Halaman

Sabtu, 9 April 2011

Charity Ride .....Kayuhan Amal

Adik Mohd 
Maklumat kayuhan pagi ini agak lambat diterima. Aku hanya dapat tahu pada petang kelmarin bahawa ia adalah 'charity ride' atau 'kayuhan amal' bertujuan untuk mengutip derma. Wang kutipan akan diserahkan untuk pembiayaan kos operation Adik Mohd Arif Aizuddin (foto) yang mengidap bengkak buah pinggang dan saraf kencing abnormal. Difahamkan penyakit tersebut adalah semula jadi iaitu semenjak lahir. Kos operation melebihi 10K.
Aku agak resah apabila memulakan kayuhan bersama Azbel Singh dari Taman Intan. Walaupun aku menjangkakan kami boleh sampai ke tempat berkumpul di Stesyen Petronas Jalan Kuala Ketil dalam masa setengah jam tetapi apabila memasuki persimpangan Taman Astana menuju ke Taipan Square, aku merasakan akan tiba lambat 10 minit. Tidak perasan jarak dari rumah melebihi 15km. Aku yakin kayuhan akan bermula lewat dari masa yang dirancang. Ini menjadi kelaziman pada aktiviti sebegini.
Hampir semua telah bersedia untuk memulakan kayuhan pada jam 7.45 pagi. Penganjur memberikan taklimat tentang tujuan kayuhan serta laluan yang akan diambil. Semua rider dinasihatkan untuk mengambil langkah keselamatan apabila berkayuh, jangan bergerak dalam kumpulan besar atau ramai, mengayuh dalam dua barisan, jangan terlalu rapat antara pengayuh depan dan belakang serta beberapa tips lain. Ikut dan patuh kepada arahan marshal. Berkayuh pada kemampuan sendiri dan  jangan berlumba.
Minuman ringan akan dibekalkan disepanjang perjalanan dan boleh didapati dari kenderaan marshal. Pengusaha Stesyen Minyak Petronas bermurah hati mendermakan air minuman kepada riders. Tabung untuk kutipan diedarkan kepada riders semasa ucapan.
Kumpulan ini akan disertai oleh kumpulan biker dari Baling, Kulim, Alor Setar (?) dan kumpulan dari Pulau Pinang. Semuanya akan berkumpul dan bergerak serentak ke Pekan Sungai Kob. Kayuhan akan melalui Sidam Kiri, Sungai Karangan, Labu Besar dan Sungai Kob. Sebelum memulakan kayuhan doa dibacakan untuk memohon keselamatan dan kesejahteraan semasa kayuhan.
Kumpulan dari Sungai Petani seramai hampir 70 orang bergerak serentak. Sambutan amatlah menggalakkan dan diluar jangkaan. Pada akhir  kayuhan apabila semua kumpulan berkumpul sebelum kerumah adik Mohd Arif ternyata kumpulan dari Sungai Petani adalah kumpulan yang paling besar.
Sememangnya seronok berkayuh beramai ramai. Perasaan kesepakatan, kerjasama, kegembiraan, kesefahaman dan sehati sejiwa nyata sekali tanpa mengira usia dan kaum. Rasa gagah dan penting apabila kenderaan lain seperti kereta, lori, bus dan motorsikal terpaksa memperlahan dan memberi laluan kepada riders dengan kawalan marshall dan outriders.
Dalam keseronokkan itu ada juga yang tidak beberapa sedap dipandang. Ada individu yang cuba menunjukkan kehebatan dan kemegahan dengan peralatan yang digunakan. Mereka mengayuh laju dihadapan mendahului kumpulan sehinggakan ada yang tersalah laluan. Maklumlah marshall dan  pengawal lalu lintas belum sampai untuk mengarahkan jalan yang perlu diikuti. Ada yang terlajak sehingga terpaksa kenderaan bantuan mencari dan membawa ke kumpulan asal. Ada juga yang terlalu kehadapan sehingga tidak sedar bahawa kumpulan berhenti untuk bergabung dengan lain lain riders dari kumpulan lain. Aku tidak tahu samada hendak marah atau tertawa dengan kelakuan mereka atau .... buat lah apa yang difikirkan perlu.
Ramai lagi kat depan sana tu .....
Laluan kayuhan disepanjang kawasan pertanian dan ladang agak mengasyikan. Aku dan Azbel berada di kelompok pertengahan tidak berapa jauh dari kumpulan dihadapan. Kadang kala apabila menoleh kebelakang kami tidak nampak rider lain dan menyangkakan kami adalah rider paling last. Rupanya ramai lagi yang berada dibelakang. Jalan disini tidak berapa bagus kerana banyak yang rosak dan merekah. Agak sukar apabila menggunakan roadbikes.
Azbel dan Juan tidak berhenti henti menyatakan bahawa mereka sepatutnya membawa single speed roadbikes. Ini kerana laluan tidaklah mempunyai bukit bukit yang tinggi atau panjang. Terdapat beberapa riders yang menggunakan single speed roadbike. Terdapat juga ramai yang menggunakan 'fixie' oleh kumpulan dari Kulim.
Setelah semua kumpulan sampai rider bertolak ke arah Pekan Sungai Kob dan sekali lagi berkumpul di Stesyen Petronas Sg. Kob. Apa yang dapat diperhatikan terdapat beberapa jenis riders yang berada disitu.
Pertama, kumpulan paling ramai adalah hardcore rider yang berpakaian lengkap dengan atire berbasikal. Kedua kalangan kumpulan yang pertama tetapi berpakaian yang sama iaitu baju yang seragam dengan nama kelab mereka.Kumpulan ketiga adalah mereka yang menggunakan moutain atau roadbikes. Kumpulan  keempat mereka yang yang menggunakan roadbikes classics dan akhir mereka yang menggunakan basikal 'fixie'.
apa hal plak ni.....
Oh tidak lupa rider dari kaum hawa yang berjumlah hampir 20 orang. Mereka menjadi penyeri dan penyejuk pada kayuhan ini. Dan kumpulan kanak kanak dan remaja. Syabas kepada mereka.
Ada seorang rider yang membawa bayinya didalam tempat khas yang ditarik dengan basikalnya. Jika dinegara barat dia akan ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah. Apa yang dilakukan amat membahayakan bayi tersebut. Walau betapa canggih rekaan 'carriage' yang di buat menggunakan bahan yang kuat, adakah ia mampu memberi 100% keselamatan. Diharapkan dia tidak melakukan kayuhan sebegini selalu.  Bayangkan jika basikalnya dilanggar dari belakang atau mengalami kerosakkan atau tidak sempat mengelakkan sesuatu dihadapan. Nyawa anaknya menjadi pertarungan. Aku tidak dapat menghayati tujuan sebenar dia berbuat demikian.
Penganjur membuat persiapan akhir sebelum bertolak kerumah pesakit yang terletak lebih kurang 1 km dari situ. Dalam perjalanan aku terdengar beberapa orang awam bertanyakan kenapa begitu ramai pengayuh basikal, hendak kemana dan kenapa.
Sebahagian dari rider bergambar dengan Adik Arif dan bapanya
Bayangkan seramai 150 orang riders dengan basikal masing masing berada di kawasan rumah adik Mohd Arif. Riuh rendah dan bising dengan pergerakkan. Harapkan ia tidak menganggu ketenteraman penduduk di taman tersebut.
Pihak penganjur dan tuan rumah menyediakan jamuan ringkas dengan pisang, karipap dan air mineral. Wang yang dikumpulkan diserahkan kepada bapa adik Mohd Arif dalam suasana ringkas. Beliau begitu terharu, gembira dan sebak dengan bantuan serta sumbangan yang diterima. Beliau juga sama sekali tidak menyangka tentang sambutan yang diberikan dan bilangan riders yang datang.
Berminat dengan 5D
Sebagai usaha untuk menambah wang, seorang rider telah melelong sebuah basikal antik berusia lebih 40 tahun yang berjenama 'Releigh' dengan no. plate dari Municipal Council Goerge Town. Bidaan dimulakan dengan harga RM500.00. Tidak pasti siapa yang berjaya pada bidaan tersebut dan berapakah harga ditawarkan.
Semua mendoakan agar adik Mohd Arif mendapat rawatan yang paling elok dan mendoakan semuga operation tersebut nanti berjaya dan semoga cepat sembuh. Juga ramai yang memberikan sokongan moral serta nasihat kepada bapa adik Mohd Arif supaya bersabar dalam menempuh dugaan seumpama ini.
Aku terbaca satu komen di dalam facebook bahawa usaha yang dilakukan hari ini telah membawa taraf pengayuh basikal ke mertabat yang tinggi. Mereka bukan hanya mementingkan keseronokkan, hiburan, excitement atau berbelanja ribuan ringgit untuk berbasikal tetapi mereka sedia bergabung memberi bantuan dan pertolongan kepada yang memerlukan pada bila bila masa. Tanpa mengira jumlah bantuan yang dihulurkan, ia akan dapat meringankan bebanan dan kesulitan yang ditanggung oleh yang memerlukan. Kehadiran mereka amat besar ertinya kerana ia menunjukkan sokongan moral dan emosional kepada tuan rumah yang tidak berhenti henti mengucapkan terima kasih kepada semua. Ini adalah satu satunya peristiwa yang akan diingati dan dikenang sepanjang hayat.
Aku dan rakan lain terus pulang tanpa makan tengah hari di Nasi Ayam Periuk Besar Sungai Kob. Walaupun letih dan panas tetapi kepuasan dan perasaan bangga tersemat didalam hati.

Statistik
   Mula .............. 7.00 pagi
   Tamat ............. 2.00 petang
   Jarak ............... 105 km
   Cuaca ............. Panas
   Laluan ............ Taipan Square - Sidam Kiri - Sg Karangan - Sg Kob
      

Tiada ulasan:

Catat Ulasan