Halaman

Khamis, 7 April 2011

Kayuhan ke Candi

Dua hari lepas aku terima call dari seorang rakan bahawa geng basikal dari Lagenda Height akan membuat kayuhan ke Kulim pada Sabtu 09 Mac 2011. Penyertaan terbuka kepada sesiapa yang berminat. Tiada sebarang bayaran dikenakan dan semua perbelanjaan adalah 'sendirian berhad'. Ia hanyalah aktiviti kayuhan biasa sahaja. Kayuhan ini anjuran Cikgu Rahim dari Kelab Kanu Negeri Kedah.
Sesiapa yang berminat diminta berkumpul di Stesyen Petronas bersebelahan Tai Pan Square, Jalan Kuala Ketil. Kayuhan dijangka akan bermula tepat jam 07.30 pagi. Tidak pula dibutirkan jalan yang akan dilalui tetapi besar kemungkinan akan melalui Jalan Sidam Kiri. Juga tidak pula dinyatakan jenis basikal yang akan digunakan.
Rasa teringin juga untuk turut serta untuk berkenalan dengan geng basikal yang lain. Ingin juga mengetahui dan melihat gelagat riders lain. Aku mengajak Juan ikut serta dan dia menyatakan akan membawa basikal roadbikes classics, sama seperti roadbikes aku. Kalau agak tidak boleh ngam atau tidak boleh 'masuk ghu' kami berdua akan membuat kayuhan ke Baling.
Sebelum ini aku pernah membuat tiga empat kali kayuhan secara solo ke Kulim melalui Pinang Tunggal, Padang Serai dan Kulim Hi Tech park. Rasanya tidak lah berapa jauh, mungkin lebih kurang 100 km pergi balik. Sama jaraknya dengan kayuhan ke Malau pada Ahad lepas.
Pagi ini aku membuat kayuhan praktis dan pergi mendaki ke muzuim arkeologi Lembah Bujang di Merbok. Tidak pasti kenapa aku merasa agak bertenaga pada kayuhan kali ini dan dapat sampai ke Pekan Merbok awal sedikit dari masa yang biasa aku buat. Bila sampai ke kawasan muzium tiada pengunjung yang berada disana. Kelihatan kakitangan muzium membuat kerja kerja membersihkan kawasan. Pengawal yang berada di pondok pintu utama tidak ambil kisah aku memasuki kawasan tersebut. Agaknya pengawal tersebut tahu riders yang naik tidak bertujuan untuk masuk melawat muzium.
Aku tidak menghabiskan masa yang lama diatas dan turun selepas mengurangkan degupan penapasan. Satu perkara lagi, aku tidak berhenti untuk sarapan di gerai kesukaan aku seperti yang selalu aku buat. Aku terus pulang dan sarapan di gerai berhampiran rumah aku.
Agaknya kayuhan ini kurang meletihkan mungkin disebabkan kedua dua tayar roadbikes baru ditukar. Aku agak teruja untuk kayuhan hari Sabtu nanti.

Statistik
   Mula ............. 7.45 pagi
   Tamat ........... 9.25 pagi
   Jarak ............ 35 km
   Cuaca ........... Redup 
   Laluan .......... Lencongan Barat - Merbok - Muzium Arkeologi
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan