun ada perkara yang perlu dibereskan aku memaksa diri untuk membuat kayuhan basikal. Tujuan kayuhan untuk mengeluarkan peluh dibadan.
Hari ini aku bercadang untuk ke Tanjung Dawai. Kali terakhir ke sini adalah pada pada bulan Februari lalu semasa perayaan Tahun Baru Cina. Ketika melalui kawasan sawah padi aku melihat banyak aktiviti permulaan musim kebendang. Banyak sawah telah dibajak menggunakan traktor. Ramai petani berada dibendang membuat kerja kerja termasuk meracun batas, meratakan tanah dan ada juga yang sedang menabur benih.
Ah.. betapa senangnya petani sekarang. Dari mula turun kesawah menggunakan bajak, membenih, membaja gunakan mesin, menuai gunakan harvester. Masa aku kecil dahulu semua kerja dilakukan menggunakan kederat dan tulang empat kerat. Itu sebabnya dahulu kaum petani hanya mampu mengerjakan bendang hanya sekali setahun.
Menuai padi cara tradisional
Apa yang paling aku teringat ialah ketika arwah ibu kesayangan memasak beras baru, iaitu beras dari padi yang pertama dituai untuk tahun itu. Padi yang baru dituai dileraikan dengan kaki (boleh juga dibanting), dianginkan mengunakan nyiru untuk mengasingkan yang berisi, dijemur dan ditumbok menggunakan lesong kaki untuk mendapatkan beras baru. Masih jelas diingatkan bau harum dan aroma nasi yang dimasak menggunakan dapur kayu api. Asap haba kepanasan naik keatas ketika nasi disenduk dari periuk. Masa itu lauk apa pun sedap, selalunya gulai ikan air tawar masak lemak cili padi berserta sedikit sayuran. Semua ahli keluarga akan bersila beramai ramai untuk makan tengah hari. Wah... tetapi kini ia hanya tinggal kenangan.
Satu lagi kenangan yang tidak boleh aku lupakan pada akhir musim menuai. Ketika padi hampir habis dituai, masih ada yang tinggal yang baru menyulur keluar dari batang. Padi yang masih hijau dituai menggunakan tangan dan akan dibuat emping. Empat atau lima keluarga akan terlibat mengemping. Aktiviti mengemping biasanya bermula pada waktu malam hingga awal pagi.
Padi yang hijau direndam dan dibuang airnya. Padi tersebut dipanaskan di dalam kuali. Apabila sebutir atau dua bertih terjadi, padi panas akan dimasukkan ke dalam lesung kaki dan ditumbuk segera  dengan cepat sehingga menjadi emping. Kemudian emping akan ditampi menggunakan nyiru.
Cara yang paling aku suka makan emping ialah dengan santan kelapa tua (bukan yang masak) yang dicampurkan gula kabung. Emping juga enak dimakan dengan menggaulkan dengan kelapa parut dan gula.
Keseronokkan mengemping bukan sahaja kepada aktiviti tersebut tetapi ia menjadi temasya dimana anak anak remaja lelaki dan perempuan bergaul bebas sehingga selesai di dini hari. Kadang kala  remaja yang rumah mereka agak jauh turut serta untuk tujuan bersosial dan mengintai ngintai anak dara yang turut serta mengemping. Seperti yang lagu karangan Pak Ngah dinanyikan oleh Noraniza Idris.
Adakah kita nampak lagi kanak kanak bermain diatas bendang pada waktu petang sambil meniup seruling yang dibuat dari batang padi. Sekarang paling hampir ialah kanak kanak bermain layang layang dan memancing ikan puyu di tali air bendang.
Dahulu basikal adalah pengangkut utama untuk petani. Basikal digunakan untuk berulang alik ke bendang. Ketika musim menuai tiba basikal digunakan untuk mengangkut padi balik ke rumah.
Walau apa pun itulah yang dipanggil kemajuan dan terpaksa mengorbankan beberapa ciri dan cara hidup lama.

Statistik
   Mula ............. .. 7.40 pagi
   Tamat .............. 10.40 pagi
   Jarak ................ 59 km
   Cuaca ............... panas
   Laluan .............. Semeling - Merbuk - Singkir - Tanjung Dawai
      

Tiada ulasan:

Catat Ulasan